.... Gerakan Mahasiswa Malaysia Diancam!!
Oleh: Abu Majahed Abdullah Azzam

Kenyataan Rasmi Kesatuan Mahasiswa Merdeka

Kesatuan Mahasiswa Merdeka (KMM) ingin melahirkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap penguasa yang terus menerus ingin menggangu urusan gerakan Mahasiswa negara. Terbaru, sekumpulan 20 orang pemikir telah menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri dan mencadangkan agar kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dibuat secara lantikan oleh Naib Canselor. Pengharaman pilihanraya kampus ini kononnya bertujuan mengurangkan pengaruh politik kepartian khususnya di kalangan pelajar Melayu.

Implikasi daripada perkara ini, kepimpinan MPP tidak akan lagi berperanan sebagai pembela dan pejuang nasib Mahasiswa, tetapi sebaliknya hanya bertindak sebagai pengampu pentadbiran universiti yang bakal mengundang kepada kelahiran Mahasiswa jumud dan beku lantaran membalas jasa baik pentadbiran memilih mereka tanpa saluran demokrasi. 

KMM juga amat marah dengan tindakan penguasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengharamkan Kelab Usahawan dan Persatuan Mahasiswa Intelek (sama peranannya dengan PMI) dan juga Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dengan alasan bagi mengelakkan gerakan antipenguasa berleluasa, selain berharap tindakan itu dapat meredakan gerakan bawah tanah di universiti itu.

KMM percaya tindakan itu diambil hasil pendedahan seorang pelajar yang dibuang universiti, dan juga kononnya bekas aktivis PMI, Wan Noor Hayati Wan Alias, awal minggu ini yang mendakwa gerakan bawah tanah secara tersusun wujud di universiti-universiti tempatan dengan menggunakan PMI dan dua pertubuhan tidak berdaftar, Hizbi Islami dan Markaz Siswazah Kelantan, bagi menanam sentimen membenci penguasa. 

Tanpa didokong oleh sebarang bukti yang belum diketahui sahih atau tidak, penguasa terus mengambil tindakan yang melibatkan kebajikan majoriti Mahasiswa yang selama ini dijaga oleh persatuan-persatuan terbabit terabai. Dan sebagai membalas jasa baik Wan Noor Hayati, dia mendapat tawaran menyambung kembali pelajarannya di UTM bahkan yang anehnya terdapat kolej swasta yang begitu bermurah hati sanggup mempelawa pelajar bodoh ini belajar. 

Akhir-akhir ini juga, penguasa bertindak keras terhadap tujuh Mahsiswa dengan menggantung pengajian mereka bulan lalu apabila dituduh di mahkamah berhubung dakwaan penyertaan mereka dalam perhimpunan aman bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun yang lalu.

KMM berpandangan bahawa penguasa mahu menguji sejauh mana kekuatan dan kemampuan Mahasiswa bagi menghadapi tindakan biadap mereka. Penguasa akan menang sekiranya Mahasiswa mengambil sikap kaku dan bisu dan seterusnya tunduk pada desakannya untuk menjauhkan diri dari masyarakat dan isu-isu yang berbangkit.

Justeru, KMM ingin menyeru rakan-rakan Mahasiswa agar kita sama-sama menunjukkan momentum keberanian yang berterusan dengan beramai-ramai menyertai demonstrasi besar-besaran menghantar memorandum bantahan Mahasiswa terhadap pelbagai tindak-tanduk zalim penguasa. 

HIDUP GERAKAN MAHASISWA! MANSUHKAN AUKU! 

BEBASKAN TAHANAN ISA! MANSUHKAN ISA!

Radikal hari ini demi masa depan gemilang

Abu Mujahed Abdullah Azzam
Jurucakap Kesatuan Mahasiswa Merdeka
mpkangar_kmm@yahoo.com

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!