.... Indera Kayangan : Prelude Kepada Pilihanraya Umum 2003/4
Oleh: Sham Abadi

Kematian ADUN Indera Kayangan Mendiang khor Liang Tee yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis akibat barah usus memang telah diduga baik di pihak BA maupun di pihak BN. 

Malah ura-ura pilhanraya kecil di Perlis telah diwar-warkan sejak pertengahan tahun ini lagi. Pihak media kerajaan awal-awal lagi telah membuat sedutan tentang aktiviti Shahidan Kassim yang melawat dan menyampaikan sumbangan di kawasan Indera Kayangan ini. Semua petunjuk itu menadakan akan berlakunya pilihanraya kecil Sekarang telah terbukti dengan kematian Khor tadi.

Suka atau tidak pilihanraya kecil terpaksa diadakan kerana telah berlaku kekosongan dalam jangka masa lebih dari 2 tahun sebelum berakhirnya penggal ini.

Dalam pilihanraya umum 1999 mendiang Khor menewaskan calon Parti Keadilan Nasional dengan majoriti 1974. Mendiang Khor mendapat undi sebanyak 3825 manakala calon keADILan mendapat 1851. Satu kedudukan yang boleh dianggap selesa bagi BN kerana jumlah pengundi berdaftar di Indera Kayangan hanyalah sekitar 7000 pengundi sahaja.

Namun dalam pilihanraya kecil macam-macam boleh berlaku, kalau kena dengan cara berkempen dan isu-isu yang bakal diketengahkan oleh kedua belah pihak keputusan pilihanraya ini tidak bergantung sepenuhnya kepada rekod pilihanraya yang lalu.

Lunas adalah contoh terbaik sejak 43 tahun merdeka Lunas tidak pernah berwakil rakyatkan dari parti pembangkang namun dalam pilihanraya kecil Lunas Saifuddin Nasution Hj. Ismail telah membuktikan bahawa rekod kemenangan BN sejak merdeka boleh dileburkan.

Begitu juga dengan Indera Kayangan, kawasan Perbandaran Kangar itu sendiri. Politik ugutan soal pembangunan tidak boleh dijadikan modal oleh BN untuk mengugut para pengundi sekiranya pengundi memilih untuk memenangkan pembangkang kerana Kangar adalah pusat pemerintahan Shahidan & Co. Mana mungkin tidak dilakukan pembangunan di Bandar Kangar?

Suasana politik mutakhir ini memberi sedikit kelebihan kepada BN untuk terus berkuasa di Indera Kayangan. Pilihanraya kecil ini juga bakal menjadi kayu pengukur kepada kedua belah pihak tentang sambutan pengundi terhadap pihak-pihak yang bertanding.

Dengan isu pengganas dan Taliban yang tak semena-mena dikaitkan dengan PAS oleh media kerajaan yang bertujuan menakutkan orang Cina yang telah mula berjinak-jinak dengan BA bakal terus dimainkan oleh TV3/4, RTM dan NTV7. Jelas benar-benar menekan pihak pembangkang terutamanya keADILan yang dipercayai bakal diberi mandat untuk meletakkan calonnya bagi mewakili BA menentang Bn yang juga dipercayai akan diwakili oleh MCA.

Apa yang menarik yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana pihak BA mampu menggarap sokongan daripada para pengundi dalam keadaan tertekan di mana: Rakyat dipaksa mendengar dan menonton untuk mendapatkan maklumat hanya dari media yang dikuasai oleh kerajaan. Sudah pastilah maklumat tersebut akan menguntungkan BN semata-mata. Sedangkan akses utama BA untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat hanyalah melalui ceramah yang mana telah disekat secara tidak adil oleh kerajaan yang memerintah dengan memperkuda jentera kepolisan untuk kepentingan politik Umno/BN semata-mata.

Situasinya sekarang adalah seperti pertandingan tinju, peninju BN dibebaskan melakukan apa sahaja dengan pengadilnya berpihak kepada BN manakala peninju BA pula diikat tangan dan ditutup mata semasa pertandingan di mulakan.

Tetapi kita para pencinta BA tidak boleh menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk menerima kekalahan. Dengan bantuan dari langit, yakin dan percayalah Indera Kayangan boleh kita rampas daripada BN jika kena pada cara dan isu yang bakal dimainkan. 

Perhatikan kepada statistik ini:

Pengundi Melayu 47% , manakala pengundi Cina pula 48% dan baki 5% adalah India dan Lain-lain. BA kemungkinan besar calon Cina dari keADILan dan BN pula MCA. 

Sekarang ini MCA sedang bergolak dengan hebatnya antara kumpulan 8 yang diketuai oleh Timbalan Presiden Lim Ah Lek dan Team A oleh Ling Liong Sik. Apakah pergolakkan ini tidak menjejaskan sokongan masyarakat Cina kepada MCA? Sesuatu yang menarik perlu dianalisa oleh Think-Tank BA. Oleh kerana kedua calon yang bakal bertanding adalah dari kaum Cina soal perkauman tidak boleh dijadikan Isu oleh BN sebagaimana yang terjadi di Lunas (mainan perkauman oleh Samy Vellu ).

Secara logiknya yang pasti adalah akan berlaku perpecahan undi di kalangan pengundi Cina. Manakala Undi orang India dan lain-lain hanyalah 5% sahaja.

Maka yang menarik dan bakal menentukan kemenangan seseorang calon itu nanti adalah pengundi Melayu……………… yang secara keseluruhannya tidak dapat dipengaruhi oleh isu keganasan dan Taliban mainan Umno / BN ini.

Berbeza dengan Lunas yang mana undi Cina menjadi penentu kepada kemenangan calon itu tetapi di Indera Kayangan ini pengundi Melayulah yang akan menjadi King-makernya.

Apakah benar sebagaimana yang didakwa oleh BA dan BN bahawa semenjak peristiwa hitam Anwar Ibrahim 1998 sokongan orang melayu kepada BN begitu merosot sekali sehinggan YB Azmi Khalid anak Perlis sendiri membuat kenyataan 64% orang Melayu menolak BN dalam pilihan raya umum 1999 yang lalu.

Jadi kesimpulannya mampukah BA menawan Indera Kayangan atau mampukah BN mempertahankan Indera Kayangan dengan pengundi Melayu menjadi faktor penentu ? 

Semuanya bakal terjawab sedikit masa lagi …………………………(bersambung )

Reformis keADILan,
ShamAbadi - 22.12.2001

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!

https://e-umno.tripod.com/