Aduan:
Membiarkan Timbunan/Longgokan Sisa Rumah Haram Separuh Roboh
& Penempatan Semula Pendatang Tanpa Izin Di Kampung Ampang Indah
Lembah Jaya Selatan Ampang
‘Setinggan
Sifar’ merupakan matlamat kerajaan negeri Selangor yang amat dipersetujui
dan dialu-alukan oleh rakyat Malaysia. Bagaimanapun kami tidak faham
mengapa di kawasan Kg. Ampang Indah Lembah Jaya Selatan Ampang Selangor
dibiarkan dan dibenarkan pembinaan rumah-rumah setinggan, pembinaan gerai-gerai
menjaja berderetan jalan seperti di negara Indonesia, robohan rumah setinggan
terbengkalai separuh roboh menjadikan sudut jalan indah 2 dan kawasan di
atas bukit berdekatan terutamanya sebagai tempat membuang sampah sarap
di hadapan rumah penduduk dan suasana bising dengan motosikal-motosikal
pendatang tanpa izin lalu-lalang serta suasana tidak aman dan tidak
indah seperti nama diberi Kg. Ampang Indah.
Kami penduduk berdekatan ingin memaklumkan
rasa rimas dan tidak tahan lagi dengan persekitaran di Jalan Indah
2 terutamanya pembiaran saki-baki robohan rumah haram terbengkalai
yang dibina di tepi jalan malah juga di atas longkang yang kesannya
menyempitkan laluan Jalan Indah 2 dan di atas bukit berdekatan. Ini memburukkan
suasana seolah-olah kawasan sampah yang berpotensi mengundang wabak denggi.
Bau busuk di sekitar nya merimaskan kami. Kami ingin menyatakan perasaan
kecewa terhadap MPAJ yang tidak serius dan bergerak terlalu perlahan bagai
‘ala-ala tahi ayam’ dan tidak mengikuti perkembangan susulan kempen ‘setinggan
sifar’ yang dilaungkan oleh PM. Ini dapat dibandingkan dengan bandar
lain contohnya kawasan di Shah Alam yang indah dan aman berbanding Ampang.
Akibat dari tindakan tidak tegas ini, hari ini kawasan di atas bukit di
Jalan Indah 2 telah wujud kembali pendatang tanpa izin yang membina semula
rumah dan menghuni di situ.
Kami mengesyorkan agar MPAJ memberi
amaran keras disusuli denda kepada mereka yg berdegil dan tidak melapangkan
kawasan berkenaan. Ini adalah berikutan terdapat penduduk tetap di
kampung ini sendiri yang membina rumah setinggan di jalanraya dan di atas
longkang hadapan rumah mereka untuk disewakan kepada pendatang. Akibat
dari itu tiada jalan lagi di hadapan jalan indah 2. MPAJ juga harus meneruskan
rancangan memajukan kawasan lembah jaya dengan segera dan menetapkan kawasan
yang bakal lapang itu dgn turapan tar agar kenderaan mudah melalui jalan
berkenaan yang terlalu sempit ditambah himpitan perniagaan kecil
haram. Selain itu juga didapati setiap kali hujan, air naik di beberapa
batang jalan berikutan longkang yang tersumbat dengan sampah sarap akibat
daripada kawasan sempit robohan rumah yang terbengkalai, dan pendatang
tanpa izin yang semakin menjadi-jadi seolah-olah kampung tersebut adalah
seperti negara asal mereka. Bau yang busuk akibat sampah sarap penduduk
Indonesia di atas bukit berdekatan Sek. Keb. Lembah Jaya menyebabkan kami
tidak tahan untuk berhadapan dengan kawasan seperti ini dimana mereka membuang
sampah sesuka hati ke dalam longkang dan di sekitarnya. Suasana bising
juga mengganggu pelajar sekolah tersebut. Kami kecewa MPAJ tidak
lagi mengambil tindakan dan membiarkan perkara ini berlarutan sejak wujudnya
setinggan pada tahun 1992 dan pada tahun 2002, hanya sebahagian setinggan
sahaja dirobohkan serta terbengkalai merosakkan pemandangan kawasan dan
kini sudah masuk 12 tahun masih lagi dibiarkan.
Adalah tidak adil jika kami yang
membayar cukai taksiran setiap tahun tetapi terpaksa menghadapi masalah
tersebut sekian lama. Kami merayu dan berharap sangat pihak MPAJ
dapat memberi kerjasama dengan terlalu segera seperti mana kami tertekan
dengan keadaan sebegini rupa sekian lama dan kami mengharapkan Kg. Ampang
Indah lembah Jaya Selatan adalah seindah nama dan bukan hanya terletak
pada nama yang disebut-sebutkan selama ini. Sudah berkali-kali aduan
diberikan tetapi pihak anda masih lagi tidak bertindak.
Terima kasih.
PENDUDUK TETAP YANG PRIHATIN,
RIMAS, TERTEKAN DAN KECEWA, Ampang - 10.03.2003
Kiriman:
Aduan MPAJ <aduanmpaj@yahoo.com>
www.geocities.com/aduanmpaj