.... Isu Semasa Yang Perlu Rakyat Tahu Dan Nilai... 
Oleh: Ibn Sabah

Konspirasi Tertinggi Untuk Ranapkan Sistem Negara...

Dalam tempoh seminggu dua ini terdapat banyak peristiwa sedih dan sangat mendukacita rakyat Malaysia dan menarik untuk diulas dan dibincangkan. Antara yang penulis ingin kongsi bersama ialah kesedihan atas kemangkatan Yang DiPertuan Agong, kemudian mengharapkan penggantinya yang lebih berwibawa, bukannya Agong yang berstatus 'pak turut' kepada kemahuan penguasa politik elit rakus lagi tamak kuasa yang dikepalai Mahathir and Kroni's. Perletakan jawatan Peguam Negara, Datuk Ainum Mohd Saaid dan terpilihnya Badut abad ke-21 Gani Patail sebagai Peguam Negara Baru. Dan apa akan terjadi kepada sistem kehakiman negara ini.

Mangkatnya Yang DiPertuan Agong Malaysia Ke-11

Dengan kemangkatan Yang DiPertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 November, 2001M. Kita kehilangan pemimpinan negara yang diperakui ramai sebagai pemimpin dan raja yang berjiwa tawaduk dan berjiwa rakyat. Mudah-mudahan Allah merahmati roh Almarhum Seri Paduka dan ditempatkan bersama golongan para solihin dan siddiqin. AL-FATIHAH... dan ucapan Takziah kita rakamkan kepada Permaisuri Agong serta sekalian kerabatnya.

Di sebalik peristiwa sedih ini, tanda tanya siapa bakal Yang DiPertuan Agong selepas ini, apakah secara automatik Timbalan Yang DiPertuan Agong akan menjadi pengganti. Rakyat menaruh harapan kebijaksanaan Majlis Raja-raja Melayu untuk memutuskan. Juga diharapkan Majlis Raja-raja Melayu tidak akan menjadi kumpulan 'kerbau dicucuk hidung' atau dibayangi oleh penguasa/kumpulan elit politik UMNO/BN yang rakus itu. Yang cuba mengatur keputusan yang boleh mereka senangi. Institusi Raja jangan menjadi seperti institusi kehakiman sekarang yang sudah hilang wibawanya di mata rakyat. Kerana terlalu setia menjadi kuda tunggangan kepada orang politik UMNO/BN berketuakan Mahathir.

Siapa Bakal Agong Ke-12?

Majlis Raja-raja Melayu yang akan menentukan, bukan dengan telunjuk atau arahan penguasa politik elit. Rakyat mengharapkan kedudukan Majlis Raja-raja Melayu sebagai antara institusi tertinggi negara ini akan melaksanakan amanah ini dengan kebijaksanaan, keilmuan dan kewibawaan, bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Apatah lagi untuk merelakan institusi raja diperkudakan oleh elit politik UMNO/BN pimpinan Dr Mahathir yang rakus berkuasa dan selama inipun telah terbukti usahanya merobek sedikit demi sedikit sistem Raja Berperlembagaan kita.

Rakyat mengetahui bahawa Majlis Raja-raja Melayu yang dianggotai oleh mereka yang memiliki pelbagai bidang, latar belakang berbeza dan berkewibawaan untuk membuat keputusan terbaik demi untuk negara Malaysia, rakyatnya yang majmuk dan kemajuan negara. Slogan 'Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah' diharap menjadi keutamaan kepimpinan Majlis Raja-raja Melayu. Sama ada Timbalan Yang DiPertuan Agong sekarang akan diangkat atau ada lagi pilihan lain, kita dan rakyat Malaysia mengharapkan biarlah yang bakal terpilih itu Sultan atau Raja yang memiliki segala kelebihan sebagai pemimpin tertinggi negara. Bukan sekadar Raja atau Sultan penerima nasihat atau tukang tandatangan keputusan penguasa politik elit yang beragenda politik dan berhati rakus dengan kuasa politik yang dimiliki.

Kisah Dan Iktibar Dari Datuk Ainum Mohd Saaid

Perletakan jawatan Peguam Negara, Datuk Ainum Mohd Said secara cukup mengejutkan kita dan rakyat Malaysia. Belumpun setahun jagung menjawatnya. Tiba-tiba ribut merempuh, pasti ada cerita di sebalik yang tersurat itu. Ada hikmah dan iktibar untuk dinilai oleh rakyat Malaysia. Perletakan jawatan ini jelas cukup kontroversi, walaupun telah diketahui sebahagian kecil rakyat melalui internet dalam laman alternatif. Ketika peringkat awal perlantikan Datuk Ainum menjadi Peguam Negara, harapan rakyat cukup tinggi untuk melihat institusi kehakiman negara dapat dipulihkan. Setelah jatuh teruk di bawah Datuk Mohtar Abdullah sebagai Peguam Negara yang dicucuk hidung oleh penguasa politik elit di atas sana. Dengan keupayaan, wibawa dan kebolehan Datuk Ainum sebagai Peguam Negara, di peringkat awal perlantikannya dengan harapan serta sanjungan, kenapa tiba-tiba timbul isu perletakkan jawatannya. Apakah cerita lama terus berulang lagi dalam sejarah institusi kehakiman negara ini, sejak terpecatnya YA Ketua Hakim, Tun Salleh Abas dan beberapa lagi YA Hakim pada tahun 1987an dulu.

Gani Patail Badut Abad Ini

Perlantikan Peguam Negara baru, dengan terangkatnya Gani Patail dari seorang Pendakwaraya Kanan kepada tugas Peguam Negara yang baru, yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan 2002, bukan saja kontroversi. Tetapi sangat-sangat tidak ingini oleh sesiapa jua rakyat Malaysia yang telah mengetahui latar belakang diri Gani Patail selama ini. Semua orang tahu bagaimana tidak profesionalnya dia sebagai seorang yang arif tentang undang- undang sanggup menjadi orang suruhan atau dengan istilah 'kerbau dicucuk hidung' oleh penguasa tertinggi politik elit negara ini demi untuk mensabitkan kesalahan ke atas musuh politik mereka, tanpa langsung memedulikan nilai-nilai keadilan sebenar. Padahal mereka lebih arif bahawa 'keadilan' itu adalah jantung hati kepada undang-undang.

Jadi dengan terlantiknya Gani Patail sebagai Peguam Negara, memang soal  dia mendapat habuan dari kerja jahatnya selama ini membantu PM untuk menzalimi DS Anwar Ibrahim, itu hak peribadinya. TAPI, apakah dia senang dengan menjadi Peguam Negara yang dicurigai dan tidak langsung diyakini kebolehannya untuk melaksanakan tugas maha berat ini. Dengan wibawa, peribadinya dan juga keupayaannya yang sedia tercalar, cacat dan berada ditahap reputasi amat rendah, adalah mustahil Gani Patail boleh melonjakkan dirinya sebagai yang terbaik, profesional dan berwibawa.

Gani Patail dengan jawatan barunya ini, dia patut menolak jawatan itu kalau dia seorang ada harga diri. Kerana ramai pengkritiknya, para pengamal undang-undang hatta rakan-rakan atau sahabat karib yang berhati telus, melihat dan yakin Gani Patail tidak selayaknya berada diposisi Peguam Negara ini sampai bila-bila, kecuali dia bertaubat dari dosa-dosanya selama ini dan memohon maaf kepada semua mereka yang pernah dizaliminya secara undang-undang berat sebelah atau dia kembali bersikap telus, profesional dan mendaulatkan undang- undang demi menegakkan erti sebuah keadilan untuk semua, tanpa pilih bulu.

Sistem Kehakiman Negara Akan Bertambah Teruk

Ekoran perlantikan Gani Patail menjadi Peguam Negara baru, dengan kewibawaannya yang dipertikaikan, tidak telus dan tidak bersikap profesional dalam kerja-kerjanya sebagai pendakwaraya selama ini, adalah sangat ditakuti petaka lebih dahsyat menimpa sistem kehakiman negara akan berterusan, malah kita dapat meramalkan bahawa sistem kehakiman negara ini  TIDAK AKAN BERTAMBAH BAIK, tidak juga dipandang berwibawa, bahkan akan bertambah teruk teruk lagi. Kerana semua rakyat tahu siapa Gani Patail sebenarnya dengan peribadinya serta amalan pilih bulu, bersedia bersekongkol dengan penguasa politik elit bagi memperkosa segala undang- undang yang tidak memihak kepada mereka dan pelbagai lagi amalan cukup tidak adil dan tidak profesional yang terang-terangan berlaku di depan mata rakyat yang terbuka mata hati mereka.

Namun demikian, sebagai rakyat yang cintakan kebaikan, keamanan, keadilan dan perpaduan. Marilah kita berdoa di bulan Ramadan al-Mubarak ini agar petaka tidak akan terjadi di bumi Malaysia. Dan mereka yang berkuasa tidak akan meneruskan niat jahat mereka terhadap rakyat yang mahu mengamalkan demokrasi berparlimen, hanya kerana untuk mencapai matlamat politik sempit lagi zalim ke atas musuh politik mereka. Mudah-mudahan mereka (penguasa elit politik) yang rakus itu akan sedar dan kembali menyedari bahawa Malaysia adalah negara demokrasi dengan sistem Raja Berperlembagaan.

Ibn Sabah,
24.11.2001M.
 

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!