MEMPERKUKUHKAN INSTITUSI PARLIMEN SATU KEWAJIBAN
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN


Ahli-ahli Parlimen dari BN ataupun BBC Parlimen sedang bermukim selama 3 hari berakhir hari ini, bukannya di kawasan perkampungan tetapi di resort lima bintang Nexus Karambunai di Kota Kinabalu, Sabah.

Pastilah banyak isu yang mahu dibincang dan dibahaskan sesama ahli Parlimen BN tambahan setelah setahun diberi mandat oleh rakyat. Rakyat di luar menunggu dan menagih pelbagai janji manis yang ditaburkan semasa kempen pilihan raya termasuklah mahu membawa pembangunan yang tidak pernah dilihat sebelum ini di Terengganu umpamanya!

Apa yang menarik daripada permukiman di resort 5 bintang ini adalah kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Shahrir Abdul Samad yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru. Di dalam ucapannya Shahrir telah mencadangkan agar status dan kedudukan Parlimen Malaysia diletakkan setanding dengan badan eksekutif dan badan kehakiman. THE STAR melaporkan:

Parliament should be an independent institution Shahrir said adding that the move would enable government officers to be seconded there to serve as assistants to MPs.

Kata Shahrir Parlimen sepatutnya menjadi sebuah badab bebas dan kakitangan kerajaan sepatutnya dibekalkan untuk bertindak sebagai pembantu kepada ahli-ahli Parlimen.

Memang wajar sangat setelah hampir 48 tahun merdeka dengan usia Parlimen mencecah 11 penggal, perkara ini perlu diberikan perhatian serius. Ahli-ahli Parlimen perlu dilengkap dan dibekalkan dengan pelbagai bantuan dan sokongan agar tugas dan tanggungjawab mereka dapat dilaksanakan dengan baik, sempurna dan profesional.

Yang paling utama kerajaan perlu mengiktiraf dan meletakkan institusi Parlimen ini benar-benar sebagai sebuah badan bebas yang berada terus di bawah Yang Dipertuan Agong. Ia perlu memiliki peruntukkan kewangannya sendiri dan disokong dengan kakitangan dan petugasnya sendiri dan tidak lagi diletakkan di bawah mana-mana kementerian ataupun jabatan.

Masing-masing Ahli Parlimen sepatutnya diberikan pejabat yang lengkap di bangunan Parlimen dan di kawasan masing-masing. Mereka juga perlu disediakan dengan kakitangan yang berpendapatan tetap dan berpencen untuk membantu tugas mereka di samping melakukan kerja-kerja sokongan dan penyelidikan.

Setiap Ahli Parlimen wajar diberikan peruntukan tahunan tidak kira dari mana parti kerana status mereka sebagai wakil rakyat yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat. Peruntukan ini harus mereka gunakan untuk membantu dan membangunkan kawasan masing-masing.

Selagi pembaharuan seumpama ini tidak diberi perhatian serius maka selagi itulah jangan berangan-angan mendabik dada sebagai negara maju dunia pertama kerana kita sebearnya tidak banyak berbeza dengan negara dunia ketiga yang lain termasuklah Zimbabwe, Myanmar, Kemboja dan lain-lain..

Sila lawati BLOG saya di http://n32.blogspot.com/

Oleh Roslan sms - 06.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: