PdRM: Mesra, Cepat, Dan Betul Itu Di Mana?
Oleh: Ali Bukhari Amir
Free Anwar Campaign Website
Pada 25.12.03, Khamis, kira-kira jam 6.00 – 6.30 petang, saya ingin melaporkan aduan kecurian di Balai Polis Pendang, Kedah. Malangnya, pegawai polis wanita yang bertugas di situ endah tak endah dengan aduan saya. Gaya percakapan berlagak sombong dan layanan tidak mesra itu membantut hasrat saya membuat aduan. Hati saya bertambah terhiris apabila beliau memarahi saya ketika saya menyelak buku di depan kaunter. Saya fikir, buku itu adalah buku mengenai laporan aduan kecurian. Sambil menarik balik buku itu dari saya beliau berkata,

Apa yang tengok buku ni? Benda ni rahsia. Mana boleh tengok. Pandai-pandai pulak …”, marah beliau sambil meletak semula buku itu ke tempat lain.

Kalau dokumen itu rahsia, mengapa cuai letak di kaunter? Saya tidak terlintas pun untuk mencuri rahsia pejabat. Saya cuma ingin tahu apakah buku itu adalah buku aduan kecurian. Sebagai orang ramai yang tidak tahu undang-undang, saya merasakan tindakan saya  itu tidak dikira bersalah kerana saya melakukan hal itu diluar pengetahuan saya dan di luar niat jahat. Barulah saya tahu bahawa buku aduan polis bertajuk “Polis 55”.

Saya balik dengan rasa kecewa dan hasrat saya terbantut. Esoknya (26.12.03) saya kembali semula ke balai polis berkenaan untuk mencuba nasib. Saya merasa sedikit lega dengan layanan empat orang pegawai lelaki polis kira-kira jam 3.00 petang itu. Terima kasih diucapkan atas penerangan lengkap mereka walaupun aduan kecurian saya tidak dapat diterima kerana ia berlaku di tempat lain. Kisah ini dipaparkan bukan dengan niat untuk mencari siapa benar dan siapa yang silap tetapi soal sikap dan amalan budaya kerja Mesra, Cepat, dan Betul tidak benar-benar meresap ke akar umbi walaupun sudah berlaku peralihan Perdana Menteri. Saya harap Perdana Menteri atau wakil KDN dapat lanjutkan siri-siri operasi lawatan mengejut ke seluruh cawangan polis di seluruh negeri pula.

Adakah faktor ini masyarakat tidak mahu bekerjasama dengan pihak polis? Walau pun drama Gerak Khas dan Skuad Elit ditayangkan berulangkali, namun di mana-mana tempat kita dapat melihat senario begini. Saya percaya jika sikap ‘Mesra’ itu didahului terlebih dahulu, maka kerjasama dapat diwujudkan bagi sesuatu kes. Baru wujud Cepat & Betul setelah ada kerjasama.

Seperkara lagi, saya dapati ramai mahasiswa yang kecurian barang di USM. Saya adalah salah seorang mangsanya. Seolah-olah jadi suatu amalan, budaya, serta sindiket di sini. Pelbagai jenayah kecurian berlaku khususnya telefon bimbit dan dompet duit. Aduan yang dilakukan ke Jabatan Keselamatan cuma tinggal aduan. Agak sukar bagi mengenal pasti pencurinya selama ini. Menurut pegawai polis Pendang yang saya tanya hari itu (26.12.03), jika aduan dibuat mengenai kehilangan barang-barang, kadang-kadang pihak polis membuat siasatan atas barang-barang berharga. Jenayah kecurian membabitkan hal yang kecil; handset dan dompet duit terlalu banyak dan tidak mampu diselesaikan.

Saya berterima kasih kepada beliau kerana memberi penerangan khusus tentang jenis-jenis aduan. Bukannya semua pegawai polis seperti kelmarin (25.12.03). Jika hal ini tidak dijaga, maka tepatlah peribahasa; kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Saya berpandangan tindakan-tindakan kerohanian dan amalan kebatinan wajar dilakukan secara sistematik dan berkesan di USM serta di mana-mana IPT. Hal ini makin teruk dan berleluasa. Saya telah menubuhkan jawatankuasa bagi menangani jenayah curi di sini untuk menangi hal ini melalui pendekatan alternatif; paranormal. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada mereka yang ahli dalam bidang paranormal, pakar ilmu terawangan, serta yang terlibat aktif dalam kegiatan perbomohan agar tampil depan bagi menangani jenayah kecurian di IPT-IPT. Hal ini jika dibiarkan akan menjadi suatu amalan dan budaya yang tidak sihat dan semoga menjadi iktibar bagi mereka yang baru berjinak-jinak dan berkecimpung dalam industri curi-mencuri di IPT.

Saya cadangkan agar seluruh IPT menubuhkan matapelajaran kursus pengenalan undang-undang sebagai kursus wajib di universiti agar mahasiswa kita celik perundangan dan tidak mudah ditipu serta membuat tindakan yang tidak menyalahi undang-undang. Jika mereka membuat tindakan yang menyalahi undang-undang dalam keadaan faham undang-undang, itulah yang lebih utama untuk dihukum. Malangnya, kini ramai khalayak yang buta perundangan ditangkap dengan peraturan seksyen yang tidak pernah diketahui selama ini. Hal ini perlu diperbaiki segera agar sikap yang lebih adil dapat diterjemahkan.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua pihak yang ingin melibatkan diri dalam kegiatan membanteras jenayah kecurian di IPT-IPT dapat hubungi kami di Peti Surat 4, Pos Malaysia Gelugor, 11700 Gelugor, Pulau Pinang atau emel garap@tm.net.my.

- Ali Bukhari Amir  - 29.12.2003

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Sertailah Kumpulan M@RHAEN