Terbitan Semula Terpilih
Pertama kali disiarkan di RPN pada Disember 1999)
STRATEGI KODI PENEGAK DINASTI
Oleh: Marhaintua

Buat sekian lama rakyat percaya bahawa kuasa penyusunan kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri. Pada sekali pandang, susunan kabinet yang baru memang nampak seolah-olah dibuat secara tergesa-gesa. Di sinilah letaknya kepintaran seorang diktator tua yang selama ini dapat mengabui pemikiran rakyatnya. Kalau diteliti secara halus,  pemilihan yang dibuatnya itu bukanlah pilihan sembarangan. Selain dianggap sebagai 'Kabinet Wasiat' kita boleh buat telahan bahawa setiap pilihan adalah bertujuan untuk menentukan dinasti Mahathir dan fahaman Mahathirisme akan terus berjaya di muka bumi ini sepeninggalan 'patriach'nya nanti. 

Pelbagai reaksi yang kita dengar dan baca tentang susunan kabinet itu. Orang-orang BN mengatakan bahawa "itulah susunan terbaik untuk menjamin kemakmuran Malaysia". Namun, rakyat secara umum terus ketawa dengan pilihannya. Setelah melihat begitu ramai orang lama yang dipaparkan, rakyat tahu bahawa susunan kabinet itu bukan sebenarnya untuk membangunkan negara mengikut kehendak majoriti. Ia dipaparkan dengan tujuan untuk memperkuatkan kedudukan MAHAFIRAUN yang tahun hadapan akan menghadapi perwakilan UMNO untuk dilantik terus menjawat jawatan presiden hingga ke mati. 

MAHAFIRAUN telah berkata bahawa kabinet barunya itu adalah yang terakhir darinya kerana beliau sudah mahu bersara. Itu katanya yang terbaru. Tetapi bukankah beliau sudah sedia bersara apabila ekonomi negara pulih? Kita berani mengatakan bahawa MAHAFIRAUN sebenarnya sudah letih memerintah negara. Ia terpaksa memegang tampuk kuasa kerana masih ada tugas yang belum selesai yang perlu dibereskannya bagi pihak para kroni yang tersepit oleh kerana kegawatan ekonomi. Kalau dia betul-betul serius untuk melepaskan tampuk kuasa dia sudah melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai salah seorang menteri dalam jabatan Perdana Menteri kalau tidakpun sebagai Menteri Kewangan. 

Mungkin ada yang mencemuh perlantikan Ku Li sebagai menteri tugas khas seandainya dilakukan. Tetapi, apa gunanya dilantik Tun Daim memegang dua jawatan? Apakah dengan tujuan Tun Daim mengaut dua gaji bulanan sedangkan beliau tidakpun perlu gaji kalau diukur kekayaannya dan kalau difikirkan betapa beliau sanggup berjasa kepada negara? Mungkin ada yang mengatakan perlantikan Ku Li sebagai seorang menteri kanan adalah tidak cocok dengan kedudukannya yang lebih rendah daripada kedudukan Pak Lah yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri. Rasional ini mengambil kira bahawa Ku Li pernah menentang MAHAFIRAUN bagi jawatan presiden UMNO (Asal) pada satu ketika dahulu. 

Kita meramalkan penyisihan Tengku Razaleigh buat kali ini adalah berdasarkan beberapa sebab: 

MAHA FIRAUN sengaja mahu mengukur reaksi rakyat terhadap penyusunan kabinetnya yang terbaru ini. Dia mahu melihat apakah reaksi rakyat terutama sekali orang Kelantan dengan penyisihan Ku Li itu kerana pada waktu yang sama beliau tidakpun membabitkan sesiapa daripada Kelantan ataupun Terengganu dalam kabinetnya itu. 

MAHAFIRAUN mahu mengukur kesetiaan Tengku Razaleigh Hamzah. Apakah reaksi beliau dengan penyisihan itu? Apakah Ku Li akan akur dengan kuasa yang ada padanya ataupun Ku Li akan memberontak ataupun terus terkulai merasakan dirinya tidak berguna lagi bagi pucuk kepimpinan tertinggi UMNO. 

MAHAFIRAUN sendiri amat curiga dengan kehadiran Ku Li dalam kabinet barunya sama ada sebagai seorang menteri berfotfolio ataupun tidak. Ini adalah disebabkan karisma yang ada pada Ku Li yang pada satu ketika dulu amat rapat dengan Pak Lah, Rais Yatim, Najib, Rafidah dan beberapa lagi individu yang memegang jawatan penting dalam kabinet itu. Seandainya Ku Li diberi tempat untuk berkuasa semula selepas 13 tahun disisihkan besar kemungkinan Ku Li akan mencabar MAHAFIRAUN secara terbuka bagi jawatan Presiden UMNO di tahun hadapan. Inilah yang amat menggerunkan MAHAFIRAUN ketika ini. 

STRATEGI MENJINAKKAN WARGA PENDIDIKAN 

MAHAFIRAUN sedar bahawa usaha untuk menjinakkan warga guru dan mahasiswa adalah satu strategi yang amat penting untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin terunggul negara. Perkara ini telah dicubanya secara  konsep 'bidan terjun' sebelum pilihanraya yang lalu. Perencanaan itu gagal segagal-gagalnya hinggakan hampir menjadikan Najib sebagai kambing hitam dalam perencanaan itu. 

Pelbagai tekanan yang dikenakan terhadap para guru sememangnya bertujuan untuk mendapatkan sokongan padu terhadap UMNO dan BN. Strategi ini telah 'boomerang' kerana warga guru seperti para profesional yang sama di negara maju merupakan satu kumpulan professional yang amat sensitif dengan peralihan sentimen rakyat. Keakraban guru dengan anak muridnya yang secara automatik merapatkan guru dengan kaum ibu dan bapa murid-murid itu telah mendedahkan pengaruh guru kepada rakyat jelata. 

Justeru itu, kita dapati para guru merupakan golongan yang terbesar menjadi wakil rakyat di negara ini dalam sejarah politik negara. Merekalah golongan yang membawa perubahan kepada rakyat. Senario ini berubah apabila MAHAFIRAUN memegang tampuk pemerintahan negara. Beliau telah merobah sentimen ini secara bersistem sehinggakan golongan guru merupakan satu spesis yang mahu dilupakan oleh pucuk pimpinan setelah para korporat mengambil-alih kepimpinan cawangan dan bahagian parti. Pertukaran kepimpinan ke tangan para korporat adalah disebabkan tarikan wang dan material yang ditabur dan dibiarkan bercambah tanpa sekatan dan peraturan etika yang bertulis. MAHAFIRAUN telah merestui kemunculan kepimpinan melalui penggunaan wang dan elemen materialisme dan menggalakkan sistem kroni, kollusi, nepotisme dan oligarki. 

Apabila sistem demikian dibiarkan bercambah di akar umbi, ia dapat membesar dengan cepat sehinggakan setiap langkah yang sama yang dipraktikkan oleh MAHAFIRAUN sendiri ke atas ahli keluarga dan para kroni, dapat berkembang-biak dengan pantas tanpa disekat dan dibendung oleh golongan yang tidak sanggup bersekongkol merestuinya. 'Kalau guru kencing berdiri, murid mungkin kencing berlari' merupakan pepatah lama yang amat selari dengan keadaan politik UMNO. Apabila MAHAFIRAUN rancak mengaut keuntungan daripada sistem oligarki, apakah tidak mungkin perkara yang sama berlaku di ceruk rantau negara ini? Di sinilah kita lihat betapa guru-guru yang sayangkan negaranya memberontak secara senyap dan melancarkan satu gerakan menentang MAHAFIRAUN dan kuncu-kuncunya yang sudah menjangkau ribuan di kota raya dan juga di desa. 

