BUKAN HANYA TOL DAN MINYAK
HARGA RUMAH KOS MURAH PUN NAIK DI SELANGOR
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN


Belum pun reda isu perkosaan rakus terhadap Taman Pertanian Bukit Cerakah, hari ini Khir Toyo MB Selangor mencipta satu lagi isu sensasi. Akhbar THE STAR hari ini melaporkan yang beliau mengisytiharkan mulai tahun hadapan harga rumah kos murah di Selangor akan naik.

Kini harga rumah kos rendah yang sememangnya mensasarkan mereka yang berpendapatan rendah di Selangor berharga RM35,000. Namun kata Khir harga ini diperolehi setelah kerajaan negeri memberikan subsidi RM7,000 seunit. Mulai tahun depan kerajaan negeri akan menarik balik subsidi ini bermakna harga rumah kos rendah bagi tahun 2006 adalah RM42,000.

Bermakna kenaikan sebanyak 20 peratus akan terkena ke atas rakyat berpendapatan rendah di Selangor sekiranya berhajat memiliki rumah kos rendah.

Saya tidaklah tahu pandangan orang lain tapi bagi saya harga baru ini tidak setimpal dengan pendapatan mereka yang dalam kategori ini. Kalau dicongak-congak seorang yang mampu menyimpan RM200 sebulan, akan hanya mampu memiliki rumah berkenaan setelah menyimpan selama 210 bulan ataupun 17 tahun 6 bulan tanpa gagal(tidak termasuk keuntungan ataupun faedah)!

Menurut Rancangan Malaysia ke 8, 43.8peratus daripada 4.6 juta bilangan isi rumah hanya mampu meraih pendapatan rendah di bawah RM1,500 sebulan. Bermakna setelah tolak makan-minum bulanan, belanja persekolahan anak, bekalan api dan air dan lain-lain overhead bulanan, seseorang itu terpaksa menabung RM200 pula bagi 17 tahun 6 bulan barulah mampu beli rumah kos murah.

(Menurut Abd Rahim Anuar Fakulti Ekonomi UUM kos makanan yang terpaksa ditanggung oleh satu isi rumah di Semenanjung adalah RM428 sebulan bermakna pendapatan RM1,500 sebulan tolak RM428 untuk makanan, tolak belanja anak sekolah dan kos persekolahan lain umpama bas sekolah dan tuisyen, tolak pula bekalan api dan air, tolak kos ketua rumah belanja pergi dan balik tempat kerja, tolak kos rumah sewa sebelum mampu beli rumah sendiri, tolak belanja kecemasan umpama rawatan di klinik dan lain-lain belanja bulanan, memang sengsara untuk membolehkan seseorang menabung RM200 sebulan!)

Itu kalau beli cash. Memang mereka dalam golongan ini boleh diberikan pinjaman (itupun kalau berpendapatan tetap) tetapi nilai bayaran balik bulanan pun sekitar angka itu juga, bayangkan.

Oleh itu rasional untuk menarik balik subsidi ini dikira tidak kena, tambahan Selangor pula mendabik dada sebagai negeri bertaraf MAJU di Malaysia. Janganlah diketepikan golongan yang berpendapatan rendah ini. Masalah setinggan di Selangor yang Khir nak sifarkan pada tahun ini sebenarnya berpunca dari rakyat yang tidak mampu membeli rumah sendiri. Tidak ada siapa pun yang tidak inginkan memiliki rumah sendiri, syaratnya mestilah di dalam kemampuan seseorang itu.

Kalau dah ditekan sehingga RM42,000 saya kira kerajaan negeri sudah tidak langsung memikirkan lagi kebajikan rakyat dalam kategori ini. Janganlah negeri sahaja maju tetapi rakyat merempat dalam kesengsaraan.

Sila lawati BLOG saya di http://n32.blogspot.com/

Oleh Roslan sms - 04.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: