Hukum Sebat di Khalayak - Pemikiran P. Ramlee Mendahului Zaman
Oleh: Ali Bukhari Amir
Free Anwar Campaign Website
Dari hidup bergelimang dosa, biar mati dijilat nuraka”, Teruna mengeluh kesal di hadapan sahabatnya Aduka. Dengan parang di atas kedua telapak tangannya, Teruna (P. Ramlee) menyerahkan nasibnya di tangan Aduka (Nordin Ahmad) ketika menyatakan pengakuannya; berzina bersama Dara.

Semerah Padi adalah filem arahan Tan Sri P. Ramlee yang kedua selepas Penarek Becha pada 1955. Menurut Salleh Ghani, dengan filem Penarek Becha itulah, maka pihak majikan mula memberi kepercayaan kepada semua pengarah filem bangsa Melayu untuk mengarah filem mereka sendiri. Pada masa itu, semua filem Melayu diarah oleh pengarah berbangsa India. Dengan itu, penulis berpandangan beliau boleh dianggap tokoh reformis dalam bidang pengarahan filem-filem Melayu kerana pada asalnya mereka tidak percaya kepada kebolehan anak-anak Melayu dalam bidang seni pengarahan filem.

Namun, hal yang menarik lagi ialah filem Semerah Padi yang disiarkan pada 22 Februari lalu menerusi saluran TV2 memancarkan makna dan mesej pembaharuan dalam pemikiran Islam. Selepas filem pertama berjaya mendapat Box-Office, beliau membawa arus pemikiran masyarakat dengan tema hukum perundangan Islam dalam filem tersebut. Semerah Padi yang kental spiritual keagamaan menggesa agar sistem pelaksanaan hukum Islam dijalankan sebelum menjelang kemerdekaan lagi.

Dengan demikian, beliau boleh dikategorikan sebagai pemikir masyarakat yang berjuang melalui karya-karya filemnya yang “evergreen”. Beliau mungkin tidak berjuang melalui pena, seminar dan bengkel, dan di atas longgokan timbunan kertas kerja seperti mana pemikir-pemikir lain. Namun, beliau yang dikurniai bakat seni itu telah mengerah segenap tenaga pemikiran bagi mempersembah pandangannya kepada khalayak dengan cara yang tersendiri. Karyawan seni perlulah mengambil intibar dan contoh teladan dari sikap dan perjuangan almarhum selama ini.

Umat harus prihatin dan cekap menangkap makna tersirat yang dilahirkan melalui filem-filemnya selama ini termasuk Semerah Padi. Ringkasnya, beliau sebagai artis tidak mengenepikan aspek keagamaan, moral, pendidikan, sistem nilai, serta kemasyarakatan. Ketika heboh membicarakan hukum sebatan di khalayak ramai, beliau telah mendahului pemikiran ini sekali gus menjadi juru bicara hati nurani umat Islam dalam filem tersebut. Beberapa perkara yang menarik telah ditonjolkan seperti berikut:-

Pertama, beliau menunjukkan beberapa adegan serta babak yang disusun untuk membuktikan bahawa hukuman ini layak dipertontonkan kepada khalayak tanpa mengira batas usia dan lain-lain faktor. Sekiranya, anak-anak kecil yang masih rebung dipertonton dengan hukuman ini, kami optimis, lama-kelamaan akan lahirlah satu kesedaran kalangan masyarakat secara menyeluruh kemudian hari bahawa aibnya jika membuat dosa. Apatah lagi jika aib dipaparkan di hari akhirat kelak. Bukan sahaja umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja yang menonton aib kita, bahkan di hadapan umat-umat yang terdahulu.

Tanggapan yang menyatakan bahawa jika anak-anak kecil dipertontonkan dengan hukuman ini akan menyebabkan mereka terbiasa dan akhirnya tidak gerun, hanya andaian yang tidak bersandarkan kajian saintifik yang tidak disokong oleh bukti-bukti empirikal. Setakat ini, belum ada kajian lagi yang mengesahkan hipotesis itu benar. Justeru, kami mencabar mana-mana pihak agar membuktikan hipotesis ini benar bagi mengganti tesis yang sedia ada. Kajian ini perlu dimajukan kepada khalayak dengan menyertakan bukti-bukti dari pakar-pakar tertentu barulah diterima. Jika tidak, andaian itu hanya terbit dari pandangan peribadi tertentu yang ingin dikuatkuasakan ke atas pandangan umum.

Dan, dengan sendirinya andaian dan hipotesis baru itu adalah tertolak. Kita haruslah sedar bahawa dalam usaha menuju Wawasan 2020, kita harus menjadi masyarakat saintifik seperti yang terungkap secara jelas dalam wawasan itu. Konotasi saintifik di sini, bukan bererti sains dan teknologi berasaskan material sahaja. Wilayah sains sosial dalam disiplin “sains kerohanian” dan “teknologinya” adalah agenda utama juga.

Kedua, beliau berpandangan bahawa antara hal yang menjadi kayu ukur kepada pembinaan negara Islam ialah hukum hakam yang tertegak di dalam sesebuah negara itu. Ini jelas, bahawa dalam mana-mana negara pun, soal undang-undang dan perlembagaan menjadi inti teras kepada pembinaan negara. Dimensi undang-undang dan perlembagaan dibayangkan sebagai rukun utama kepada keutuhan sesebuah negara. Dengan itu, Rukun Negara kita telah jelas menyatakan perlembagaan dan keluhurannya serta undang-undang dan kedaulatannya adalah rukun-rukun dan tiang sendi kewujudan sesebuah negara.

Sekali lagi, menerusi filem Pendekar Bujang Lapok, beliau mengulas fenomena dan masalah buta huruf dalam kalangan bangsa Melayu ketika itu. Hatta menuntut ilmu pendekar, namun akhirnya mereka terpaksa belajar mengenal huruf setelah gagal menulis mantera yang diajar oleh guru silat mereka. Kerana kegersangan ilmu, maka penduduk di kampung tersebut menderita ditindas sekumpulan samseng yang memonopoli perusahaan perahu yang menjadi pengangkutan awam untuk menyeberangi ke dunia luar.

Maknanya, dalam soal menegakkan undang-undang dan perlembagaan, garapan ilmu dan pendidikan untuk memahami undang-undang adalah hak semua orang. Kerajaan patutlah menyediakan ilmu asas pengenalan undang-undang serta perlembagaan untuk diajar kepada kanak-kanak sekolah rendah, menengah, dan seterusnya ke universiti.

Di Barat, bukanlah sesuatu yang asing lagi filem biografi tokoh-tokoh ini. Namun, mengapakah kalangan sutradara Malaysia belum ada berniat membuat filem seperti ini. Tidak bolehkah diadakan sedikit kajian menemuramah rakan-rakan seperjuangan Tan Sri P. Ramlee yang masih hidup; Kassim Masdor, Dato’ Jins Shamsudin, dan lain-lain? Dan paparkanlah garis-garis kehidupan Tan Sri P. Ramlee di layar perak untuk kebaikan bersama.

Kami mencabar sutradara kita untuk melahirkan filem yang lebih berat selepas Puteri Gunung Ledang. Kalau “Crouching The Tiger” (Chow Yun Fat dan Datuk Michelle Yeoh) boleh meraih anugerah di Hollywood walau berlatar bahasa Cina, mengapa Puteri Gunung Ledang atau yang seangkatan dengannya tidak boleh pergi sejauh itu. Inilah satu cabaran dan peluang sekurang-kurangnya untuk memasarkan bahasa Melayu dan segala adat resamnya kepada dunia luar dan masyarakat antarabangsa.

Dan hendaknya, jangan dilupakan sejarah. Bahawa kejayaan filem Hong Kong pada hari ini adalah penat lelah dan jerih payah Tan Sri P. Ramlee serta pejuang filem Melayu di Jalan Ampas, Singapura dahulu. Ketika filem Melayu menderita saat kemundurannya, Shaw Brothers telah mengalih pelabuhan serta pengkalan empayar perusahaan filemnya ke Hong Kong. Keturunan Run Run Shaw menyebut bahawa jika bukan dari usaha insan P. Ramlee, kejayaan mereka hari ini tidak mungkin dikecapi. Atas jasa-jasa allahyarham, marilah kita susuli dengan kiriman surah al-Fatihah kepada beliau.

 Ali Bukhari bin Amir,
Jawatankuasa Penaja SEPKOM,
Sekretariat Pelajar Kewartawanan Muslim,
P. P Komunikasi, USM, Pulau Pinang.
(ibnuamir@yahoo.com – mohon siarkan e-mail) - 23.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

.

Sertai Maillist M@RHAEN