.... Siri MMMM
Mana Gemilangnya Jalur Itu?
Bab 1B
Oleh: Marhaintua

Pada kali ini, aku masih keliru apa pula hajat anakku datang menziarah tanpa membawa buah tangan, seperti kebiasaanya. Itu adalah satu isyarat bagiku. Pada kebiasaanya, anakku datang ke rumah dengan membawa beberapa barang kegunaan di dapur, cukuplah untuk kami makan untuk setengah bulan, tanpa aku perlu membelinya lagi. Kadangkala dia membeli daging dan ayam untuk ibunya buatkan rendang ataupun masak kuning yang kemudiannya mereka bawa pulang. 

Tetapi, kalau dia terburu-buru, memang tidak ada masa untuk membeli sesuatu. Ataupun dia sengaja membuat begitu kerana mahu membeli di pasar-mini koperasi kampung sebagai kiasan dia masih terus menyokong. 

Aku perhatikan sahaja airmuka anakku dan melihatkan pula wajah menantuku. Aku cuba meneka apa masalah mereka, kali ini. Apakah mengenai kereta lagi ataupun masalah memilih destinasi untuk keluar negara dan bercuti. Aku terlihat isteriku berbisik dengan menantunya, sambil pelukannya masih mendakap cucunya yang nombor dua yang sudahpun berusia lima tahun. Cucuku yang sulung masih lagi dalam pelukan ayahnya yang meniti tangga, sambil berhati-hati memeluk anak yang sedang tidur-mati. 

Setelah memberikan mereka masa untuk berehat, kamipun makan malam bersama walaupun sudah terlewat. Ketika itu aku melihatkan ada keceriaan di wajah anakku dan isterinya. Entahlah, mereka ceria dibuat-buat ataupun kerana hidangan masakan ibu yang memang lazat. Aku biarkan sahaja isteriku berjenaka dan turut ketawa sekali-sekala, walaupun jenaka itu adalah lelucon purba. Memang isteriku suka mengulang jenaka lama laksana Mahathir dengan ucapannya. Setiap kali isteriku berjenaka semacam itu, anak lelakiku akan menjeling padaku memerhatikan reaksi ayahnya. Kalau dia terdengar ketawaku dia pun akan sambut dan memanjangkan hilainya satu harakat lagi. Itu sudah semacam satu perjanjian antara kami anak-beranak sejak dulu, mungkin seterusnya sehingga kami mati. Mungkin itu yang membuatkan ibunya sentiasa muda rupanya, sepuluh tahun lebih muda daripada usia sebenarnya. 

Sambil makan itu aku tidak nampak ada masalah besar antara anakku berdua. Maklumlah mereka sudah berkenalan lama dan sudah berumahtangga tujuh tahun lamanya. Dari ekor mataku aku kerap terlihat isteriku membesarkan matanya kepada anakku itu seolah-olah ada isyarat memulakan sesuatu. Sekali-sekala aku terlihat juga menantuku menyiku tangan suaminya. Aku tidak pasti apakah itu satu isyarat ataupun mereka masih bertengkar lagi, kali ini tanpa suara dan tikaman mata, cuma dengan tangan dan kaki. 

“Anak kamu berdua sudah makan, Atan?” Aku tanyakan dengan selamba setelah melihat dia hampir selesai dengan makanannya. 

Abdul Rahman begitulah nama anak sulungnya, sedangkan yang kedua bernama Abdul Razak. Yang ketiga nanti mungkin Hussin On agaknya. Yang keempat, kalau lelaki juga mungkin mereka kena fikirkan satu nama pilihan lain. Mungkin Anwar Ibrahim ataupun Ezam, gamaknya. Kalau perempuan yang muncul, mungkin mereka pilih nama Wan Azizah ataupun Bahirah ataupun Siti Farida. Pilihlah apa sahaja, kataku dulu, asalkan tidak Rafidah, Umi Fildah ataupun Darasuntik, sudahlah. 

“Belum ayah!” jawabnya pendek, seperti biasa. Dia lebih suka bercerita panjang dengan ibunya daripada dengan aku, kerana soalan balik itu yang tidak sanggup ditanganinya. 

“Kenapa terburu-buru sangat sampaikan anak tidak diberi makan dulu?” aku soal untuk mengacah sahaja. Supaya dia dapat rileks sebelum mengemukakan masalahnya? 

Atan mengerling wajah ibunya sambil aku dapat melihat isterinya menyiku lagi. Dia masih tidak menjawab soalan aku itu. 

“Hai, sejak bila kalian berdua pandai main siku-siku? Selepas dapat dua anak?” tanyaku dengan iringan sedikit ketawa. 

Atan mengalihkan tangan kirinya untuk berpeluk tubuh sambil melihat pinggannya yang sudah kosong itu. Dia melihat dulu wajah ibunya yang memberi isyarat sesuatu yang merupakan rahsia mereka berdua sejak dulu. Itulah cara mereka mengalahkan aku dengan berdalih akan sesuatu untuk menyejukkan perasaan marahku dulu. Atan sudahpun mempunyai dua orang anak, aku masih tidak tahu apakah rahsia isyarat antara dia dan ibunya. Aku memang biarkan perkara itu sebagai satu harta mereka berdua - harta menyimpan rahsia mengenai cara menipu seorang bapa. 

“Begini abah....!” kata Atan sambil memandang kepadaku. “Semalam, Tati kena marah oleh ayahnya, kerana cuba memasang bendera pada kereta kami!” 

Aku tersentak dengan pendedahan itu. Aku tidak sangka itu masalah mereka. Aku fikirkan mereka bermasalah kerana mencari kata sepakat mengenai destinasi percutian. 

Ayah Tati adalah sahabat lamaku, sorang pejuang tulen. Pernah meredah hutan hampir tiga puluh tahun lamanya, mengejar komunis dan menumpaskan petualang komando Indonesia yang mendarat di Johor satu ketika dulu. Johan nama orang tua itu yang sebaya umurnya dengan aku. Aku tahu isi perutnya kerana kami pernah tidur sebantal semasa muda dulu, cuma mimpi kami yang berbeza selalu. 

Tati ataupun Hartati adalah anak sulungnya yang kini menjadi isteri kepada anak sulungku. Walaupun dia menantuku, isteriku amat menyayanginya seperti anak perempuan sendiri. Kadangkala dia lebih berminat membincangkan perkara yang serius dengan ibu mertuanya daripada dengan ibunya sendiri. 

“Kenapa ayah kamu marah Tati?” tanyaku dengan selamba. 

Tati terdiam seribu bahasa sambil menudukkan muka. Aku kehairanan dengan sikapnya itu kerana dia seorang anak yang teguh hatinya. Kadangkala dia sahaja yang berani berdebat dengan ayahnya. Yalah.... debat seorang anak dengan bapanya, takkan dia mahu berikan ayahnya kalah, jatuhlah airmuka si ayah.... 

“Begini Yang..” kata isteriku. 

Kalau isteriku menyebut ‘Yang’ aku sudah tahu makananya. Dia jarang menggunakan perkataan singkat bererti ‘sayang’ itu melainkan untuk mengenakan aku. Tetapi, aku gembira kalau sekali-sekala dia gunakan perkataan itu. Lebih mesra daripada perkataan “awak” yang digunakan oleh warga ibu tua zaman ini. Entah kenapa agaknya, semasa muda mereka panggil ‘abang’ dan ‘sayang’. Ada pula yang panggil ‘ling’dan ‘di’ ataupun ‘dar’ ataupun darling’, Bila sudah tua hangkoi mereka tukar dengan panggilan ‘awak’. Apakah itu tanda mereka sudah kena menopos? 

Aku semakin hairan, apakah susahnya meletakkan secebis kain yang dipanggil ‘Jalur Gemilang” di cermin kereta, kalau hanya sebagai simbol menyambut ulangtahun kemerdekaan. Bukannya itu perkara baru di negara ini. 

Aku masih teringat satu ketika dulu apabila hampir setiap kereta di negara ini mencacakkan satu tiang kecil dengan sehelai kain berjalur-jalur sehinggakan menakjubkan para pelancong. Ketika itu rakyat mudah mendengar pemimpin kerajaan seperti Anwar. Pasang bendera di kereta katanya, rakyat pasang jalur gemilang di merata tempat, bukan sahaja di kereta, di bangunan tinggi-tinggi, di rumah kediaman dan kedai. Malahan ada yang memasang bendera besar di lori sehinggakan polis terpaksa menahan segelintir mereka setiap hari. Kalau bendera besar yang dipasang, mereka tidak lagi menggunakan batang penyapu sebagai tiang, mereka gunakan batang buluh dan paip-besi sebagai penegakknya. Kalau ada tiang telefon yang tumbang, mungkin ada yang mengambilnya untuk dijadikan tiang. 

Keadaan sudah berubah kini. Laungan memasang bendera dilaungkan di sana-sini. Lima belas juta bendera dikatakan akan diagihkan. Menteri yang gila menajanya semakin gila lagaknya mahukan syarikat swasta muncul dengan berbelanja menyediakan bendera. Tetapi, bagaimanakah syarikat swasta mahu menyediakan bendera, sedangkan bendera yang diagihkan oleh kerajaan tidak terpasang di kereta dan tidak diketahui mana terbangnya? 

Memang akupun hairan kenapa rakyat jelata boleh bertindak seolah-olah mereka berpakat? Tidakpun ada sebarang berita agar rakyat bermuafakat tidak memasang bendera. Setiap waktu ada siaran radio yang menyiarkan nombor kereta yang menang hadiah kerana mengibarkan bendera. Tetapi, rakyat tidak juga teringin mahu memasangnya. 

Satu ketika dulu bendera percuma diagihkan oleh kerajaan kerana bendera itu ditaja oleh MBF Holdings sebuah syarikat senaraian papan utama di BSKL. Lebih satu juta ringgit mereka belanjakan untuk menyediakan bendera. Orang ramai kagum dengan syarikat itu, lagipun pengerusinya ialah seorang anak raja istana Negeri Sembilan yang merupakan sahabat karib seorang maharajah tua. Aku turut kagum ketika itu kerana turut melihatkan beberapa pencakar langit yang tertegak di Batu Tujuh Jalan Teluk Kemang. Inilah syarikatnya yang memiliki ‘World Marina Resort’ di mana kondominium mewahnya dibeli oleh rakyat asing untuk bersantai di Port Dickson. 

Ketika mendengar kisah bendera tajaan MBF itu akupun pergi melihat apatment yang tersergam tinggi. Aku menjadi terkejut kenapa banyak sangat apartment yang tidak terjual lagi. Tidak berapa jauh dari situ banyak lagi apartment yang tinggi-tinggi yang tidak berpenghuni, kerana sijil kelulusannya belum diberikan lagi. 

Aku menjadi kehairanan kenapa, seperti hairannya aku kenapa nama Port Dickson itu tidak ditukar sahaja. Apa pentingnya menyimpan Port Dickson tanyaku pada isteri pada satu hari. 

“Aha ya!“ jawab isteriku dengan satu kehairanan juga.

“Apa salahnya PD itu dijadikan Pantai Damai?” tanyaku kepada isteri yang setia. 

“Mungkin mereka lebih selesa dengan panggilan Pidi saja” katanya. 

“Betul,” kataku. Kalau kita boleh tukarkan PS menjadi PK apa salahnya tukar makna PD itu? “ 

“Macam mana tu?” tanya isteriku lagi. 

“PS itu kan Port Swettenham, dan kini ditukarkan menjadi PK bererti Pelabuhan Kelang. Takkan nak tukar jadi PIS ataupun PISS,” jawabku. 

“Macam mana tu?” tanya isteriku lagi sambil tersenyum sikit kerana dia tahu aku mula mengusiknya. 

“PIS bererti Pelabuhan Isa Samad...!” 

“Aha...PISS itu apa..?”

“Entah,” kataku. Orang putih kata ‘terkencing’. 

Dia menganggukkan kepala. Entahkan setuju ataupun kerana sudah semakin mengantuk ketika itu. 

Memang pada waktu itu kami di PD melihatkan banyak bangunan tinggi yang tidak ada sijil kelulusannya. Bermacam jawapan yang didengar. Ada yang berkata kerana bangunan itu tidak mengikuti pelan asal yang mesti menyediakan satu tangki penyucian benda najis, yang dulukala disalurkan terus ke laut. Ialah semacam yang diuruskan oleh ‘Indah Water’ baru-baru ini. 

Aku bertanya pihak yang tahu, kenapakah di saat bangunan siap baru mahu kenakan denda kepada pemaju, sedangkan tahap kerjanya dipantau dulu-dulu untuk menentukan mereka membuat kolam kitaran air-kumbah itu? Ada yang mencebik sambil menggosok dua jari seolah-olah meniru pengurup wang mengira wangnya. “Apa maknanya itu bang?” tanya isteriku.” Itukan tanda orang kira duit?” jawabku. “Kira duit ke ataupun sogok duit?” tanya isteriku semula. 

Demikianlah pengalaman kami dengan MBF dan Port Dickson. Kami gembira ketika itu melihat MBF menaja bendera percuma di bulan merdeka. Tup-tup, beberapa minggu kemudiannya, tersiar berita syarikat itu terpaksa di ‘bailout’ oleh kerajaan. “Kalau begitu,” tanya salah seorang cucuku, rakyat yang berbelanja membeli bendera itu?” 

“Begini bang...!” isteriku menyedarkan aku daripada lamunan itu. “Tati tersinggung dengan cakap bapanya kerana menegah memasang bendera di kereta mereka.” 

Aku diam sahaja sambil memikirkan alasan besanku itu. 

“Abah...!” kata anak sulungku dengan berlembut seolah-olah dia simpati dengan isterinya. “Tati kecewa kerana ayahnya marah.” 

“Marah...?” soalku lagi. 

“Ya...! Ayah suruh kami tanggalkan bendera itu daripda cermin kereta dan tidak membenarkan kami memasanngya lagi.” 

“Hmmm,“ kataku 

“Yang buat Tati terkejut, ayahnya berkata: “Apakah kamu tahu bendera yang terpasang itu adalah lambang betapa orang Melayu sudah menjadi satu bangsa pariah di dunia ini?” 

Aku terkejut dengan cerita anakku itu. Pariah.....? Apakah orang Melayu sudah menjadi satu bangsa pariah di dunia ini? 
 

................bersambung 

-Marhaintua- 21.08.01.

Artikel terdahulu: Bab 1A


Siri MMMM boleh diakses melalui link yang terdapat di kolum kiri muka depan M@RHAEN atau klik di sini: Bab 8 - Bab 7 - Bab 6 - Bab 5 - Bab 4A - Bab 4B - Bab 3A - Bab 3B - Bab 3C - Bab 2A - Bab 2B - Bab 1A - Bab 1B

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!