.... Orang Yang Tidak Sanggup Menegur Mengenai Kebenaran..

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 174 yang maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang telah menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah iaitu Al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang murah, mereka itu sebenarnya tidak memakan ke dalam perut mereka melainkan api neraka."

Ayat ini pada mulanya Allah turunkan untuk memperjelaskan kepada Rasulullah akan sikap pendita-pendita Yahudi yang telah menyembunyikan sebahagian dari isi Al-Kitab yang ada di tangan mereka. Perkara yang mereka sembunyikan itu ialah mengenai sifat-sifat Rasulullah, kedatangan beliau sebagai Rasul dan pemimpin yang terakhir bagi semua manusia termasuk orang-orang Yahudi juga, ajaran yang dibawanya, siapa pengikut-pengikutnya, keturunannya, di mana hijrahnya, di mana wafatnya dan sebagainya.

Orang-orang Yahudi terutama penditanya tidak mahu menceritakan perkara ini kepada orang ramai kerana mereka takut akan hilang pengaruh kepimpinan mereka kepada kaum mereka dan juga kepada orang-orang Arab yang selama ini mempercayai ulama-ulama Yahudi dan menganggap mereka sebagai tempat rujuk.

Kalau ulama-ulama Yahudi menceritakan tentang siapakah Nabi Muhammad serta ajaran yang dibawanya, nanti mereka tidak akan menerima lagi sanjungan dan penghormatan yang diberikan oleh orang-orang Arab Mekah dan Madinah kepada mereka. Mereka tidak akan dapat lagi menerima hadiah-hadiah serta persembahan-persembahan yang biasa diberikan selama ini. Mereka tidak akan dapat lagi menguasai masyarakat  Arab terutamanya di bidang ekonomi. Lantaran mereka akan diketepikan bukan saja oleh orang-orang Arab, malah bangsa merekapun kelak akan berpaling kepada kepimpinan Nabi Muhamad.

Atas dasar untuk mempertahankan dan mengekalkan kehormatan dan sanjungan serta keistimewaan- keistimewaan inilah maka apa saja yang ada hubungan dengan Nabi Muhammad yang diceritakan oleh Allah di dalam kitab orang-orang Yahudi itu, ulama-ulama mereka sembunyikan. Dan kerana sikap mereka yang demikian itu, maka Allah turunkan ayat ini kepada Rasulullah bagi ditujukan kepada orang-orang Yahudi terutama kepada pendita-pendita mereka.

Walau bahaimanapun kalau diperhatikan kehendak-kehendak ayat ini, ia bukan kususiah ditujukan kepada orang-orang Yahudi saja tetapi adalah ditujukan kepada siapa saja yang bersikap menyorok dan menyembunyikan kebenaran dari Allah swt yang telah diceritakan di dalam Al-Quran. Ertinya, kalau kita bersikap seperti orang Yahudi yang menyembunyikan kebenaran yang ada di dalam kitab-kitab mereka, maka kita juga akan digolongkan oleh Allah swt sebagai orang Yahudi. Dan kita akan menerima nasib sepertimana nasib orang-orang Yahudi.

Umpamanya, kalau kita sebagai seorang ayah atau ibu tetapi tidak mahu memberitahu kepada anak-anak kita tentang kebenaran, tentang hukum-hakam Allah yang ada di dalam Al-Quran, tentang perintah-perintah suruh dan perintah-perintah larang dari Allah, kerana kita takut, nanti kalau kita beritahu mereka, mereka tidak hormat lagi kepada kita.

Kalau selama ini mereka telah memberi kita bantuan wang ringgit tiap-tiap bulan, ada yang RM100 atau RM200 sebulan, nanti kalau diberitahu tentang kesalahan-kesalahan mereka, takut-takut mereka merajuk dan akan memotong bantuan itu. Sebab itu, apa saja yang mereka lakukan seperti mendedah aurat, bergaul bebas, kepit-kepit girlfriend dan bawa balik ke rumah, berpoya-poya, tidak mahu sembahyang, tidak mahu puasa, balik lewat malam serta dengan mulut berbau arak dan lain-lain maksiat, kita biarkan saja. Kita hanya kata dia dah besar, tahulah dia fikir diri sendiri.

Sebenarnya sikap kita itu samalah seperti orang-orang Yahudi yang cuba hendak menyembunyikan kebenaran yang  ada di dalam kitab mereka kerana takut hilang kehormatan dan keistimewaan-keistimewaan hidup.

Kemudian, kalau kita seorang guru misalnya, tetapi kita tidak sanggup menegur dan memberi nasihat kepada anak-anak murid kita tentang kebenaran yang ada di dalam Al-Quran serta hukum-hakam dan sebagainya, kerana kalau kita beritahu semua itu kepada mereka, nanti mereka tidak hormat lagi kepada kita atau nanti mereka pulaukan kita hingga menyebabkan kita hilang pengaruh serta murid-murid kita berkurang. Sebab itu, apa saja yang mereka lakukan, kita diamkan saja. Kalau mereka bergaul bebas, mereka membuat maksiat dan sebagainya, kita diamkan saja. Sikap kita itu samalah seperti sikap orang-orang Yahudi.

Begitu jugalah bagi seorang pemimpin sebuah masyarakat atau kaum atau kumpulan atau pemimpin negara sekalipun, kalau sekiranya dia tidak mahu memberi teguran kepada pengikut-pengikutnya tentang kebenaran- kebenaran yang ada di dalam Al-Quran kerana takut hilang pengaruh serta takut pengikut-pengikut lari darinya, maka sikapnya itu samalah seperti orang-orang Yahudi dan Allah akan golongkan dia ke dalam golongan orang-orang Yahudi.

Lebih-lebih lagilah kalau seseorang itu orang alim ulama yang tahu tentang ilmunya tetapi tidak mahu menyampaikan dan tidak mahu menasihati rakyat dan juga pembesar-pembesar serta pemimpin-pemimpin, tidak mahu menegur dan menasihati perbuatan-perbuatan maksiat serta perlanggaran hukum-hakam Allah di kalangan mereka kerana takut kalau-kalau tidak naik pangkat atau takut dibuang kerja atau takut tidak dihormati masyarakat dan orang-orang atas, maka keadaanya adalah lebih parah. Di dalam matan Zubat ada disebut betapa, orang-orang alim yang tahu tentang ilmunya tetapi tidak mahu beramal dengan ilmunya serta tidak mahu menyampaikan ilmunya itu, maka dia lebih dahulu diazab di dalam neraka daripada penyembah-penyembah berhala.

Oleh itu para alim ulama, lebih-lebih lagilah dikehendaki berterus terang dalam menceritakan kebenaran, menceritakan hukum-hakam Allah dan lain-lainnya yang ada di dalam Al-Quran. Tetapi, kalau mereka hendak menyembunyikan serta menyorokkan kebenaran itu maka senasiblah mereka dengan orang-orang Yahudi.

Apakah nasib yang diterima oleh orang-orang Yahudi, akibat dari sikap mereka yang keji dan kotor itu? Mereka menerima penghinaan dari Allah. Kata Allah, mereka telah menjual kebenaran itu dengan harga yang sangat murah dan mereka itu sebenarnya memakan ke dalam perut mereka api neraka.

Walau bagaimanapun dalam kita hendak menegur kebenaran atau memberi nasihat itu bukan cara hentam menghentam atau kutuk mengutuk ataupun berdemonstrasi sepertimana yang banyak berlaku hari ini. Teguran atau nasihat itu hendaklah diberi secara penuh hikmah sepertimana pesan Allah swt kepada Nabi Musa.

Orang-orang Yahudi itu telah menyembunyikan kebenaran kerana hendakkan mata benda dunia serta keistimewaan hidup sedangkan mata benda dunia serta keistimewaan hidup yang mereka terima itu kalau dibandingkan dengan nikmat-nikmat Allah di dalam syurga, adalah amat rendah nilainya. Mata benda dunia serta keistimewaan hidup yang mereka terima di dunia ini, hanyalah sementara saja sedangkan nikmat-nikmat Allah di akhirat adalah kekal abadi. Tetapi orang-orang Yahudi lebih utamakan keistimewaan dunia ini daripada ganjaran-ganjaran pahala serta nikmat-nikmat Allah di akhirat.

Padahal keistimewaan-keistimewaan dunia yang mereka harapkan itupun sebenarnya mereka tidak dapat. Mereka menyorokkan kebenaran dengan harapan mereka untung di dunia dan bagi mereka kalaupun rugi di akhirat, tidaklah mereka hirau sangat kerana akhirat itu masih jauh, kata mereka. Tetapi yang sebenarnya mereka rugi di dunia dan rugi di akhirat. Di dunia mereka rugi, kerana Allah dedahkan sikap jahat dan kotor mereka itu kepada Rasulullah melalui Al-Quran. Akibatnya, kehormatan dan keistimewaan yang mereka harap-harapkan itu tidak mereka perolehi kerana umat Arab tidak mempercayai mereka lagi. Orang ramai akhirnya sedar tentang perbuatan pendita-pendita Yahudi yang menyembunyikan kebenaran itu dan terus memulau mereka hingga pengaruh mereka hilang. Kekuasaan mereka terhadap masyarakat Arab hilang dan akhirnya mereka terpaksa gulung tikar bantal, keluar dari Kota Madinah dan Mekah.

Begitulah juga yang akan menimpa kepada diri kita, kalau kita juga bersikap hendak menyembunyikan kebenaran kerana hendakkan untung yang sedikit di dunia ini, hendakkan mata benda dari anak-anak atau hendakkan pengaruh dari pengikut-pengikut atau hendakkan pangkat atau gaji besar dan sebagainya. Akibatnya kita akan rugi di dunia dan rugi di akhirat. Rugi di dunia kerana sikap kita itu, lambat laun akan Allah dedahkan juga hingga akan diketahui orang. Akhirnya orang tidak akan percaya kepada kita lagi, malah akan mengutuk kita dengan berbagai penghinaan. Penghormatan yang kita harapkan telah hancur berkecai malah penghinaan yang kita terima. Dan di akhirat kita akan rugi kerana setiap apa yang kita terima di dunia ini sama ada wang ringgit yang kita perolehi, penghormatan, darjat dan pangkat yang kita perolehi, makan minum serta keistimewaan-keistimewaan hidup yang kita terima, semua itu adalah merupakan api neraka yang kita telan ke dalam perut kita.

Zahirnya sahaja seperti nasi yang kita makan, air yang kita minum, kuih-muih, lauk-pauk dan buah-buahan serta sayur-sayur yang kita telan. Tetapi sebenarnya semua itu adalah api neraka yang kita makan ke dalam perut kita. 

Firman Allah yang bermaksud:
 "Mereka itu sebenarnya tidak memakan ke dalam perut mereka melainkan api neraka."

- Karkunku. 


FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!

http://e-umno.tripod.com/