Lantas, timbullah soalan peperiksaan yang membawa senario sinis terhadap kepimpinan negara yang seakan-akan menyindir bangsa Melayu dan ketuanan Melayu itu sendiri. Penentangan para guru dan cendekiawan adalah satu gelombang 'resistance' yang sebenarnya tidak ada dalam percaturan para strategik MAHAFIRAUN. Memang tidak terlintas bahawa ada para guru yang sanggup menentang kepimpinan beliau. Kekeliruan ini timbul setelah para guru difikirkan satu golongan majoriti yang senyap dan berada di atas pagar dan setelah para pemimpin guru dijulap dengan kemudahan memegang jawatan sebagai 'atache pendidikan' di luar negara ataupun memegang jawatan sebagai guru besar ataupun pengetua sekolah ataupun sebagai pensyarah di maktab perguruan. 

Oleh kerana penentangan para guru terserlah ketika tercetusnya fiasko yang membabitkan DSAI, para strategik MAHAFIRAUN menjadi gusar dan mula melatah. Mereka terpaksa mencari satu formula menjinakkan para guru dengan harapan proses menjinakkan para guru itu dapat meredakan sentimen kemarahan para mahasiswa di pusat pengajian tinggi. Seperti yang lazim dalam arena politik, formula yang dicari telah diolah laksana serampang tiga mata. Satu mata ditujukan terhadap warga guru, satu mata lagi terhadap warga siswa-siswi sedangkan satu mata lagi telah direka untuk menjatuhkan martabat Najib Tun Razak. Formula itu sebenarnya telah diolah untuk memperbodohkan Najib agar beliau kehilangan karismanya menjelang pilihan Majlis Tertinggi UMNO tahun hadapan. 

Malangnya Najib tidak menyedari taktik yang jahat ini dan telah masuk perangkap yang disediakan untuknya. Oleh kerana Najib kurang licik mengesan perangkap yang disediakan untuknya beliau telah terjebak dalam satu komplot untuk menjatuhkannya. Siapakah perencana komplot itu? Sama-samalah kita teka di akhir penulisan ini. 

Pelbagai pembaharuan yang tidak popular oleh Kementerian Pendidikan ketika negara berada di ambang pemilu telah menjejaskan nama baik Najib. Beliau hampir tumpas di kawasan pilihanraya di mana para pengundi masih mengingati jasa-jasa Almarhum Tun Razak dengan penuh nostalgia. Kemenangan dengan undi yang kecil telah menyelamatkan maruahnya tetapi tidak semesti namanya yang pada satu ketika dulu dianggap akan membesar setanding dengan nama almarhum ayahnya. Najib ditukarkan balik ke KEMENTAH mungkin dengan maksud untuk menjinakkan warga tentera pula. Kita akan tulis perkara ini pada kesempatan yang lain. Kenapakah Najib perlu ditundukkan? 

Najib adalah seorang pemimpin UMNO yang kanan yang boleh menggugat sesiapa yang mahu merampas kerusi presiden UMNO, apabila MAHAFIRAUN melepaskannya. Sebagai seorang ahli politik, Najib masih menikmati bayangan almarhum ayahnya. Sudah menjadi amalan manusia yang tidak mudah melupakan jasa baik seseorang yang pernah membantu dan berbudi bahasa padanya. Inilah kegemilangan Najib sebenarnya. Apatah lagi beliau mempunyai seorang ibu yang masih mempunyai pengaruh yang tersendiri. Najib masih lagi bersekolah ketika MAHAFIRAUN dikutip oleh ayahnya menjadi seorang senator dan menjadi ahli kabinet. Tentunya  panggilan 'uncle' yang digunakan ketika beliau bertutur bahasa dengan MAHAFIRAUN di zaman almarhum ayahandanya itu masih menjadi igauan ataupun impian MAHAFIRAUN setiap kali beliau menentukan nasib anak sulung Tun Abdul Razak itu. 

