KETIBAAN ANWAR KE MANCHESTER DITUNGGU-TUNGGU
InfoM@RHAEN
dengan kerjasama Keadilan Antarabangsa Eropah & Penerangan Keadilan


Assalamualaikum Rakan-rakan sekelian.

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di Oxford University sebagai Pensyarah Fellow akan berada di Manchester bagi bertemu dengan masyarakat Malaysia di sana. Program tersebut adalah seperti berikut:

Tarikh : 06 Mac, 2005
Masa : 2.00 pm (Selepas Solat Zohor
Tempat : Masjid Khidzra (United Kingdom Islamic Mission), Cheetham Hill Road, Manchester - Rujuk peta Bulatan No. 17.
Anjuran: Keadilan Antarabangsa Eropah (KAE)

Maka dengan itu, penganjur program, Keadilan Antarabangsa Eropah dengan kerjasama United Kingdom Islamic Mission (Manchester) menjemput semua masyarakat Malaysia yang berada di United Kingdom terutama sekali di Utara England untuk bersama-sama hadir ke majlis tersebut.

Adalah dijangkan majlis tersebut bukan sahaja akan dihadiri oleh masyarakat Malaysia, malah kebanyakan masyarakat Muslim di sana(Pakistan, India, Afghanistan, Bangladesh, Eropah, Arab, Indonesia, Singapura, Brunei, Afrika) juga berminat untuk hadir sama bagi mendengar syarahan daripada pemimpin Islam yang dikenali ramai masyarakat dunia ini. Pengerusi Masjid yang juga Imam masjid tersebut juga berasa sungguh bangga dan terharu dengan kesudian Datuk Seri Anwar untuk hadir ke masjid tersebut yang mana Datuk Seri Anwar adalah salah seorang yang membantu dalam pembinaan masjid tersebut beberapa tahun dahulu.

Sayugia diingatkan bahawa walaupun menghadapi pelbagai tekanan dan ancaman, pelajar-pelajar di United Kingdom terutama sekali di Manchester telah bersepakat untuk tidak mengendahkan ancaman tersebut kerana adalah jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membawa apa-apa kapisiti politik dalam rangka lawatannya, tetapi adalah berstatus ahli akademik dan tidak menjadi apa-apa kesalahan bagi seorang ahli akademik menyampaikan syarahannya kepada masyarakat apatah lagi kepada golongan pelajar. Malahan, kebanyakan mereka menyatakan, sikap penjawat jawatan awam itu adalah kebudak-budakan, keterbelakang dari semangat demokrasi dan tidak dialu-alukan.

Yang paling membanggakan ialah pihak penganjur telah mendapat tawaran dari pelbagai pihak untuk menderma wang ringgit, bahan makanan, tenaga dan material yang diperlukan dalam persiapan program tersebut. Namun, program tersebut akan tetap diadakan secara sederhana, berhemah dan berjimat cermat dan para pelajar tidak akan dilibatkan dalam persiapan program. Ini adalah bagi mengelakkan daripada sebarang perkara yang tidak diingini. Tetapi adalah cukup untuk mereka sekadar menghadiri dan mendengar syarahan sambil mengambil ilmu serta iktibar daripada syarahan tersebut walaupun kebanyakan mereka menyatakan kesanggupan untuk membantu dan tidak gentar dengan sebarang ancaman dan tindakan.

Para pelajar dan masyarakat Malaysia juga akan hadir tanpa sebarang insentif atau sogokan seperti wang ringgit, jamuan besar-besaran, hiburan, sukan dan sebagainya kerana program yang bakal diadakan ini adalah program berbentuk akedemia dan bertukar pendapat dan fikiran.

Keadilian Antarabangsa Eropah memohon maaf kepada semua masyarakat Malaysia atas makluman saat akhir ini walaupun perancangannya telah dibuat terlebih lama dahulu atas alasan strategi serta kesibukan Datuk Seri Anwar dengan jadual kerja dan syarahannya yang ketat di Oxford University, Harvard University dan London. Walaubagaimanapun, adalah diharapkan agar semua rakyat Malaysia di United Kingdom dapat membuat persiapan awal terutama sekali perancangan perjalanan untuk ke Manchester dan diharapkan agar pihak MSD tidak akan membuat sebarang sekatan jalanraya di semua pintu masuk ke Manchester bagi menghalang kehadiran mereka nanti.

Kedatangan Anwar Ibrahim ke Manchester adalah seminggu lebih awal daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Mac depan juga di Manchester, tetapi mempunyai gaya persiapan yang amat berbeza sekali.

Timbalan Perdana Menteri dijangka akan menemui hampir 2,500 orang pelajar di sebuah dewan yang besar di Manchester ini dan pelbagai program telah diatur bagi memeriahkan acara tersebut. Beliau dijangka akan melancarkan program Islam Hadhari peringkat United Kingdom yang mana majoriti rakyatnya adalah beragama Kristian (Hadhari?) dan Atheis (tidak berugama). Juga didalam majlis pelancaran tersebut acara sukan seperti bolasepak, badminton, persembahan tarian, nyayian dan kugiran juga akan turut diadakan untuk mencerminkan makna Islam Hadhari Malaysia.

Kebanyakan rakyat Malaysia disini merasakan bahawa ini adalah satu sejarah bagi mereka di United Kingdom dan amat menarik sekali dimana Timbalan Perdana Menteri Malaysia akan bertembung selang seminggu dengan Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Ini juga, pada pendapat mereka, adalah satu peluang untuk melihat siapakah yang mempunyai daya pemikiran yang lebih tinggi, berkarisma dan benar-benar layak dipanggil pemimpin justeru, lebih layak untuk memimpin mereka apabila mereka pulang ke tanahair kelak.

Bertemu lagi.

PENGERUSI KEADILAN ANTARABANGSA EROPAH (KAE)
MANCHESTER
UNITED KINGDOM (est. 2000)

InfoM@RHAEN - 02.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: