Klik BENDERA untuk MELIHAT JALUR JEMBALANG yg besar
....
TERJEMAHAN ARTIKEL GLOBAL (264)
Di Sebalik Lensa Mossad
Bahagian Ketiga

Lewat 1999, Mohammed Al-Fayed semakin yakin bahawa dakwaannya sudah mengeras dan membesar menjadi ‘satu konspirasi jenayah yang besar.’ Dia bertegas bahawa semua itu adalah gara-gara M15 dan M16, dan Perisik Peranchis dengan pembabitan Mossad di sebalik tabir. Kepada mereka yang sanggup mendengarnya, walaupun bilangannya semakin menurun, dia telah menyebut nama seorang pengarang akhbar London dan juga seorang teman lama Diana sebagai orang yang mempunyai hubungan terus dengan agensi perkhidmatan risikan Britain. 

Al-Fayed semakin percaya kenapa semua agensi perisik yang disebutnya itu berkonspirasi dalam perkara ini. “Satu keputusan telah dicapai di pihak yang berkuasa dan di tahap yang paling atas bahawasanya Diana mesti dihalang daripada mengahwini seorang yang beragama Islam. Jika tidak, bakal raja England, Prince William, akan berbapa-tirikan seorang Muslim, dan mempunyai seorang datuk yang beragama Islam juga. Malahan, ada desas-desus ketakutan bahawa saya mungkin mengongkosi usaha agar Diana menandingi Ratu England. Pihak yang berkuasa telah melaksanakan apa sahaja untuk menentukan anak saya menamatkan percintaannya dengan wanita yang betul-betul dikasihinya.” 

Tidak ada bukti yang dikemukakan untuk menyokong dakwaan Al-Fayed. Kalaulah terbukti kesahihannya ia hanya akan mencepatkan riwayat kegemilangan warga DiRaja di Britain dan berkemungkinan mencetuskan krisis keyakinan yang boleh menjatuhkan sebuah kerajaan. 

Akan tetapi, Al-Fayed telah memberikan kuasa kepada jurucakapnya Laurie Meyer, seorang ‘anchor’ dengan salah sebuah saluran TV kepunyaan Rupert Murdoch untuk membuat penjelasan kepada media bahawa: “Mohammed semakin yakin betapa Di dan Dodi telah dibunuh oleh agen yang taat setia kepada Istana British dan beberapa agensi risikan yang lain memang terlibat dengannya. Dia juga percaya terdapat ketaksuban kepada sikap perkauman dalam pihak yang berkuasa. 

Untuk menunjukkan betapa pembunuhan telah berlaku, Al-Fayed telah mendapatkan kepakaran seorang bekas pegawai penyiasat kanan Scotland Yard, Johan Mc Namara. Lewat awal 1999, penyiasat yang bersuara lembut itu telah menjelajahi dunia mencari buktinya. Ketika berada di Geneva, Switzerland, dia bertemu seorang bekas pegawai M16, Richard Tomlinson, yang mengaku dia pernah terlihat dokumen di ibu pejabat M16 di tepi Sungai Thames. Thomlinson bertegas, dokumen itu memberi penerangan “satu rencana untuk membunuh pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic - satu rencana yang mengerikan tetapi mempunyai persamaan kepada cara Di dan Dodi menemui kematian mereka. Dokumen M16 itu menerangkan betapa ‘kemalangan’ harus dilakukan dalam satu terowong di mana kebarangkalian cedera parah berunsur fatal. Senjata pilihan yang cadangkan dalam dokumen itu ialah satu pancaran laser yang berkuasa tinggi yang membolehkan sesiapa terkena pancarannya menjadi buta untuk sementara. Seharusnya inilah pancaran laser yang ditujukan kepada pemandu kereta sasaran.” 

Sebalik semua usahanya, Mc Namara tidak berjaya mendapatkan bukti bebas untuk menyokong dakwaan Tomlinson itu - dan usaha untuk mendapatkan dokumen M16 tidak juga berjaya. 

Kemudian muncul berita yang diperakukan secara berat hati, bahawa National Security Agency (NSA) Amerika Syarikat ada menyimpan satu dokumen setebal 1050 muka surat berkaitan pasangan itu. Al-Fayed telah melancarkan satu tindakan mahkamah untuk mendapatkan salinan dokumen itu. 

