Klik BENDERA untuk MELIHAT JALUR JEMBALANG yg besar
....
TERJEMAHAN ARTIKEL GLOBAL (264)
Di Sebalik Lensa Mossad
Bahagian Keenam (Akhir)

Saya berada di Washington pada Mac 1986, untuk mencari sedikit pengetahuan mengenai hubungan masyarakat perisikan Amerika Syarikat dengan rakan sejawatan mereka di Israel. Saya di situ untuk menemuramah William Casey, ketika itu menjadi pengarah CIA (Central Intelligence Agency: Agensi Perisikan Pusat) sebagai sebahagian penyelidikan saya untuk menyudahkan buku 'Journey into Madness', yang sebahagiannya berkaitan dengan kematian Bill Buckley.

Walaupun dia berpakaian mahal, Casey kelihatan kusut-masai. Mukanya yang cengkung kelihatan pucat dan kelopak matanya kelihatan kemerahan. Kami sedang duduk di Washington Club. Dia kelihatan seperti seseorang yang telah terlalu keletihan untuk terus mengarahkan pergerakan CIA yang diterajuinya sejak lima tahun, lamanya.

Dia minum ‘Perrier’ sahaja dan masih ingat akan empat syarat untuk pertemuan kami itu. Tidak boleh membuat sebarang catatan bertulis, tidak boleh menggunakan pita rakaman; apa juga yang disebutnya harus dianggap sebagai satu rujukan sahaja. Kemudian dia mengeluarkan sehelai kertas yang tertulis bio-datanya. Dia dilahirkan pada 13 Mac, 1913. Lulusan St. John’s University tahun 1937 dengan ijazah undang-undang. Beliau menganggotai pasukan simpanan angkatan laut Amerika pada 1943, dan beberapa bulan kemudiannya ditukarkan kepada Office of Strategic Services (OSS) yang menjadi asas penubuhan CIA. Pada 1944, dia menjadi ketua OSS cawangan risikan khas di Eropah. Kemudian dia menjadi pengerusi Suruhanjaya Bursa Saham (1971-1973), kemudian secara berurutan beliau menjadi timbalan setiausaha (timbalan menteri) Urusan Ekonomi (1973-1974), presiden dan pengerusi Export-Import Bank Amerika, (1974-1976), dan ahli Foreign Intelligence Advisory Board (Lembaga Penasihat Perisikan Luar 1976-1977). Pada 1980 dia menjadi pengurus kempen jawatan presiden untuk Ronald Reagan. Pada Januari 28, 1981, Reagan melantiknya menjadi DCI, orang yang ketiga belas memegang jawatan yang paling berpengaruh di kalangan masyarakat perisikan Amerika.

Ketika cuba memberi reaksi kepada kenyataan saya betapa beliau pintar menguruskan beberapa jawatannya yang lalu tanpa banyak masalahnya, beliau menjawab “dia tidak suka membincangkan kisah peribadi.”

Dia lipat semula kertas itu dan masukkan dalam sakunya. Sambil bersedia menunggu soalan saya, apakah yang boleh diceritakannya kisah Bill Buckley yang telah di culik pada hari Jumaat 16 Mac 1984 di Beirut. Bill Buckley sudahpun mati. Saya mahu tahu apakah yang telah diusahakan oleh CIA untuk menyelamatkan Bill. Sebelum itu saya sudah menghabiskan dua tahun di Timur Tengah dan Israel untuk mencari kisah sebenar mengenai kematian Bill.

“Adakah kamu pernah bercakap dengan Admoni ataupun orangnya?” Casey mencelah.

Pada 1982, Nahun Admoni menjadi ketua Mossad. Di kalangan masyarakat yang menyibuk majlis koktel kedutaan di Tel Aviv, dia terkenal kerana kesombongannya. Casey menyifatkan Admoni sebagai ‘seorang Yahudi yang mahu menang perlawanan terkencing di satu malam yang hujan di Gdansk.” Sebetulnya, Admoni dilahirkan di Jerusalem pada 1929, sebagai anak lelaki kepada pasangan pendatang Polish. Dia dididik di Rehavia Gymnasium, mahir dalam beberapa bahasa dan telah diberikan pangkat leftenan ketika menjadi pegawai perisik dalam perang pembebasan tahun 1948.

“Admoni boleh mendengar dalam setengah dozen bahasa,” kata Casey.

Kemudian, Admoni menuntut dalam bidang hubungan antarabangsa di Berkley dan mengajar bidang itu di sekolah latihan Mossad di pinggir Tel Aviv. Dia pernah menyamar di Ethiopia (Habsah), di Paris, dan Washington, di mana Admoni mempunyai hubungan erat dengan pegawai yang mendahului Casey; Richard Helms dan William Colby. Semua pertukaran jawatan ini telah mengasah Admoni menjadi seorang perisik birokrat yang bersuara lembut. Apabila dia menjadi pengetua Mossad, mengikut Casey 'dia telah menguasai perjalanan Mossad. Dia mempunyai penilaian yang baik terhadap wanita dan tahu apa yang terbaik untuk Israel'.

Casey menggambarkan Admoni sebagai 'seorang operatif yang berjaya naik pangkat kerana dia pintar mengelakkan segala kelemahan yang ada pada ketuanya'.

Kemudian Casey bercakap dengan suara yang rendah dan selamba.

“Tidak siapa yang terkejut walau pun keadaan yang ditunjukkan itu semacam melegakan. Bila kami sedar bahawa Admoni tidak mahu bertindak, Bill Buckley sudah pun mati. Anda mesti ingat apa yang berlaku ketika itu? Satu pembunuhan kejam telah terjadi kepada lebih seribu orang Palestine di dua buah kem pelarian di Beirut. Kumpulan Kristian Lebanon melakukan pembunuhan itu. Pihak Yahudi melihat sahaja seolah-olah mengingati apa yang bertentangan dengan yang tertulis dalam Kitab Injil. Yang sebenarnya Admoni ketika itu sedang tidur sekamar dengan Gemayel bedebah.”

Bashir Gemayel ketika itu menjadi ketua kumpulan Phalangis dan kemudiannya menjadi presiden Lebanon.

“Kami cari juga Gemayel ketika itu. Tetapi, saya tidak pernah percayakan si bedebah itu. Admoni bersekongkolan dengan Gemayel ketika Bill Buckley sedang di siasat dengan azabnya. Lagi pun kami tidak tahu lokasi sebenar mereka menahan Bill Buckley. Kami meminta Admoni membantu, dan dia jawab tidak ada masalah. Kami terus menunggu dan mengirimkan orang untuk berkerjasama dengan Mossad. Kami beritahu, wang tidak menjadi masalah, Admoni cakap O.K.: saya faham katanya.”

Casey meneguk air lagi, sambil ingatan terpaku pada kapsul masanya. Perkataan seterusnya nampak hambar laksana seorang ketua juri membacakan keputusan undian penghakiman para juri.

“Tiba-tiba Admoni memberitahu kami pihak PLO telah terlibat dengan penculikan itu. Kami tahu orang Israel memang mudah menuduh Arafat dengan apa juga jenis tuduhan, tetapi kami di Amerika tidak mudah digula-gulakan dengan maklumat itu. Tetapi Admoni nampak beria-ia, dan dia cuba menonjolkan satu kes yang baik. Bila kami sedar Arafat tidak terlibat, Buckley sudah lama mati. Apa yang kami tidak faham sebelum itu ialah cara Mossad main kotor – Mossad memberikan bekalan senjata kepada Hizbollah untuk membunuh kumpulan Kristian, pada masa yang sama membekalkan lebih banyak senjata untuk orang Kristian membunuh orang Palestine.”

Casey menceritakan alasan kenapa Mossad membiarkan Buckely mati kerana mahukan Amerika menuduh PLO melakukan kerja jijik itu. Dengan demikian Mossad beranggapan, segala usaha Yassir Arafat untuk mendapatkan simpati Amerika akan kehilangan pengaruhnya. Demikianlah Casey memberikan gambaran di sebalik tabir apa sebenarnya wujud dalam hubungan dua agensi perisikan yang secara luaran kelihatan intim dan mesra.

Casey telah menjelaskan betapa ada cerita lain di sebalik hubungan baik antara Amerika dan Israel dan di sebalik segala kempen mengutip derma dan pengukuhan solidariti Amerika-Yahudi yang telah menjadikan Israel satu kuasa besar di wilayah itu yang di kelilingi negara Arab yang amat mereka takuti.

