.... KAMPUNG MEDAN: 
TUAN TANAH DIPERDAYA FELCRA

Oleh: Nur Suria

Kampung Medan, sebuah perkampungan tradisional 2 km dari Pekan Selama, di bahagian Utara Negeri Perak. Berada dalam DUN Selama dan kawasan Parlimen Larut.

Ahli Dewan Undangan Negerinya YB Ali Md. Isa dan MPnya pula YBM Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar. Keduanya daripada UMNO/BN.

Populasi  Kg. Medan adalah dalam sekitar 200 orang dan kesemuanya adalah orang Melayu suku Rawa dan segelintir Suku Petani dan Melayu Kedah dan beragama Islam Pekerjaan mereka sebahagian kecilnya adalah kakitangan kerajaan pelbagai peringkat dan yang lainnya terdiri daripada penoreh getah, pekebun kelapa sawit, peniaga kecilan, buruh dan pesara .

Sejak dari dahulu lagi perpecahan memang wujud dikampung ini bukan antara Umno dengan PAS, tetapi adalah antara Umno dengan Umno dan penduduk dengan JKK. Pergeseran berlaku lebih berpaksikan kepada penentangan pemuda terhadap pengerusi JKK yang diterajui oleh ketua cawangan Umno yang mengamalkan sikap kronisma dan nepotisma. Dahulu hampir 100 % penduduknya yang berusia 20 tahun keatas adalah Umno totok. Tapi sekarang keahlian Umno telah tidak diketahui lagi jumlahnya kerana sebahagian besar daripada pemuda Umno telah keluar meninggalkan Umno untuk menyertai PAS dan keADIlan atau mereka sudah tidak berminat lagi dengan politik .

Dalam mesyuarat agung Umno yang lalu pun sebahagian besar ahli Umno yang menghadiri mesyuarat tersebut adalah terdiri daripada pemuda-pemuda yang telah menjadi ahli PAS dan keADILan tetapi nama mereka masih lagi tertera sebagai ahli Umno , sebab itulah jumlah ahli Umno masih lagi 2.7 juta di atas kertas. Jika diambil kira ahli Umno yang sebenar maka mesyuarat itu pastilah tidak dapat dijalankan kerana tidak cukup korum.

Masalah utama yang menghantui penduduk Kg. Medan ini ialah berkaitan dengan pengambilalihan tanah sawah terbiar oleh pihak FELCRA untuk dijadikan ladang kelapa sawit. Pengambilan tanah tersebut dilakukan melalui ketua kampung (Allahyarham) 14 tahun yang lalu tanpa mengikut prosidur yang betul.Adalah difahamkan tuan-tuan tanah tidak pun menandatangani sebarang surat perjanjian membenarkan tanah mereka diambil dan apabila perkara ini dimajukan kepada FELCRA untuk melihat sendiri surat perjanjian yang kononnya telah ditandatangani oleh tuan-tuan tanah , pengurusan FELCRA memberikan pelbagai alasan untuk tidak menunjukkan surat itu. Sehingga artikel ini ditulis ,  beluma ada seorang pun tuan tanah yang mengaku telah melihat surat perjanjian itu.

Apabila ada ura-ura waris –waris kepada tuan tanah yang telah meninggal dunia untuk mengusahakan tanah itu sendiri, FELCRA telah menetapkan syarat bahawa segala hutang piutang tuan tanah itu perlulah dilangsaikan terlebih dahulu kepada FELCRA . Apabila disoal kembali dan dipinta akaun hutang tersebut sekali lagi FELCRA gagal menunjukkannya . Ini menunjukkan terdapat transaksi yang meragukan dan tiada ketelusan oleh FELCRA dalam mengendalikan Ladang kelapa sawit itu terutamanya di Kg. Medan ini.

Persoalannya ialah AP Larut , YBM Raja Ahmad Zainuddin juga adalah ahli lembaga pengarah FELCRA , sepatutnya YBM mestilah prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh para pengundinya atau sekurang-kurangnya memberikan penjelasan agar tidak timbul rasa tidak puas hati dikalangan tuan-tuan tanah.

“Kita mengharapkan pihak BPR turun ke bawah untuk menyiasat perkara ini”. keluh salah seorang tuan tanah kepada penulis. “Setiap kali kita melahirkan kekesalan terhadap tindak – tanduk Allahyarham bekas ketua kampung tersebut mengenai isu ini pasti anak sulungnya mengamuk dan mengancam sesiapa sahaja yang mengungkit perkara itu walaupun yang mengungkit itu adalah sepupunya sendiri”. Tambahnya lagi.

Kepada BPR kita mohon menyiasat perkara ini. 

Nur Suria, 
di Kg. Medan, Selama , Perak - 01-08-01

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!