.... Petikan artikel & berita daripada Radio Radiq
NGO tidak berpuashati dengan pelantikan Gani Patail
Oleh: Sonia Randhawa

Badan-badan bukan kerajaan (NGO), khususnya mereka yang terlibat dalam isu hak asasi manusia merasa kesal dengan pelantikan Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara.

Abdul Gani Patail yang merupakan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara pernah mengetuai pasukan pendakwaan di dalam kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Ketika kes ini berlangsung, telah timbul beberapa persoalan mengenai tingkah lakunya. 

Menurut Presiden Aliran, P Ramakrishnan rakyat Malaysia yang jujur mestilah prihatin dengan dakwaan yang dibuat oleh Manjeet Singh Dillon terhadap Abdul Gani Patail.

Di dalam kes ini, Manjeet Singh Dhillon, peguambela kepada seorang saksi, mendakwa bahawa Abdul Gani Patail terlibat di dalam memeras dan mengugut anak guamnya. Menurut Manjeet lagi perkara itu berlaku di pejabat Abdul Ghani.

Manjeet Singh di dalam kenyataan bersumpahnya memberitahu bahawa anak guamnya, S. Nallakaruppan, itu telah ditawarkan hukuman yang lebih rendah jika dia bersetuju membuat kesaksian terhadap Anwar Ibrahim. 

Ketika perbicaraan Anwar Ibrahim itu berlangsung, peguambela Anwar, Zainur Zakaria, telah membawa perkara ini ke hadapan mahkamah. Zainur telah memohon untuk mendapatkan pegawai pendakwaraya yang baru di dalam perbicaraan tersebut. Akibat tindakan itu, Zainur telah diminta oleh hakim memohon maaf kepada mahkamah tetapi dia enggan berbuat demikian. Atas keengganannya itu, Zainur kemudiannya telah didakwa di atas tuduhan menghina mahkamah.

Pengarah Eksekutif SUARAM, Cynthia Gabriel, juga mengetengahkan beberapa persoalan tentang tingkah laku Abdul Gani Patail di dalam mengendalikan kes perbicaraan Anwar Ibrahim itu.

Dia berkata bahawa wujud beberapa tanda tanya terhadap prestasi Gani Patail dan perlantikannya sebagai Peguam Negara Gani Patail , khususnya terhadap perubahan tarikh dalam pertuduhan jenayah dalam kes perbicaraan Anwar Ibrahim. 

Abdul Gani Patail telah diisytiharkan sebagai Peguam Negara yang baru menggantikan Peguam Negara sekarang, Ainum Mohd Said. Ainum telah meletakkan jawatannya setelah hanya memegangnya selama setahun dengan alasan masalah kesihatan. RR
 

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!

http://e-umno.tripod.com/