.... Siri MMMM
Yang Bermain Api dan Bunga Api
Bab 5
Oleh: Marhaintua


Catatan: Senarai artikel yang menjadi rujukan artikel ini terdapat di akhir artikel. Pohon dicetak dan diedarkan artikel MMMM5 ini seluas yang mungkin di kalangan para sahabat dan kenalan.

Yang Bermain Api dan Bunga Api

Saya tertarik dengan tulisan terbaru Cucu Datuk Bahaman yang bertajuk 'Jangan Ghairah Sangat Bermain Api!' kerana ia amat relevan dengan keadaan semasa. Nampak sangat Mahathir begitu terdesak untuk terus mencengkam kuasa, sehinggakan dia berjaya mendapat sokongan Ketua Polis Negara menyebelahinya. Jika tidak, bagaimana mungkin dia memenjarakan sesiapa sahaja yang dianggapnya berbahaya terhadap lanjutan kuasanya tanpa perlu membicarakan mereka. Cukup menuduh mereka dengan Akta ISA dan memfitnah mereka mahu menumbangkan kerajaan dengan konspirasi militan.

Kita boleh jangkakan banyak lagi tulisan seperti CDB ini, seperti juga yang kerap ditulis oleh Amin Sapiro dan barisan penulis lain yang pernah saya sebutkan nama mereka dalam Bahagian 28 KTLBELB 'Yang Berkobar dan Berkibar' (sila lihat tajuk kecil: Memahami Kebangkitan Rakyat). Tanpa mahu dianggap riak, sebenarnya Siri KTLBELB adalah cetusan rasa saya betapa negara ini sudah dijajah semula oleh Mahathir dalam jangka masa 20 tahun dia menjadi Perdana Menteri. Secara berkias dalam setiap 30 bahagian tulisan saya itu ada dikiaskan segala fenomena di mana kalau ada kumpulan militan yang wujud di negara ini ketuanya ialah Mahathir Mohammad. Kalau ada kumpulan bersenjata yang mahu menguasai negara ini, ketuanya ialah Mahathir Mohammad dan kalau ada manusia yang mahu menggantikan keseluruhan majlis raja-raja, orangnya ialah Mahathir bin Mohammad.

Sesungguhnya Mahathir merupakan manusia yang bermain api selama ini. Soalnya sekarang ramai manusia yang bergelar Melayu dan yang dipuji-puja oleh segelintir masyarakat Melayu yang masih syok sendirian memperakukan tindak-tanduk Mahathir sambil mereka turut bermain api. Inilah kumpulan syok-syok sendiri bermain bunga-api sambil sebahagian yang lain masih leka menjadi batu api. 

Saya pernah menulis: 

‘...sekaligus, amanah rakyat kepada mahathir dan para jongosnya adalah satu amanah yang lama sudah diabaikan. Mahathir dan orang-orangnya lupa bahawa sebagai wakil rakyat mereka sepatutnya yang menyebut ampun rakyatku, ampun rakyatku,........! Kami wakil mu memang sudah lama menipu....!' (Saya menulis itu sebagai menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-43).

Di dalam siri yang sama di bawah tajuk kecil: 'Bila Ular Bersalin Kulit' ada satu keanehan tulisan saya itu yang tidak disedari waktu itu, cuma saya dapat mengesannya pada 31 Ogos 2001:

Demikianlah berkobarnya semangat bangsa Malaysia di tahun ke-44 negara mengharungi kemerdekannya. Ia bermula dengan kempen mengibarkan bendera yang gagal segagal-gagalnya. Kenapa? Kerana rakyat sudah getek dan muak dengan kepimpinan yang ada. Kini, kita lihat semua lapisan manusia sudah berani bersuara mahukan perubahan dalam kepimpinan negara...

Perenggan di atas saya tulis ketika kita menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-43. Tetapi, gambarannya amat jelas pada ulangatahun ke-44. Bagaimanakah gambaran sambutan ulangtahun ke-44 dapat ditulis satu tahun lebih awal, hanya Allah yang mengetahuinya.

Kenapa UMNO dan Mahathir Bermain Api?

Ketika kita melangkah memasuki ambang ke-44 kemerdekaan negara ini adalah elok kalau kita analisa sedikit kenapakah Malaysia sudah sampai ke tahap bercelaru begini rupa sedangkan negara ini adalah salah sebuah negara yang terkaya di dunia? Tidak ada negara lain termasuk Amerika, Jepun dan negara kuasa besar lain yang mempunyai khazanah bumi yang begitu kaya raya dan mewah harganya yang mampu dinikmati oleh seluruh rakyat jelata, seandainya negara ini diperintah oleh sekumpulan pemimpin yang mempunyai niat yang suci untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati. Sebaliknya, Malaysia akan terjerumus ke kancah kemuflisan dan hina-dina selagi kumpulan manusia yang sama dibiarkan terus memegang kuasa. Inilah bahananya apabila rakyat diputarkan minda mereka berulang kali sehinggakan mereka percaya apa yang disebut setiap hari.

