.... Siri MMMM
Kebangkitan Reformasi Di Malaysia
Bab 3C
Oleh: Marhaintua


Indah Khabar Daripada Rupa

Propaganda British mengena sasaran apabila menyebut akan pengaruh komunis yang berbisa. Sebenarnya, British sengaja mencipta sedikit kekecohan serangan komunis sekali-sekala untuk menakut-nakutkan sahaja. Kalau ada serangan di pusat kawalan di perkampungan baru pada malam hari, kebanyakan serangan itu dilaksanakan secara rambang oleh tentera British sendiri untuk mencetuskan keadaan betapa bahayanya pengaruh komunis di negeri ini. Ada juga serangan itu dilaksanakan oleh komunis Cina sebagai alasan memudahkan permintaan ketua masyarakat Cina perkampungan mereka menuntut sesuatu kemudahan yagn baru daripada British sebagai bahan pelembutnya. 

Demikianlah British dengan propagandanya untuk terus mencengkam negara ini. Orang Melayu terus dimangsakan walaupun orang Melayu tidak pernah mencetuskan apa-apa masalah terhadap penjajah. 

Orang Melayu yang taat membayar cukai pintu dan menjaga keselamatan masing-masing sehingga bersabar ketiadaan bekalan api dan air telah dinafikan hak hidup bebas dan kenikmatan kemudahan utiliti seperti masyarakat Cina dan India kerana mereka akur dengan kerajaan untuk tidak mencetuskan sebarang huru-hara.

British memang menyedari kesetiaan Melayu walaupun mereka kurang berinteraksi dengan masyarakat Melayu di kampung dan desa. Pihak British menerima laporan harian mengenai keadaan keselamatan kampung dan desa melalui Benggali penjual roti ataupun gula tarik (gula yang diperbuat dengan mengisar bijian gula menggunakan kuasa putaran roda basikal) yang bergerak dari satu kampung ke kampung dan melalui mamak jual kain palaikat ataupun penjual roti canai dan teh tarik di hujung setiap kampung. Inilah rangkaian talibarut British di zaman dulu. Ada juga banggali yang diberikan modal menternak sapi dan kerbau untuk bekalan susu segar British dulu. Pada waktu yang sama mereka merupakan pengumpul maklumat keselamatan negara. 

Sebelum dibenarkan menjadi penggembala dulu, mereka pernah bertugas sebagai askar 'The Indian/Punjabi Rifles', ataupun warden di penjara. Apabila pencen, mereka dibenarkan menjadi jaga dan pengawal di sekolah-sekolah dan panggung wayang. Oleh kerana penternakan lembu dan kerbau sapi memerlukan lori untuk pengangkutan apabila binatang ini mahu disembelih di rumah sembelihan, kita dapati penggembala sapipun mempunyai rangkaian pengangkutan lori yang ditaja bersama dengan ‘Gudahara’ (rumah ibadat kaum benggali). Sekaligus kita dapati pada zaman dulu, ini juga masyarakat yang menguasai pengangkutan bas dan lori di pekan dan bandar. Alangkah pelik perkara ini. Kenapakah tidak ada orang Melayu yang diberikan lesen mengendalikan pengangkutan bas dan lori di zaman British sedangkan hampir semua pemandu orang putih adalah orang Melayu? Kenapakah British tidak berunding dengan pemimpin Melayu ketika itu agar sekumpulan masjid dan suarau menjadi tuanpunya bas dan lori untuk pengangkutan awam? Kenapakah tidak digunakan zakat yang dikutip daripada umat Islam ketika itu untuk dijadikan modal perusahaan ini? Kalau benggali boleh dibenarkan menjaja roti di perkampungan Melayu, kenapakah British tidak mengajar beberapa anggota tentera dan polis cara-cara membuat roti dan galakkan mereka menjaja sambil merisik rahsaia?

Melayu Yang Malas dan Mudah Lupa

British juga memerintah melalui sistem pecah-belah dan perintah. Satu ketika dulu kita telah bincangkan bagaimana British menggunakan guru-guru yang didatangkan daripada India untuk menyebarkan maklumat songsang di sekolah-sekolah, masjid, gereja dan kampung-kampung. Kerana itu masyarakat guru merupakan masyarakat yang terlalu dimuliakan oleh bangsanya. Mereka celik huruf dan boleh membaca. Apa yang mereka katakan, orang kampung percaya. Mereka yang datang membujang mampu mengahwini dara pingitan kampung dan yang datang daripada keluarga ternama setiap masyarakat. Sekaligus mereka dapat menyebarkan apa juga bentuk propaganda yang diputarkan dalam minda mereka.

Sebalik semua propaganda itu apakah yang diberitahu oleh British mengenai orang Melayu? Mereka kata Melayu itu 'Malas', 'Pelupa' dan suka 'Mengamok'. Tetapi, apakah asas mereka membuat andaian yang sungguh mengaibkan itu? Siapakah yang malas dan pelupa serta mengamok? Apakah orang kampung yang bertani itu malas, sedangkan apabila selesai menanam padi mereka terpaksa bertungkus lumus di bendang menghalau burung dan mencari sarang tikus untuk dimusnahkan? Kalau mereka menoreh getah di kampung, mereka kena pergi selepas waktu subuh menoreh getah sebelum matahari naik. Kalau terlambat, aliran getah akan lembab dan merugikan? Pada sebelah petang, mereka pergi semula ke kebun untuk mengutip getah sekerap. Mereka bekerja setiap hari kecuali waktu hujan dan hari Jumaat. Kalau hari hujan mereka pergi ke bandar untuk membeli peralatan berkebun. Pada hari Jumaat adalah hari kelepasan mereka. Inikah yang dikatakan satu bangsa yang malas?

