.... Itu Baru Hembusan Bayu.....
Oleh: Tengku Mazlan

Kelmarin, 500 orang bertungkus-lumus selama lebih lima jam untuk mencuba sekali lagi apa yang tidak terlaksana dua minggu yang lalu. Usaha menegakkan Jalur Gemilang yang merupakan bendera terbesar di dunia kecundang sekali lagi. 

Jalur Gemilang yang berukuran 105m x 159m tidak dapat ditegakkan kapada bingkai besi yang disediakan di Padang Ipoh. Pada 29 Ogos dulu, usaha itu kecundang kerana bendera itu dikatakan telah dibasahi hujan sehingga membuatkannya berat di luar dugaan. Usaha menaikkanya gagal apabila jahitannya dikatakan tetas sehingga terbatal usaha mengibarnya pada hari ulangtahun kemerdekaan ke-44.

Yang lucunya alasan benang tetas itu tidak pula disebut ketika itu. Yang diberitahu ialah lakaran bendera itu yang tersilap, sehingga mencetuskan tandatanya apakah guru-guru yang melakarnya tersilap kira. 

Kelmarin, bedera itu cuba ditegakkan dengan cara menyediakan bingkai besi yang berbaring condong. Usaha itu melegakan ramai yang ada kerana sudah menunjukkan hampir berjaya. Tiba-tiba belumpun sempat bendera itu meniti bingkai di bahagian atas, hampir berbaki 30m lagi, usaha ramai itu terbantut juga, disebabkan hembusan bayu yang datang melanda..

Siapakah dapat menduga bayu boleh berhembus ketika bendera hampir dapat ditegakkan? Kecundang lagi usaha lebih 100 pelajar, guru-guru dan segelintir ibu bapa SMK Seri Ampang yang dikatakan telah menyumbang sebanyak RM65,000 ke arah projek itu. Hanya hembusan bayu telah menggagalkan usaha segelintir manusia untuk memuji-muja seorang diktator tua. Wang rakyat yang disediakan oleh wakil rakyat untuk membuatnya semata-mata dengan tujuan riak dan berbangga boleh digagalkan oleh hembusan bayu. 

Bagaimana agaknya nanti apabila kedatangan hembusan sangkakala?

Tengku Mazlan 
8/9/01.

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!