Sejarah akan marakamkan betapa Mahathir adalah sebesar-besar pengkhianat negara dan para pemimpin UMNO yang masih hidup dan berkuasa dengannya adalah sebesar-besar kumpulan manusia yang sanggup merelakan kedurjananannya. Untuk memahami kenapa fenomena ini telah terjadi kita mesti sedar akan beberapa faktor persekitaran yang menjadi pedoman dan pengawal pemerintahan mahathir sejak 20 tahun yang lalu.

1.  Kuasa dan Pengaruh Maklumat Songsang

Sepanjang pemerintahan Mahathir, maklumat songsang adalah senjata beliau yang paling tajam. Maklumat songsang adalah sebahagian propaganda politik UMNO dan BN yang disalurkan melalui pelbagai media elektronik dan melalui kursus khas yang ditaja oleh Jabatan Perdana Menteri. Ini disokong penuh oleh KEMAS, BTN, K3P, Persatuan Belia, Penerangan UMNO dan banyak lagi institusi dengan menggunakan wang rakyat, sedangkan tujuan sebenarnya ialah untuk memperkukuhkan ketuanan UMNO dan BN. Hampir seluruh media perdana kini adalah milik UMNO dan BN dan dibenarkan dijual merata negara setiap hari. Sebaliknya akhbar tajaan parti pembangkang hanya dibiarkan terjual dua kali sebulan di tempat tertentu sahaja.

Keseluruhan media elektronik yang rasmi seperti TV radio dan siaran jabatan penerangan adalah bertujuan memutarkan maklumat songsang. Sebahagian besar propaganda ialah menononjolkan kebesaran UMNO, BN dan Mahathir Mohammad.

Semua rancangan yang dihadiri oleh kabinet dan pemimpin negeri kerajaan UMNO adalah bertujuan menonjolkan keagungan Mahathir dan pemerintahannya, sedangkan semua kos majlis itu diambil daripada cukai pendapatan rakyat. Apabila kita bercakap mengenai cukai pendapatan, berapa ramaikah orang kaya-kaya dan bergelar yang menjadi kroni UMNO.BN yang benar-benar membayar cukai pendapatan?

Putaran minda dipergiatkan lagi oleh segala bentuk tekanan yang dilaksanakan secara bersistem oleh regim Mahathir terhadap rakyat. Segala bentuk aktiviti rakyat yang menentang tipu helah regim itu akan ditekan dan diaibkan. Kita akan rakamkan sedikit contoh di sini:

a) Al-Arqam kini dikatakan sedang aktif semula dan kerajaan sedang memantau pegerakan itu yang diharamkan dulu. Tetapi, apakah pengharaman kerajaan dulu pernah dipersoal oleh orang Melayu sebagai satu kerja yang menekan ekonomi Melayu? Saya fikir, sayalah yang mula-mula bersuara lantang menulis panjang-panjang mempersoalkan tindakan kerajaan itu sebagai usaha memuaskan kehendak pihak tertentu dengan tujuan sebenarnya untuk mencapai niat politik yang tertentu. Yang paling menonjolkan sekarang, bekas Jeneral bersara sudah dinaikkan pangkat menjadi menteri menjaga hal ehwal agama. Pada waktu yang sama orang yang dulu memegang jawatan itu menjadi penasihat agama kepada perdana menteri. 

Sekali lagi masyarakat Islam tidak mempersoalkan perlantikan dua manusia ini, sedangkan ia membabitkan gaji mereka daripada duit rakyat. Apakah istimewanya Jeneral itu menjadi menteri agama, sedangkan masih ramai orang UMNO yang menjadi wakil rakyat melalui peti undi yang boleh dilantik menjadi menteri agama? Kemudian, apakah istimewanya Mahathir mesti mempunyai penasihat agama sedangkan dia sudah ada satu jabatan khas lengkap dengan menteri khas mengenai agama Islam ?

Di samping itu Mahathir ada JAKIM, YAKIM, YADIM, IKIM dan banyak lagi pertubuhan agama Islam yang menggunakan wang rakyat untuk membiayai gaji semua manusia yang dikatakan tokoh agama Islam. Apakah guna semua pertubuhan Islam itu sedangkan semakin ramai orang Islam yang murtad di negara ini? 

Yang anehnya semakin ramai pakar Islam di keliling pinggang Mahathir, semakin lantang beliau memperlekehkan ajaran Islam. Mana silapnya?

-  Mahathir Sebagai Musuh Islam?

Sejak pemilu 1999, kita dapat mengesan betapa Mahathir begitu tertekan sehingga dia sanggup memperlekehkan agama Islam. Satu ketika dulu saya menyifatkan gelagat ini sebagai kesan ‘badi Anwar Ibrahim’ yang menghantui Mahathir Mohammad. Tetapi, saya tidak sangka samasekali, Mahathir boleh menjadi sebagai buruk sangkaannya terhadap ajaran Islam. Dulu, dia menghina Nabi dan pelbagai kisah menggunakan ayat Quran untuk menjadi penawar. Kita fikir dia boleh bertaubat melalui panduan yang diberikan oleh dua pakar agama yang sentiasa berada di jabatannya.

