.... Bila Pembohongan Tidak Berkaki
Edisi Terbitan Semula

Pepatah orang Portugis ada menyebut: 'Pembohongan itu tidak berkaki'. Jikalau kita amati akan apa yang dihujahkan oleh para perwakilan UMNO di PWTC termasuklah apa yang dicanangkan oleh presiden mereka, akan bertepatan sekali pepatah di atas. 

Segala buah fikiran yang dihujahkan oleh Diktator Mahathir ternyata penuh dengan pembohongan. Yang sedihnya, tingkahlaku Diktator Mahathir menunjukkan bahawa beliau telah diberikan nasihat professional oleh satu kumpulan di dalam UMNO untuk bersikap demikian. Tingkahlaku ini sudah dipamerkan oleh Diktator Mahathir sejak dua tahun yang lalu. Beliau kerap tersasul dalam penyebutan peristiwa yang penting ataupun dalam membuat rujukan nama seseorang kepada sesuatu peristiwa. Malahan, kadangkala tarikh penting sesuatu peristiwa itu dicampur adukkannya dengan peristiwa yang lain yang tidak relevan. 

Bagimanakah ini boleh berlaku? Ini adalah disebabkan terlalu banyak pembohongan yang dilakukan dalam menyatakan sesuatu, sehinggakan beliau mudah lupa akan jalan cerita bohong yang dicanangkannya. Untuk terus menampakkan kesahihan sesuatu perkara, beliau terpakas terus berbohong dan berbohong. Beliau memikirkan bahawa rakyat sememangnya mudah dibohongi seperti orang luar yang tidak faham sangat akan sejarah negara ini. 

Apabila seluruh peserta sesuatu persidangan mengiakan dan bertepuk tangan untuk menyokong sesuatu keyataan yang ternyata bohong, bererti mereka juga terlibat sama dalam pembohongan. Lantas, Diktator Mahathir menjadi Raja Pembohong dan diikuti oleh para pengikutnya yang juga turut membohong. Pembohongan begini kelihatan amat efektif apabila ia dilakukan dalam satu upacara di mana si pendengar tidak dapat hak bersuara untuk menyungkil kesahihan sesuatu berita. Kerana itu Diktator Mahathir kelihatan amat berjaya menyampaikan 'amanatnya' dalam upacara tertutup di mana si pendengar hanya ditugaskan untuk membisu dan menepuk mengikut arahan seorang dalang yang berselindung di sebalik satu kumpulan peransang yang terlatih. 

Adalah amat mengaibkan apabila kita melihat tingakahlaku Diktator Mahathir masakini. Ia mengaibkan bukan sahaja orang Melayu bahkan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Diktator Mahathir sudah mengambil peranan besar dalam memajukan negara ini dengan sokongan dan kerjasama seluruh lapisan rakyat, di mana pihak pembangkang sudah sekian lama memberikan terguran yang positif. Tetapi, beliau menjadi mabuk kuasa dengan segala kejayaan yang dicapai. 

Tidak ada sebuah negara demokrasi lain di dunia ini di mana rakyatnya benci kepada demonstrasi jalanan seperti rakyat Malaysia Diktator Mahathir telah mencabar kesabaran anak-anak muda Malaysia untuk membenci kerajaan yang memerintah kerana sikap pembohong besarnya. Apabila cabaran Diktator ini tidak berani disangkal dan ditegur dengan hormat oleh para pemimpin parti BN, ia bererti bahwa selama ini diktator Mahathir mahukan rakyat berpelajaran tinggi tetapi beliau tidak mahu mereka berfikir. Sikap ini dapat dilaksanakan dengan jaya terhadap para perwakilan UMNO dan pemimpin BN yang lain. 

Tingkah laku Diktator Mahathir dalam memesongkan kebenaran merangkumi segala aspek kehidupan Beliau telah merobah sistem kehakiman negara sehinggakan rakyat tidak percaya lagi kepada proses undang-undang. Beliau telah mengkotak-katikkan maruah kepolisian negara sehingakan rakyat benci kepada anggoa polis sedangkan anggota polis itu adalah sebahagian daripada rakyat jelata. Beliau telah mempertahankan segala projek MEGA tajaannya sedangkan rakyat tahu bahawa kos yang tinggi bererti bebanan hutang yang perlu ditanggung hingga tiga generasi mendatang. Beliau telah menggalakkan media massa memutarbelitkan berita sehinggakan rakyat membenci akhbar serta TV dan mengalihkan minat kepada internet. 

Diktator Mahathir telah bersuara lantang mengajar pemimpin Dunia Ketiga seolah-olah beliau telah dilantik menjadi jurucakap mereka. Untuk memperkuatkan pengaruhnya di kalangan negara miskin itu beliau telah berbelanja besar akan duit rakyat memberikan derma dan bantuan tanpa pengetahuan rakyat Malaysia. Untuk meyakinkan para pemimpin negara Dunia Ketiga Diktator Mahathir kerap mencemuh pemimpin negara barat. Beliau tidak memikirkan langsung bahawa cemuhannya itu ditertawakan oleh seluruh dunia kerana para pemimpin Dunia Ketiga mengaku bahawa mereka tidak dapat berdiri terus berkuasa melainkan terus menyokong polisi kuasa besar itu. 

Oleh kerana pemimpin negara miskin itu mahukan bantuan Malaysia mereka pura-pura akur dengan nasihat diktator Mahathir. Di belakangnya mereka mencemuhnya dan melaporkannya secara terperinci kepada Tuan Besar mereka. 

