.... Lagi Lagi Makmal Komputer...

Tirai 2001 telah dilabuhkan dan Tirai Baru 2002 dinaikkan tetapi isu makmal komputer terbengkalai nampaknya masih terlekat di tirai baru. Laman M@RHAEN telahpun mengulas sedikit mengenai isu ini pada 17 Nov 2001 yang lalu apabila Timbalan Menteri Pendidikan menimbulkannya. (M@RHAEN: Bangunan atau Komputer atau bangau oh bangau?)

Sebenarnya apa yang dihebohkan oleh utusan meloya (daripada laporan bedah siasat Kem. Pendidikan) sejak beberapa hari ini telahpun terlebih dahulu disentuh di dalam artikel berkenaan, sekaligus menjadikan utusan meloya agak ketinggalan.

Reaksi yang terbaru ialah apabila Piem mengugut untuk menarik-balik ataupun membatalkan kontrak yang telah diberikan kepada empat (?) kontraktor asal yang dipilih oleh Unit Perancang Ekonomi (Economic Planning Unit - EPU) JPM berdasarkan penilaian yang dilakukan oleh perunding dan penilai swasta (bukan dipilih oleh Kementerian Pendidikan seperti anggapan banyak pihak).

Seperti yang dinyatakan, hampir kesemua kontraktor berkenaan adalah merupakan syarikat yang berasaskan ICT yang diberi tanggungjawab oleh EPU untuk membangunkan makmal-makmal contoh atau perintis sejak bulan Mac 2000. Takkan nak suruh kontraktor bangunan membina prasarana ICT, ya tak? Pada peringkat permulaan, syarikat-syarikat berkenaan yang memang diketahui tidak mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja pembinaan, melantik sub-kon pembinaan masing-masing. Ketika itu, para kontraktor utama bebas memilih mana-mana sub-kon pembinaan kerana mereka menanggung sepenuhnya kos pembinaan dan kerja-kerja lain yang berkaitan. 

Yang manjadi masalah sekarang ialah apabila kontraktor-kontraktor utama berkenaan ditawarkan projek secara pukal di seluruh negara, maka banyaklah pihak yang mempunyai kaitan rapat dengan orang-orang politik yang berkuasa, menahan lukah di pergentingan. Mereka sudah nampak ratusan juta ringgit akan 'turun daripada atas'. Mereka ini (sub-kon segera tanpa kelas) yang berjumlah puluhan atau ratusan, kebanyakannya langsung tidak mempunyai pengalaman dan tidak berminat untuk melakukan kerja, sebaliknya mengambil untung atas angin dan mencari kontraktor ikan bilis (Kelas F) untuk melaksanakan projek dengan baki peruntukan yang begitu rendah. Mengikut kata Datuk Roslan, Presiden Persatuan Kontraktor Pembinaan Bumiputera, mereka ini bukan ahli persatuan berkenaan. Beliau merujuk kepada kontraktor utama yang sepatutnya beliau tujukan kepada 'sub-kon segera tanpa kelas'. Mana mungkin 'sub-kon segera tanpa kelas' berdaftar sebagai ahli persatuan berkenaan, Datuk! 

Tawaran projek ini langsung tidak melibatkan pihak JKR, jadi apa perlunya berdaftar dengan pusat khidmat kontraktor mengikut kelas-kelas yang berkaitan. Juga, apa perlunya merujuk kepada Persatuan Kontraktor Pembinaan Bumiputera? Lagipun, siapa lebih besar - Penaung Politik, EPU, JKR atau Persatuan Kontraktor Pembinaan Bumiputera? Ini projek EPU-Direct! Kementerian Pendidikan hanya penyelaras.

Kemungkinannya di sini, yang menjadi kambing-hitam ialah para kontraktor utama dan Kementerian Pendidikan sendiri, kerana kini semua jari menunjuk ke arah mereka. Dan apabila PieM turut menghentam para kontraktor utama, maka selamatlah golongan lintah darat 'sub-kon segera' berkenaan. Ye lah, 'you scratch my back, I scratch your back.." Masakan PieM tidak tahu siapa yang melakukan 'jual-atas-jual' kontrak itu.... Sementelah EPU memang direct di bawah Jabatan Perdana Menteri. Jangan-jangan EPU sendiri yang sediakan nama 'sub-kon segera' kepada kontraktor utama. Nak mintak BPR siasat, kes Ali Abol Hassan di EPU dulupun hanyut begitu saja bila PieM berdehem.

Apa yang pastinya, para pelajar dinafikan segala kemudahan ICT ini gara-gara 'sub-kon segera tanpa kelas' yang dinaungi orang-orang besar politik di atas sana.

(?) Mengikut maklumat yang disampaikan kepada kami, cuma DUA syarikat (kontraktor utama) yang dipertanggungjawab mengendalikan projek ini oleh EPU, yang dibahagikan kepada empat zon. Satu bertanggungjawab dengan pembinaan bangunan makmal (syarikat berasaskan kerja-kerja konsultan) dan satu lagi bertanggungjawab menyediakan kelengkapan ICT (syarikat berasaskan ICT). Tidak dapat dipastikan bagaimana boleh jadi empat? Utusan Meloya kenalah perbetulkan fakta berkenaan... kalau nak tahu dan tak malu, tanyalah.... kami ada senarai berkenaan bersama nama CEO masing-masing. 

    Waalahu'alam.

M@RHAEN 01 Jan 2002


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!

https://e-umno.tripod.com/