Saya mula-mula fikir dia memperlekehkan ajaran Islam itu sebagai bahan untuk memperlekehkan beberapa tokoh agama Islam di negara ini seperti Dato Harun Din dan juga beberapa tokoh pemimpin PAS seperti TG Nik Aziz dan TG Hadi Awang. Tetapi, apabila dia mula cetuskan kisah Al-Maunah dengan rompakan senjata di Gerik dan munculnya apa yang dikatakannya usaha mengebom kuil dan kilang bir di Lembah Kelang, saya nampak bahawa mahathir sudah nyanyuk kerana sanggup menggunakan Islam sebagai topeng untuk terus berkuasa. Sehingga hari ini, sepanjang perjalanan perbicaraan Kumpulan Al-Maunah di mahkamah, kita belum terdengar sebarang kisah ditimbulkan untuk menuduh sesiapa antara kumpulan Prebet Amin yang didakwa kerana mengebom kilang bir dan kuil Hindu. Kita akan tunggu sehingga 18 September untuk mendengar kes ini digulung di mahkamah. Kemudian insyaAllah kita akan sambung kisah ini mengikut beberapa kisah yang kita tahu. Selama ini ramai penulis media marhaen sengaja peram dulu kisah perkara ini kerana tidak mahu menjejaskan perjalanan mahkamah dalam kes itu.

Inilah pertama kali saya menulis dengan soalan dan tandatanya apakah benar Mahathir merupakan seorang musuh Islam? Sekali pandang jawapannya ialah 'Tidak Mungkin!'. Tetapi, apabila kita amati betul-betul segala tindak-tanduk regim Mahathir kebelakangan ini dan segala tuturkatanya sekarang ini, kita yakin, Mahathir sudah terpaksa membuat pendirian yang meyakinkan orang luar bahawa dia sudah menjadi musuh Islam. Berikut adalah alasan saya:

i) Menuduh beberapa orang pejuang jihad Afghanistan sebagai kumpulan yang mahu menumbangkan kerajaan Malaysia,

ii)  Menuduh dan memfitnah penubuhan KMM, yang mula-mula bermaksud ‘Kumpulan Mujahidin Malaysia’ tetapi bertukar dengan beberapa nama yang lain pula seperti ‘Kumpulan Mujahidin Militan Malaysia dan Kumpulan Militan Malaysia’;
 
iii)  Menuduh penubuhan pergerakan bawah tanah yang dianggotai oleh pelajar universiti sehingga jumlahnya meningkat 2,500 orang pelajar pada hari pengumumannya, kini sudah meningkat menjangkau lebih 5,000 orang pula. 

iv)  Pendedahan terbaharu Mahathir betapa wujudnya pergerakan Islam yang mahu bersatu menubuhkan gagasan Islam di Asia Tenggara melibatkan Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Sebenarnya ramai orang Melayu dan Islam yang menarik nafas panjang dengan fenomena yang disebutkan di atas. Saya merasa berdosa jikalau tidak meluangkan masa menulis pendapat dalam hal ini. Sepatutnya semua perkara yang di atas tidak timbul langsung kerana saya berani katakan semua itu adalah tipu muslihat yang amat sukar untuk dipercayai oleh umat Islam di mana juga di dunia ini.

a)  Taliban oleh Newsweek

Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada satu artikel mengenai Taliban yang berjodol 'Helping Hand (Tangan Yang Membantu)' Newsweek bertarikh 13 Oktober, 1997 (hampir empat tahun yang lalu) yang telah saya terjemahkan dan disiarkan di internet pada 15 Mac 2001 dengan nombor TAG 058. Saya amat berharap para WM Reformasi dapat cungkil artikel ini dan siarkan semula beberapa artikel mengenai Taliban yang pernah saya terjemahkan.

Beberapa penganalis luar (asing) dan juga tempatan, pernah menulis betapa Mahathir mula meunjukkan kebiadapannya terhadap agama Islam dan orang yang mengamalkan ajaran Islam, sejak dia menjadi terlalu ghairah dan gian untuk diundang ke Rumah Putih, sejak George Bush menjadi Presiden Amerika yang baru. Malahan, kita sedar dan faham Mahathir telah memberikan komen yang molok-molok apabila Bush berjaya mengalahkan Al Gore. 

