Masalah Orang India di Sebalik Deepavali

Deepavali tiba lagi. Lagi satu majlis upacara lampu muncul dan menghilang. Angkatan Muda Malaysia kali ini mengambil kesempatan menjelang deepavali ini untuk mengajak seluruh masyarakat India khususnya dan masyarakat Malaysia seluruhnya berfikir semula simbolik di sebalik perayaan ini.

Makna sebenar Deepavali yang meraikan kekalahan Narakasura telah dianggap sebagai sebahagian metos Hindu yang tidak ada sebarang makna yang menyerlah selain mengajak kaum India untuk melupakan kesengsaraan hidup mereka dengan cara memajukan dunia perniagaan dengan berbelanja sakan sebagai lambang meraikannya. Berkajang halaman cetak yang telah memaparkan pelbagai jenis pakaian yang perlu dibeli untuk menghias diri ketika menyambut ketibaan tetamu tanpa memikirkan kepentingan makna keagamaan yang tersirat dalam upacara itu.

Di pihak pemerintah kelihatan tidak ada seorang pemimpin India yang mahu bercerita akan Deepavali itu sebagai kemunculan sinar harapan kepada golongan miskin yang sengsara, mengikut ertikata perayaan Deepavali itu pada asalnya. Kini, deepavali adalah laksana wayang Tamil, yang diangap sebagai satu bentuk 'escapism' semata-mata. Perayaan Depavali tahun ini memperkukuhkan perjalanan masyarakat India itu jauh menyimpang daripada kenyataan; betapa ia terus dipencilkan dalam agenda nasional, betapa semakin meningkatnya masalah bajingan dalam masyarakat India, betapa semakin teruknya keadaan sekolah Tamil dan betapa jauhnya perubahan sikap para pemimpin politik India terhadap kesengsaraan kaumnya.

Sebenarnya Deepavali membawa makna yang lebih mendalam lagi. Betapa upacara Deepavali itu diberikan sambutan merupakan ciri kaum berbilang bangsa di malaysia. Tetapi, cara ia disambut itu terlalu sempit sekali sehinggakan ia menyisihkan diversiti budaya yang menyeluruhi masyarakat kaum India itu. Deepavali ataupun Diwali mengikut loghat orang Utara India, bukannya satu upacara khas untuk kaum Tamil. Tetapi selama ini ia disambut dan difikirkan hanya merupakan sambutan kaum Tamil sehingga kaum lain daripada India dianggap tidak pun meraikannya. Pertunjukan dan rencana di radio dan TV tidak pun mengambil kira akan besarnya susur galur budaya masyarakat India itu. Begitu juga fahaman para pemimpin kaum India. Di sebalik budaya Tamil itu sebenarnya terdapat banyak lagi budaya kaum India. Contohnya kaum Malayalee Nair, Deepavali adalah satu peluang untuk kami mengimbau zaman silam untuk mengenang asal usul kami. Majlis beribadat adalah lebih penting lagi. Tetapi sambutan Deepavali yang dilakukan di negara ini telah mengenepikan kepentingan golongan bukan Tamil dan juga mereka yang kuat beragama. Inilah yang digalakkan oleh MIC, sebuah parti orang India dalam Barisan Nasional. Malahan parti itu lebih selesa menerima sorang Sikh sebagai pemimpinnya daripada seorang Malayalee di kalangan pemimpin mereka. Inilah yang menentukan agar kaum India itu akan terus berada di barisan belakang dalam proses kemajuan. Tidak ramai pemimpin India yang bersedia sealiran dengan pejuangan MIC kerana mereka merasakan lebih selesa untuk berusaha sendirian, dan membiarkan majoriti kaum mereka terus berada dalam kepompong kemunduran.

Upacara Deepavali yang menyimpang daripada unsur keagamaan telah memperlekehkan nilai sambutan upacara itu. Perkara ini tidak boleh digantikan dengan semangat berbelanja sakan dengan wang yang dipinjam, seperti yang dilakukan oleh si pemabuk di hari mereka menerima gaji. Penganut agama Kristian telah menurunkan nilai harijadi Santa Nicholas dan kini menjadi mangsa kepada kompleks belibelah dan peruncit kedai barangan untuk dijadikan alat promosi. Deepavali pun mengikut aliran suasana ini. Islam pernah didesak untuk mengikut jejak langkah seperti ini tetapi ia mampu bertahan dengan memberikan kepentingan kepada ciri-ciri keagamaan dalam majlis perayaan lebaran. Masyarakat Hindu yang meraikan deepavali telah mengabaikan semua ciri-ciri ini. Masyarakat Kristian masih lagi mampu bertahan. Orang yang beragama Kristian pergi ke gereja di hari mereka patut beribadat secara berkumpulan. Di malam sebelum Krismas banyak gereja dibanjiri oleh penganut Katholik sehinggakan banjir manusia yang melimpah ruah untuk meraikan upacara Krismas itu mencetuskan satu pemandangan yang amat indah untuk disaksikan. Berapa ramaikah penganut Hindu yang pergi ke kuil mereka untuk beribadat sebagai menyambut kedatangan Deepavali?

Keadaan mungkin memaksa mereka lebih selesa berada di rumah merungut sesama sendiri sambil menunggukan kedatangan tetamu untuk dijamu. Apakah itu sebenarnya makna Deepavali ? Saya diberitahu betapa ratusan ringgit telah dibelanjakan oleh setiap keluarga Hindu untuk meraikan Deepavali. Tentu sekali ini tidak bererti mereka menjadi matang mengenai hal ehwal dunia dengan perbelanjaan begitu. Malahan, perangai begitu sudah tentu akan lebih menekan mereka ke kancah hutang-piutang.

Masyarakat India sebenarnya sengaja diperlekehkan oleh BN sehingga satu waktu akan munculnya pilihanraya umum. Ketika itu sebilangan besar masyarakat India akan memangkah. Tetapi, mereka bukannya merupakan pengundi yang majoriti dalam setiap kawasan pilihanraya, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat parlimen. Kaum India yang bukan Tamil, terutama sekali mereka yang mampu berfikir, menjadi ahli kepada parti politik yang lain untuk menentukan keselesaan masyarakat mereka. Di sana mereka lebih menyerlah lagi jika dibandingkan dengan golongan biri-biri yang meramaikan masyarakat Tamil itu. Perbezaan seperti ini semakin melebar terutama sekali apabila munculnya Deepavali.

Kini, MIC mahukan Thaipusam diiktiraf sebagai cuti umum nasional pula. Perkara ini sepatutnya perlu difikirkan semula sedalam-dalamnya. Upacara keramaian Thaipusam ini hanya terhad kepada masyarakat Hindu Tamil sahaja. Ia sepatutnya diiktiraf sebagai upacara tahun baru untuk masyarakat Hindu yang berasal usul daripada empat penjuru benua India. Gesaan MIC agar orang Tamil sahaja yang diberikan keutamaan membawa padah hingga memecah belahkan masyarakat orang India. MIC tidak mahu menerima kenyataan adanya pelbagai budaya dalam masyarakatnya. Ia lebih rela menyekat masyarakat India yang lain daripada diberikan ruang untuk menonjolkan kewibawaan mereka. Perkara ini diserlahkan dengan cara hari lebaran masyarakat India itu diraikan, termasuklah Deepavali yang lebih menonjol itu.

Tetapi, bukan sahaja upacara lebaran yang membuatkan masyarakat Tamil dan India itu mundur. Sekolah Tamil memang menentukan kemunduran yang berpanjangan bagi masyarakat India di negara ini. Kerajaan hanya menanam tebu di bibir dalam memberikan janji manisnya. MIC yang menentukan kesinambungan sekolah-sekolah Tamil ini sebagai bukti akan perkembangan budaya Tamil, memang mudah melupakan sekolah ini mengikut seleranya. Apabila ketandusan minat dan usaha, kebanyakan sekolah Tamil hidup laksana rumput di tepi jalan, hidup segan mati tak mahu. Jarang sangat sekolah Tamil diperbaiki. Malahan beberapa kelas kerap sahaja dirangkumkan menjadi satu kerana kekurangan tenaga pengajar. Inilah yang menyebabkan pelajar sekolah seperti ini, menjadi setengah masak. Mereka tidak pintar dalam Bahasa Tamil dan juga tidak cekap dalam Bahasa Kebangsaan. Mereka akan menjadi tenaga pekerja bidang industri negara. Demikianlah nasib mereka seterusnya selagi masyarakat berkenaan tidak mahu bangkit untuk memperbetulkan kepincangan yang ada. Inilah contoh bagaimana sesuatu masyarakat itu akan kehilangan maruah dirinya. Fenomena ini tidak dapat diputarbalikkan dengan cara meraikan upacara Deepavali yang muncul setahun sekali itu. Soalnya sekarang adakah sesiapa yang berminat merobah fenomena ini?

Fikirkanlah….

Di kesempatan ini Angkatan Muda Malaysia mengucapkan Selamat hari deepavali atau selamat menyambut dewali kepada semua rakyat Malaysia. Semoga sinar di perayaan cahaya ini dapat nenerangi perjuangan dan merahmati semua pejuang Keadilan dan kebenaran.

Sambutlah perayaan deepavali ini sebagai perayaan bagi seluruh bangsa Malaysia.

Salam reformasi.

BADRUL HISHAM SHAHARIN
chegubard@freeanwar.com
Kiriman: ANGKATAN MUDA REFORMASI MALAYSIA - 25.10.2003
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN

Click Here!