Dua Naib Presiden PAS versi PAS Kelantan
Oleh Wan Jo, Kelantan Darul Naim - Laman M@RHAEN

Rata-rata cawangan PAS di seluruh Kelantan sedang mengadakan mesyuarat agung tahunan dan selepas ini mesyuarat agung PAS Kawasan akan diadakan pula sebagai agenda tahunan parti. Kemuncaknya ialah Muktamar tahunan PAS yang sekali lagi akan berlangsung di PUTIK Kelantan. Tahun ini muktamar PAS akan lebih menyerlah kerana merupakan tahun pemilihan kepimpinan PAS di semua peringkat.

Isu panas dan dianggap penting yang sering diperbincangkan oleh golongan cerdik pandai politik di Kelantan ialah penentuan siapakah yang layak sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden PAS yang akan datang.

Perkara ini agak ketara diperbincangkan berdasarkan ucapan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perjumpaannya di setiap Kawasan PAS di seluruh Kelantan.
 
Ianya seumpama satu “amanat Tok Guru” tentang corak kepimpinan yang akan datang yang perlu mempunyai versi baru dan berpemikiran global dalam menarik minat dunia untuk mengenali PAS di persada politik antarabangsa dan seterusnya membuatkan PAS mampu menjadi pilihan utama bagi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Saranan dan luahan Tok Guru ini ibarat seperti percikan api daripada sebuah tangki minyak.

Banyak nama pimpinan PAS Pusat yang diperbincangkan oleh top man di peringkat kawasan dan perhubungan Kelantan dan kini boleh diumpamakan mendapat kata sepakat bahawa calon yang sesuai untuk menduduki kerusi Naib Presiden ialah Exco kanan kerajaan Kelantan Haji Husam Musa (kini beliau merupakan AJK PAS Pusat) dan Setiausaha Agong Ustaz Nasharudin Mat Isa. Mereka berdua diibaratkan seperti arkitek muda PAS yang sedang menyinar untuk mengembangkan lagi sokongan massa terhadap PAS.

Manakala bagi kerusi Timbalan Presiden pula, boleh dikatakan kebanyakan pendokong PAS di seluruh Malaysia telah mengetahui siapakah orangnya yang Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden mahukan sejak muktamar pemilihan yang lepas.

Jadi di sini penulis boleh gambarkan bahawa nama Haji Husam dan Ustaz Nasharudin bakal dicalonkan oleh kawasan-kawasan dari Kelantan jika dilihat dari skop perbincangan top man di Kelantan ini. Pada kebiasaannya, sesiapa yang dicalonkan oleh Kelantan akan dituruti oleh negeri-negeri lain.

Apapun yang pastinya PAS memang perlu membuat pembaharuan kepimpinan dan versinya demi memastikan ianya terus relevan dalam arena politik Malaysia dan global, jadi tidak salah juga diperkatakan bahawa PAS memerlukan satu rombakan kepimpinan di semua peringkat baik di peringkat Pusat mahupun Dewan-Dewan.

Apa yang menjadi harapan besar ketika Munaqasyah Ucapan Dasar tahun lalu akan menjadi kenyataan kerana para perwakilan kali ini adalah mereka yang peka tentang hal-hal kemantapan parti yang bukannya sekadar seronok menerima beg dan name tag serta mengambil peluang bermuktamar sebagai cuti untuk melancong.

Memperkasakan parti dan kepimpinan parti adalah matlamat dan agenda utama para perwakilan!

- Wan Jo - 28.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: