.... APA KHABAR 6 WIRA RAKYAT DI KAMUNTING? (2)
Oleh: Siti Muslihat

Selamat bertemu lagi.  Kali ini saya menulis lagi sebab ada beberapa perkara lagi yang perlu diceritakan berhubung keadaan 6 wira rakyat di Kem Kamunting (Kem).  Buat makluman rakyat yang cintakan keadilan, 6 wira rakyat ini ditahan di bawah akta yang zalim dan sepatutnya tidak wujud lagi di zaman yang bertamadun ini.  Namun atas dasar ketakutan pihak pemerintah, ISA digunakan untuk menangkap mana-mana individu yang mereka jangka boleh memudaratkan keselamatan kerjaya politik mereka.  

Semasa penahanan, alasan yang diberikan ialah kerana tahanan tersebut boleh memudaratkan keselamatan negara.  Namun daripada sesi soal siasat semasa di bawah tahanan polis, tidak ada satupun yang disentuh tentang perkara tersebut.  Bom, pelancar roket dan sebagainya yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan dan sudah pasti oleh surat-surat khabar nasional yang berada di bawah telunjuk kerajaan tidak langsung disebut apatah lagi disiasat semasa sesi soal-siasat berlangsung.  Salah seorang tapol berkata, kalau betul mereka dituduh ada memiliki senjata-senjata tersebut dan kerajaan ada bukti (kununnya), bawa mereka ke mahkamah dan adili di hadapan rakyat.  Namun, oleh kerana alasan itu hanyalah untuk mengelabui mata rakyat semata-mata, maka pastilah mereka tidak akan dibawa ke mahkamah sehingga bila-bila.  Mereka hanya nak menahan tapol ini kerana sebenarnya mudarat yang dibawa itu adalah terhadap orang-orang tertentu dalam kerajaan, bukannya mudarat untuk rakyat mahupun negara.  Jadi bagi menjaga pekung dan juga periuk nasi masing-masing, terpaksalah beberapa orang dikorbankan atas kepentingan peribadi semata-mata.

Pada masa ini keadaan tapol di Kem alhamdulillah “nampak” sihat sahaja.  Cuma ada beberapa rungutan tentang keguguran rambut, gatal-gatal dan seumpamanya.  Seperti yang kita sedia maklum, Ezam ditempatkan bersama Saari, Tian Chua bersama Hisham dan Dr. Badrulamin bersama Lokman.  Dom yang boleh manampung lebih kurang 30 orang tahanan dalam keadaan biasa hanya diperuntukkan untuk dua orang sahaja.  Apa alasannya?  Wallahu a’alam.  Kita buatlah spekulasi masing-masing tentang ketakutan yang menyerang pihak pemerintah sekarang.  

Di peringkat awal, dom yang menempatkan dua daripada tapol ini terletak bersebelahan dengan dom tahanan lain (kumpulan Al-Mau’nah dsb.).  Namun selepas itu, tahanan lain tadi dipindahkan pula ke dom yang lain yang agak jauh agar tidak ada interaksi yang berlaku di antara mereka dan dua orang tapol ini.  Mulanya mereka boleh menyanyi lagu Negaraku dan berikrar bersama pada setiap pagi (walaupun terpisah oleh dinding), tapi sekarang tidak lagi.  Maka menyanyi dan berikrarlah mereka berdua setiap pagi…  Tidakkah penyiksaan batin namanya tu?  Bercakap pasal ikrar ni pula, pada hari pertama dalam ikrar itu ada dinyatakan untuk menegakkan keadilan.   Tengok-tengok pada hari kedua, perkataan keadilan sudah hilang dari skrip ikrar mereka!  Satu lagi keajaiban yang boleh ditertawakan…  Nampak sangat ketakutan mereka yang tak berasas.  

Saya bercerita ni bukanlah untuk marah kepada para petugas (digelar “cikgu”) di Kem kerana saya pasti ini semua di luar bidang kuasa mereka.  Yang membuat polisi dan peraturan ini ialah orang atasan seperti pengarah penjara (yang baru ditukarkan ke Kem ini), orang-orang KDN dan orang-orang politik pastinya.  Walau apapun, inilah realitinya.  Banyak peraturan baru yang dikenakan semata-mata untuk menekan tapol dan keluarga mereka.

Baru-baru ini pertemuan Ezam dengan Lembaga Rayuan telah ditunda.  Sebabnya, wallahu a’alam.  Pertemuan dengan peguam mereka pula diasingkan bagi setiap tapol walaupun mereka menggunakan peguam yang sama.  Mereka berenam tak dibenarkan berjumpa sekali gus bersama peguam mereka.  Mereka terpaksa mengambil giliran untuk berbincang dengan peguam.  Jadi peguam tak dapat menjalankan tugas dengan cepat kerana tak dapat berjumpa sekali gus dengan mereka walaupun perkara yang nak dibincangkan adalah perkara yang sama.  Dalam apa usaha sekali pun, pihak Kem akan sentiasa ingin memastikan para tapol ini tak dapat bersua muka.  Mungkin takut mereka berbincang untuk menggulingkan pengurusan Kem pulak kot…

Satu lagi kisah yang boleh saya ceritakan di sini ialah sikap pengurusan Kem yang hipokrit menurut salah seorang tapol berkenaan.  Sebelum pihak Suhakam datang melawat tapol di Kem, pihak pengurusan punyalah baik selalu datang dan bertanya khabar kepada tapol.  Mungkin untuk memberikan impresi bahawa tapol dilayan dengan baik dan pegawai-pegawainya baik-baik belaka.  Namun setelah lawatan Suhakam, batang hidungpun tak nampak.  Inikan pula nak bertanya khabar.  Apa muslihat di sebalik semua ni?  Saya cuba membayangkan perasaan tapol bila mendengar semua cerita ini dari keluarga tapol yang pergi melawat.  

Saya hampir menitiskan air mata bila mendengar kisah salah seorang emak mertua tapol yang pergi melawat.  Sebaik saja melangkah ke dalam bilik lawatan, emak mertua tapol berkenaan terus mengalirkan air mata dan tak boleh berkata apa-apa sehingga tamat masa lawatan kerana begitu sayu dan terharu  melihat keadaan anak menantunya yang diletakkan disebalik pagar dawai dalam bilik itu.  Dalam bilik tersebut tapol dan ahli keluarga dipisahkan oleh pagar dawai yang tidak membenarkan mereka bergerak bebas dalam bilik.  Apatah lagi untuk anak-anak bebas turun-naik di pangkuan ayah masing-masing seperti yang biasa mereka lakukan sebelum ayah ditahan.  Seorang lagi ahli keluarga tapol yang lain pulak tergamam bila berhadapan dengan suasana begini kerana beliau tidak menyangka bahawa tapol tersebut dilayan sedemikian rupa.  Mereka bukannya banduan yang melakukan jenayah dan telah didapati bersalah.  Mereka adalah tahanan politik yang menjadi mangsa keadaan, mangsa kezaliman pemerintah yang tidak boleh ditegur dan dibetulkan.

Apa peranan kita di sini?  Sebagai rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran, bangunlah dan sebarkan kebenaran kepada rakyat.  Sedarkan rakyat daripada mimpi mereka di siang hari.  Katakan kepada mereka pemerintah sekarang sudah tak relevan lagi dan ISA mesti dimansuhkan!  Bantulah Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan tambahkan tekanan untuk pembebasan kesemua tapol.

Sekian.  Wassalam.

Siti Muslihat (Pendamping keluarga tapol).

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!