Tetapi, apabila dia diperlekehkan sahaja oleh Rumah Putih, Mahahtir sudah mengambil jalan untuk menarik perhatian Amerika dengan memperlekehkan pergerakan Islam di negaranya sendiri dan juga di luar negara. Yang mula-mula dilakukannya ialah membabitkan beberapa bekas pelajar Melayu di Pakistan dengan pergerakan Taliban. Mahathir sanggup menuduh pemuda Melayu yang berjihad itu sebagai kumpulan yang mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Saya pernah berkata, apabila seseorang Islam berjihad, tidak kira di mana; di Afghanistan, Bosnia, Somalia, ataupun Malaysia, jalanan jihadnya itu adalah kepada jalan Allah. Ini adalah satu panggilan kemestian yang direstui oleh Allah.Tetapi apabila Mahathir memperlekehkan Taliban, dia sebenarnya memasuki satu fasa kekeliruan sendiri kerana dia lupa bagaimanakah Taliban itu wujud pada tahap awalannya. Izinkan saya turunkan sedikit sahaja sedutan daripada terjemahan mengenai asal-usul Taliban:

'Asal-usul Taliban bermula pada awal 1980-an. Ramai rekrut yang menjalani latihan adalah manusia yang kuat pegangan agama sehingga digelar kumpulan fanatik. Inilah kumpulan yang dilatih oleh Imam, seorang pegawai khas (special-ops) Pakistan. Sebelum itu mereka merupakan pelajar sekolah agama tradisional di kampung-kampung. Inilah kumpulan yang disenangi dengan panggilan ‘taliban’ bererti pelajar. Beberapa pejuang elit di kalangan pelajar inilah yang diserapkan dalam pasukan bersenjata mujahidin. Yang lainnya dibentuk dalam satu pasukan bersenjata bersendirian dengan dipimpin oleh pemimpin agama yang tidak mudah dipengaruhi oleh sistem kabillah (puak) yang lama. 

CIA telah mengirimkan ratusan juta dollar untuk membeli senjata, mengongkosi latihan dan bekalan kelengkapan kumpulan anti-Soviet untuk mengnyahkan mereka daripada bumi Afghanistan. Ketika itu CIA tidak pernah membezakan di antara kumpulan sekular dengan mereka yang kuat pegangan agamanya. Peperangan dengan penjajah Soviet terus berjalan dan Saudi Arabia terus membekalkan wang untuk membina sekolah Al-Kuran di kawasan penempatan pelarian perang......'

Dalam artikel itu nanti akan terserlah peranan seorang hartawan Arab yang bernama Osama bin Laden yang kini menjadi orang buruan Amerika. Tetapi akhbar rasmi dunia Islam ada menyebut Osama berada di Afghanistan kerana membiayai usaha mendidik anak-anak pejuang Afghanistan yang sudah mati syahid. Amerika marah dengan kumpulan Taliban kerana beberapa masalah seperti ketuanan pengangkutan candu dan dadah di laluan sutera (Silk Route), dan penjualan senjata penembak pesawat terbang yang dibekalkan kepada Taliban untuk menumpaskan jet Russia, tetapi telah dijual kepada musuh Amerika untuk membolehkan mereka mempelajari teknologinya. Kini, sudah terdedah rahsia betapa orang luar beminat untuk mempengaruhi kerajaan Taliban kerana sebab-sebab lain, yang akan kita bincangkan dalam bahagian terakhir tulisan ini.

Apabila Mahathir mengarahkan Norian Mai menuduh beberapa pemuda Melayu berjuang di Afghanistan dan mengaitkan mereka kepada ura-ura menjatuhkan kerajaan Mahathir, saya pernah membantah dengan menulis bahawa kelentongan Mahathir yang terbaru itu tidak akan dipercaya lagi oleh rakyat terutama sekali orang Melayu. Pada hemah saya kalau ada kumpulan Melayu yang terlatih dan mampu menggulingkan kerajaan Mahathir, mereka adalah orang Melayu dalam ATM sekarang dengan sokongan padu bekas askar Melayu yang sudah bersara. 

b)  Kemungkinan Rampasan Kuasa Oleh Angkatan Tentera

Sebenarnya, apabila Norian Mai menuduh anak TG Nik Aziz bersama kawan-kawannya berpotensi menjatuhkan regim Mahathir, dia sudah terlalu jauh tersasar sebagai seorang Ketua Polis Negara. Begitu juga gelagatnya dulu apabila menahan Ezam dan kawan-kawannya di Kemunting sekarang ini. Tuduhannya ialah Ezam bersama sahabatnya itu mahu menggulingkan kerajaan dengan menyimpan beberapa senjata api termasuk pelancar roket. Sehingga hari ini tidak ada satupun bukti wujudnya senjata api itu ataupun pelancar roketnya. Kemudian, Norian Mai dan menteri kabinet Mahathir bersuara lantang mengaitkan kumpulan penjahat yang ditangkap mengebom sebuah kedutaan di Jakarta sebagai sebahagian anggota militan yang bersekongkol dengan orang Malaysia. Malang bagi Norian Mai penjahat Indonesia itu sendiri telah menafikannya.

Satu ketika yang terdekat Norian Mai pernah berbohong secara terbuka: Ketika Episod Al-Maunah tercetus Norian Mai kerap memberikan kenyataan akhbar yang memeningkan risikan tentera, sehingga dia menceritakan bagaimana seorang Jeneral komando menepis senapang Amin. Sedangkan ketika jeneral itu melangkah ke pondok di atas Bukit Jenalik, Amin dan kawan-nya sudahpun tertiarap di bumi setelah di ‘serang’ oleh komando polis. Disebabkan kelentongan 'yang sudah sedikit lebih' daripada Norian Mai, Jeneral Zaini terpaksa berlakon pula menceritakan bagaimana dia menepis senapang Amin sehingga tertembak salah seorang anak-buah Amin pada hari terakhir sebelum Al-Maunah menyerah kalah. Malangnya, Norian Mai dan Jeneral Zaini tidak teringat bahawa mereka boleh merancang, tetapi Allah merancang juga. Apabila mayat ‘komando’ Al-Maunah itu diperiksa oleh doktor, autopsinya merakamkan bahawa mayat itu sudah tertembak tiga hari sebelum ‘peluru yang dilepaskan oleh Amin’ mengena kepalanya.