Diktator Mahathir seolah-olah tidak sedar akan sandiwara ini sehinggakan beliau menggunakan taktik yang sama terhadap rakyat Malaysia. Saban hari beliau mencemuhkan negara barat dan kuasa besar dan menggunakan topik yang sama secara berulang seolah-olah negara ini senang diserang untuk dijajah semula oleh penjajah barat. Beliau seakan-akan lupa bahawa kecanggihan dunia elektronik membolehkan rakyat Malaysia membuat kepastian akan apa yang berlaku di luar negara dalam sekelip kata dengan menggunakan tetikus dan komputer. 

Pembohongan yang dibuat bertalu-talu sebenarnya memerlukan isu yang pelbagai rupa sebagai tarikan kepada "kesahihan" pembohongan itu. Ia perlu diperkuatkan lagi dengan sokongan padu para juak dan golongan tertentu untuk memberikan taraf relevan kepada sesuatu isu. Dikator Mahathir amat berjaya dalam taktik ini kerana kelicikkannya memeras ugut akan para pengikut yang mungkin tidak akur akan tipu muslihatnya. Namun, segala kerakusannya itu merupakan satu proses yang amat tinggi kosnya dan apabila kos itu perlu ditanggung oleh rakyat tanpa izin dan pengetahuan mereka, konspirasi pembohongan itu menjadi satu dosa besar akhirnya. 

Seorang diktator yang mabuk kuasa sememangnya tidak punya pilihan lain untuk menentukan kekuatan pembohongannya. Ia perlu menggunakan segala senjata yang ada untuk terus berkuasa. Membujur lalu, melintang patah. Ia akan lacurkan apa juga alat yang boleh dilacurkan. Ia akan liwat apa juga kebenaran yang difikirakan dapat mempertahankan pengaruhnya. Ia akan putarbelitkan fakta untuk memujuk setiap insan yang juga gilakan kuasa dan takutkan bayang-bayangnya sendiri, seperti Ku Li, Ibrahim Ali dan Rais Yatim. Inilah dosa besar seorang diktator seperti Mahathir. Beliau telah sampai ke tahap "degenerative class' sehingga beliau mampu menggunakan manusia murahan (seperti Hanif, Hafilda, Azizan, dll) semata-mata untuk menjatuhkan martabat orang kelas atasan yang disanjungi oleh rakyat (seperti Anwar, Chandra Muzafar, Syed Husin, Shahnun, Jomo dll). 

Kadangkala kita merasa tertekan dengan telatah Diktator Mahathir. Kita diransang satu dilemma untuk membencinya dan juga untuk merasa kasihan kepadanya. Kita membencinya kerana beliau memperbodohkan keupayaan kita untuk berfikir dan menganalisa akan dakyahya. Kita rasa kasihan kepadanya kerana pembohongannya itu semata-mata kerana beliau gilakan kuasa dan cuba memperbaiki kedudukan anak-anaknya dan juga kroninya yang hampir muflis disebabkan kerakusan mereka pula. 

Belas kasihan adalah sesuatu yang bertahap. Ia adalah satu proses naluri manusia yang dua hala. Kita belas kasihan terhadap Diktator ini kerana memikirkan khidmatnya kepada negara ketika kita mempercayainya dengan hampir sebulat suara. Tetapi, apabila kewarasan fikiran kita tercabar, belas kasihan menjadi satu batu loncatan untuk timbulnya perasaan benci dan meluat. Apabila kita 'benci' kita kerap membisu seribu kata. Tetapi apabila kita 'meluat' lantas timbulnya perasaan memberontak dari jiwa yang tertekan, sehinggakan ia mencetuskan satu implikasi yang tidak dikawal dengan cepat. 

Inilah yang berlaku di Malaysia masakini. Rakyat pada keseluruhannya bukan sahaja membenci diktator Mahathir malahan meluat dengan segala tindak-tanduknya. Kerana itu semua individu yang mendampinginya merupakan sasaran kebencian juga. 'Seekor kerbau membawa lumpur pasti mempalitkan kelompoknya'. 

Tingkahlaku Diktator Mahathir merupakan sesuatu yang terpaksa ditanggung oleh rakyat yang sayangkan keharmonian. Kita hanya mampu menunggu hari baik untuk memangkah undi kita mengnyahkan diktator ini sebelum kerajaannya menjadi satu rejim yang ganas dan buas. Kita tidak perlu menyuruhnya undur dari arena politik kerana kita akan membuatkannya undur dengan kuasa undi kita. Kita hanya perlu bersiap sedia agar beliau tidak main kotor cara yang lebih berbahaya pula. Jika ini berlaku kita akan mencerna daya fikir kita, malahan jiwa dan raga untuk mempertahankan hak kebebasan kita. 

Diktator Mahathir berada di satu persimpangan yang amat kritikal dalam hidupnya. Beliau gilakan kuasa dan beliau beransur nyanyuk. Keupayaannya berfikir semakin menurun sehinggakan beliau mudah lupa akan pembohongannya. Titisan embun pembohongan yang dicurahkannya sejak bertahun lalu kini sudah mengalir menjadi satu tasik pendustaan yang akan melemaskannya. 

Segala pembohongan Diktator Mahathir yang tidak berkaki selama ini pasti tidak berupaya menyelamatkannya. Beliau berada di tengah-tengah tasik penipuan paling besar dalam sejarah Melayu. Hanya masa sahaja yang akan menentukan di tebing mana jasadnya akan tersadai kaku. 
 

-Marhain Tua-  
 .

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!