.... Siri MMMM
Mahathir Mohamad Mesti Undur Secara Terhormat
Bab 6 - Bahagian 1
Oleh: Marhaintua

Mahathir Mohamad mesti berundur secara terhormat, sebelum terlambat; kerana masanya untuk berbuat demikian sudah semakin singkat. Tidak ada gunanya Mahathir menyibuk pergi ke negara orang dengan tujuan menjalin persahabatan diplomatik sedangkan dirinya dan masa depannya sudah pupus dalam dunia politik. Lagi cepat Mahathir bertindak untuk berundur secara terhormat, lagi baik untuk Malaysia dan rantau ini. Malaysia memerlukan satu barisan pemimpin baru untuk menangani masa depannya yang lebih mencabar dan Mahathir serta para juak pemimpin yang ada di kelilingnya sudah tidak mampu berfikiran besar untuk meletakkan kepentingan rakyat di hadapan sebagai agenda utama politik mereka. Dengan kata mudah, Mahathir dan pimpinan UMNO yang ada, sudah tidak laku di mata hati rakyat di negara ini, tidak kira apakah kaumnya, pegangan agamanya, budaya ibundanya dan apa juga tahap pemikiran dan hidupnya.

Sejak sebelas bulan yang lalu, BTN ataupun Biro Tatanegara telah mengumpulkan maklumat akar umbi masyarakat Malaysia dan dijadikan laporan bulanan untuk dihantar ke Putrajaya. Sejak itu, rumusan laporan adalah sama: Rakyat sudah jelak dengan pemerintahan Mahathir dan ada tiga syarat sebelum rakyat mahu menyokong kembali UMNO dan BN. Satu, Mahathir mesti mengundurkan diri secara terhormat. Dua, Mahathir mesti bebaskan Anwar Ibrahim dan semua pemimpin Barisan Alternatif yang kini dituduh mahu menggulingkan kerajaan sedangkan tidak ada sebarang bukti terhadap dakwaan itu. Tiga, kerajaan harus menghentikan segala sandiwara mengenai kumpulan bawah tanah dan apa juga sandiwara mengatakan adanya kumpulan yang mahu menjatuhkan kerajaan.

Soalnya sekarang, apakah Mahathir tidak pernah diajukan laporan BTN itu? Pada bulan Jun tahun ini, Mahathir ada memberikan ucapan memberi ingatan kepada rakyat Asian agar tidak terburu-buru mendesak perubahan politik. (Sila lihat AFP: 'Mahathir says Asians should go slow on political change' – 27 Jun). Beliau berkata rakyat Asia harus menyerap sesuatu idea politik itu dengan berhati-hati dan perlahan.

“Mereka tidak seharusnya melaksanakan perubahan dengan terburu-buru. Bukannya mudah menukar satu kerajaan yang autotkratik kepada kerajaan berunsur demokrasi dengan sekelip mata kerana rakyat belum bersedia dan mudah tergugat. Rakyat tidak mudah menyesuaikan diri kepada kebebasan baru dan mungkin mengganas di jalan. ...menjatuhkan sebuah kerajaan dan menegakkan yang baru dan menjatuhkannya pula. Akhirnya inilah yang mencetuskan anarki."

Keitka berucap itu, Mahathir tidakpun menyebut perkataan Indonesia tetapi semua orang tahu, kiasannya adalah menyindir Indonesia di bawah pemerintahan Suharto yang digulingkan dan diganti oleh Habibie, kemudian memberi ruang meletakkan Gus Dur (Abdulrahman) yang digulingkan untuk meletakkan Megawati Sukarno.

Mahathir berfalsafah: “Demokrasi sudah berubah daripada menjadi ketegasan majoriti rakyat kepada ketegasan seseorang individu. Saya percaya kepada keunggulan demokrasi kerana ia subur di Malaysia tetapi tidak mampu bercambah di negara lain.”

Demikianlah telatah Mahathir yang sudah mencengkam kuasa selama dua puluh tahun sebagai perdana menteri. Dia telah melihat segala-galanya, dan melaksanakan segala idamannya, termasuk memusnahkan karier politik sesiapa sahaja yang sanggup menentangnya. Mahathir pernah berkata: “Dua puluh tahun memegang jawatan Perdana Menteri mengajar saya banyak perkara, tetapi ramai anak muda zaman ini percaya mereka sudah tahu semuanya. Pelajar tahun satu universiti berani mengajar saya bagaimana memerintah negara.”

