.... Takziah Kepada Gerakan Mahasiswa Malaysia !
Oleh: Abu Majahed Abdullah Azzam

Kenyataan Rasmi Kesatuan Mahasiswa Merdeka

Kesatuan Mahasiswa Merdeka (KMM) ingin mengucapkan salam takziah kepada gerakan Mahasiswa tanahair di atas sikap diam membisu yang diambilnya sejak kebelakangan ini walaupun diserang bertalu-talu oleh penguasa yang sudah semakin mencapai usia pencen.

Di manakah perginya suara-suara lantang dari kepimpinan Majlis-Majlis Perwakilan Pelajar IPTA dan IPTS. Apakah semuanya telah dijangkiti sindrom ‘takut tak berpunca’ lantaran dikaitkan sebagai gerakan militan yang mengakibatkan dua orang pejuang Mahasiswa dijadikan bahan korban penahanan di bawah akta ISA yang paling tidak popular di Malaysia dan dunia bertamadun. 

Masing-masing telah mengutamakan kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan masyarakat yang telah bersusah payah membelai mereka melalui pembiayaan pelbagai kutipan cukai.Mahasiswa sekarang telah membentuk suatu mindset dengan mendiamkan diri demi menjamin peluang pekerjaan di masa graduan nanti walaupun masa depan negara itu sendiri masih tidak terjamin berikutan pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh penguasa bermula dari masalah ‘Akidah, sosial, politik hingga ekonomi dan sebagainya.

Timbul satu pemikiran baru yang ditanam oleh para ibu bapa (walaupun di kalangan penyokong pembangkang) bahawa apa gunanya pelajar kita bising-bising sekarang, tunggu dahulu sehingga habis belajar, maka apabila mereka sudah bekerja nanti, bisinglah sepuas hati kepada sesiapapun. Sedangkan realitinya, di alam pekerjaan pun khususnya di sektor awam, kita akan dikenakan pelbagai tindakan jika ‘memberontak’ terhadap penguasa yang bersifat diktatorisma itu. Demekianlah juga dengan sektor swasta, barangsiapa yang berbalah dengan kerajaan (sebenarnya dengan parti pemerintah bukannya kerajaan) maka kontraknya atau permitnya akan ditarik balik atau disenarai hitamkan.

Nah, demi mengelakkan mahasiswa akan menghadapi masa depan yang suram, maka mereka perlu bersikap radikal sekarang untuk menikmati masa depan yang cerah dengan keadilan sosialnya, demokrasi yang lebih luas dan kewujudan ketelusan dalam segenap aspek kehidupan.

KMM (bukan Kumpulan Mujahidin Malaysia ciptaan penguasa) ingin memberi amaran kepada semua pimpinan MPP di Malaysia agar segera bangun dari lamunan mimpi untuk membela nasib pelajar dan masyarakat terbanyak seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya kampus masing-masing ataupun sedia menghadapi kekalahan di dalam pilihanraya kampus yang akan datang. 

Mahasiswa sekarang semakin muak dengan sikap bacul yang ditunjukkan oleh pimpinan MPP. Ketepikan segala perbezaan furuk atau cabang yang timbul di kalangan pimpinan gerakan Mahasiswa dengan kesatuan matlamat untuk membebaskan negara dari pelbagai krisis.Segeralah perbetulkan keadaan!

HIDUP GERAKAN MAHASISWA! MANSUHKAN AUKU! BEBASKAN TAHANAN ISA! MANSUHKAN ISA!

Abu Mujahed Abdullah Azzam (siarkan)
Jurucakap Kesatuan Mahasiswa Merdeka (siarkan)
mpkangar_kmm@yahoo.com (siarkan).

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!