.... Siri MMMM
Mana Gemilangnya Jalur Itu?
Bab 1A
Oleh: Marhaintua

Kelmarin anakku bersama isteri dan dua anak mereka datang untuk bermalam di hujung minggu. Rupanya isteriku sudah sedia tahu kedatangan mereka kerana beliau sudah lama berbincang di telefon dengan menantunya, sebelum itu. 

Tidak pula aku tanyakan apakah topiknya, kerana memang itulah stail hidup kami selama ini. Kalau ada perkara serius yang anak-anak dan menantu bincangkan, mereka digalakkan bercakap mengenainya di telefon dulu. Dengan cara itu terperam segan silu untuk bercerita benar dan menggunakan perkataan yang mereka mungkin segan untuk menyerlahkannya bila bersemuka. 

Aku boleh meneka ada sesuatu yang tidak kena, kerana isteriku lama duduk di depan rumah seolah-olah menunggu ketibaan mereka. Dia pura-pura membetulkan posisi pasu bunga di halaman rumah, seolah-olah pasu itu sudah lama terabai. Sedangkan itulah hobinya di sebelah pagi menunggukan munculnya matahari. 

Namun, teka-teki itu aku peram juga kerana mahukan keseronokan terus meneka apa yang terselindung antara seorang ibu dengan menantu perempuannya. Apakah itu masalah anak kami dengan tanggungjawabnya sebagai seorang suami ataupun sebagai seorang ayah; ataupun masalah di sebelah ibu bapanya yang mungkin marah-marah, ataupun berkaitan anak mereka yang mencetuskan masalah? 

Kira-kira satu tahun dulu, mereka menghadapi krisis rumah tangga yang serupa kerana si isteri mogok sehingga memerlukan si suami memujuk. Apabila gagal, mereka datang ke rumah untuk mendapat petunjuk. 

"Apakah kerana masalah kereta baru buat rumah tangga mencelaru?" kataku, ketika itu. 

Mereka terdiam sahaja sambil berpandangan antara satu dengan lain. Kami berbincang itu di malam hari selepas anak-anak mereka sudah lama tidur lena. Punca perbalahan adalah soal membeli kereta baru untuk menggantikan yang sudah lima tahun usianya. Si isteri mahukan kereta itu ditukar dengan yang baru, mengikut trenda selera adik-adiknya yang lain yang sudah memiliki kereta baru semuanya. Suaminya pula bersetuju tetapi tidak mahu menukarnya dengan jenis yang sama, kerana dia dapat tahu kereta jenis itu banyak yang dibawa balik dari negara luar untuk dikitar semula. Alang-alang menukar yang baru biarlah beli yang betul-betul sahih barunya. Si isteri masih mahukan ‘Proton’ juga kerana harga jual-balik memang tinggi dan banyak pilihan warnanya. Lagipun katanya, 'kita menyokong industri kereta negara'. 

Aku memang bersemangat dengan kata-kata menantu perempuanku itu. Memang ada semangat nasionalisnya. Tetapi aku bertanya hanya empat soalan sahaja untuk mereka carikan jawapannya: 

Pertama, apakah kalian sedar, ada kereta ‘proton’ yang dikatakan baru sebenarnya kereta kitaran semula dari negara barat selepas digunakan sebagai kereta-sewa? Kedua, apakah seronoknya berkereta baru, kalau kalian mesti membayar hutangnya setiap bulan? Ketiga, kenapakah tidak digunakan wang yang sepatutnya membayar hutang kereta yang bakal dibeli itu untuk kalian bercuti dengan anak-anak keluar negara? Keempat, apakah tercemar persaudaraan kalian dengan adik-beradik semata-mata kerana kalian tidak mengikut stail mereka bertukar kereta? 

Dengan soalan itu akupun berundur untuk tidur, memberikan mereka peluang mencari jawapannya semalaman mungkin merujuk dulu kepada ibu mereka sebelum memberitahu aku apa kesudahannya. 

Keesokan hari, sekembali aku daripada masjid, kelihatan anak menantuku bersama anak-anaknya sibuk mencuci kereta mereka. Suaminya tidak kelihatan di situ. Berdetik hatiku, apakah mereka sudah membuat keputusan menjual kereta itu seperti yang diingini oleh menantuku? Apakah kerana itu anak lelaki kami tidak sama mencuci keretanya? Aku diam membisu memerhatikan senario itu di sebalik jendela sambil otak tuaku terus ligat mencari jawapan lain pula. Tiba-tiba isteriku meletakkan tangan di bahu dan bertanya: “Apa yang abang fikirkan? Abang ingat pilihan mana yang mereka putuskan?” 

“Kalau melihatkan gelagat mereka,” kataku semakin percaya anak lelaki aku sengaja tidak mahu bersama mereka ketika itu, “mereka akan pulang dan menjual kereta itu.” 

Demikianlah pendapatku kerana tahu sangat pendirian anakku. Kalau dia membuat sesuatu keputusan dan akujanji tidak rasmi, dia tetap melaksanakannya. 

Isteri aku tersenyum, memberi isyarat aku tersilap. Rupanya, anakku pergi ke pasar dengan basikal tua aku. Memang begitu yang dibuatnya sekali sekala membeli-belah di kedai kampung kami sambil mengambil kesempatan bersalam mesra dengan orang kampung dan rakannya semasa kecil dulu. 

Mereka telah memberitahu ibu mereka, bahawa mereka tidak jadi menjual kereta itu, kerana berminat mahu keluar negara untuk bercuti sekeluarga. 

Aku bersyukur kepada Allah swt. kerana mendorong mereka membuat keputusan yang tepat. Tanpa aku memberikan alasannya, mereka mampu meneka apakah pilihan terbaik di sebalik semua cadangan aku itu. Rupanya mereka tahu apa yang terbaiknya. 

Aku berpendapat, salah satu sebab kenapa bangsaku mundur dalam mengejar pengetahuan adalah kerana mereka terikat dengan budaya berbelanja di luar upaya dan kepentingannya. Bangsaku lebih gemar berbelanja untuk menunjuk-nunjuk dan cuba menandingi apa yang ada pada wakil rakyat, ataupun para jiran yang berada. Mereka lebih sanggup berhutang sana-sini semata-mata mahu menunjukkan mereka mampu membeli. Soalnya apakah wakil rakyat dan jiran yang kaya itu membelinya dengan wang pencarian yang halal? 

Sebenarnya aku berbangga melihatkan semakin ramai anak-anak Melayu yang berkereta sekarang ini. Tetapi kenapakah ramai sangat yang membeli kereta Produa dan Proton sahaja, sedangkan anak-anak kaum lain membeli kereta import? Kenapakah hanya anak-anak muda Melayu yang menyokong industri kereta negara? Kenapakah kaum lain sanggup membeli kereta yang dikenakan cukai impot yang berganda tingginya? Jawapannya terletak kepada faktor ‘puashati’. Mereka sanggup berbelanja besar membeli kereta import kerana kualitinya tinggi dan kereta itu bukan kitaran semula. Kedua, kalau kita mesti sokong industri kereta, kata mereka, ia harus bermula daripada orang atasan, baik di pihak swasta ataupun kerajaan. 

Bersambung ke Bab 1B

- Marhaintua - 21.08.01.


Siri MMMM boleh diakses melalui link yang terdapat di kolum kiri muka depan M@RHAEN atau klik di sini: Bab 8 - Bab 7 - Bab 6 - Bab 5 - Bab 4A - Bab 4B - Bab 3A - Bab 3B - Bab 3C - Bab 2A - Bab 2B - Bab 1A - Bab 1B

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!