Dua puluh tahun memerintah negara ini Mahathir sudah menjadi angkuh dan sombong. Dia sudah tidak dapat membezakan antara kritikan dengan arahan. Dia fikir apabila rakyat mengkritik pemerintahannya mereka itu adalah musuhnya sedangkan orang yang mengkritik secara lisan ataupun tulisan mungkin mempunyai semangat yang lebih besar dan taat kepada negara ini daripada Mahathir sendiri serta kaum keluarganya.

Cemuhan Mahathir terhadap kritikan rakyat dijawabnya sendiri pada majlis ucapan yang sama: “Dua puluh tahun adalah satu masa yang lama untuk menjadi seorang perdana menteri. Saya tidak fikir orang lain akan mempunyai peluang ini tetapi saya lega kerana diberikan peluang tersebut.”

Mahathir juga menyebut bagaimana pemimpin negara mesti diberikan masa untuk menentukan kesinambungan dasar pemerintahan. “Ketika menjadi perdana menteri saya mengambil dua tahun untuk mempelajari tugas saya, lagi dua tahun untuk merencana banyak perkara dan sepuluh tahun untuk melihat kesannya.”

Inilah kunci pembuka segala muslihat pemerintahan Mahathir. Kalau kita ambil empat belas tahun sebagai sanggang-masa (time-frame) pemerintahan awalan Mahahtir dan dicampurkan kepada 1981, tahun dia mengambil alih jawatan perdana menteri Malaysia yang ke-4, kita dapat jawapannya, betapa 1995 adalah tahunnya Mahathir melihatkan kesan dan hasil segala perancangannya. Apakah jawapannya itu memberikan kepuasan kepada Mahathir? Jawapnya tidak. Walaupun negara sedang rancak dengan segala bentuk pembangunan pada tahun itu dengan pertumbuhan ekonomi yang berada di paras 8% setahun, Mahathir sudah nampak bahawa pencapaian pemerintahannya mengikut kadar jangkaan 14 tahun itu sebenarnya sudah menyerlahkan banyak kepincangannya.

Tahun 1995, memberikan satu gambaran yang amat menakutkan Mahathir tetapi dia pandai menyoroknya tanpa dikesan oleh rakyat jelata. Dia menyorokkan semua itu dengan memacu ekonomi negara sebagai satu pertumbuhan ekonomi yang palsu. Dia melancarkan pelbagai projek mega sejak 1993 untuk menghayun kerancakan ekonomi pada 1995 kerana dia sedar itulah tahunnya dia mahukan kesan pemerintahannya itu dinilai untuk mencari tahap kejayaannya yang sebenar. Kerana itu Mahathir telah membubarkan Parlimen pada 6 April, 1995 dan disusuli sehari kemudiannya oleh pembubaran dewan-dewan undangan negeri. 15 April ditetapkan sebagai hari penamaan calon sementara 24 dan 25 April diisytiharkan sebagai hari mengundi. Kempen Pemilu ke-8 itu berjalan sekitar sepuluh hari sahaja.

Hasil pemilu 1995 itu, BN mengekalkan 10 kerajan negeri dengan memenangi 338 daripada 394 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pembangkang hanya menang 56 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan 30 kerusi Parlimen. Ini mencatatkan penurunan berbanding pemilu 1990 di mana pembangkang dapat 96 kerusi DUN dan 53 Parlimen. Pemilu 1995 memberi banyak kejutan kerana itulah pemilu yang meruntuhkan kekuatan DAP dan Semangat 46. Projek Tanjung III DAP telah menjerut DAP, dan Semangat 46, terus kecundang kerana Tengku Razaleigh menuduh media massa yang memutarbelitkan manifesto partinya.

Keemasan Masa Yang Hilang

Kalau diambil kira teori Mahathir betapa seseorang pemimpin utama sebuah negara memerlukan 14 tahun untuk menonjolkan hasil usahanya, kita akui betapa 1995 merupakan tahun kegemilangan Mahathir dan sepatutnya dia mengundurkan dirinya untuk menjadi seorang menteri kanan seperti yang dilakukan oleh rakan sejawatnya Lee Kuan Yew di Singapura, yang meniru gelagat seorang tokoh besar politik Britain, Sir Winston Churchill.

