|
Siri
UMNO
Yang Semakin Kepanasan
Prelud Majlis Pok Amai-amai - Persidangan Agung Lembu Pawah Umno Dan Kempen Kibarkan Jalur Jembalang |
Mahathir Mohamed semakin menghampiri gerbang kenyataan hidupnya betapa segala penipuan dan kelentongan yang direncana selama ini akan menghasilkan reaksi rakyat marhaen menjelang usia tuanya. Apa juga yang dilakukannya kini, betapa besarnya sokongan para pengampunya seperti Aziz Shamsuddin, Zam Mamak Maidin, Rais Yatim dan segelintir Menteri Besar yang lupa daratan semuanya, Mahathir tidak dapat lari daripada hakikat hidup bahawa suara kubur yang meneriak namanya setiap hari, adalah lebih kuat gemanya daripada suara 'Merdeka' yang diharapkan rakyat akan melaungkannya.
Mahathir semakin sedar kini rakyat Malaysia sudah bersekongkolan tidak kira apa kaumnya, apa agamanya dan apa juga budayanya, laungan 'merdeka' yang mereka laungkan itu tidak akan bergema untuk didengar oleh Mahathir dan para kroninya dalam BN. Hampir keseluruhan rakyat tidak kira apa lapisan darjat mereka, tidak akan bersama-sama Mahahtir melaungkan ‘Merdeka’ pada ulangtahun ke-44 kemerdekaan negara.
Kalau adapun yang menunjukkan muka pada (apa juga) majlis yang ditaja untuk tujuan itu, hampir semua muka yang ada di sekelilinggnya tahu betapa mereka di sana hanya untuk berpura-pura, sedangkan jauh di lubuk hati, mereka menyumpah seranah kerana terpaksa menghadiri majlis itu.
Mahathir telah mengamanahkan urusan sambutan ‘merdeka’ kepada Kadir Sheikh Fadil, yang menjanjikan pengagihan 15 juta bendera kepada rakyat jelata. Tetapi, mana perginya semua bendera itu kerana kajian rambang yang dibuat menunjukkan bendera kecil yang berkibar di kereta tidakpun mencecah satu persen? Setelah gagalnya dengan projek itu Kadir mahu rakyat mengirimkan kad ucap-selamat sempena sambutan hari merdeka, dan dia mahu melancarkannya hanya dua hari sebelum hari ulangtahun kemerdekaan kita.
Apa juga perkiraan yang digunakan, majoriti rakyat di negara ini sedar, laungan merdeka kali ini tidak membawa sebarang erti kecuali sebagai satu laungan daripada hati yang tidak merestuinya dan 'Merdeka' yang dilaungkan itu nanti adalah satu laungan daripada jiwa yang merintih keperitan hidup dinaungi seorang diktator tua yang belum lagi mahu mengundurkan dirinya secara terhormat.
Demikianlah, kisah persiapan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang sudah menjadi kelam-kabut dan semakin mengarut. Pada hari Sabtu yang baru lalu, Mahathir berada di Ipoh untuk bersama kanak-kanak sekolah di mana dia menyaksikan bendera terbesar di Malaysia 'yang dibuat oleh guru dan murid sekolah dengan belanja mereka sendiri'. Demikian propaganda di akhbar perdana UmnoBN. Tetapi, semua orang tahu siapa penaja sebenarnya.
Kos sebenar menaja upacara itu yang disebut sebagai 'Perhimpunan Patriotik Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Tahun 2001' menelan belanja sekitar RM800,000. Kerajaan pusat menyumbang RM500,000 dan bakinya oleh Kerajaan Perak. Sekitar 8,000 pelajar seluruh Perak dikerahkan menghadirinya, sementara negeri yang lain menyediakan 80 ahli perwakilan. Bayangkan, latihan yang dibuat berminggu-minggu dan masa anak-anak sekolah yang dikerah untuk semua kerja bodoh itu, semata-mata untuk menyedapkan hati seorang diktator tua. Kalaulah wang sebanyak itu digunakan untuk membeli komputer peribadi yang berharga RM1,500 sebuah (seperti harga di Hypermarket dan bukannya melalui Odasaja) kita boleh agihkan sekitar 500 buah komputer di sekolah yang masih belum dibekalkan komputer itu.
Sayang.... sepatutnya itulah projeknya yang ditonjolkan untuk melancarkan sambutan perayaan kemerdekaan negara. Bukannya membuat bendera terbesar dan menggelarnya sebagai perhimpunan patriotik. Apa ertinya perhimpunan patriotik kalau murid sekolah diberikan wang saku harian sebanyak RM2.00 untuk mereka makan? Nampak sangat Mahathir dan para kroni ‘publisis’ beliau ketandusan idea bagaimana mahu terus menonjolkan ketokohan seorang diktator tua. Apakah mereka masih tdak sedar, apapun majlis yang akan ditaja, orang akan menyumpah seranah juga?
Mahathir Tidak Ada Meritokrasi Memimpin Negara
Pada ulangtahun kemerdekaan negara
yang ke-44 ini, sejarah akan merakamkan betapa Mahathir bukan sahaja sudah
melepasi tarikh lupusnya, malahan dia tidak ada meritokrasi memimpin negara
ke abad yang baru. Semua ini bermula apabila rakyat mengetahui bagaimana
Mahathir memenangi pemilu 1999 dulu hasil ‘undian’ pengundi yang berusia
antara 80 hingga 100 tahun. Yang lebih menarik ialah semua pengundi ini
mempunyai nombor kad pengenalan yang berurutan. 1600001 hingga 1603000
di Kubang Pasu
(Silalihat: http://www.geocities.com/mindarakyat/2001ogo/2001-2613.htm)
Kisah ini pernah dikemukakan oleh wartawan asing pada malam pilihan raya 30 November 1999 dan disiarkan secara langsung pada jam 2.30 pagi oleh TV3. Sebaliknya Mahathir menuduh Pas juga melakukan perkara yang sama.
Rentetan peristiwa ini, pengundi hantu ditangkap di siang hari oleh petugas Keadilan di Lunas. Kerana itu beberapa pemimpin Keadilan masih dipenjarakan tanpa bicara di bawah ISA. Kemudian beberapa pemimpin UMNO yang dianggap mempunyai pendirian yang mahu memerangi kem Mahathir yang haprak, sudahpun ditekan sehinggakan ada yang dikenakan disiplin dan digantung daripada keahlian parti.
Kini, beberapa orang rakyat negara yang dikatakan rapat dengan PAS sudahpun ditangkap di bawah ISA dan dituduh sebagai kumpulan militan. Mereka didakwa bersikap ganas mahu menggulingkan kerajaan setelah mempunyai pengalaman berjihad di Afghanistan. Apakah berjihad itu bukan sebahagian rukun hidup orang Islam? Kalau mereka yang memegang senjata di Afghanistan boleh dianggap calon militan di negara ini, bagaimanakah halnya dengan bekas ATM di negara ini yang mempunyai pengalaman yang lebih lama bermain senjata api?
Segala gelagat Polis Malaysia menangkap pemimpin muda pihak pembangkang dengan apa juga tuduhan yang bukan-bukan adalah satu sikap kurang ajar semata-mata bertujuan melencongkan perhatian kepada keadaan Mahathir yang sudah tergugat dalam UMNO dan BN. Semua penangkapan yang memangsakan pemimpin pembangkang dan barisan pelapis mereka sebenarnya bertujuan memberi ingatan kepada beberapa pemimpin UMNO yang disyaki berkemungkinan bersekongkolan menghumbankan Mahathir daripada pucuk kepimpinan parti.
UMNO sudah memimpin negara ini lebih daripada 44 tahun, tanpa melihat sebarang usaha untuk menjatuhkannya dengan gerakan militan ataupun rusuhan jalanan. Kenapakah secara tiba-tiba setelah kemerdekaan dicapai selama 44 tahun, rakyat sanggup bangkit dengan segala gerakan kasar yang didakwa oleh Mahathir? Kenapakah selama Malaysia dihambat oleh serangan komunis dan kegawatran ekonomi pada awal lapan puluhan dulu, tidak ada pergerakan militan untuk menjatuhkan kerajaan? Kenapakah UMNO dan Mahathir terasa mereka tergugat di saat Mahathir sudahpun hampir melangkahkan satu kakinya ke liang kubur? Kalau rakyat negara ini boleh melepasi kegawatan ekonomi pada awal lapan puluhan dulu, apakah mereka tidak mampu menangani kegawaan ekonomi di awal millenium ini?
Dasar Kepimpinan Haprak
Oleh kerana Mahathir tidak pernah ikhlas dengan tugasnya, hasil pemerintahannya kini amat terserlah di mana hampir semua projek yang diagung-agungkan sudahpun gagal segagal-gagalnya. Sebut sahaja setiap projek mega yang ditaja oleh mahathir dan buka lembaran sejarah untuk mengikuti kemajuan projek itu dan lihatlah apa kesuduhannya? Hampir semuanya gagal. Kita harap ada penulis muda yang sanggup mencatatkan semua projek tajaan Mahathir dan catatkan apa kesuduhannya. Kita boleh rakamkan sedikit di sini sebagai bunganya: Litar F1 perlu membayar royalti RM50 juta setiap tahun, hanya untuk menaja lumba kereta bertaraf dunia. Ini adalah projek gajah putih yang terbesar. Lihat projek Sukan Komanwel, yang tidak menguntungkan, malahan mencetuskan banyak kerugian. Tetapi di Sydney yang menajanya selepas Kuala Lumpur, mereka mendapat keuntungan lebih 350 juta Australian Dollar. Lihat pula projek komuter dan LRT yang membuatkan setiap pelancong luar ketawa. Di Eropah yang mempunyai perkhidmatan begini, dan bikinan sebelum perang dunia kedua lagi, setiap jenis tren dan pengangkutan transit boleh dinaiki di stesen yang sama. Tetapi, projek Mahathir di Malaysia pada abad ke-21, memerlukan penumpang menapak ke stesen lain seandainya mahu menaiki ‘Putra’ kerana tidak ada kemudahan pengangkutan yang mesra penumpang.
Inilah gambarannya betapa negara ini diperintah mengikut citarasa seorang diktator yang sebenarnya tidak tahu memimpin. Yang mengekalkannya di jawatan itu ialah segala tipu helah dan kelentongan yang dikenakan dengan jentera propaganda yang licin. Jentera pemerintahan yang haprak ini dikongsi sama oleh barisan pemimpin pembantu yang korup dan rakus sehinggakan mampu merestui segala tipu helah yang direncana oleh Mahathir. Sekali gus, Malaysia di bawah kepimpinan Mahathar sudah menjadi negara pariah yang di luar jangkaan rakyatnya yang amat cintakan keharmonian.
Akan bersambung ke bahagian 2: Dasar Pandang Ke Timur Yang Songsang
-Marhaintua- 29.08.01.
Terbitan semula: 15.08.2004 (suntingan
M@RHAEN)