Apakah Melayu yang bertugas dalam pasukan keselamatan itu malas? Bukankah banyak penyimpan sejarah British yang menulis akan keberanian askar Melayu dalam buku sejarah ketenteraaan mereka? Kalau Lt. Adnan seorang pemalas, bagaimanakah dia berani mempertahankan Bukit Chandu sehingga titisan darah terakhir untuk membolehkan British dan para peniaga Cina dan India yang kaya-raya melarikan diri ke India dan Filipina? Askar Melayu yang menggunakan nombor askar 000001 ialah Allahyarham Abdul Samad. Selepas perang dia bekerja sebagai pemandu Bas Serijaya. Kalau dia malas, tentu dia terus melekap di rumah bekerja kampung sambil menjaja cerita keperwiraaannya. Dia pernah berhijrah ke Perlis untuk mencari rezeki yang halal dan pulang semula ke kampung halamannya di Bukit Dukung, Cheras. Salah seorang anak lelakinya mungkin masih menetap menjadi pegawai keselamatan di Kedutaan Malaysia di Den Hag. 

Siapakah yang sebenarnya malas dan pelupa? Kalau British tahu mengenang jasa selepas perang dulu sepatutnya dia membangunkan Sungai Ramal, tanah kelahiran Lt. Adnan ataupun membuat sekolah di Bukit Dukung kampung halaman Abdul Samad. Bukankah itu sebesar-besar pembalasan tanda hormat yang boleh dilakukan oleh British?

Contoh Melayu Malas dan Pelupa

Kalau Melayu di kampung tidak malas dan Melayu dalam pasukan bersenjata tidak juga malas, Melayu manakah yang mendesak minda British hingga celupar mengatakan Melayu itu satu bangsa pemalas dan pelupa? Kita akan sambung jawapan ini pada Bab yang lagi satu.

Oleh kerana British pintar mengawal aliran maklumat pada zaman dulu, maka orang Melayu menjadi khayal dan percaya bahawa British memang pandai. Memanglah British pandai sehinggakan setiap hari orang Melayu disuruh berdoa agar Allah memanjangkan nyawa British dan empayarnya, orang Melayu lakukan dengan bersahaja dengan sedap suaranya lebih enak lagi daripada orang putih yang asli. Cuba dapatkan lirik lagu kebangsaan Britain dan anda akan sedar bahawa lagu itu adalah berunsur satu doa kepada Allah juga.

God saves our gracious Queen, Long live our noble Queen, God save the Queen....... sila baca http://www.copcity.com/anthems/uk.html

Lagu kebangsaan itu adalah berbentuk gospel yakni doa minta Allah panjangkan umur Raja ataupun Ratu yang bertakhta. Bayangkan bagaimana orang Melayu diajar dengan kesetiaan begitu sedangkan mereka tidak pernah melihat wajah raja putih itu sepanjang hayat mereka menyanyikan lagu itu. 

Sejarah berulang kembali, kini orang Melayu dikotak-katikkan lagi. Walaupun negara sudah merdeka selama 44 tahun, di mana hampir setengah usia kemerdekaan negara ini dijajah dan ditadbir oleh soerang maharajah tua yang sudah sewel otaknya, orang Melayu masih percaya mereka sudah lama merdeka. 

Merdeka apa yang Melayu banggakan apabila sesiapa sahaja boleh ditahan di rumah mereka dan diculik serta dituduh bawah akta zalim peninggalan penjajah dulu dan dinafikan hak dikenakan tuduhan di mahkamah? Merdeka apakah yang Melayu banggakan kalau ada yang mudah dituduh sebagai militan kerana pernah belajar di Pakistan dan dituduh pernah memegang senjata sebagai mujahidin? Apakah menjadi satu dosa besar kalau orang Melayu memegang senjata dan menjadi seorang mujahidin? 

Setiap tahun terdapat sekitar 5,000 askar melayu yang tamat perkhidmatannya dalam angkatan tentera Malaysia (ATM). Inilah anak Melayu yang cukup terlatih dalam ketenteraan kerana ada yang telah berkhimat di luar negara. Kalau mereka berkhidmat di Bosnia merekapun boleh dianggap bekas mujahiddin. Kenapakah mereka ini tidak menjadi bahan syak wasangka pihak polis pimpinan Norian Mai? Bukankah mereka ini lebih hebat daripada segelintir Melayu yang belajar di Pakistan? Apakah kemungkinan lepasan ATM ini tidak boleh bangkit dan merampas kuasa daripada seorang maharajah tua?

Apakah Mahathir dan sidang penasihat hapraknya tidak memikirkan segala kemungkinan ini? Ataupun apakah anggota ini berkemungkinan menjadi sasaran penangkapan Norian Mai yang boleh dijangkakan? Kalau anggota tentera yang masih berkhidmat semakin berani menyokong perjuangan Barisan Alternatif, apakah yang dapat kita teka seterusnya dalam percaturan politik UMNO dan Mahathir? 

TAMAT

-Marhaintua- 24.08.01.

Klik untuk terus ke:
Bab 3A - Bab 3B - Bab 3C

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!