.... Jangan minta permit untuk apa-apa program di Markas
Buletin Purnama PAS Parit Buntar

PARIT BUNTAR,  3 Dis - PAS sebenarnya tidak perlu memohon permit untuk mengadakan sebarang aktiviti di markas kerana Markas sebenarnya dikelasifikasikan sebagai tempat persendirian. 

Seksyen 27(2) di dalam Akta Polis 1967 memperuntukkan bahawa penganjur sesuatu perhimpunan di tempat awam sahaja memerlukan kebenaran. Tidak ada peruntukkan yang mensyaratkan sebarang perhimpunan di tempat persendirian perlu mendapat kebenaran dari pihak polis sebelum ianya diadakan. 

Perkara ini diterangkan secara terperinci di dalam program Taklimat Undang-undang dan Kebenaran Berceramah yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Parit Buntar hari ini. Taklimat tersebut disampaikan oleh Encik Asmuni Awi, seorang peguam yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak merangkap AJK PAS Pusat.

Beliau juga telah menerangkan pengertian sebenar tempat persendirian. Secara mudahnya semua tempat yang boleh disewa atau yang boleh mendapat kebenaran untuk digunakan adalah termasuk dalam takrifan tempat awam. Sebagai contoh sebuah dewan orang ramai yang disewa atau diberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan maka tempat awam tersebut boleh dianggap sudah menjadi tempat persendirian.

Encik Asmuni yang merupakan bekas Majestret dan Pendakwa Raya juga mengingatkan bahawa seluruh kawasan markas adalah ditakrifkan sebagai kawasan persendirian walaupun kawasan tersebut luasnya sejauh mata memandang. Oleh itu jangan memohon permit kerana ianya tidak perlu. 

Beliau juga menjelaskan panjang lebar mengenai hak-hak orang yang ditahan oleh polis. Ketika menahan seseorang pihak polis perlu secepat mungkin menjelaskan sebab-sebab dia ditahan dan dibawah seksyen mana dia ditahan. 

Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah iaitu sebagai seorang saksi, membenarkan untuk tidak menjawab apa-apa soalan yang boleh menyebabkan ia dibabitkan pada sesuatu tuduhan jenayah. 

Seksyen 113 pula iaitu sebagai seorang yang dituduh, tidak membenarkan polis menggunakan sebarang ugutan ataupun perjanjian dalam mendambil keterangan. Jika terdapat sebarang ugutan ataupun kekerasan, keterangan tersebut tidak boleh digunakan di mahkamah. Seorang yang ditahan sebenarnya mengikut seksyen ini tidak perlu menjawab apa-apa soalan mengenai kes ia ditahan. 

Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk memberi kefahaman sebenar kepada setiap ahli dan petugas PAS mengenai undang-undang terutamanya menghadapi tekanan dan tindakan yang semakin berat kini terutamanya melibatkan ceramah. Taklimat tersebut adalah sebahagian dari siri taklimat oleh Lajnah Guaman PAS Perak yang dirancang diadakan disetiap kawasan. 

Setiap peserta diberikan salinan petikan-petikan penting yang perlu diingati dari Perlembagaan Persekutuan, Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Polis 1967. Untuk memudahkan pemahaman, satu tatacara pengendalian ceramah juga telah diberikan kepada setiap peserta. 

Rujuk: TATACARA PENGENDALIAN CERAMAH DI TEMPAT AWAM ATAU TEMPAT PERSENDIRIAN

Sumber:
Buletin Purnama PAS Kawasan Parit Buntar(http://paritbuntar.parti-pas.org atau http://paspb.tripod.com)
 

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!

http://e-umno.tripod.com/