Apabila autopsi itu tersebar secara rahsia tetapi meluas ke seluruh negara, anggota tentera Malaysia merasa malu kerana ada anggota polis yang menyindir mereka selalu. Inilah salah satu sebab kenapa anggota ATM memusuhi Mahathir dan polis. 

Ketika kes Al-Maunah muncul dulu, kerajaan melarang sesiapa menyebut bahawa 'rompakan senjata untuk menggulingkan kerajaan' adalah sandiwara kerajaan. Tetapi, sehingga kini, dua tahun sudahpun berlalu, kerajaan masih tidak mampu menyelesaikan kekusutan fikiran rakyat yang sedar bahawa Bukit Jenalik sebenarnya satu sandiwara di mana skripnya dirancang di Putra Jaya. (Sila lihat Berita Harian, Rabu 2 Ogos 2000, muka surat 2 bawah tajuk 'SAUK - PAS perlu henti hasut rakyat' olahan Wan Hazmir Bakar). Bayangkan sendiri, apakah perasaan rakyat jelata apbila mereka memikirkan nasib ahli keluarga kesemua mereka yang ditahan itu? Bagaimana dengan anak dan isteri mereka yang masih ditahan kerana menganggotai Al-Maunah dan bagaimana pula kisah ahli-ahli Al-Maunah yang lain yang ditangkap tetapi tidakpun tahu-menahu akan hal Episod Bukit Jenalik. Soalnya sekarang, hanya segelintir sahaja yang terbabit di Bukit Jenalik itu, benar-benar melakonkan episod tersebut sedangkan sebahagian besar yang lain menjadi mangsa lakonan mereka.

Kewujudan lakonan dan sandiwara dalam episod Bukit Jenalik itu semakin disedari oleh rakyat apabila Mohd. Amin berpura-pura ‘naik gila’ dalam mahkamah. Dia direhatkan dan diberikan kelepasan untuk tidak menghadirkan diri di mahkamah. Alangkah pelik kisah ini, sedangkan yang sepatutnya dilaksanakan ialah menghantarnya untuk pemeriksaan doktor pakar yang rapi menentukan apakah dia sudah benar-benar gila ataupun sengaja buat gila-gila? Malahan, saya sendiri hairan, sejak Karpal Singh menjadi peguam bela Mohd. Amin, perangainyapun nampak berubah apabila dia bercakap hal politik di luar mahkamah. Sudah beberapa kali Karpal menyebut perkara yang tidak sepatut dituturkannya dalam memperlekehkan PAS. Karpal Singh bertindak seolah-olah dia tahu sesuatu yang sebenarnya berlaku kepada Mohamad Amin. Jika tidak, kenapakah dia sendiri tidak mengusahakan agar Amin dihantar untuk diperiksa oleh doktor pakar?

Apabila satu kumpulan perompak yang dianggotai oleh anggota tentera melakukan serangan terhadap kem tentera dan mencuri senjata api dan kelengkapan perang, secara hukumnya, mereka adalah kumpulan yang cuba menggulingkan negara. Dengan lain perkataan mereka adalah kumpulan yang cuba merampas kuasa. Malahan, kalau kita lihat semua rampasan kuasa tentera di Afrika, bilangan askar yang telibat pada serangan awal adalah lebih kecil lagi daripada kumpulan di Bukit Jenalik. Kenapakah kumpulan Mohd. Amin di Bukit Jenalik tidak dituduh merampas kuasa? Jawapanya ialah mereka bukan ditubuhkan untuk merampas kuasa. Kalau mereka benar-benar mahu merampas kuasa mereka tidak perlu menguji senjata secara menggila menembak dahan kayu di situ, bertalu-talu sedangkan tempat pekhemahan mereka itu adalah lorong orang kampung lalu. Bukankah arwah Jaafar Putih ditangkap di situ?

Ramai pemimpin UMNO yang menggunakan episod Sauk untuk memperlekehkan PAS dan menggunakan perkataan ‘jihad’. Malahan, Mahathir pernah berucap di London memperkenalkan konsep Jihad ala-Mahathir. Penulis pernah mengupas gelagat Mahathir di London itu dalam YTDT 2: 'Yang Terbang Akan Pasti Terbang Jua'. Dalam tulisan itu ada dipetik laporan Bernama bertarikh 4 Oktober 2000 muka surat 2. Saya ingin petik satu perenggan tafsiran jihad ala-Mahathir itu: 

"Kumpulan Al-Maunah yang baru-baru ini cuba melakukan pemberontakan bersenjata bagi menggulingkan kerajaan adalah pergerakan serpihan sebuah parti Islam dan mereka percaya kerajaan kafir mesti digulingkan menerusi kekerasan. Oleh kerana umat Islam terlalu sibuk dengan perbahasan yang tidak habis-habis, negara menjadi mundur dan umat Islam ketinggalan berbanding orang bukan Islam. Apabila era perindustrian tiba, kita tidak langsung menyedarinya hingga tidak cuba berubah dan mengambil peluang daripadanya untuk mengekalkan pembangunan. Sekarang kita dapati mereka sudah memasuki era teknologi maklumat. Kini, kita tidak dapat bersembunyi di sebalik sempadan, menghalang aliran masuk modal, perniagaan dan maklumat,” kata Mahathir.

Saya mengharapkan WM Reformasi dapat sambungkan semula siri itu untuk dibaca bersama. Dalam kisah Mahathir memperlekahkan bangsanya sendiri di tanahair dengan mencemuh mereka di negara Barat saya ada menulis begini:

Mampukah semua masyarakat di bandaraya London itu memahami betapa di sebalik segala cakap Mahathir di London itu ada dua buah negeri Islam di Malaysia di mana hak rakyat ke atas royalti minyak dan gas telah diselewengkan oleh Mahathir bin Mohammad. Apakah jenis jihad yang mahu dijualnya di London sehinggakan rakyat Islam di Terengganu dan Kelantan sengaja didera untuk menidakkan hak mereka kepada royalti itu? Bagaimana pula dengan keadaan rakyat marhaen yang masih merempat di negara sendiri kerana hutang besar setelah pasaran BSKL lingkup disebabkan mainan nafsu serakah para kroni Mahathir itu?"

Kalau Mahathir memang serius untuk berjihad, Malaysia sudah mampu melakar satu sistem bagaimana pendatang asing mampu bekerja di negara ini dengan sah dan pulang ke negara mereka setiap dua tahun dengan sah juga. Tentu tidak banyak bangunan pencakar langit yang kosong tanpa disewakan selain menjadi pusara konkrit yang menyemadikan jasad pendatang haram ini yang mati kerana kemalangan sewaktu bekerja. Tentu sekali Allah tidak menurunkan pelbagai bentuk musibah ke negara ini secara bersiri dan bersilih ganti."

Jihad apakah yang patut dijadikan model (contoh) oleh Mahathir kepada dunia luar kalau majoriti rakyat Malaysia masih lagi kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati, sambil berdoa kepada Illahi, agar si diktator tua itu cepat pergi?

Mahathir Mengajar Melayu Berjihad.

Orang Melayu naik getek apabila Mahathir dan para pengampunya mengingatkan Melayu agar bersyukur kerana kecemerlangan UMNO. Sebenarnya Mahathir dan pemimpin UMNO dan juga warga istana harus bersyukur kerana angkatan tentera Malaysia tidak merampas kuasa, walaupun cara dan jalannya sudah ditunjukkan oleh Mahathir di Bukit Jenalik. Majoriti anggota askar di negara ini adalah orang Melayu, kalau mereka tidak BERIMAN Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO sudah lama kehilangan kuasa dan mungkin merengkok dalam penjara, itupun kalau masih bernyawa. Penulis ada memberikan beberapa kiasan kenapa Mahathir dan UMNO harus bersyukur dalam hal ini. Sila baca Siri MMM 9: Melayu Sudah Menjadi Hamba Abdi UMNO. Saya ingin petik sedikit secara tebuk-menebuk apa yang ditulis dalam siri tersebut:

-  Kelemahan Tabung Haji dan Semua Institusi Kerajaan:

“Rakyat marhaen sudah semakin sedar betapa Mahathir dan orang-orang kesayangannya menyalahgunakan wang rakyat di Tabung Haji, KWSP, dan pelbagai dana Amanah Saham. Bila Ezam menonjolkan agenda ‘mengawasi wang rakyat’ dia sebenarnya menjolok sarang tabuan di mana segala bajingan Mahathir sedang bersarang. Bayangkan apa yang berlaku di Tabung Haji (Saya tulis ini pada bulan Mac, 2001)

Kerajaan India sanggup mengeluarkan subsidi kepada sekitar 75,000 (tujuh puluh lima ribu) jemaah haji di kalangan rakyatnya yang beragama Islam. Tetapi, kerajaan India adalah kerajaan Hindu. Di Singapura pelbagai potongan (rebat) sedang diberikan kepada rakyatnya. Tetapi, apabila orang Islam Malaysia pergi mengerjakan haji dan umrah setiap tahun kosnya dinaikkan lagi. Soalnya sekarang bagaimanakah MAS setiap tahun kalah tender untuk mengangkut jemaah haji ke tanah suci. Bagaimanakah syarikat perkhidmatan udara yang dikuasai oleh seorang klon diktator tua boleh memenangi tender itu? Apakah rakyat marhaen tidak boleh berfikir bahawa MAS kalah tender kerana disuruh menaikkan sebut-harga tendernya? Bukankah ‘Air-Asia’ pada asalnya satu syarikat perkhidmatan udara yang diasaskan oleh Tan Sri Ting?.......