Jikalau berdasarkan senario ini, Najib merupakan seorang menteri yang boleh disenangi MAHAFIRAUN kerana ia mudah dilentur dan dijinakkan. Tidak mungkin Najib mahu menggigit tangan orang yang menyelamatkan kedudukannya yang sudah terduduk kini. MAHAFIRAUN bolehlah menganggap Najib sebagai seorang yang dapat meraih undi untuk membantunya tahun hadapan. Dengan demikian siapakah saingan Najib yang mahu memusnahkannya? Yang pasti tentulah orang-orang yang mengidamkan jawatan Perdana Menteri apabila MAHAFIRAUN melepaskannya nanti. 

STRATEGI TOK DALANG 

Dalam masa MAHAFIRAUN sibuk merangka strategi untuk terus hidup senang lenang sebagai seorang diktator, tentu sekali ia mempunyai satu kumpulan para pemikir, penganalis dan penglaksana strategi itu. Mereka inilah yang mengkhayalkan si diktator tua itu dengan impian penubuhan dinasti Mahathir dan Mahathirisme. Laksana pucuk dicita ulam mendatang, siapakah yang tidak mahu menjadi patriach Melayu yang terulung di dunia ini? 

Sejarah dinasti setiap diktator di dunia ini menyerlahkan beberapa kelompok kecil manusia yang digelar sebagai tukang dalang ataupun Tok Dalang. Amalan hidup mereka adalah berkonsepkan satu pepatah Yahudi yang berbunyi: "Presidents rule men, wise men rule presidents". Kumpulan seperti ini akan bergerak secara senyap-senyap mengembangkan pengaruhnya tanpa dikesan oleh majoriti rakyat. 

Pada dasarnya persyarikatan mereka ialah menjulang nama MAHAFIRAUN, tetapi pada waktu yang sama mereka merancang untuk menentukan kesinambungan pengaruh mereka. Mereka telah berjaya menjulang MAHAFIRAUN dan memfitnahkan DSAI sehinggakan beliau tersungkur di bilik berjejari besi. Kini, mereka tahu MAHAFIRAUN tidak akan bertahan lama. Tentunya mereka sudah merancang satu strategi untuk menentukan orang mereka akan terus berkuasa. 

Strategi busuk Tok Dalang Malaysia ini adalah persis strategi Yahudi menentukan siapa yang harus menjadi presiden Amerika. Begitu juga strategi mereka yang menentukan siapa yang harus bertakhta di negara Islam di Timur Tengah. Kuasa yang ada di tangan mereka adalah amat kuat sekali. Kerana itu kita lihat seorang ultra-Malay boleh bertukar perangai menjadi seorang yang dibenci oleh bangsanya. 

Semua ini dilaksanakan dengan licik sekali sehinggakan seorang diktator yang kelihatan kuat dan amat berkuasa di negara ini boleh akur dengan tindak-tanduk para konspirator yang boleh mengkotak-katikkanya. Kekuatan para konspirator yang bertuankan golongan luar yang berbahaya ini sudah berjaya menundukkan MAHAFIRAUN selama satu tempoh yang lama, dulu lagi. Hanya rakyat Malaysia tidak dapat mengesannya kerana kelicikan perencanaan itu.  Tetapi, selicik-licik strategi yang dirancang, mereka tidak menyangkakan perencanaan mereka itu tidak mendapat kerjasama DSAI untuk menjayakannya. 

FAKTOR YANG MELICINKAN STRATEGI KODI TOK DALANG 

Melemahkan kuasa politik pemimpin yang sudah kaya raya: Perkara ini berlaku terhadap Ramli Ngah Talib. Beliau telah lama berkuasa di Perak dan sudahpun menjadi kaya-raya. Tentunya mampu membeli kuasa dan melebarkan kuasa dengan kekayaan yang ada. Untuk melemahkannya, beliau ditarik ke kerajaan pusat dan diberikan jawatan Timbalan Menteri. Ramli mungkin menerimanya kerana tersepit, tetapi para pengikut setianya tentu tidak dapat menerima aib itu. Mereka pasti memberontak dan berkemungkinan berundur daripada kancah politik. Cara Ramli diaibkan boleh dilihat sebagai menutup malu yang ditanggung oleh Megat Joned kerana telah diletakkan di kawasan pilihanraya yang sudah sedia untuk menyembelihnya. Ramli telah termakan umpan untuk meletakkan Megat Joned di situ dengan 'harapan' diberikan jawatan menteri penuh di kerajaan pusat. Serampang menjatuhkan Ramli telah ditempa untuk menjatuhkan Megat Joned juga. Satu lagi mata serampang itu telah digunakan untuk menghumbankan Zahid Hamidi. Bekas Ketua Pemuda UMNO itu kini sudah menjadi kuda kepang yang hanya menunggu masa untuk lenyap dari almanac kepimpinan  UMNO. Tan Sri Ramli boleh dikatakan bernasib baik kalau dibandingkan dengan Dato Seri Abu Zahar Isnin. Beliau digugurkan dari DUN untuk bertanding di kawasan parlimen menggantikan pemimpin yang dicanangkan berjiwa besi tetapi sebenarnya berisi ubi keladi; Tun Ghaffar Baba. Ghaffar tidak berani bertanding di kawasan tradisinya dan meletakkan Zahar untuk mencuba nasibnya. Kemenangan Abu Zahar memberi masalah kepada MAHAFIRAUN kerana memikirkan Abu Zahar akan kalah. Kerana itu Abu Zahar diberikan jawatan Setiausaha Parlimen di Kementerian Dalam Negeri; satu jawatan yang terpaksa diterimanya dengan senyum di muka dan kejengkelan di hati. 

Mengenepikan pengaruh perwakilan negeri-negeri Pantai Timur 

Kekalahan beberapa pemimpin yang bertanding di Kelantan dan Terengganu dikatakan disebabkan kekuatan PAS dan BA di wilayah itu. Di Kelantan, beberapa pemimpin harapan MAHAFIRAUN telah tumbang walaupun mereka mempunyai karisma yang tersendiri yang mampu mencabar kepimpinan Ku Li satu hari nanti. Ironisnya mereka telah mendapatkan khidmat Ummi Hafilda untuk berkempen dan akhbar STAR pernah menyiarkan berita songsang betapa Ummi mampu menarik lebih lima belas ribu pendengar ceramahnya. Semua pemimpin yang berwibawa ini (melainkan Ibrahim Ali) tumpas kerana terjebak dalam perangkap yang dipasang untuk mereka. Mereka kecundang kerana gagal memahami bahawa musuh karier mereka sebenarnya bukannya orang BA ataupun pemimpin PAS. Musuh mereka sebenarnya adalah orang UMNO sendiri yang disokong oleh beberapa kerat ahli korporat Kelantan dan Terengganu yang mempunyai agenda tersendiri yang akan kita dedahkan satu hari nanti. Apabila mereka kalah, kenapakah tidak ada seorang pun pemimpin UMNO dari Kelantan mahupun daripada Terengganu yang diberikan tempat dalam kabinet baru MAHAFIRAUN? Apakah MAHAFIRAUN tidak berminat  dengan sokongan mereka di majlis pemilihan MT UMNO itu nanti? MAHAFIRAUN dan Tok Datangnya amat curiga dengan janji-janji daripada para perwakilan pantai timur itu. Adalah lebih meyakinkan kalau janji undi daripada Sabah diambil kira dulu sebagai jaminan yang pasti. Sebagai persediaan, maka diberilah tempat kepada seramai mungkin orang Sabah untuk mengisi tempat yang berprestij itu. Formula ini dilihat sebagai jawapan untuk menumpulkan pengaruh PBS  yang dipimpin oleh Pairin Kitingan dan adiknya. 

Satu mata serampang yang lain digunakan untuk menumpulkan segala kemungkinan merebaknya pengaruh BA di negeri di bawah bayu itu. Apabila pemimpin Sabah diberikan tempat yang selesa di dalam kabinet, perkara yang sama terpaksa disediakan kepada pemimpin daripada Sarawak. Kerana itu kita melihatkan beberapa muka baru daripada Sarawak disertakan dalam penyusunan kabinet baru itu. Usaha ini dapat menumpulkan pengaruh BA untuk bertapak di Sarawak. 

Satu mata serampang lagi telah digunakan untuk menentukan sokongan padu komponen BN di Sarawak seandainya sesuatu berlaku kepada Ketua Menteri Sarawak yang berada dalam keadaan yang tidak stabil itu. Dalam menentukan sokongan padu dalam Mesyuarat Kabinet, strategi yang paling baik ialah menentukan semua portfolio penting dipegang oleh kuda-kuda tua yang sememangnya tidak hiraukan sangat gaji seorang menteri. Mereka semuanya sudah kaya raya, yang penting hanyalah kuasa dan glamour. Yang paling penting sekali ialah imuniti yang mengiringi jawatan kabinet itu. 

Semua menteri faham bahawa kuasa mereka adalah terhad. Kerana itu kita lihatkan betapa budaya membisu diamalkan setiap kali tercetusnya isu yang sensasi yang perlu dikomen oleh para menteri. Mereka tidak berani memulakan sesuatu reaksi terhadap sesuatu isu melainkan perkara itu telah diberikan perhatian oleh si diktator tua. Ketaksuban seperti ini telah menjerumuskan kabinet BN menjadi satu forum tukang angguk yang tidak menguntungkan negara. Malahan ia mencetuskan satu sindrom pengikut yang setia kepada MAHFIRAUN secara membabi-buta. 

Implikasi jangka panjang sindrom ini melahirkan satu kabinet yang tidak wajar berfikir secara tersendiri yang sentiasa mengharapkan panduan dari seorang ketua yang bengis dan tidak sedarkan diri. 

Rumusannya: Strategi jijik yang diamalkan oleh Tok Dalang MAHAFIRAUN telah bergiat cergas sejak lima tahun yang lalu. Ia berjaya meresap masuk mempengaruhi masyarakat Melayu secara aktif dan terserlah sejak DSAI dipenjarakan. Kini strategi itu melalui satu proses pengolahan yang lebih bersistematik walaupun pada tahap awalnya ia tumpas dan hanya berjaya memerangkap DSAI dalam penjara. Strategi bikinan manusia berhati syaitan sememangnya tidak akan bertahan lama. Walaupun perencanaannya kelihatan jitu, mainan bikinan syaitan tidak boleh mengatasi Ilahi yang menyerap masuk semangatnya ke dalam sanubari insan yang bertaqwa. 

Bila Politikus Muda Diberikan Kuasa 

Rakyat tentu masih samar bagaimana MAHAFIRAUN boleh memberikan kepercayaan kepada pemimpin muda seperti Hishamuddin, Mohd Nazri Tan Sri Aziz dan juga Azmi Khaled. Apakah yang ada pada mereka sehingga mampu mengatasi kewibawaan Ramli Ngah Talib dan Abu Zahar Isnin? 

Nampak sangat para konspirator menyediakan satu pentas untuk meraih sokongan para pemuda UMNO bila diperlukan. Semua pemimpin muda ini telah dianggap sebagai suis di dinding yang apabila dipetik akan melompatkan cahaya yang terang benderang. 

KEUNIKAN KOMPOSISI KEMENTERIAN PENDIDIKAN 

Setelah merancang semua nisbah di atas, maka terserlah kini apa sebabnya Kementerian Pendidikan itu diberikan kepada seorang yang dikira novis dalam percaturan politik. Di sinilah terletaknya kepintaran sebenar MAHAFIRAUN sebagai manager silap-mata politik. Dia meletakkan orang kepercayaannya untuk mengemudikan Kementerian Pendidikan dan dibantu oleh orang yang berlatar-belakangkan pendidikan juga. Dia melantik seorang senator baru sebagai Menteri Pendidikan sebagai topeng untuk mengenepikan setiap menteri kanan UMNO mengisi jawatan itu. Kita boleh menjangkakan lantikan itu bersifat sementara sehingga jawatan itu dikosongkan untuk membolehkan Dato Aziz Shamsuddin mengisinya secara sah tanpa memperkecilkan hati pemimpin UMNO yang lama. Lantas, bekas professor Dr.Mahadzir Mohd Khir boleh dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri pula. 

Setelah meneliti segala faktor yang ada, saya meramalkan bahawa percaturan politik ini bukannya datang daripada MAHFIRAUN pada asalnya. Inilah percaturan politik yang 'ultimo' Tok Dalang yang bertapak di Putrajaya. Kalau MAHAFIRAUN sanggup mengenepikan semua pemimpin UMNO yang sudah diketahui karismanya dan telah teruji kepimpinan mereka dari beberapa segi, apakah sebenarnya strategi baru Kementerian Pendidikan itu sehinggakan ia memerlukan kemasukan orang-orang baru untuk menerajuinya? 

Jawapannya yang sebenar terletak kepada cara Kementerian Pendidikan Amerika dikendalikan. Salah satu keunikan pengendalian kementerian pendidikan di Amerika ialah mengenepikan segala bentuk penyebaran agama di kalangan anak-anak muda. Kerana itu pembangunan agama Kristian di Amerika banyak bergantung kepada karisma pendakwah telivisyen ataupun fraterniti yang condong kepada penyebaran lagu-lagu gospel sahaja. Cukuplah dahulu pendapat saya tentang perkara itu. 

PENUTUP: Kabinet kuda-kayu adalah laksana kereta barangan yang ditarik oleh kuda ataupun keldai. Kalau kita lihat beberapa bandaraya di India, Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan, kita akan lihat betapa kereta keldai bergerak.   Setiap kereta itu akan mempunyai seekor ataupun dua ekor binatang muda ataupun novis yang dicocok hidungnya untuk diseret oleh binatang yang tua. Binatang yang muda itu adalah dalam latihan untuk mempelajari bagaimana mengimbangi badan mereka ketika kereta itu digerakkan. 

Demikianlah yang boleh kita harapkan kepada semua ahli kabinet muda yang disenaraikan dalam kabinet baru MAHAFIRAUN itu. Adalah tidak mungkin mereka dapat bergerak dengan bebas seperti yang diharapkan oleh rakyat. Laksana binatang seretan kuda-kuda tua yang hanya cergas bila dipacu belakangnya, kuda dan keldai muda yang diseret itu hanya mampu menjeringaikan gigi sambil melangkahkan kaki ke arah mana kereta itu dipacu oleh tuannya.  Ia terpaksa akur dengan seretan yang dipacu itu tanpa mengira tempat untuk melepaskan kencing dan tahinya sambil mengharapkan akan tibanya satu ketika apabila kuda tua di depan itu mati tersungkur kerana kepenatan untuk menggantikan tempatnya. 

Pada waktu yang sama, kita akan melihat betapa kuda-kuda tua itu akan terus melangkahkan kaki ke hadapan mengikut tarikan tali yang mencocok hidungnya dan isyarat yang dibunyikan oleh tuannya. Setiap isyarat perlu dipatuhi dengan tepat. Jika tidak, pergerakan kereta tarik itu akan diperbetulkan dengan rentak hayunan cemeti yang mengenai punggung kuda tua itu. Segala kepedihan dan kesiksaan yang dirasai dan dialami oleh kuda-kuda tua tidak dapat diteliti oleh kuda dan keldai novis yang diseret itu. Keletihan yang menghantui anggota mereka terlalu kerap disaluti oleh angan-angan yang menjanjikan masa untuk menggantikan si kuda tua itu. Kesiksaan yang mengena kuda-kuda tua dan keldai yang diseret serta tidak pernah menjadi perhatian si empunya kereta. 

Laksana seorang patriach, ia hanya menumpukan tenaga kepada keuntungan yang muncul daripada muatan yang dibawa. Ia memberi fokus hanya kepada keretanya agar sentiasa bergerak secara bersistem. Tidak kiralah kuda tua sedang nazak ataupun kuda muda sedang senak. Yang penting baginya ialah keuntungan dan keselesaan yang dapat memuaskan egonya. 

- Marhaintua - 13.12.1999 
marhaintua@hotmail.com


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
Click Here!