.... Terbitan semula
YANG KUSUT DAN KESAT
Marhaintua - 18 Feb 2000 (Asal: Reformasi Pendidikan Negara)

Siapakah yang boleh sangka yang Dr. Mahathir akhirnya masuk mahkamah juga? Tidak, tidak mungkin. Demikianlah pendapat segolongan besar rakyat di negara ini. Mahathir tidak akan masuk mahkamah semata-mata untuk menjadi saksi dalam kes perbicaraan membabitkan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSIA). Demikianlah kehendak alam apabila segala institusi kerajaan itu telah diperibadikan. Demikianlah juga kehendak alam apabila tindak- tanduk memperibadikan segala institusi itu dibiarkan berleluasa tanpa ada sesiapa yang berani menentangnya. 

Dua tahun dulu, ketika penulis ini memberi ingatan secara jelas betapa besarnya kemungkinan negara ini dicengkam oleh seorang manusia yang berhati syaitan, ramai sangat suara yang tidak mahu mempercayainya. "Ah, tidak mungkin!" kata suara majoriti orang Melayu. "Inilah negaranya di mana orang Melayu berjaya bersatu mengenepikan penjajah yang kuat dan besar kuasanya. Inilah bangsanya yang berjaya mematahkan cubaan British menegakkan Malayan Union. Inilah negaranya yang berjaya bersatu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah tanpa titisan darah." Demikian megahnya suara-suara itu. Demikian bangganya mereka bersuara, terutama sekali ketika memakai baju yang berlambangkan keahlian UMNO. 

17 Februari 2000 yang bersejarah 

Hari ini akan tercatat dalam sejarah negara dan sejarah peradaban orang Melayu sebagai satu tarikh yang bermakna. Inilah harinya seorang perdana menteri Melayu yang telah disapina, enggan menghadirkan dirinya. Kelakuannya itu mengsahkan keangkuhan yang dipertontonkan beberapa kali sebelum itu betapa beliau mampu memperbodohkan sistem kehakiman negara ini. Sekali gus Jabatan Peguam Negara itu sudah dibakul- sampahkannya. Kalau ini boleh dilakukannya secara sewenang-sewenang, ia membawa erti bahawa semua manusia yang berkelulusan tinggi dalam bidang kehakiman adalah insan-insan yang patut membakul-sampahkan juga ijazah yang ada dalam simpanan mereka. 

Jikalau seorang ahli politik yang dipilih oleh rakyat mampu memperbodohkan kehakiman negara, apakah lagi yang tinggal dalam sistem kehakiman itu yang boleh dianggap bermaruah? Kepada siapakah rakyat marhain boleh mengadu kalau sistem kehakiman itu telah diperkudakan oleh seorang pemimpin yang rakus? Apakah kemungkinannya beberapa individu yang lain bersekongkol mengikuti cara beliau membakul-sampahkan sistem  kehakiman itu kemudiannya?

Seorang peguam yang berpengalaman telah memberitahu saya; "sebenarnya sistem kehakiman negara ini sudah punah-ranah bersama penyingkiran Tun Salleh Abas dulu, lagi." Rupanya, sistem kehakiman kita yang menjadi kebanggaan rakyat sudah diperkosa begitu lama sekali. "Cuba anda fikirkan apa jadinya dengan kes Bright Sparklers?" demikian peguam tua ini menyoal saya. Saya hanya mampu menggelengkan kepala kerana tidak mahu menahan perasaan geramnya. Saya lebih rela meneliti gerak dadanya takutkan beliau diserang sakit jantung pula. 

"Kes Bright Sparklers adalah satu contoh bagaimana sistem kehakiman negara telah dinoda begitu licik sekali. Ia berlaku seolah-olah negara ini dipunyai oleh satu dinasti yang mempunyai hak mutlak ke atas setiap rakyatnya. Sehingga hari ini keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran Bright Sparklers masih belum menerima pampasan mereka secara memuaskan. Kalau perkara yang amat jelas ini boleh diseleweng, apakah lagi yang boleh diharapakan dalam perkara lain. Nyawa rakyat sudah tidak merupakan isu yang penting kepada Dr. Mahathir dan konco-konconya.

Saya menjadi terpegun dengan kata-kata itu. Tetapi, apakah begitu teruk sekali sistem kehakiman kita itu. Ataupun ia hanya menjadi begitu apabila mengenai Dr. Mahathir Mohamad sahaja? "Mahathir adalah seorang ahli politik yang mempunyai asas pendidikan sebagai seorang doktor yang belajar dan bertugas di awal enam puluhan!" demikian hujah peguam tua itu lagi. "Amalannya ialah cara lama. Yang dia tahu hanyalah mengikut cara lama.  Dalam sejarah politiknya pula, dia bukannya seorang politik yang naik daripada bawah. Inilah yang patut difahami oleh semua orang UMNO sebelum terlambat."

Pejuang Yang Tempang 

Kalau kita lihat sejarah pemimpin UMNO yang berjaya sebelum Mahathir, kita dapat lihat betapa mereka mempunyai sejarah perjuangan yang dibanggakan. Kalau mereka tidak meniti tangga-tangga kepimpinan itu secara peribadi, mereka sudahpun didedahkan kepada aktiviti kepimpinan melalui asal-usul keluarga yang terkenal kerana kepimpinannya. Mahathir adalah seorang yang terkecuali dalam hal ini. Memang beliau merupakan "the odd man out". Dia telah naik dengan segala muslihat politik yang masih samar sekarang ini. Tetapi, kesamaran yang berjaya dibendungnya melalui peras ugut itu mula menyerlahkan taring kejijikannya secara berdikit-dikit disebabkan rasa keinsafan mereka yang memeram dan menyimpan rahsia kejijikan itu. 

Memang, sudah ramai penganalis politik dan veteran politik yang menganggap Mahathir sebagai seorang pejuang politik yang tempang. "Orang tidak mudah nampak Mahathir tempang kerana dia berjalan dengan kasut tumit tinggi yang dibuat khas di sebelah dalam kasutnya. Kalau dia seorang panglima perang dia tidak akan berani berpencak silat tanpa kasutnya itu." Demikianlah kiasan yang kesat yang pernah diberikan orang terhadap Mahathir. 

Sejarah akan menentukan betapa Mahathir naik ke kemuncak persada politik UMNO melalui tipu helah dan persepakatan yang telah dianyam begitu rapi oleh sekumpulan manusia yang tidak kurang rakus daripada beliau. Malahan, Mahathir berubah daripada seorang ahli politik yang dicap 'ultra' kepada seorang 'diktator' kerana kesanggupan beberapa kumpulan manusia yang mengampunya. 

- Ingatan awal kepada pemimpin UMNO 

Ketika Mahathir baru naik sebagai seorang pemimpin yang popular, pernah seorang pemimpin lama yang bernama Raja Nongchik bangun berucap dan cuba memberi ingatan kepada persidangan UMNO akan bahaya pengaruh Freemason. Raja Nongchik tentunya mempunyai sebab tertentu kenapa mengambil kesempatan berucap dengan tajuk itu. Sebagai seorang pemimpin berpengalaman yang fasih dalam Bahasa Cina tentunya beliau sudah dapat mengesan sesuatu, terutama sekali daripada para pemimpin Cina yang rapat dengannya. Malahan, sebagai seorang kawan rapat kepada Dato' Harun Idris, adalah tidak mungkin Raja Nongchik bersuara 'sumbang' ketika itu secara sembarangan. Ada mesej yang tersirat dalam ucapannya itu. Malangnya, ucapan ikhlas Raja Nongchik itu telah disanggah dan diserang oleh Mahathir dengan lantang. Cubalah buka rekod persidangan UMNO dan ulang-cetak akan ucapan Raja Nongchik dan juga jawapan Mahathir akan perkara 'Freemason' itu. Dari situ kita akan dapat membuat renungan betapa rahsia sejarah bangsa Melayu kini banyak tersimpan dalam ucapan Mahathir ketika itu. Raja Nongchik telah diaibkan begitu rendah sekali seolah-olah beliau adalah sampah masyarakat Melayu. Sedangkan Raja Nongchik telah banyak berjasa kepada orang Melayu sebelum itu, lebih besar dan lebih bermakna daripada Mahathir ketika itu. Raja Nongchik telah dbogelkan seolah-olah dia tidak datang ke persidangan itu lengkap dengan pakaiannya. Semua kata-kata kesat yang digunakan oleh Mahathir terhadap Raja Nongchik ketika itu menggambarkan betapa hebatnya Mahathir mempertahankan pergerakan Freemason. Kenapakah Mahathir lantang menyanggah Raja Nongchik seolah-olah beliau  seorang pemimpin tinggi Freemason di rantau ini ? Benarkah Mahathir memang menganggotai Freemason sejak lama lagi dan bertanggungjawab memilih beberapa Melayu yang lain untuk menganggotai pertubuhan itu?  Saya pernah berbual dengan Dato Harun selepas beliau diampunkan dan bertanya Dato Harun akan soalan ini. Beliau termenung jauh tanpa mahu tersenyum. Sungguh serius beliau ketika itu dan bertoleh kepada saya. "Let it be a mystery to you. I will not answer that question." Saya pasti Dato Harun amat faham akan jawapannya. 

Kini, amaran dan ingatan yang cuba diketengahkan oleh Raja Nongchik sudah berbunga dan menyerlahkan baunya yang bacin. Lihat sahajalah bagaimana sistem kehakiman dapat diperkosa dengan mudah oleh seorang pemimpin yang rakus. Perhatikan pula bagaimana maruah bangsa Melayu itu dinodai dengan mudahnya. Pada waktu yang sama cuba catatkan juga siapakah yang mempelopori persatuan yang membebaskan gologan 'gay' dan 'lesbian' di negara ini? Siapakah yang menyokong resolusi dunia agar kondom percuma diedarkan kepada anak-anak sekolah menengah ? 

Demikianlah aibnya maruah bangsa Melayu itu disebabkan kegelojohan seorang pemimpin politik yang amat banggakan gelaran sebagai pemimpin Melayu terulung. Sedangkan segala tindak-tanduknya sehingga kini tidak menyerlahkan keazamannya untuk mementingkan maruah bangsa Melayu itu sendiri. Jika tidak manakan beliau sanggup membogelkan maruah seorang pemimpin Melayu yang disayangi oleh rakyat jelata sehingga sanggup menggunakan segala penipuan di mahkamah negara ?

- Ajaran  yang Menyesatkan 

Buku-buku ajaran Freemason yang lebih dikenal sebagai "The Free Lodge", memang boleh didapati di luar negara. Tebal sekali buku yang dijadikan rujukan itu. Hampir dua ribu muka surat dan ditulis pada abad ke-18 lagi. Saya telah mengambil masa enam bulan membaca buku itu setiap hari dan membawa perbandingan dengan Al-Quran ketika berada di luar negara. Anak-anak Melayu yang berada di Amerika mungkin dapat membeli buku ini di Salvation Army Store ataupun di beberapa kedai buku-lama berdekatan Fifth Avenue New York ataupun berdekatan Cairncross Station di London. Bacalah buku ini secara berkumpulan dan buatlah rujukan dengan ajaran dalam Al-Quran dan saudara sekelian akan dapat mengetahui perjalanan negara ini. Yang penting sekali saudara akan dapat perhatikan betapa liciknya perencanaan untuk menguasai minda seseorang seperti yang telah berlaku kepada pemimpin-pemimpin UMNO, masakini. 

Kita boleh melihatkan betapa proses memajukan Malaysia ini banyak mengikuti pengaruh ajaran Freemason. Walaupun pada asasnya, Freemason mengakui agama anutan setiap ahli Lodgenya itu, seolah-olah dia tidak mementingkan sama ada seseorang itu beragama Islam, Hindu, Kristian, Budhist dan sebagainya. Tetapi, ajaran-ajaran yang tersirat dalam buku-buku rujukan pertubuhan itu mementingkan semangat setiakawan yang bergerak di bawah pertubuhan itu. 

Kalau seseorang itu sudah membuat ikrar dan sumpah setia kepada ajaran pertubuhan itu, apakah serba mungkin orang itu akan memberikan tekanan kepada ajaran Islam yang dianutinya ketika lahir? Apakah tidak mungkin seseorang yang amat dihormati dan disanjungi dalam sesuatu pertubuhan sulit itu tidak dipengaruhi oleh sekumpulan penasihatnya di dalam pertubuhan yang kecil itu ? Apakah kemungkinannya bagi beliau dipengaruhi oleh pemimpin lain yang tidakpun sedarkan pembabitannya dalam pakatan sulit itu? 

Keengganan Mahathir menghadirkan diri di mahkamah walaupun telah dispina berkali-kali menunjukkan keangkuhannya. Ia lebih condong kepada ketakutannya dibogelkan oleh para peguam yang akan menyoalnya akan fahaman hidupnya yang sebenar. Untuk sekian lama banyak cerita Mahathir di sebalik tabir yang tidak tertulis tetapi amat difahami oleh ramai orang lain di Singapura dan juga di negara ini. Semua perkara ini tidak tersingkap kerana semangat nasionalisma yang ada pada ramai orang terpelajar di negara ini. Tetapi, semangat ini semakin luntur setelah mereka melihat betapa Mahathir menjadi rakus dan sanggup memfitnah orang lain secara terbuka. Kalau adapun setitik dua tanda hormat orang terpelajar terhadap Mahathir, ia menjadi terus terhakis apabila tercetusnya rupa wajah Anwar Ibrahim yang dikatakan telah cuba dibunuh melalui racun arsenit. Berita keracunan itu telah mengusutkan keadaan kerana Anwar sebelum itu telah dibaham oleh binatang buas yang mengikut arahan ketuanya. 

Yang Kusut Menjadi Kesat 

Mahathir adalah perdana menteri Malaysia keempat. Tunku Abdul Rahman Putra menjadi perdana menteri untuk dua kali kerana membiarkan jawatannya itu diambil alih oleh Tun Razak untuk satu ketika yang pendek. Beliau mahu berkempen ke seluruh negara secara bebas ketika itu. Apabila Mahathir mengambil alih teraju kepimpinan, beliau telah mencetuskan pelbagai debaran rakyat jelata. Ini timbul disebabkan ketidak-tentuan arah tuju beliau yang amat disangsikan oleh rakyat, terutama sekali oleh orang Cina. Perkara ini timbul apabila Mahathir dianggap sebagai manusia yang bertanggungjawab menyebabkan Tunku meletakkan jawatannya. Surat Mahathir kepada Tunku yang memfitnah keakraban Tunku dengan orang Cina itu menjadi kayu pengukur kesangsian orang Cina terhadapnya, satu ketika dulu. 

Tetapi, bukankah senario yang ditohmahkan ke arah Tunku itu sudahpun berulang kembali? Bagaimanakah perkara ini boleh terjadi kalau seorang pemimpin itu naik ke atas berdasarkan kejijikan sistem yang ditohmahkannya itu?  Apakah tidak mungkin Mahathir telah memperbodohkan orang Melayu agar membencikan Tunku semata-mata kerana muslihat tertentu? Bukankah beliau sudah membuat satu rencana 'grand design' untuk naik ke atas dan memperbodohkan orang Melayu itu secara peribadi ? Kalaulah ekonomi Melayu itu lembab di zaman Tunku dulu disebabkan kecuaian UMNO memperbaikkinya, apakah sebenarnya yang dilakukan oleh Mahathir selepas dia berkuasa ? Apakah dia sudah berjaya memperbaikki keadaan ekonomi Melayu itu seperti yang diimpikannya ? Memang, Mahathir telah menggunakan isu ketuanan Melayu sebagai alat yang paling berkesan untuk naik mencanak. Tetapi, melalui kelicikannya ketuanan Melayu itu bertukar tangan kepada ketuanan UMNO. Kini, ketuanan UMNO itu telah lama bertukar tangan kepada ketuanan dinasti pilihan Mahathir sendiri. 

Manusia boleh merancang, dan lagi besar kuasa sesaorang insan yang pandai merancang itu, lagi besar pula kesan-kesan negatif yang timbul daripada perancangannya. Disebabkan kesan negatif itu makanya kuasa yang diperolehi itu menjadi satu kuasa yang dianggap amat berbisa oleh orang yang sengsara kerananya. Demikianlah yang kita dapat lihat kepada kuasa yang ada pada Dr. Mahathir. Mungkin Dr. Mahathir sendiri tidak menyangkakan betapa besarnya kuasa yang ada pada tangannya. Dia mungkin masih tidak sedar segala impak negatif yang sudah tercetus kerana penyalahgunan kuasanya itu. 

KERAKUSAN YANG TIDAK BOLEH DIMAAFKAN. 

Sejarah telah menentukan betapa setiap rakyat Malaysia yang masih hidup akan terus bernafas dan menanggung hutang negara yang disebabkan kerakusan seorang manusia yang bernama Dr. Mahathir bin Mohammad. Yang lebih menyedihkan lagi, tanggungan yang sama akan dibebankan  kepada setiap insan yang akan lahir di negara ini. Bagaimanakah caranya yang paling sesuai untuk kita memberitahu anak dan cucu kita yang masih kecil dan yang masih tidak memahami sebarang usaha untuk berjimat ceramat? 

Dr. Mahathir tidak mungkin berjaya mengaut khazanah negara untuk memuaskan temboloknya tanpa sokongan para konco dan juaknya. Kita masih tidak dapat membuat kepastian siapakah yang lebih rakus dalam kerja-kerja membalun harta negara itu. Cuma masa yang akan menentukannya. Sementara itu rakyat akan terus merasa impak kerakusan  dan secara tidak lansung didera oleh tingkahlaku yang amat rakus itu. 

Jikalau kita baca tulisan Dr. Mahathir terutama sekali bukunya bertajuk 'The Malay Dilemma' kita tidak akan percaya bahawa inilah manusia yang sama yang sanggup membalun harta negara. Demikian juga kalau kita baca bukunya yang sesudah itu. Tetapi, kalau kita baca buku mengenainya yang berjodol 'Mahathir di Sebalik Tabir', kita akan memahami betapa liciknya manusia yang bernama Mahathir bin Mohammad itu. Rupanya, segala tingkah lakunya itu sudah dirancang lama. Sungguh jauh perjalanan rancangannya itu. Ia bermula daripada satu usaha seorang ahli politik yang sanggup dan bangga digelar sebagai seorang 'Ultra Malay' sehinggalah ia mencapai tahap yang digembar-gemburkan sebagai 'Pejuang Bangsa' oleh UMNO yang diciptanya. 

Mahathir yang Sudah Nyanyok 

Adalah amat malang sekali, Mahathir dibiarkan untuk terus berkuasa sedangkan dia sudah menunjukkan kesewelannya yang  terlalu kerap. Bayangkan bagaimana dia sanggup berkata di akhbar Jepun. Dia lebih bersedia duduk semeja dengan peminum wain daripada berdepan dengan 'orang yang didakwanya meliwat'. Itukah alasannya untuk tidak datang ke mahkamah? Bukankah itu satu penipuan untuk membodohkan rakyat jelata? Ironisnya para pemimpin UMNO yang diketahui bijak-bijak belaka sanggup mendiamkan diri tanpa mahu memperbetulkannya. Perkara serupa berlaku ketika Mahathir memfitnah betapa Nabi Mohammad (saw) tidak mencukur janggut kerana di zamannya tidak ada pisau cukur Gilette. Banyak lagi cakap-cakap dan perilaku Mahathir yang sudah mempamerkan kesewelannya, tetapi para pemimpin yang rapat dengannya hanya sanggup membisu sahaja. 

Kesimpulan 

Saya lebih berpendapat Dr. Mahathir Mohamad layak disuruh melepaskan jawatannya daripada menjadi presiden UMNO. Ramai musuh Mahathir dan juga UMNO yang mahu membiarkan Mahathir terus menerajui UMNO. Mereka sanggup melihatkan keadaan kucar-kacir melanda UMNO di bawah kepimpinan Mahathir yang berterusan. Mereka fikir, UMNO di bawah Mahathir akan lenyap akhirnya daripada muka bumi ini. Tetapi, saya tidak fikir begitu. UMNO mungkin menjadi lemah akhirnya tetapi parasit itu tidak akan lenyap sama sekali. Ia akan terus digunakan oleh sesiapa sahaja yang mahu mencuba nasibnya dalam arena politik mada depan. 

Masanya sudah sampai untuk Mahathir disuruh berhenti sahaja secara terhormat. Kalau dia enggan, eloklah ahli perwakilan mengusulkan satu caangan agar sesiapa yang mahu menerajui kepimpinan parti tidak berusia lebih daripada tujuh puluh tahun. Salah satu sebab kenapa kita mahukan beliau mengundurkan dirinya ialah sikap pembohongnya itu. Adalah tidak mungkin Mahthir sanggup berbohong setiap hari dan setiap majlis yang membabitkannya tanpa beliau sendiri menyedari akan kejijikan tabiatnya itu.  Bagaimana pula dengan para pemimpin UMNO yang lain. Kenapakah mereka sanggup mendengar pembohongan Mahathir itu secara rela hati? Kadangkala kita dapat lihat mereka sama bertepuk tangan dan tertawa dengan kerja-kerja pembohongan itu. 

Anak-anak yang bersekolahpun sudah tahu yang Mahathir suka berbohong. Soalnya sekarang, beliau banyak berbohong untuk mempertahankan kerja-kerja jijik beliau membalun khazanah negara. Apakah beliau tidak sedar setiap sen yang dibalun itu akhirnya akan diambil-balik oleh negaranya? Apakah beliau tidak tahu apa yang berlaku kepada setiap diktator di dunia ini? Oleh kerana Mahathir sudah tidak peka lagi dengan hukum alam ini dan masih lagi mahu terus berbohong, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan Mahathir tidak lagi berkuasa di negara ini.  Inilah satu tanggungjawab yang terbesar setiap perwakilan UMNO yang akan berhimpun di persidangan UMNO pada Mei 11 nanti. Kita menjangkakan ada manusia dalam UMNO yang sanggup bertanding melawan Mahathir. Tetapi, Mahathir terus merencana agar jawatannya itu tidak ditandingkan. Kerana itu dia amat yakin konsensus Majlis Ttertinggi itu tidak akan disanggah oleh perwakilan. Kalau kita lihat keadaan negara sekarang ini terlalu banyak masalah rakyat yang tinggal terbiar tanpa ada sesuatu cadangan konkrit daripada pihak kerajaan. Kalau ada pun agenda kerajaan yang tersebar luas, ia tidak diyakini oleh rakyat kerana rekod kerajaan yang semakin pandai berbohong. Pucuk kepimpinan UMNO sudah semakin kusut sekarang ini. Perkara ini menjadi-jadi dengan tersebarnya pelbagai bentuk berita panas yang membuatkan orang hilang arah untuk mencari kesahihannya. 

Rakyat sudah semakin tidak mempunyai keyakinan dengan kerajaan yang memerintah terutama sekali apabila melihatkan Mahathir yang amat takut datang ke mahkamah. "Apa punya pemimpinkah ini?" tanya mereka. "Kalau berani tabur fitnah, patutnya dia mesti berani menjawab soalan pihak yang difitnah." Di sinilah terletaknya kesilapan Mahthir yang paling besar. Dia telah tertipu selama ini oleh kerakusannya sendiri. Dia fikir dengan terus berbohong, dia akan terlepas daripada kenyataan yang sebenar. Mahathir sebenarnya sedang mengharungi satu peperangan yang amat besar dalam jiwanya sendiri. Dia sendiri amat gusar dengan keadaan pemikiran rakyat terhadap kepimpinannya. Dia sudah dihantui oleh raksasa kerakusan yang berjiwakan syaitan. 

Semakin dekat hari-hari yang mendatang kepada Mei 11, 2000; kita akan lihat, Mahathir akan semakin gelabah. Semakin ramai orang yang  di sekelilingnya menjadi insan yang semakin tidak dapat dipercayainya. Mahathir akan terus dihantui kegusaran ini kerana selama ini dia tahu dia sudah banyak berbohong. Di antara setiap dua detik  kesewelannya itu akan timbul ketenangan di benaknya yang membawa keinsafan yang dia harus berundur secara terhormat. Mahathir akan terus dihantui insiden yang datang berselang-seli yang mahukan dia  berundur secara terhormat ataupun berdegil untuk terus berkuasa. Pembohongan yang berterusan itu akan terus berulang secara sepontan tanpa dapat dikawalnya lagi. Laksana barah yang semakin menular setiap pembohongan akan diperbesarkan dengan pembohongan yang baru pula. Inilah yang menjadi amalan Mahathir selagi dia masih berkuasa. (Artikel terbaru SOT: Bagaimana Mahathir Berdusta Sehingga Tercabut Nyawanya).

Orang Melayu akan terus berada di ambang kekalutan. Segala tipu-helah Mahathir dan orang-orangnya adalah satu rencana untuk terus berkuasa dan tidak lebih daripada itu. Mahathir sebenarnya tidak punya modal lain selain dari berbohong. Walaupun dia tahu amat besar dosanya. Seorang bekas menteri kabinet Barisan Nasional pernah berkata, ada ketikanya kita hairan bagaimana orang berpendidikan dalam kabinet Mahathir sanggup bersekongkol dengannya. Malahan kita juga hairan bagaimana Mahathir sanggup mempertahankan kerja-kerja jijik yang dilakukan oleh menterinya. Rupanya, Mahathir sendiripun sedang diperas ugut oleh beberapa ahli kabinetnya yang rasuah. Kerana mereka tahu penyelewengan yang dilakukan oleh Mahathir itu, makanya ada Menteri yang rela diugut oleh rakyat. Mereka tahu, selagi Mahathir berkuasa, mereka akan selamat. Kerana mereka sudah menyimpan pelbagai bukti bagaimana Mahathir membalun harta rakyat. 

Kini, perbicaraan ke atas Anwar Ibrahim sudah menjadi pembuka mata dan pembuka minda kepada  rakyat negara ini. Orang Melayu pada umumnya sudah semakin sedar bagaimana kehidupan mereka sejak dua puluh tahun yang lalu telah dipukau oleh Mahahtir untuk mempercayainya bulat-bulat. Pada satu ketika dulu ramai orang Melayu yang sanggup diperkudakan oleh Mahathir kerana janjinya untuk memartabatkan ketuanan Melayu itu. Tetapi, kini mereka sudah tahu, ketuanan Melayu yang dijanjikan itu hanyalah omong kosong semata-mata. Mahathir sudah derhaka kepada bangsanya. Yang lebih menyedihkan lagi, Mahathir sanggup memperlekehkan agama Islam yang sama dianuti oleh bangsanya itu. 

Apabila Mahathir sanggup melakukan semua itu dengan hasrat untuk terus berkuasa, apakah pula peranan para menteri dan juak-juaknya yang sanggup menyokongnya? Apakah pula motif mereka? Kita mungkin memandang serong kepada Mahathir kerana sedar betapa ceteknya tentang agama Islam. Tetapi, apakah para juaknya yang bersekongkol itu pun sama cetek dalam ajaran Islam? Tidak mungkin. 

Kekusutan masa depan Melayu di bawah UMNO sudah semakin mencelaru. Toleransi orang Melayu sudah ditebali kata-kata kesat yang mencaci Mahathir setiap hari. Arus sentimen semakin deras dan semakin berkocak. Terpulanglah kepada pemimpin UMNO yang masih waras menentukan agar Mahathir berundur. Lakukanlah sebelum arus itu bertukar menjadi gelombang  besar. Yang sukar untuk dikawal lagi. 
 

Marhaintua@Hotmail.com
Februari 18, 2000. 

- CETAK & SEBARKAN -



FREE - An online program to make a huge income. more info
Click Here!
https://e-umno.tripod.com/