Kita juga ghairah mahu mengetahui bagaimana Tabung Haji tidak mampu memberikan dividen yang lebih tinggi daripada yang diisytiharkannya. Jawapan seperti yang saya nyatakan dulu ialah dengan mengetahui apakah jenis saham yang dipegang oleh Tabung Haji secara terkini. Hasil tulisan saya dulu, saya telah menerima maklumat pegangan saham yang dibeli oleh beberapa Dana Amanah bank di negara ini. MasyaAllah, terkejut saya kerana kebanyakan pegangan tabung dana ini adalah saham-saham kepunyaan para kroni sahaja. Inilah sebabnya Ezam disokong oleh rakyat marhaen kerana pihak yang arif mengenai pasaran saham sudah lama tahu bahawa salah satu sebab kenapa pasaran BSKL menjadi lemah ialah kerana terlalu banyak saham para kroni yang dibeli oleh Dana Amanah ini, sedangkan hampir semua Tabung Dana Amanah ini menjual sahamnya kepada orang Melayu kelas pekerja. Hampir semua pembeli saham amanah meminjam daripada bank. Cuba banyangkan nasib rakyat marhaen yang meminjam duit bank membeli saham ASJ dengan harga par RM1 sedangkan harganya sekarang sekitar dua puluh sen (purata) sahaja. Bayangkan azab dan sengsara rakyat marhaen yang mengikut nasihat para penyangak dalam UMNO untuk meminjam duit bank untuk melabur dalam dana amanah ini. Bagaimana pula keadaan mereka yang kini sudahpun diberhentikan kerana proses pembuangan pekerja kerana kilang ditutup ataupun perniagaan yang lingkup?

Munculnya Pergerakan Bawah Tanah

Dua tahun yang lalu, Mahathir telah menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-42, dengan ucapan menakutkan secara menyebut kemunculan kumpulan agama dan perkauman yang ekstrim. MGG Pillai ada mengupas perkara ini dalam satu artikel berjodol: 'The Millenium: A Far Cry From Midnight.' Saya ada menterjemahkannya dengan memberi tajuk: MGG65: 'Alaf Yang Kelam' Menjelang sambutan kemerdekaan tahun itu, MGG Pillai ada menulis kisah penculikan di Jolo yang saya terjemah dengan tajuk: 'Pembabitan Seorang Jeneral Bersara dalam Penculikan'. Yang anehnya sandiwara di Jolo itu tercetus sama dengan tarikh kemunculan Lee Kuan Yew di Malaysia. 

Pada kali ini, kedatangan Lee Kuan Yew diiringi pendedahan betapa Malaysia seolah-olah menjadi sarang pergerakan ‘ekstrim' Islam.

- Wan Norhayati Menjadi Saksi?

Sejak beberapa hari selepas sambutan kemerdekaan muncul nama seorang ‘drop-out’ universiti bernama Wan Norhayati. Gadis yang gagal meneruskan pelajarannya telah ‘menyingkap’ segala keburukan pergerakan penuntut Islam yang ‘sibuk dengan kerja-kerja’ yang sia-sia kerana terpengaruh dengan ajaran PAS. 

Kita mahu tanya orang UMNO dan Mahathir sendiri dalam hal ini, kerana tidak ada guna menyoal Wan Norhayati, kerana dia tidak cerdik lagi:

- Daripada ribuan ramai pelajar Islam yang turut bersama Wan Norhayati dalam usrah dan kelas agama tajaan PAS itu, berapa ramaikah yang tidak lulus dan gagal dalam pengajian mereka ?

-  Apakah mata pelajaran yang diambil oleh Wan Norhayati di universiti itu dan bagaimanakah dia diterima masuk untuk belajar? Adakah dia menerima sebarang biasiswa ataupun dermasiswa ataupun masuk dengan tajaan sendiri kerana kelulusannya setakat dagu sahaja?

-  kalau ramai pelajar yang gagal bersama Wan Norhayati dulu, ke manakah mereka kini? Adakah antara mereka itu yang terus berjihad di Ambon dan Afghanistan? 

-  Pendedahan Wan Norhayati dan pendedahan bawah tanah para pelajar universiti adalah satu unsur yang menakutkan bukan sahaja rakyat negara ini malahan para pelancong daripada luar negara. Apakah kerajaan sedar, budaya menakutkan ini membuatkan stadium permainan perlumbaan saringan Sukan SEA ketandusan penonton? 

- Apakah kerajaan tidak fikir, proses menakutkan dengan kewujudan kumpulan militan di negara ini sudah dijadikan bahan oleh penganjur syarikat pelancongan dan penerbangan di Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia dan U.A.E. malahan di London agar pelancong 'melupakan dulu Malaysia kerana ancaman keganasan yang diperakui sendiri oleh kerajaan?'

