.... Pilihanraya Negeri Sarawak: Apa Peluang BA Sarawak?
Oleh: Sham Abadi

Dewan Undangan Negeri Sarawak telahpun dibubarkan pagi tadi oleh Taib Mahmud. Pilihanraya negeri Sarawak bakal berlangsung tidak berapa lama lagi. 

Dengar cerita BN Sarawak telahpun bersedia untuk menghadapi pilihan raya Negeri ini dengan senarai calon mereka telahpun diserahkan kepada Mahathir untuk kelulusan. Kita juga percaya BN Sarawak sememangnya telah bersiap siaga barulah Taib berani membubarkan Dewan.

Dengan keadaan politik Sarawak yang sedang bergolak sekarang ini kita percaya BA Sarawak mampu melakukan kejutan dengan menumbangkan BN di Sarawak. Jika pendekatan secara bijak dilakukan termasuk berusaha memujuk Kumpulan Abang Abu Bakar agar bekerjasama dengan BA kerana sekiranya tiada kompromi yang pasti akan berlaku perpecahan undi di pihak pembangkang. Hasilnya BN jugalah yang akan menang besar dan dengan angkuh kembali memerintah Sarawak dengan meneruskan dasar penindasan yang selama ini menjadi amalan mereka.

Penulis berpendapat bahawa sebenarnya Kumpulan Abang Abu ini telah membawa missi MENYELAMATKAN BN Sarawak oleh Mahathir dengan bertanding di 45 kawasan. Ini semata-mata untuk memecahkan undi yang bakal diperolehi BA Sarawak, Baik keADILan, STAR mahupun PAS. 

Laporan para SB menunjukkan BN menghadapi laluan sukar di 46 kerusi di Sarawak kerana jumlah majoriti BN pada pilihanraya Negeri 1996 dahulu menunjukkan BN hanya menang dengan majoriti kurang daripada 2000 undi di 26 kerusi. Manakala 19 kerusi lagi BN menang tanpa bertanding. Ini bukanlah bermakna BN kuat di tempat tersebut tetapi lebih kepada keupayaan BN membeli bakal calon Bebas daripada bertanding menentang BN. Tetapi kini dengan kedatangan keADILan dan PAS ke Sarawak yang bakal berganding bahu pula dengan STAR dan bekerjasama erat dengan DAP pula rakyat di Sarawak telah diberi peluang memilih satu lagi kerajaan ALTERNATIF untuk menggantikan BN Sarawak.

Dengan perkembangan politik terkini dan isu-isu setempat yang banyak untuk dikemukakan kepada rakyat tentang penyelewengan BN Sarawak ini kita percaya rakyat yang selama ini ditindas oleh BN bakal bangkit menolak BN, sementelahan pula mereka telah ada pilihan lain, BA Sarawak

Jika dahulu dalam tahun 1987 berikutan peristiwa Ming Court, rakyat Sarawak telah diberi peluang melakukan perubahan oleh PBDS – Permas, yang menyahut cabaran tersebut hanyalah barisan pemimpin dan Orang Iban sahaja. Tetapi tidak mendapat dokongan daripada Orang Melayu dan Orang Cina. Akibatnya BN3 kekal berkuasa walaupun banyak kerusi yang mereka tewas. Tetapi kini rakyat sekali lagi mendapat peluang untuk memberikan BN ini pengajaran agar jangan menganggap sikap para pengundi ini ‘for granted’. Tinjauan rambang mendapati rata-rata pengundi Melayu dan Cina telah bersedia untuk berubah. Kawasan di mana Orang Melayu dan Orang Cina adalah majoriti serta kawasan di mana gabungan Melayu – Cina mengatasi pengundi Iban adalah melebihi 46 kawasan. Ini telah jelas menunjukkan sekiranya benar Under-Current kebencian pada BN ini diterjemahkan ke bentuk undi BN Sarawak bakal menggigit jari.

Hasil analisa yang dilakukan oleh sahabat penulis yang telah turun sendiri ke Sarawak untuk meninjau peluang dan harapan BA di Sarawak, adalah 26 kerusi di Sarawak BA punyai harapan cerah jika mampu turn-over lebih kurang 1000 orang pengundi sahaja. Manakala 19 kerusi adalah untested ground, tetapi jika diambil-kira keputusan pilihanraya Parlimen 1999, terdapat Under-Current rejection terhadap BN terutama SUPP dan PBB iaitu dari masyarakat Cina dan Melayu. Jadi 19 kerusi yang dimenangi oleh BN tanpa bertanding inilah bakal menjadi penentu kepada siapa tampuk pemerintahan Negeri Sarawak ini bakal diserahkan . 

Apa yang merisaukan adalah kewujudan Kumpulan Abang Abu Bakar yang bakal bertanding di 45 kawasan sebagai calon Bebas akan menyerahkan tampuk pemerintahan kerajaan Negeri Sarawak ini kembali kepada BN. 

Penulis berpendapat itulah sebenarnya MISSI penting Abang Abu Bakar atas arahan Mahathir walaupun ianya dinafikan untuk mengembalikan BN ke puncak kuasa dengan membuat penipuan terhadap para pengundi yang percaya KAAB ini bertujuan menjatuhkan PBB tapi sebenarnya untuk menyelamatkan BN.

Kepada para pengundi Sarawak, kita mengucapkan selamat mengundi dan jangan lupa untuk mengundi Calon-calon BA Sarawak ke arah Sarawak yang lebih ADIL

Reformasi 3X……..Allahuakbar 3X…………

Reformis keADILan,
ShamAbadi - 03.09.2001

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!