Mahathir enggan berbuat demikian kerana telah dirasuk syaitan disebabkan kerakusannya. Kalaulah dia tidak dirasuk syaitan dia mampu melaksanakan apa saja untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia sehingga menjadi satu negara Islam yang terunggul dalam sejarah moden Islam di dunia ini. Kalaulah ada satu kumpulan ulama muktabar yang mampu mempengaruhi Mahathir selepas kemenangan April 1995 dulu, Mahathir mampu merencana satu program di mana Islam dapat disemai dalam negara menjadikannya dihormati oleh semua kuasa besar di dunia ini.

Kemenangan 1995 telah mampu memberikan kuasa yang besar kepada Mahathir mengajak PAS dan Tuan Guru Nik Aziz berbincang secara berahsia untuk menegakkan satu negara Islam di negara ini. Kenapakah Mahathir tidak melakukannya dan berbaik semula dengan PAS sedangkan pada waktu itu dia merencana untuk berbaik semula dengan Tengku Razaleigh Hamzah agar masuk semula menganggotai UMNO dan membubarkan Semangat 46? Kalau niat Mahathir memancing Semangat 46 dan Tengku Razaleigh rujuk kepada UMNO adalah berpaksikan penyatuan bangsa Melayu, kenapakah tidak diusahakannya penyatuan itu bersama Dato’ Fadhil Nor, TG Nik Aziz dan TG Awang Hadi? Jelas, Mahathir berminat untuk memancing Tengku Razaleigh rujuk semula kerana dia mahu Semangat 46 itu dihancurkan. Dia tidak berminat dengan penyatuan UMNO dengan PAS kerana dia mahu terus menjadikan PAS beg belasahan politiknya sambil dia berusaha mencetuskan satu fahaman Islam baru olahannya dengan bantuan agamawan yang menganggap diri mereka pakar dalam ajaran Islam seperti Kassim Ahmad, Astora Jabat, Zainuddin Mamak Maidin dan Aziz Shamsuddin.

Sebenarnya Mahathir tidak berminat dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh majoriti umat Islam di negara ini. Islam yang Mahathir lihat harus diamalkan, ialah Islam yang mahu ditonjolkannya, seperti mana dia ghairah mahukan Al-Quran yang diterjemah mengikut selera nafsu-nafsinya. Kita hanya perlu mengimbas ucapan utama Mahathir dalam persidangan UMNo sejak 20 tahun dulu untuk memahami betapa terpesongnya Mahathir daripada ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak masakan Mahathir sanggup menghina Nabi Mohamad s.a.w. dan hukum hudud yang merupakan hukum yang diturunkan oleh Allah kepada rasulnya. Begitu juga dengan cara memperlekehkan adanya kesiksaan neraka kerana katanya: “sehingga hari ini belum ada sesiapa yang pulang memberitahu akan keazabannya.”

Keghairahan Mahathir menghina Islam adalah hasil kejayaannya mengharamkan pergerakan Al-Arqam pimpinan Abuya Ashaari Muhammad.

Kegemilangan yang Memuncak

Tidak dapat dinafikan betapa 1995 merupakan tahun kegemilangan dinasti Mahathir. Rakyat melihatnya seolah-olah mempunyai sentuhan jejari ajaib kerana apa yang dicakapkannya, dipersetujui oleh sebilangan besar rakyat. Tetapi, mengikut pepatah Yunani, kegemilagan bintang yang paling cerah menandakan permulaan kehancurannya. Inilah yang disebut dalam ilmu astronomi sebagai fenomena ‘supernova’ di mana bintang yang bergerlapan dalam hayatnya akan memasuki fasa perpecahan dan jatuh ke bumi. Saya pernah penulis perbandingan ini di alam nyata dengan mengambil contoh satu lampu minyak yang akan menyinar terang- terangan di saat hampir kehabisan bahan bakarnya, sebelum lampu itu mati dengan sendiri.

Mahathir sudah menghampiri tahap ‘supernova’ ini sejak 1995 dulu lagi. Tetapi disebabkan pengaruh syaitan yang bergelumang di dadanya, dia lalai dan tidak sedarkan fenomena ini. Sebaliknya dia menjadi riak dan rakus untuk terus berkuasa sampai mati. Bukankah selepas kemenangan 1995 itu dia membuat janji bahawa dia sudah bersedia bersara? Kenapakah tiba-tiba dia merobah fikiran sehingga mencetuskan huru-hara?

Kalau kita amati betul-betul perjalanan hidup Mahathir sejak menjadi Perdana Menteri, kita akan faham betapa dia telah mencengkam kuasa begitu lama kerana kepintaran untuk menggunakan bakat dan kebolehan yang ada pada orang lain untuk terus mengekalkan kuasanya. Dengan lain perkataan sejarah telah merakamkan selama ini, Mahathir menggunakan sentimen manusia untuk menggerakkan satu gelombang keadaan politik yang mempengaruhi minda rakyat untuk menyokongnya.

Secara ringkas kita boleh imbas kembali bagaimana Mahathir naik menonjol dalam percaturan politik Melayu dengan menghina kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga tercetusnya kucar-kacir yang kini dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei, 1969. Rakyat jelata tidak sedar peranan besar Mahathir mencetuskan huru hara itu. Tetapi kalau difikirkan keupayaan polis Malaysia menangani serangan komunis yang ganas ketika zaman pancaroba pengaruh komunis di hutan dan bandar, adalah tidak masuk akal perhimpunan rakyat daripada parti pembangkang di Kuala Lumpur boleh menjadi ganas sehingga berlaku pertempuran yang mengorbankan banyak nyawa dan hartabenda.

Eloklah kita merujuk kepada buku 'Mei 13 - Sebelum dan Selepas' oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. (Buku setebal 259 harus menjadi simpanan setiap rakyat Malaysia yang cintakan bangsanya. Saya tidak tahu apakah pewaris Almarhum masih mendapat royalti buku ini kerana yang terbaru saya beli nampaknya terbitan rompakan yang berharga RM12.00). Ada beberapa bab penting dalam buku ini yang akan saya perturunkan sebagai iktibar, kerana ia memberi satu pengajaran betapa sejarah telah dilakar dengan pendedahan Tunku itu yang dirakamkan dengan ejaan baru:

- Sepucuk Surat (Muka Surat 138)

“Sampai di sini perlulah saya berbalik ke belakang sedikit untuk menghuraikan niat yang terpendam dalam sesetengah kalangan dari semenjak beberapa lama, dan niat itu telah mereka kemukakan ke hadapan selepas dari rusuhan pada 13 Mei.

“Saya telah menyebut di atas tadi bahawa selepas saya kelaur daripada hospital pada 16 Jun, satu peristiwa yang telah berlaku pada ketika itu amatlah menyedihkan saya. Selang dua hari sahaja daripada itu saya telah menerima sepucuk surat yang kasar dari Dr. Mahathir bin Mohamad seorang calon Parlimen UMNO yang telah kalah dalam Pilihanraya di kawasan Kota Star Selatan di negeri Kedah. Beliau juga adalah salah seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Surat yang seperti itu tidaklah pernah saya lihat terdahulu darinya sepanjang masa saya menceburkan diri di dalam politik. Saya tidak pernah sekali-kali menjangka bahawa surat yang seperti itu boleh ditulis oleh seorang yang menggembar-gemburkan dirinya, sekurang-kurangnya pada pandangan orang, sebagai seorang penyokong yang kuat, sekalipun dia tidak bersetuju dengan beberapa polisi yang dijalankan oleh parti.

Surat itu ditulis di atas empat helai kertas yang bertaip dalam Bahasa Melayu bertarikh 17 Jun dan telah dihantar dari alamat rumahnya sendiri di Alor Star di mana ianya menjadi seorang doktor yang mempunyai kliniknya sendiri. Bagi seseorang penyokong parti, lebih-lebih lagi sebagai seorang ahli Parlimen selama lima tahun dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO selama dua belas bulan, perbuatan menulis surat seperti itu kepada Perdana Menterinya sendiri, adalah merupakan satu perbuatan yang tidak patut. Sungguhpun begitu beliau belumlah puas hati dan tidak membataskan perbuatan itu setakat itu sahaja.

Beliau telah menghantarkan salinan-salinan surat ini kepada kawan-kawannya. Surat itu dibuat beribu naskah (saiklostail) dan telah disebarkan dengan luasnya di kalangan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam (Civil Service) penuntut-penuntut Melayu yang ada di Institiut Pengajian Tinggi dan juga kepada orang-orang Melayu di kampung-kampung.

“Sekalipun jika Dr. Mahathir tidak bertanggung-jawab melakukan sendiri penyebaran suratnya itu, tetapi tidak pula ia menahan kejadian itu daripada  berlaku.”

Rentetan pengedaran “Surat Berachon” itu, Majlis Tertinggi telah bersidang tanpa Tunku, dan dipengerusikan oleh Almarhum Tun Abdul Razak dengan dibantu oleh Almarhum Tun Dr. Ismail. Mahathir telah menghadiri mesyuarat yang diadakan secara tertutup selama tiga jam.