“Lagi kerap dia disekat, lagi kuat kesungguhannya,” kata Meyer. Namun, seperti orang lain juga dia tidak sanggup jadi pak sanggup sahaja. “Usahanya itu akan memakan masa bertahun-tahun lamanya untuk memberikan kejayaan.” 

Salah satu sebabnya seperti yang saya dapat ketahui ialah Diana dan Dodi telah dipantau oleh ECHELON, salah satu alat kepunyaan NSA yang amat sensitif dan merupakan sistem pemantauan yang sungguh canggih dan sulit. Jaringan elektronik global ini memang sungguh hebat kesannya. Ia mampu menghubungkan satelit kepada beberapa rangkaian komputer yang selari dalam menerima maklumat dengan kelajuan yang sungguh tinggi. Sistem ini membolehkan NSA dan beberapa negara yang dibenarkan berkongsi maklumat itu – Britain salah satunya - untuk memintas dan mengnyah-kod (decode) hampir semua bentuk komunikasi elektronik dalam dunia ini, pada waktu semasa. Dengan maklumat kata kunci yang telah diisi dalam perisiannya, ECHELON mampu mengenal dan menyaring mesej yang diminati oleh penggunanya. 

Rentetan perceraiannya dengan Prince Charles, Diana telah melancarkan kempen untuk menghapuskan jerangkap samar (land mines). Dia menjadi lebih berterus terang, lantang bersuara, dan dengan pantas berjaya mendapat sokongan seluruh dunia sehingga tidak disenangi oleh pentadbiran Clinton, ataupun London ataupun di Eropah. Diana dilihat sebagai tukang kacau, dan sebagai seorang yang tidak tahu apa yang dia cakap. 

“Sebenrnya, industri jerangkap samar itu memberi pekerjaan kepada ribuan manusia. Tidak siapa yang mahu melihat jerangkap itu dipasang, tetapi tidak ada siapa yang mahu melihatkan pekerja kehilangan pencariannya, disebabkan itu Diana mempunyai alasan yang teguh untuk memeranginya,” demikian kata seorang diplomat kepada saya. Mungkin saya faham dia tidak mahu namanya disebut di sini sebagai ganti memberikan pendapatnya. 

Kemunculan Dodi mengetuk pintu hati Diana bererti dia juga menjadi sebahagian sasaran pemantauan ECHELON. Tanpa mereka sedari, setiap perbualan mereka, betapa intim dan merdunya bisikan itu, telah berjaya dipantau oleh satelit kepunyaan ECHELON. 

Lewat 1997, nama Mohammed Al-Fayed dimasukkan juga dalam pencarian komputer sejagat. ECHELON mungkin yang pertama sekali mengetahuinya, selain ahli keluarga yang rapat, harapannya agar anak lelakinya itu mengahwini seorang puteri - dan kemudian, dakwaan pada hari kematian mereka, dia bercadang mengumumkan pertunangan mereka. 

Tentu banyak lagi dokumen NSA yang berkemungkinan mencetuskan banyak kejutan, dan bukti betapa melalui suara Diana sendiri, beliau sememangnya mahu mengahwini kekasihnya itu. 

Saya hanya menyedari kewujudan ECHELON dan peranannya pada saat edisi pertama buku ini hampir diterbitkan pada Mac 1999. Hanya ketika itu baru saya sedar betapa kematian Di dan Dodi telah banyak menghabiskan masa Al-Fayed dan pemikirannya. Adalah satu pengalaman yang mengejutkan apabila didedahkan kepada penderitaan yang tidak terkawal ini dan yang mencetuskan kemarahannya serta kepercayaan adanya satu konspirasi.

* * * 

Pada satu lewat pagi bulan Mac, saya telah bertemu Mohammed Al-Fayed, di kamar peribadinya di tingkat lima Harrods (gedung beli belah mewah miliknya di London - penterjemah). Laluan ke salon peribadi itu dikawal oleh beberapa pengawal peribadi, Al-Fayed memberitahu saya; “semua mereka adalah bekas tentera SAS (komando British) yang taat dan setia kepada saya. Saya membayar gaji yang baik dan mereka menguasai keselamatan saya. Saya telah diugut selalu. Kereta sayapun kalis peluru.” 

Pendedahan itu, diucapkannya dalam bahasa yang selamba dan perlahan sahaja. Saya masih samar, apakah saya harus menerimanya sebagai satu amaran, ataupun satu keyakinan bahawa saya boleh merasa selamat memberitahu apa yang dia mahu tahu. 

