.... Sikap syaitan pemimpin UMNO Sabah
Oleh: Farisi Faris

Saudara pengarang, 

Kota Kinabalu, 4 Ogos 2001 (Sabtu) : Rombongan AJK Dewan Pemuda PAS Tanjung Aru, Kota Kinabalu bersama isteri masing-masing, dengan diketuai oleh Ketua Pemuda telah menziarahi seorang hamba Allah yang dianiayai oleh kunco-konco kerajaan negeri Sabah. Lokasinya, Kampung Lobou Baru, Menggatal, bersebelahan dengan Kolej Ibu Kota (KIK) Kota Kinabalu. 

Kami tiba ke rumahnya (perlu dibaca ‘ bangsal’ iras reban ayam) tepat jam 5.00 petang. Ada beberapa buah rumah di tepi rumah itu sudah menyembah bumi. Kami disambut mesra oleh penghuninya, saudara Abd. Hamid Ahmad, 45 tahun, isteri dan empat orang anaknya. Sambil menghulurkan buah tangan yang kami bawa, anak-anak ini datang mencium tangan semua ahli rombongan. Sayu melihat anak-anak kecil ini, semuanya puteri, masing-masing berusia 10, 8, 6 dan 2 tahun. Lebih sayu lagi, melihat keadaan rumahnya; dinding yang ditampal-tampal, lubang di sana sini, zink yang sudah berkarat. Hanya ada sebuah almari usang dan sebuah meja untuk anak-anaknya belajar. 

Kami dipersilakan duduk di atas kerusi kayu buatan sendiri yang mengelilingi meja itu. Muslimat duduk bersila di atas tikar getah yang jelas sudah berkoyak, sambil berbual dengan isteri Abd. Hamid. Beliau memulakan cerita dengan menyatakan anaknya baru sahaja diterima masuk belajar di sebuah sekolah rendah berhampiran setelah berhenti belajar akibat tekanan pihak-pihak tertentu. “Sekarang saya pula tiada kenderaan. Kereta saya dicuri di bengkel kereta” Abd. Hamid menjelaskan bagaimana dia tidak mempunyai kenderaan sekarang sambil menunjuk laporan polis yang dibuatnya. Pelik juga sebab kereta hilang di bengkel kereta. 

Abd. Hamid, sebenarnya bekas Ketua Pemuda UMNO Pulai, seorang yang educated dan fasih berbahasa Inggeris. Berasal dari Kubang Pasu, Kedah, berkahwin dengan orang Sabah dan menetap di sini. Beliau menceritakan hayatnya sebelum ini sebagai pemuda yang bermandi peluh memperjuangkan UMNO, khususnya di Pulai, iaitu kawasan Dato’ Mohamad Rahmat. Dikeluarkan segala surat, risalah dan gambar kenangan lampaunya. Diceritakan juga dalam kempen Ketua Pemuda Pulai, beliau telah menghabiskan lebih RM 100, 000, hanya dalam masa lapan hari sahaja. 

Kemudian, sampailah kepada isu utama kenapa kami datang ke sini. Beliau bersama 300 penduduk sebenarnya telah menduduki kampung itu sudah lebih 10 tahun dengan keizinan Allahyarham Yang Dipertuan Negeri Tun Said Keruak. Malangnya, sejak pemerintahan Ketua Menteri, Dato’ Usu Sukam, tanah itu dikatakan diberi kepada Syarikat Dapans Holding, milik kroni pemimpin negeri untuk dijadikan padang golf 28 lubang, kondominium dan rumah penginapan. 

Pelbagai tekanan dan keganasan telah dilakukan oleh syarikat itu untuk mengusir orang kampung daripada tanah itu. Rumah digeledah, diroboh, anak isteri diganggu dan dicederakan, meminta tandatangan dengan paksaan dan pelbagai kaedah barbarian lagi dibuat oleh syarikat ini dan tentera upahannya. Kini hanya tinggal dua buah rumah, termasuk rumah Abd. Hamid yang masih lagi berdiri tegak. Baki penduduk yang lain semuanya sudah pergi membawa diri masing-masing kerana tidak tahan dengan penindasan yang dilakukan. 

Kemudian Abd. Hamid masuk mengambil sebuah fail yang mengandungi salinan dokumen sulit tentang status tanahnya itu. Juga ditunjukkan kepada kami 16 laporan polis yang dibuat olehnya atau oleh isterinya tentang gangguan dan keganasan pihak-pihak tertentu ke atas keluarganya. Juga dilampirkan surat doktor tentang kecederaan anak sulungnya akibat gangguan orang upahan. Lebih memalukan lagi, ada laporan polis tentang gangguan dan tekanan daripada beberapa pegawai polis ke atas keluarganya. Jua, laporan polis tentang Dato’ Usu Sukam yang menuduh Abd. Hamid cuba menggangunya. 

Rupanya, rumah yang kami berada ketika itu adalah binaan semula setelah rumah asal Abd. Hamid dirobohkan. “Habis semua pakaian, fail sulit, pinggan mangkuk dimusnahkan. Sampai isteri saya terpaksa menggadaikan barang emasnya untuk membeli sebiji dua pinggan untuk anak-anak mengisi makanan” cerita Abd. Hamid dengan sayu. Isteri beliau, berasal daripada Papar merupakan seorang guru Inggeris di sebuah pusat tuition di Luyang. Dengan gaji isterinya sebanyak RM 350.00 itulah mereka sekeluarga meneruskan hidup. Abd. Hamid tidak lagi bekerja tetap, sementelah tiada tempat kerja yang mahu menerimanya bekerja kerana ada tekanan daripada orang-orang tertentu. 

Isterinya dulu mengajar di sebuah sekolah rendah dan menjadi guru kelas Darjah 3 kepada Nora Nadina Usu, anak Dato’ Usu Sukam. Setelah kes nombor telefon Dato’ Usu diketahui oleh Abd. Hamid, isterinya telah diberhentikan. Ada juga ditunjukkan kepada kami laporan polis bagaimana Guru Besar sekolah itu telah memanggil isterinya tentang perkara itu setelah Dato’ Usu ‘menggamuk’ apabila Abd. Hamid menelefonnya bagi berbincang untuk menyelesaikan masalah tanah itu. 

Banyak perkara lagi yang ingin diceritakan oleh saudara Abd. Hamid ini. Oleh kerana jam sudah menunjukkan hampir masuk waktu maghrib, kami terpaksa mengundur diri. Kami berjanji akan mendapatkan khidmat peguam pada esok pagi. Semasa bersalaman, saya ternampak borang keahlian PAS di celah-celah fail yang berselerak di atas meja itu. “Insyallah, saya, isteri saya dan ramai lagi penduduk kampung ini saya akan kumpulkan. Kami semua masuk PAS.” katanya penuh keyakinan. 

Ketika melangkah keluar daripada ‘bangsal’ itu, isterinya bersuara, “Maaflah kerana tiada minuman atau makanan. Maaf juga kerana berbual dalam gelap.” Baru kami sedar, rumah itu tiada aliran elektrik. Pilu dan amarah mula menggelodak di segenap hati saya. Pilu dengan nasib mereka, terutama anak-anak kecil ini. Amarah dengan sikap syaitan pemimpin UMNO ke atas bangsa sendiri. 

- Farisi Faris 
DPP Tg. Aru, Kota Kinabalu

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!