Menteri Penerangan dan Penyiaran, Encik Hamzah bin Dato’ Abu Samah telah mengeluarkan satu kenyataan tujuh belas baris kepada wartawan-wartawan. Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO Encik Senu Abdul Rahman. Kenyataan itu antara lainnya berbunyi:-

 “Satu persidangan Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah diadakan pagi ini untuk menimbangkan tindakan yang patut diambil mengenai dengan penyebaran yang luas salinan-salinan surat di antara Dr. Mahathir, seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO dengan Tunku Abdul Rahman, Yang diPertua UMNO.

Surat-surat itu mengandungi perkara-perkara dan keterangan-keterangan parti yang amat penting yang sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO memandangkan kepada suasana yang terdapat dalam negeri pada masa sekarang.

Persidangan itu mengambil keputusan bahawa perbuatan Dr. Mahathir itu adalah merupakan satu kesalahan berat melanggar disiplin dan peraturan-peraturan parti. Jika perbuatan itu tidak dicegah maka ianya akan merosakkan perpaduan di dalam parti dan juga Kerajaan yang didukung oleh parti.

Majlis Kerja Tertinggi yang dihadiri oleh semua menteri kabinet dan menteri- menteri besar yang menjadi Anggota Majlis itu, telah mengambil keputusan bahawa Dr. Mahathir tidak lagi menjadi Anggota Majlis itu mulai dari hari ini. Tunku tidak hadir dalam persidangan itu.”

Almarhum Tunku tidak tergamak menyiarkan kandungan sepenuhnya surat-surat Dr. Mahathir itu. Lagipun, oleh kerana surat itu dianggap terlampau merbahaya, membuatkan Tun Dr. Ismail mengeluarkna perintah di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mencegah sesiapa juapun daripada menyiar, menyebar serta memiliki salinan surat Mahathir itu. Demikian, betapa berhemahnya bapa kemerdekaan negara dalam menceritakan satu kisah yang merobek perjalanan perjuangannya.

Namun, kita mahu rakamkan di sini beberapa bahagian tulisan Tunku itu untuk bacaan mereka yang tidak mempunyai masa mencari buku itu, sambil memberi peluang kepada geneasi tua memperakukan catatan Tunku itu.

a) “Siapakah Dr. Mahathir dan apakah pendiriannya dalam UMNO? Jawapannya ialah ada sekumpulan orang yang selalu disebut sebagai ‘pelampau’ (ultras) ataupun bijak pandai (intellectuals) yang telah dapat menembus masuk dan mencari kedudukan dalam UMNO. Setengah-setengah daripada mereka duduk di Kuala Lumpur dan tidak seorangpun dari mereka mempunyai banyak hubungan dengan orang ramai, terutama sekali orang-orang di kawasan luar bandar.

b) “Di belakang segala penentangan-penentangan yang ditimbulkan dalam UMNO ini mesti ada seorang yang tahu bagaimana hendak merancangkannya dan bagaimana hendak mendapatkan orang-orang lain melaksanakannya. Adakah orang itu Dr. Mahathir sendiri ataupun ada orang lain?

c) “Mithalnya, mereka berpendapat bahawa cara pemikiran politik kita telah lapuk dan tidak selaras dengan dasar Afro-Asia. Di antara cita-cita yang terpendam dalam hati mereka mungkin untuk menyingkirkan raja berperlembagaan dan menegakkan Malaysia sebagai sebuah Negara Republik. Saya agak selepas Malaysia diisytiharkan sebagai Republik, maka mereka akan ubah dasar kita untuk membawa kita lebih hampir kepada kumpulan Afro-Asia.

d) “Gerakan Dr. Mahathir itu tidak syak lagi telah menolong anasir-anasir yang memusuhi saya ini bagi menimbulkan kemarahan orang terhadap saya sebagai mana yang telah terbukti dari kejadian-kejadian yang berlaku kemudiannya. Pada 17 Julai pukul 7.00 pagi sehelai kain cogankata telah dijumpai terikat di pagar hadapan Masjid Universiti Malaya; sebuah masjid yang saya telah bina untuk penuntut universiti itu. Di atas kain itu ada tertulis cogankata yang berbunyi: ‘Rejim Tunku Imperialis dan Feudalis’ dan ‘Tunku, Berhentilah!’.

e) “Penuntut-penuntut Melayu Universiti Malaya yang mengadakan tunjuk perasaan itu telah bermesyuarat kemudiannya dengan penuntut-penuntut Maktab Teknologi MARA dan menentang pemecatan Dr. Mahathir daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Kesan daripada pertemuan itu, maka ramailah penuntut MARA yang telah mengambil bahagian di dalam satu tunjuk perasaan yang diadakan pada hari itu juga di dalam kawasan Maktab mereka untuk membantah langkah yang diambil oleh UMNO ke atas Dr. Mahathir. Mereka mengecap saya sebagai pengkhianat bangsa saya. Mereka telah membuat ucapan-ucapan yang berapi-api menuntut supaya saya disingkir daripada jawatan Perdana Menteri.

f) “Dr. Mahathir juga tahu usaha-usaha yang telah saya jalankan untuk mengambil kira-kira dua ratus orang bagi memasuki Pasukan 136 itu, dan bagaimana orang-orang ini akhirnya telah masuk ke bandar Alor Star dengan membawa kemenangan di bawah pemerintahan Kolonel Hasler apakala Jepun menyerah diri. Mungkin beliau tidak tahu bahawa wang yang telah saya belanjakan untuk mengadakan alat pengangkutan dan perbelanjaan yang lain bagi Pasukan 136 itu tidak dibayar balik kepada kepada saya sehingga hari ini.

g) “Tetapi saya yakin bahawa kiranya Dr. Mahathir menumpukan masa yang lebih kepada kerja-kerja parti dan tidak menghabiskan masanya di dalam perniagaan membuat rumah di Kedah bersama-sama dengan syarikat yang bernama Federal Construction Company – sebuah syarikat yang dipunyai oleh orang-orang Cina - dan dalam perniagaan-perniagaan yang lain, maka kemungkinannya untuk menang dalam pilihanraya itu adalah lebih besar.

“Menurut maklumat yang diterima, beliaulah yang telah mengambil peranan yang penting untuk menolong mendapatkan kelulusan Kerajaan supaya tidak kurang daripada 238 lot tanah Simpanan Melayu dikeluarkan dari simpanan itu bagi maksud projek perumahan yang tersebut.”

h) “Berikutan dengan penyebaran surat Dr. Mahathir itu maka satu taktik baharu telah timbul di Malaysia ini, tetapi taktik ini merupakan satu helah yang telahpun lama diamalkan oleh Komunis kerana mereka telahpun mencubanya di Burma. Helah-helah ini ialah menulis surat-surat yang beracun. Surat-surat ini telah dihantar oleh seorang kepada seorang yang lain.

 * * *

Mahathir Seorang Raja Kelentong

Ramai penulis ternama telah memberikan nama jolokan kepada Mahathir sebagai seorang ‘pathological liar’. Ini bermakna membohong itu adalah merupakan darah daging dalam hidup Mahathir.

Dalam ucapannya yang dirakamkan oleh AFB yang bertajuk 'Mahathir says Asians should go slow on political change', Mahathir pernah berkata: "When I became a prime minister it took me two years to learn, another two years to work things out and it took me 10 years to see results.”

Tetapi apakah yang dilakukannya sebaik sahaja mengambil-alih jawatan perdana menteri? Belumpun sampai satu tahun dia memegang jawatan itu, dia telah melakukan beberapa perubahan seperti mengenakan peraturan memestikan setiap pegawai kerajaan memasang ‘tag’ nama di baju mereka, seperti anggota tentera. Kemudian dia mengenakan peraturan perakam waktu sebelum mengajak rakyat memandang ke Timur. Bagaimana pula dengan membeli barangan British hanya di waktu terakhir (Buy Brtish Last)? Semua itu dibuatnya dalam masa dua tahun memegang jawatan, sedangkan itulah tempoh yang dia kata dia memerlukan masa untuk memahami banyak perkara.

Mahathir yang Tidak Tahu Bersyukur

Kalau kita perhatikan sejarah negara ketika Mahathir mengambil-alih jawatan perdana menteri yang berpaksikan moto pentadbiran berbunyi; 'Bersih, Cekap dan Amanah'; kita boleh merumuskan bahawa ini adalah manusia yang tidak tahu bersyukur kepada Allah atas kesetiaan orang Melayu memberikan kepercayaan kepadanya untuk memimpin negara. Tidak ada pemimpin Melayu sebelum Mahathir yang telah disingkirkan oleh UMNO dapat naik semula dalam parti dan akhirnya menjadi seorang perdana menteri, walaupun pemimpin itu seseorang yang popular dan mempunyai sokongan yang kuat di akar umbi.

