.... Siri MMMM
Bendera Dalam Tamadun Manusia
Bab 2A
Oleh: Marhaintua

Bendera dan panji-panji adalah sinonim dengan perasaan manusia. Sejak manusia kenal erti tamadun, bendera telah menjadi satu lambang yang penting untuk manusia menyerlahkan apa persaan hatinya: bangga, marah, pilu, suka, geram, cemas, mahu menyerang, menerima takdir dan sebagainya. Kerana itu sejak zaman dulu lagi, kita dapati sesuatu bendera itu dianggap sebagai sehelai kain yang bekeramat sehinggakan bendera itu dijadikan lambang yang mempunyai unsur-unsur azimat.

 Kalau kita buka sejarah purba setiap bangsa yang besar di dunia ini, kita akan dapat membaca kisah betapa bendera dan panji-panji memainkan peranan penting dalam kemajuan tamaddun bangsa itu. Eloklah kita rakamkan sedikit peranan bendera ketika dulu:

a)  Bendera sebagai kekuatan perang: 

China, Korea dan Jepun memberi penekanan kepada bendera sebagai lambang kekuatan bala tentera mereka. Dalam kajian ‘Muslihat Perang Sun Tzu’ kita diberi tahu panji-panji ataupun bendera kecil sengaja dipasang berderetan menyaluti batang puluh yang panjang. Apabila ditegakkan dan dilihat dari jauh menunjukkan seolah ribuan bendera yang dipegang oleh pasukan perang. Sehingga hari ini kita dapat lihat bendera yang berwarna-warni masih digunakan di kawasan rumah ibadat orang Cina yang berfahaman Konfusinisme dan Buddhisme.

Raja-raja Zulu menggunakan bendera untuk berkomunikasi antara bala tenteranya di medan perang. Waktu dulu-dulu, peperangan hanya dilaksanakan pada siang hari; bermula matahari terbit sehingga matahari terbenam. Kalau tiba waktu makan tengah hari pasukan yang berperang berhenti untuk makan dan ketika itu bendera ‘berehat’ dikibarkan untuk dipersetujui oleh semua pihak .Apabila selesai makan, dinaikkan kembali bendera tanda perang semula dan mereka mula meneruskan kerja gila.

Banyak juga peperangan dulu-dulu yang boleh dikatakan lucu, kerana cara manusia berbunuhan ketika itu. Mereka berperang hanya pada waktu siang, lengkap dengan waktu makan dan berehat juga. Pada waktu makan itu, pihak yang ‘bermusuhan’ boleh berkumpul untuk makan bersama. Perangai yang dianggap ganjil di zaman ini adalah satu perkara biasa di zaman dulu. Kebanyakan peperangan dulu adalah kisah menguasai takhta dan kawasan yang kerap ditandingi oleh pihak yang diketuai oleh adik-beradik yang baru kematian raja dan bapa mereka. Jelas, kerana gilakan kuasa ataupun mahkota raja, rakyat jelata disuruh berbunuhan sesama sendiri, sambil ketua yang mengepalai peperangan saudara itu mampu berdamai untuk menyelesaikan masalah peribadi.

 Peperangan saudara yang bergantung kepada rakyat jelata yang sedia ada, selalunya tidak memakan banyak masa, kerana ketahanan askar yang berperang baik dari segi keupayaan tenaga mahupun keupayaan mental. Kerana itu dalam sejarah Melayu kita terbaca bagaimana perang saudara dalam sesuatu dinasti dilaksanakan dengan bantuan bala tentera asing yang datang membantu. Itu sebabnya sejarah peperangan raja-raja Melayu diwarnai penglibatan askar Bugis, Aceh, Jawa, Majapahit, Banjar, Minang, Siam dan pasukan daripada Barat. Sekali lagi bendera memainkan peranan yang besar kerana dijadikan alat komunikasi di medan perang.

b)  Bendera Sebagai Alat Komunikasi

Mula-mula sekali bendera digunakan sebagai lambang identiti, makanya kita ada bendera negara dan negeri serta bendera institusi seperti bendera PBB, ataupun bendera mazhab sesuatu agama ataupun bendera yang melambangkan status seseorang. Di zaman dulupun ketika berkhemah di medan perang, bendera digunakan untuk menunjukkan khemah panglima tertentu supaya mudah dilihat dari jauh oleh pasukan bawahan yang mahu melaporkan sesuatu ataupun menerima arahan.

Pada waktu itu juga, apabila raja pergi ke medan perang, dia membawa seisi istananya, terutama segala isteri dan gundeknya. Mereka ini ditempatkan di khemah tertentu lengkap dengan isyarat bendera dan panji-panji. Pada zaman itu, kalau seseorang raja ataupun permerintah kalah ketika berperang, statusnya turun serta merta menjadi hamba sahaya kepada raja yang telah mengalahkannya. Isteri dan gundeknya bertukar tangan menjadi milik raja yang menang, sedangkan dia merengkuk dulu dalam tahanan sambil memeram seribu kenangaan. 

Akan tetapi, apabila manusia semakin waras dan berfikiran jauh, ada raja yang menghantar isteri dan anak-anknya keluar kawasan perang untuk menyembunyikan diri di tempat yang dikira selamat dan disuruh pulang selepas peperangan tamat. 

Apabila tamadun manusia semakin canggih, bendera digunakan dengan lebih berperanan sehingga menjadi alat komunikasi jarak jauh yang berkesan. Bendera menjadi alat penting ketika pelayaran laut merupakan cara pengangkutan utama manusia. Maka dicipta pelbagai cara berkomunikasi dengan menggunakan bendera mengikut tahap komunikasi itu dan bidang kegunaaannya.

Kod Antarabangsa Dengan Menggunakan Bendera

Kalau kita lihat kawasan pelabuhan di mana banyak kapal sedang berlabuh, kita akan dapati kapal-kapal yang memasang panji-panji pelbagai bentuk dan warna seolah satu hiasan kepada kapal mereka. Memang, adakalanya kapal dihiasi dengan panji-panji dan bendera ketika menyambut sesuatu upacara dan majlis tertentu.Tetapi pada kebiasaannya, setiap panji ataupun bendera kecil yang dipasang di tiang tengah kapal adalah isyarat yang ditujukan kepada kapal lain ataupun kepada pihak berkenaan di pantai. 

Bendera kecil yang dijadikan bendera isyarat itu dibuat dalam lima warna sahaja: merah, biru, kuning, hitam dan putih. Bentuknyapun berbagai-bagai, ada yang empat segi seperti yang digunakan dalam perlawanan bola dan ditampal di bahagian dalamnya dengan warna tertentu untuk menjadi simbol aksara (huruf), setiap satu; ataupun mempunyai makna tertentu apabila dinaikkan di tiang bendera. Ada juga panj-panji yang berbentuk kon terbaring, yang mempunyai pelbagai warna tertentu sebagai nombor ataupun angka ataupun isyarat ulangan dan gantian. Terdapat dua puluh enam bendera ‘kotak’ yang merupakan lambang abjad, sepuluh bendera kon yang melambangkan angka, satu bendera isyarat memberikan jawapan dan tiga bendera berbentuk kon yang digunakan sebagai pengulang ataupun isyarat pengganti. 

Semua bendera yang digunakan itu mempunyai lebih dari satu makna. Bergantung kepada posisi ia dipasang, makna sesuatu bendera itu berubah dan perlu difahami oleh yang melihatnya. Umpamanya, bendera yang melambangkan huruf ‘T’ ataupun ‘Tango’, boleh juga mempunyai makna sebagai ingatan supaya kapal lain tidak merapati kapal yang memasang bendera kecil itu. Begitu juga dengan bendera yang menjadi simbol ‘P’ ataupun ‘Papa’, kalau dipasang sendirian, ia dipanggil bendera “Blue Peter’ yang memberi isyarat semua awak-awak ada di kapal kerana bersiap sedia mahu belayar. 

Dengan lain perkataan, dalam dunia maritim hingga ke hari ini, di sebalik segala kecanggihan ICT, bendera dan panji-panji menjadi lambang komunikasi yang penting.

Ada tujuh tahap komunikasi dalam dunia maritim: Satu, menggunakan setiap bendera untuk makna yang tertentu.  Isyarat yang menggunakan dua bendera selalunya merangkumi isyarat kecemasan ataupun isyarat pengendalian kapal. Isyarat menggunakan tiga bendera selalunya mengenai mata-angin, arahtuju, waktu, tandakata dan kata-kerja, nokhtah, pengiriman kod dan pembatalan kod. Isyarat menggunakan empat bendera adalah untuk nama-nama kapal, halatuju dan isyarat ilmu alam dan sebagainya. Isyarat lima bendera adalah untuk kedudukan kapal dan waktu. Isyarat ‘enam bendera’ adalah untuk menunjukkan hala utara, selatan, timur dan barat dan juga kedudukan di longitude dan latitude. Isyarat tujuh bendera adalah untuk memberikan gambaran kedudukan pada garisan ‘longitude’ (bujur) yang melebihi satu ratus darjah.

Sila rujuk: International Marine Signal Flags dan The Semaphore Flag Signalling System
Meanings of International Maritime Signal Flags

 Apabila dua bendera digunakan sekaligus ia adalah isyarat kecemasan atau pengendalian kapal. 

Contohnya:

AC: Saya mahu tinggalkan kapal (mungkin kapal tengah terbakar. Isyarat ini harus difahami oleh pengikut totok UMNO)

AN: Saya memerlukan seorang doktor, maksudnya doktor perubatan asalkan bukan Mahathir ataupun isterinya ataupun Ling Liong Sik ataupun doktor pakar bakar jambatan)

BR: Saya perlukan sebuah helikopter.

CD: Saya perlukan bantuan segera.

NC: Saya sedang cemas dan menunggukan bantuan.

DV: Saya sedang hanyut

EF: Kecemasan S.O.S. ataupun MAYDAY. Ingatkan ejaannya, bukan “MEHDET

GW: Ada orang terjatuh di laut, tolong selamatkan dia. (Yang ini mungkin banyak dipasang tidak lama lagi di rumah orang UMNO).

QD: Saya (kapal) akan maju ke hadapan

QT: Saya (kapal) akan gostan.

ZL: Isyarat anda sudah diterima tetapi tidak dapat difahami.

Pentingnya Bendera di Millenium Ini

Bendera sudah menjadi lambang perasaan manusia. Di Singapura di zaman dulu-dulu ketika British masih lagi menjajah, umat Islam memasang bendera kecil berwarna putih sebagai tanda ada kematian. Bendera itu dipasang daripada halaman rumah si mati sehingga jalan besar, sebagai panduan orang luar datang menziarah.

Di negara maju, setiap kilang dan pejabat mengibarkan bendera syarikat masing-masing setiap hari sepanjang tahun, dan bendera khas itu menjadi simbol kemegahan warga pekerjanya. Begitu juga di bidang permainan, setiap pasukan ataupun kelab permainan mempunyai bendera dan panji-panji sendiri yang dianggap oleh para penyokong sebagai sehelai kain sakti yang mereka sanjungi. 

Kita dapat melihat bagaimana negara luar memberikan sanjungan yang tinggi kepada bendera negara mereka, setiap kali ada acara sukan yang besar-besar dipertandingkan. Setiapkali seseorang pemenang sesuatu acara mendapat tempat nombor satu, dia akan mencari bendera negaranya dan berlari mengelilingi balapan sambil mengibarkan bendera itu dan melambaikan tangan kepada para penonton. Bendera yang menyelimuti badannya ketika itu adalah hadiah besar kepada jiwa dan semangatnya betapa dia menang bertarung untuk negaranya. 

 Kesetiaan manusia terhadap sesuatu bendera menjadi satu bentuk ketaksuban disebabkan bendera sudah memainkan peranan yang besar dalam tamadun moden. Jikalau kita lihat bendera Amerika Syarikat yang diberi nama ‘The Old Glory ’ ataupun ‘Star-Spangled-Banner’ kita akan dapat mengikuti betapa setiap lipatan daripada ‘12 lipatan (12 folds)’ mempunyai contoh dan makna yang tersendiri. Lipatan ini adalah merujuk kepada bentuk bendera itu dilipat selepas diambil daripada keranda mayat yang ditutupinya. Setiap lipatan ataupun kedut lipatan itu membawa makna yang sungguh besar dan menaikkan semangat orang Amerika, kerana bendera merupakan lambang peperangan saudara mereka dulu sehingga penyatuan menjadi sebuah negara berpersekutuan.

 ................bersambung ke Bab 2B

-Marhaintua- 22.08.01.


Siri MMMM boleh diakses melalui link yang terdapat di kolum kiri muka depan M@RHAEN atau klik di sini: Bab 8 - Bab 7 - Bab 6 - Bab 5 - Bab 4A - Bab 4B - Bab 3A - Bab 3B - Bab 3C - Bab 2A - Bab 2B - Bab 1A - Bab 1B

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!