Isu Keganasan Militan Islam yang Diada-adakan

Cuba tanya diri sendiri kenapakah agama Islam dijadikan bahan ejekan setiap kali Lee Kuan Yew tiba di negara ini? Yang terfikir oleh saya (ketika ini) ialah isu itu akan menjadi bahan hangat yang akan mendapat liputan meluas dunia kerana Lee Kuan Yew datang bersama puluhan pemberita akhbar dunia. Lagipun Mossad yang merupakan badan perisik Israel dan kumpulan Freemason menjadikan Singapura sebagai ibupejabatnya di rantau Asia-Pasific. Sekaligus, Mahathir mendapat liputan yang luas di Amerika dan dunia Kristian. 

Tetapi, Mahahtir baru sahaja membubarkan (melalui proksinya Tok Uban) dewan undangan negeri Sarawak yang akan mengadakan pemilu negeri pada 27 September nanti. Di Sarawak, tentangan terkuat Taib dan PBS nanti ialah orang Islam. Oleh itu PAS yang dijangka akan bergiat dalam kempen di sana sudahpun diperlekehkan dulu sejak beberapa bulan yang lalu oleh Mahathir. 

Sebagai orang Islam kenapakah Mahathir merestui segala kerja memperlekehkan Islam, semata-mata tidak mahu melihatkan PAS bertapak di Sarawak? Apakah salahnya kalau PAS berjaya memenangi satu dua kerusi di Sarawak? Kalau selama ini ramai orang yang beragama Kristian yang menang di Sarawak bukan kerana kempen yang kuat oleh BN, tetapi kerana kuasa dan pengaruh sokongan besar-besaran oleh Gereja Kristian Malaysia Timur dengan sokongan padu Ibupejabat Wilayah Katholik di Manila, apakah salahnya kalau PAS menang satu dua kerusi untuk mula merintis pengaruh perkembangan Islam di Sarawak? 

Apakah Mahathir tidak ada berhati perut melihatkan nasib orang Melayu yang masih beragama Islam semakin tertindas di Sarawak? 

Demikianlah jalan cerita Mahathir memerintah negara ini selepas sambutan kemerdekaan yang ke-44. Segalanya kucar-kacir sehinggakan Mahathir sendiri naik bingung yang mana satu yang benar-benar fakta dan yang mana satu hasil kelentong yang bertujuan mahu menyokong pemerintahannya sehingga pemilu yang lagi satu.

Kita sudah dapat sindiran tajam betapa Mahathir sedang melangkah satu titian yang amat licin dalam hutan rimba politik yang liar kerana terlalu banyak haiwan lapar. Kerana itu dia terpaksa bermain api untuk menakut-nakutkan sesiapa yang mahu menjatuhkannya. Lagi kerap dia bermain api lagi terdedah kedudukannya yang rapuh. Mahathir sudah kehilangan kuasanya yang sebenar. Kerana itu dia banyak bergantung kepada polis Malaysia menjaga keselamatannya. 

Hampir segenap lapisan masyarakat sudah dimusuhinya. Rakyat marhaen yang dulu mudah ditipu kini sudah semakin pintar untuk memperlekehkan sahaja setiap sandiwara yang Mahathir lakonkan. Angkatan Tentera Malaysia yang sekian lami digula-gulakan oleh Mahathir sudah memihak kepada rakyat. Semakin lantang kedengaran nyanyian: 'Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada'. Mahathir dan pemimpin UMNO sudah memusuhi pelajar dan pensyarah Universiti dan golongan guru-guru di sekolah. Yang diharapkannya ialah segelintir kumpulan pensyarah yang mata duitan dan gila pangkat untuk meneruskan propagandanya. Kini, Mahathir terus menggunakan kuasa polis negara untuk membohongi rakyat terutama yang ada di desa. (Kita akan sambung kisah ini dalam tulisan yang lagi satu menerangkan apakah unsur-unsur yang membuat Mahathir berkelakuan ganjil kebelakangan ini, InsyaAllah.)

Sejarah akan merakamkan ada anggota polis yang akan bangkit memutarkan perjalanan sejarah di luar jangkaan semua rakyat di negara ini. Bukankah itu yang berlaku kepada Mahatma Ghandi, Indira dan Rajiv Ghandi di India? Bukankah itu juga kisahnya yang terjadi pada Gus Dur di Indonesia? M@R
 

- Marhaintua -
5 September, 2001.


Siri MMMM boleh diakses melalui link yang terdapat di kolum kiri muka depan M@RHAEN atau klik di sini: Bab 8 - Bab 7 - Bab 6 - Bab 5 - Bab 4A - Bab 4B - Bab 3A - Bab 3B - Bab 3C - Bab 2A - Bab 2B - Bab 1A - Bab 1B
Cucu Datuk Bahaman: Jangan Ghairah Sangat Bermain Api!

Marhaintua: Yang Berkobar dan Berkibar
Newsweek: Helping Hands 
Fitnah e-Umno: Episod Al-Maunah 
Marhaintua: Yang Terbang Akan Pasti Terbang Jua (Mindarakyat)
MGG Pillai: The Millenium: A Far Cry From Midnight 

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!