Walaupun Mahathir sudah disingkirkan oleh Majlis Tertinggi UMNO ketika Tunku diasak dan dihina sehingga beliau meletakkan jawatannya, Mahathir telah dilantik oleh Almarhum Tun Razak untuk menjadi seorang senator dan kemudiannya menganggotai kabinet Tun Razak. Sedangkan orang-orang yang menjatuhkan Mahathir dalam majlis Tertinggi UMNO ketika pemerintahan Tunku adalah orang yang sama menganggotainya ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Di sinilah mungkin tepatnya konsep amalan hidup di mana Melayu itu adalah bangsa yang mudah lupa, seperti yang katakan oleh Mahathir tiga puluh tahun kemudiannya.

Yang anehnya, apabila Tun Abdul Razak naik menjadi Perdana Menteri, baru dia tahu bahawa dia mengidap penyakit leukimia (tetapi M.G.G Pillai memberitahu bahawa itu bukan penyakit sebenarnya). Namun, Tun Razak berjaya menubuhkan Barisan Nasional dengan penglibatan PAS dan juga merasmikan hubungan diplomatik dengan negara China pada tahun yang sama. Sepanjang hayat beliau bertugas itu, Tun Abdul Razak telah mencatatkan perjalanan sebanyak 50,000 batu setahun di seluruh negara. Hasilnya projek pembangunan tanah telah membangun dengan jayanya. Kesan sumbangan Razak yang terbesar ialah Dasar Ekonomi Baru yang mengambil kira jurang ekonomi Cina:Melayu yang terlalu besar dan amat ketara sehingga dikatakan menyumbang kepada Episod 13 Mei.

Kalau ada sejarah hitam dalam zaman pemerintahan Tun Razak, ialah musibah yang melanda Pergerakan Pemuda UMNO dan Dato’ Harun Idris yang kecundang disebabkan peristiwa Perlawanan Tinju Mohamad Ali-Joe Bugner, yang pernah saya tulis dengan panjang lebar dalam siri yang lalu. Apabila dilihat segala halangan yang menghambat Dato' Harun dulu dengan segala peristiwa kerajaan Mahathir membalun wang rakyat dalam pelbagai projek mega dan proses penyelamatan ‘bail-out’ yang berbilion ringgit, ramai orang Melayu yang sedar bahawa nasib malang yang dilalui Dato’ Harun dulu adalah satu rancangan jahat untuk menendangnya keluar daripada singgahsana politik UMNO.

Di saat Tun Razak menghampiri ambang terakhir hidupnya, Mahathir mampu menonjol dan meyakinkan Tun Razak membuat sokongan kepada Tun Hussein Onn agar birasnya itu memberi pertimbangan kepada Mahathir sebagai timbalan perdana menteri, seandainya dia mengambil alih jawatan itu. Hussein Onn memilih Mahathir walaupun dia bukannya naib presiden yang mempunyai undi tertinggi di antara naib presiden UMNO ketika itu. Tun Razak meninggal dunia pada awal 1976. Pemilihan Majlis Tertinggi yang terakhir sebelum kematiannya, kemenangan telah dirakamkan kepada manusia berikut: Ghafar, 838; Razaleigh, 642; Mahathir, 474; Harun, 427.

Kematian Tun Razak telah meletakkan Tun Hussein di jawatan Perdana Menteri, sedangkan Husein telah diserang angin ahmar setahun sebelum itu. Ketika menjawat jawatannya, kesihatan beliau tidak berapa baik sehinggakan beliau menjalani pembedahan jantung pada 1981. Sebenarnya Tun Hussen lebih selesa melantik Tan Sri Ghazali Shafie walaupun dia tidak berada di jawatan tertinggi dalam parti berbanding empat orang yang lain.

Di waktu pemerintahan Hussein Onn, Mahathir berbuat sikap ayam betina tanpa banyak menonjol dalam peranannya membangunkan ekonomi orang Melayu. Dia seolah-olah sudah tahu betapa Hussein Onn tidak akan lama memerintah berdasarkan keadaan kesihatannya. Lagipun, sepanjang pemerintah Hussein, orang Melayu masih lagi sibuk dengan dilema Dato’ Harun yang dipenjarakan kerana kes ‘pecah amanah’ membabitkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat). Penulis pernah berbincang dengan Dato’ Harun secara bersendirian selama hampir satu hari suntuk untuk mengimbau pengalamannya dalam episod Bank Rakyat. Dia pernah mengaku ada mainan politik daripada pihak yang tidak mahu melihatnya naik terus dalam pucuk kepimpinan UMNO.

Ketika Mahathir berkuasa dia lebih menumpukan perjalanan yang lebih jauh ke luar negara untuk bersuara lantang menjadi Wira Dunia Ketiga. Segala belanja perjalanannya itu (termasuk lebih 50 kali ke Jepun) ditanggung oleh rakyat, termasuklah kalau dia bercuti bersama ahli keluarganya.

Selama dua puluh tahun Mahathir memerintah tidak ada satu institusi yang tidak terjerat olehnya untuk dihamba-abdikannya. Badan Kehakiman Negara, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pilihanraya, Majlis Raja-Raja, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dan banyak lagi. Semua institusi ini dirobotkannya sehingga menjadi mudah untuk beliau menggunakan segala wang dan dana yang terkumpul di Tabung Haji, KWSP, segala dana pencen yang ada di negara ini termasuk juga sistem perbankan negara.

Sambil Mahathir merobotkan semua institusi ini, dia telah berjaya dengan semua rencana itu dengan kepintaran merampas kuasa untuk mengawal media massa di negara ini sehinggakan semua akhbar perdana menjadi lidah rasmi Mahathir bin Mohamad dan UMNO.

Kepimpinan Mahathir pada awalannya sehinggalah ke hari ini, tidak memberikan perhatian yang serius terhadap tahap kemiskinan orang yang daif. Mahathir tidak pernah serius dengan menaikkan tahap kehidupan orang Melayu dan kerana itulah kita lihat sekarang ini majoriti orang Melayu yang miskin ketika dia menjadi perdana menteri dulu kini menjadi orang merempat dan daif hidupnya. Orang Melayu yang berada di tahap kelas menengah ketika dia menjadi perdana menteri dulu, kini ramai yang menjadi masyarakat yang muflis.

Yang anehnya, sebilangan besar masyarakat Melayu yang mampu terus bernafas sekarang ini kebanyakannya adalah golongan yang satu ketika dulu adalah ahli Al-Arqam yang telah dimusnahkan oleh Mahathir berasaskan fitnah bahawa Ashaari Mohammad telah terpesong akidahnya. Inilah juga kumpulannya yang meneruskan usaha mereka dulu setelah mengenepikan pakaian berwarna hijau, gara-gara tuduhan Mahathir bahawa al-Arqam sudah mempunyai satu pasukan bersenjata bawah tanah untuk menjatuhkan kerajaan. Kumpulan Al-Arqam ini terus gigih dengan usaha perniagaan mereka walaupun mereka telah dibusukkan sebagai kumpulan yang tersungkur di pintu syurga. Untuk terus melumpuhakn pengaruh mereka ini, Mahathir dan UMNO telah menguat-kuasakan undang-undang bahawa ahli jawatankuasa masjid dan surau dianggotai oleh orang-orang yang direstuai kerajaan UMNO sahaja.

Tidak cukup dengan tohmahan dan tindakan yang jijik ini, orang-orang Mahathir melancarkan beberapa sandiwara untuk mengaitkan apa juga kumpulan yang tidak menyokong UMNO sebagai kumpulan yang ada kait-mengait dengan pergerakan bawah tanah. Bermula daripada alim ulama, menurun kepada pensyarah, guru-guru dan kini kepada golongan pelajar di pusat pengajian tinggi. UMNO dan Mahathir telah mengenakan pelbagai tekanan dengan tujuan meraih sokongan orang Melayu walaupun bersifat menggunakan kekerasan untuk memaksa, mencuri harta rakyat jelata untuk memperkayakan para kroninya, dan penipuan untuk memutarkan minda. - M@R

...bersambung: Bahagian 2

- marhaintua -
10 September, 2001.


Siri MMMM boleh diakses melalui link yang terdapat di kolum kiri muka depan M@RHAEN atau klik di sini: Bab 8 - Bab 7 - Bab 6 - Bab 5 - Bab 4A - Bab 4B - Bab 3A - Bab 3B - Bab 3C - Bab 2A - Bab 2B - Bab 1A - Bab 1B

Link berikut drp MMMM5 sengaja dikekalkan untuk kemudahan rujukan
Cucu Datuk Bahaman: Jangan Ghairah Sangat Bermain Api!
Marhaintua: Yang Berkobar dan Berkibar
Newsweek: Helping Hands
Fitnah e-Umno: Episod Al-Maunah
Marhaintua: Yang Terbang Akan Pasti Terbang Jua (Mindarakyat)
MGG Pillai: The Millenium: A Far Cry From Midnight

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!