Sebelum kami berpisah, Casey ada meninggalkan pesan: “Sesebuah negara mewujudkan masyarakat perisikan mengikut keperluannya. Amerika bergantung kepada kepintaran bahagian teknikalnya kerana kami lebih menumpukan tumpuan untuk mengetahui lebih awal, daripada menguasai sesuatu secara berahsia. Israel mendekati perkara ini secara berbeza, Mossad terutamanya, menseragamkan tindakannya dengan keperluan negara untuk terus bernyawa.” 

* * *

Sikap ini telah membuatkan Mossad menjadi mangli kepada pengamatan yang terperinci. Tetapi, selama dua tahun mencari bahan buku ini, beberapa siri skandal dan kesilapan telah memaksa perkhidmatan risikan itu menjadi tumpuan pengamatan rakyat. Beberapa soalan telah dikemukakan, kalau jawapannya jarang dikeluarkan, bererti semakin membesar keretakan pada tembok yang menjadi pelindung kepada keunggulan Mossad di mata dunia.

Saya telah bercakap kepada lebih satu ratus manusia yang pernah mempunyai hubungan terus dengan Mossad ataupun pernah berkerja secara tidak langsung dengan Mossad di seluruh dunia. Temuramah saya itu memakan masa dua setengah tahun. Ramai mereka yang berkerja di Mossad sanggup perbualan kami itu dirakamkan. Rakaman itu memakan 80 jam panjangnya dan dialihkan menjadi 5,800 muka surat. Terdapat 15 buku catatan bersaiz ‘fullscap’ (A8) yang mencatatkan beberapa nukilan lagi. Semua bahan ini, seperti banyak bahan yang lain kepunyaan saya akan satu hari menjadi bahan rujukan di perpustakaan universiti. Ramai mereka yang saya temui itu mahukan saya memberi tumpuan kepada kisah semasa; zaman silam hanya dijadikan rujukan yang berkaitan dengan peranan Mossad dalam mengungguli peranan semasa dalam bidang espionaj dan pengumpulan maklumat risikan.

Banyak temu bual yang saya lakukan dengan peserta yang tidak pernah disoal sebelum itu. Kerana itu tidak mudah mendapatkan jawapan mereka yang bersahaja. Walau pun kebanyakkan mereka suka berterus-terang, namun, tidak ramai yang bersetuju untuk didedahkan identiti sebenarnya. Semua pegawai Mossad yang masih berkhidmat, memang dihalang oleh undang-undang negara untuk mendedahkan identiti mereka. Beberapa sumber bukan-Israeli yang ditanya sanggup menjawab dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan.

Kalau dilihat carta organisasi yang cuba dibuat oleh pihak akhbar (mengenai Mossad), terlalu banyak kotak kosong yang menunjukkan sumbernya. Ini adalah kerana pegawai Mossad memang memandang serius identiti sebenar mereka. Ramai yang mahu dikenali dalam buku ini dengan nama samaran sahaja. Namun, walau pun hanya nama pertama mereka yang digunakan, ini tidak membuatkan keterangan dan testimoni mereka kurang dipercayai. Ada banyak sebab kenapa mereka mula mahu bersuara: satu keinginan mahukan peranan dalam rakaman bahan sejarah; satu sumbangan anekdot daripada seorang yang sudah tua, ataupun mungkin kerana mahu menebus dosa. Alasan yang sama mungkin dapat dikenenkan kepada mereka yang sanggup nama mereka ditulis secara jelasnya.

Mungkin juga, alasan sebenar kenapa mereka mula sanggup bersuara adalah kerana ketakutan yang sebenarnya sudah wujud betapa sebuah organisasi yang pernah mereka berikan khidmat dengan penuh jiwa raga kini sudah semakin terancam dari dalam - dan hanya satu cara untuk menyelamatkannya iaitu mendedahkan pencapaian di zaman silam dan apa yang sedang dilakukannya. Untuk memahami kedua-duanya memerlukan satu fahaman bagaimana dan kenapa ia ditubuhkan.

- TAMAT-

Diterjemahkan oleh SPAR12-tmt-006 
 

Lensa Mossad Bahagian 1 - Bahagian 2 - Bahagian 3 - Bahagian 4 - Bahagian 5

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!