Dia tidak mahu membuang masa mahukan saya memberi: senarai nama semua kenalan Mossad saya. “Berikan saya nama mereka. Suruh mereka berikan maklumat yang saya perlukan. Saya bayar kamu satu juta pound dalam bentuk wang yang kamu perlukan. Tidak perlu bayar cukai dan saya uruskan segalanya.” 

Saya telah diberi amaran bahawa masih ada watak seorang peniaga ‘souk’ (pasar – bahasa Arab) dalam jiwa Al-Fayed. Selama dua puluh minit seterusnya dia telah naik berang dan melancarkan satu sumpah-seranah yang mengejutkan saya. Dia telah menyerang Queen dan Prince Phillips, dan beberapa tokoh yang dipanggilnya “pelacur dan ibu ayam pihak yang berkuasa” Dia telah menghadiahkan cemuhan yang paling berbisa terhadap badan risikan dengan menggelar mereka “pembunuh”. 

Sambil mengambil buku saya yang telah bertanda-tanda di bahagian lapangnya, dia berkata lagi: “Mossad adalah pihak yang dapat memberitahu perkara sebenarnya. Bawa mereka berjumpa saya dan saya akan buatkan anda orang yang ceria.” Sebelum saya dapat menjawab dia telah menyumpah Henri Paul: “Saya percayakan dia sungguh-sungguh. Saya bersedia lakukan apa sahaja untuknya kerana Dodi suka padanya. Anak saya seperti saya juga yang terlalu mempercayai orang. Itu sebab Diana sayangkannya, mahukan dia menjadi suaminya, seorang bapa kepada anak-anaknya. Tetapi mereka tidak mahu itu semua.. Ratu Queen, dan suaminya, tukang angguknya, termasuklah adiknya Erl Spencer semuanya tidak mahu perkara itu terjadi. Tidak seorangpun yang mahukan WOG dalam keluarga mereka. Anda tahu apa ertinya WOG? WOG bererti ‘A Wily Oriental Gentleman’ (Orang Timur Yang Bermuslihat). Mereka tidak nampak Dodi adalah seorang ‘gentleman’. Mereka cemari perwatakannya ketika dia masih hidup. Mereka masih lakukan kerja jijik itu walaupun dia sudah mati. Sedangkan apa yang Diana mahukan ialah apa yang telah diberitahunya kepada saya: dia mengidamkan seorang lelaki yang boleh dipercayainya selepas melalui pengalaman yang begitu pahit selama itu.” 

Perkataan di atas tidak menyampaikan kehangatan penyampaiannya, kata-kata kesat yang digunakannya, dan yang lebih menarik lagi ialah gambaran kesedihan yang sedang dilaluinya. Mohammed Al-Fayed adalah seorang manusia yang sedang kesakitan. Saya hanya mampu mendengarnya untuk dia meluahkan bebanan perasaannya.

"Adakah awak tahu bahawa Diana sedang mengandung ketika itu, hamil lapan minggu..... dan anak saya, Dodi adalah bapa kandungannya itu? Tahukah anda ketika mayatnya berada di hospital di Paris, mereka telah mengeluarkan segala bahagian anggotanya dan dia pulang ke London sebagai mumia? Tahukah anda ketika kami bertemu untuk kali terakhir dia memberitahu betapa dia sungguh mencintai Dodi dan mereka sudah menemui kebahagiaan?" 

Saya memberitahu saya tidak tahu semua itu. Untuk seketika, Al-Fayed cuba memerangi titisan air mata yang mahu mengalir dan mukanya memendamkan sesuatu sehingga beliau hilang ditelan lamunannya. 

Kemudian dia berkata: “Beritahu saya siapakah yang boleh membantu mencari kebenaran siapa yang mengatur agar anak saya Dodi dan Diana dibunuh?” 

Saya beritahu beliau saya ada dua nama untuk dicadangkan: Satu ialah Victor Ostrosky (sila lihat bab 10) dan dua ialah Ari Ben-Menashe. 

"‘Cari mereka. Bawa mereka berjumpa saya” kata Al-Fayed sebagai satu arahan. Untuk satu ketika nampak sangat imbasan seorang Firaun yang memberi titah perintahnya kepada saya. 

Saya mengambil masa satu minggu untuk mengesan mereka. Ostrovsky sedang menetap di Arizona, dan dia mahu bercakap dengan saya melalui orang tengah, seorang wartawan yang bertugas dengan sebuah majalah Arab. Akhirnya Ostrovsky telah bercakap dan berbual singkat dengan McNamara tanpa menghasilkan apa-apa. 

Ari Ben-Menashe baru sahaja pulang daripada Afrika ketika saya bercakap dengannya di Montreal. Saya menceritakan kisah pertemuan dengan Al-Fayed. Dia berkata: “Apa yang dicakapkannya bukanlah sesuatu yang ganjil. Itu saja yang saya tahu. Memang wujud ramai agen perisik pada hari terakhir Dodi dan Di masih hidup lagi di Paris. 

Dia bersetuju menemui Mohammed Al-Fayed di London pada minggu berikutnya, awal April. 

 * * * 

Cerita Ben-Menashe mengenai pertemuannya dengan Al-Fayed memang tidak banyak bezanya dengan apa yang disebut oleh Al-Fayed kepada saya sebelum itu. Ben-Menashe ialah seorang yang cerewet tetapi sungguh berhemah. Dia terkejut dengan kata-kata kesat yang digunakan oleh Al-Fayed terhadap keluarga diraja. Namun, dia sanggup membuat beberapa siasatan di Tel Aviv untuk melihat berapa banyak lagi maklumat yang dapat diberikan oleh Mossad selain maklumat yang saya dedahkan dalam edisi terawal buku ini. 

Sepuluh hari kemudiannya, dia memberitahu Al-Fayed di kamar peribadinya, betapa beberapa agensi perisikan “mungkin mempunyai beberapa jawapannya”. Ben-Menashe menambah kesediaan mengaturkan pegawainya mulakan siasatan dan mencadangkan harga perundingan berbentuk ‘retainer’ sebanyak US $750,000 setahun dicampur perbelanjaan hangus yang perlu dipersetujui bersama. 

Di waktu yang sama, tanpa melibatkan Ben-Menashe saya telah membuat siasatan peribadi untuk menyiasat peranan yang dimainkan oleh ECHELON pada hari terakhir Dodi dan Di di dunia ini. 

Saya telah mendapat tahu melalui sumber di Washington dan juga di tempat lain, pasangan itu telah dipantau terus oleh ECHELON ketika mereka sedang bersantai di Emerald Coast, Sardinia. Ketika itu mereka menggunakan ‘JONIKAL’ sebuah kapal layar kepunyaan Mohammed Al-Fayed yang berukuran 60 meter panjangnya. ECHELON juga menjejaki kumpulan paparazzi yang mengekori pasangan itu, dengan menggunakan bot laju, motosikal dan kereta. Di laut, Jonikal berjaya mengelakkan pengejarnya. Tetapi, komputer ECHELON telah dapat mengesan perasaan kesalan Diana kerana dihambat begitu rupa. Perbualannya di antara Diana dan Dodi dan juga dengan pengawal peribadi, Trevor Rees-Jones, yang dirakamkan oleh ECHELON telah menunjukkan perasaannya yang tertekan. Pada malam Jumaat, 28 Ogos 1997, Diana memberitahu Dodi betapa dia mahu pergi ke Paris 'secepat mungkin'. 

Dalam masa beberapa jam, persiapan telah dilaksanakan. Sebuah pesawat Gulfstream IV telah dipesan untuk terbang dan berada di lapangan terbang Sardinia pada keesokan harinya. Tomas Mozzu seorang tua Sardinia yang mempunyai bertahun-tahun pengalaman memandu para selebriti telah diberikan kepercayaan untuk memandu kereta membawa pasangan itu ke lapangan terbang.

Ingatan Muzza akan perbualan dalam kereta yang membawa mereka ke lapangan terbang adalah hampir sama dengan rakaman yang dibuat oleh satelit ECHELON. 

"Mereka bertutur dalam bahasa Inggeris dengan nada yang menunjukkan mereka sedang bercinta. Dari masa ke satu masa Dodi yang fasih berbahasa Italy bercakap kepada saya. Kemudian bertutur pula dalam bahasa Inggeris yang tidak berapa saya fahami. Namun saya dapat mengagak mereka memang sedang dilamun cinta dan sedang membuat persediaan untuk merancang masa depan mereka.” 

Sumber saya itu bertegas betapa bahagian pita ECHELON itu menunjukkan mereka berdua sedang merancang perkahwinan dan masa depan mereka berdua. Dodi kerap memberi jaminan kepadanya bahawa dia akan menggunakan khidmat pengawal peribadi ayahnya untuk melindungi ‘privacy’ mereka. 

Jet peribadi itu berlepas daripada Sardinia selepas juru terbang membuat panggilan segera meminta izin pengawal udara di pusat kawalan Eropah di Brussels memberikan beliau keutamaan untuk berlepas. 

Penerbangan dua jam menuju La Bourget Airport sepuluh batu di utara Paris, terus dipantau oleh ECHELON. Perbualan Dodi dan Di telah diserap naik ke atas oleh satelit dan diubah masuk kepada komputer di Fort Meade, Maryland. 

Walaupun sumber saya tidak mampu menunjukkan sebarang buktinya, dia masih sanggup berkata: “Saya berpendirian bahawa sebahagian perbualan yang bersangkutan” telah disalurkan pula kepada GCHQ, pusat komunikasi Britain. “Dari sana maklumat itu boleh naik melalui jaringan Whitehall. Pada waktu itu apa jua yang disebut oleh Diana dan apa jua keputusan yang diambilnya, sudah menjadi perkara penting kepada orang tertentu di pihak yang berkuasa.” 

Saya telah mengemukakan segala maklumat ini kepada Ben-Menashe. Jawapannya adalah menyenangkan tetapi berunsur kehampaan. “Kamu memang semakin hampir menepati butang kebenarannya. Tetapi, berapa hampir kamu, adalah sesuatu yang saya tidak boleh beritahu.” Pendirian Ben-Menashe itu memang mudah diteka. Dia sudah semakin hampir menandatangani satu kontrak yang lumayan dengan Mohammad al-Fayed. Sebarang maklumat terpaksa pergi kepada beliau dulu. 

Namun, kontrak itu tidak dipersetujui, akhirnya. Al-Fayed mahu melihat dulu segala bukti yang ada sebelum membayar wangnya. 

Ben-Menashe selama itu lebih berpengalaman berurusan dengan kerajaan, 'daripada berurusan dengan seorang yang berwatak peniaga ‘souk’' terpaksa menerima 'panggilan yang berunsur histeria' daripada Mac Namara yang mahukan saya menunjukkan dokumen kepada beliau. Ini memeranjatkan saya kerana beliau seharusnya masih ingat bagaimana cara orang risikan bertugas seperti pengalamannya di Scotland Yard dulu. Saya terpaksa memberitahu beliau betapa Mossad tidak menyerahkan dokumen semudah itu. Saya terpaksa memberi penjelasan seolah-olah dia adalah seorang anggota polis yang baru masuk berkerja, hakikat sebenar masyarakat risikan.

Walaupun merasa kecewa, Al-Fayed enggan undur dan berdiam diri. Jurucakapnya Laurie Meyer terpaksa berperang dengan media yang bersekongkol menyanggah Al-Fayed dan mahukan bukti bagaimana dia boleh menuduh 'pihak tertentu yang membunuh anak saya dan bakal isterinya'. 

Memerhatikan semua itu dari jauh memberikan satu keyakinan kepada Ben-Menashe untuk berpendapat bahawa “Al-Fayed telah bermusuhan dengan dirinya sendiri. Daripada segala siasatan awal yang saya lakukan tanpa melibatkan wangnya, seiras kerja siasatan awal yang kerap dilakukan oleh syarikat saya sebelum menyetujui perjanjian dengan pelanggan, adalah jelas keluarga diraja tidak ada sebarang soalan untuk dijawabnya. Mungkin secara peribadi, mereka tidak ingin melihatkan Diana mengahwini Dodi, tetapi itu tidak sama makna dengan berkata mereka mahu melihat pasangan itu dibunuh. Di waktu yang sama, saya juga terserempak dengan beberapa bukti bahawa pada waktu itu memang wujud beberapa agensi perisikan pada waktu pasangan itu menghampiri saat kematian mereka. Memang ada soalan yang serius yang perlu dikemukakan dan menuntut jawapannya. Tetapi, Al-Fayed tidak akan mendapat jawapannya dengan kelakuan yang ditunjukkannya. Sesungguhnya beliau tidak faham mentaliti orang yang mahu dikemukakan soalannya itu. Yang memburukkan keadaan, dia dikerumuni oleh pak angguk yang bersedia memberitahu apa yang dia suka dengar sahaja.” 

.....akan bersambung ke Bahagian Keempat

Terjemahan SPAR12-tmt-002

Lensa Mossad Bahagian 1 - Bahagian 2

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!