Tahan Jackie Chan Di Simpang Renggam:- 
Kerajaan BN Cuba Sembunyikan Sesuatu
Oleh:
Salahudin Ayub, Ketua Pemuda PAS

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah keras keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan bekas Ketua MCA cawangan Persiaran Gurney, Ong King Ee atau lebih dikenali sebagai Jackie Chan di pusat tahanan khas, Simpang Renggam di bawah Ordinan Darurat 1969 selama dua tahun. DPP Pusat melihat penahanan tanpa bicara ini bukan sahaja mencabul hak Jackie Chan untuk dihukum selepas didapati bersalah, tetapi juga merupakan satu strategi Kerajaan BN untuk menyembunyikan sebahagian besar kegiatan jenayah kroni Presiden MCA itu.

DPP Pusat menolak sebarang tindakan oleh Kerajaan BN untuk menahan sesiapa sahaja tanpa bicara sama ada di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat atau Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK). Tindakan menahanan Jackie Chan ini secara jelas mencabul haknya untuk mempertahankan diri dan ditahan selepas didapati bersalah. DPP Pusat tidak bertolak ansur terhadap sebarang kegiatan jenayah Jackie Chan, tetapi tindakan untuk mendakwa beliau di mahkamah adalah menzalimi dirinya. Kerajaan BN mesti membuktikan bahawa beliau memang bersalah sebelum ditahan, kerana itu DPP Pusat mendesak satu pendakwaan terbuka dibuat ke atas Jackie Chan.

DPP Pusat melihat tindakan Kerajaan BN yang cuba 'menyembunyikan' Jackie Chan di Simpang Renggam dengan tujuan untuk meredakan kekecohan yang berlaku dalam BN. Jackie Chan adalah didakwa oleh Team B MCA khususnya Pemuda MCA sebagai pelopor politik gangster. Jackie Chan didakwa terlibat dalam rusuhan ketika Mesyuarat Agung Pemuda MCA, menentukan kepemimpinan baru MCA dan menjadi penyokong kuat Presiden MCA yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk seri Ong Ka Ting. Bagi meredakan kekecohan dalaman MCA menjelang pilihan raya, Kerajaan BN mengambil langkah untuk 'menahan sementara' Jackie Chan selama dua tahun.

DPP Pusat berpandangan satu masalah yang lebih serius apabila Jackie Chan ditahan di bawah Ordinan Darurat ialah segala jenayah yang dilakukan olehnya mungkin cuba disembunyikan kerana kedudukannya sebagai kroni utama Presiden MCA. Sebagai seorang penjenayah besar yang mengetuai kumpulan samseng Sio Sam Ong (Tiga Maharaja Kecil), Jackie Chan telah terlibat dengan jenayah mengedar dadah, membunuh, menculik dan merompak. Kesemua jenayah ini melibatkan hukuman yang berat termasuk hukuman mati mandatori. Melalui penahanan di bawah Ordinan Darurat, Jackie Chan berkemungkinan besar melalui pengaruh Presiden MCA hanya akan ditahan selama dua tahun sahaja. Sedangkan sekiranya dia didakwa, dia akan menerima hukuman yang lebih berat sesuai dengan pelbagai kesalahan jenayahnya termasuk mengetuai kumpulan gangster.

DPP Pusat mendedak Kerajaan BN supaya mendakwa Jackie Chan di mahkamah dengan segera. Polis tidak perlu mengambil masa sehingga dua tahun untuk melakukan siasatan setelah tempoh 60 hari berakhir. Polis boleh mendapatkan perintah reman daripada mahkamah untuk melanjutkan tahanan ke atas Jackie Chan. Sebelum ini polis telah mendedahkan bahawa Kumpulan Sio Sam Ong yang diketuai oleh Jackie Chan telah terlibat dengan pelbagai jenayah berat, dan Ketua Pemuda MCA sendiri telah menyerahkan bukti-bukti kegiatan jenayah Jackie Chan kepada kerajaan. Apakah polis masih memerlukan dua tahun lagi untuk membuat siasatan setelah polis mendedahkan pelbagai kegiatan mereka?

Dengan pendakwaan di mahkamah, semua kegiatan jenayah Jackie Chan akan didedahkan kepada awam termasuk kegiatan-kegiatan jenayah di dalam MCA yang mungkin turut melibatkan pimpinan kanan parti perkauman itu. Kerajaan BN mungkin tidak mahu ada nama pemimpin MCA didedahkan di mahkamah menjelang pilihan raya ini walaupun menyedari bahaya kumpulan gangster yang diketuai oleh kroni Presiden MCA tersebut. DPP Pusat mengutuk keras sikap Kerajaan BN yang sanggup membelakangkan kepentingan orang ramai yang mungkin terjejas dengan kegiatan jenayah tersebut, semata-mata untuk mempertahankan kepentingan politik sempit sesetengah pemimpin BN.

DPP Pusat mendesak Kerajaan BN supaya mendakwa Jackie Chan di mahkamah dengan segera berdasarkan bukti-bukti yang telah ada. Penahanan tanpa bicara bukan sahaja akan menyelamatkan pemimpin MCA dan Jackie Chan daripada menerima hukuman yang lebih berat, tetapi juga mengundang masalah kepada rakyat. Jackie Chan pernah terlibat dalam pelbagai jenayah berat dan pernah dikenakan hukuman buang daerah sebelum ini tetapi terus melakukan kegiatan jenayah. Tidak mustahil dia akan terus melakukan jenayah selepas dibebaskan daripada tahanan ini dua tahun akan datang. Kerana itu Kerajaan BN mesti mengambil kira kepentingan rakyat dengan mendakwa dia di mahkamah untuk dihukum dengan hukuman yang berat sesuai dengan kesalahannya.

SALAHUDDIN HAJI AYUB Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

** Cawangan MCA Persiaran Gurney berada di Kawasan Parlimen Bukit Bendera Pulau Pinang .

Terbitan semula oleh: M@RHAEN

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN