KEMBALIKAN PILIHAN RAYA MAJLIS TEMPATAN
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN


Semalam merupakan ulangtahun ke-40 tarikh pembatalan pilihan raya majlis tempatan yang pernah diadakan di negara kita sehingga tahun 1965. Ianya dibatalkan melalui peruntukan Emergency (Suspension of Local Government Elections) Regulations 1965 iaitu satu peruntukan yang digunakan atas nama darurat. Ketika itu Malaysia sedang menghadapi Konfrontasi dengan Indonesia, suasana difikirkan tegang dan tidak sesuai untuk pilihan raya jenis ini

Pra 1965 ahli-ahli majlis-majlis tempatan dalam negara dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

Tujuan pemilihan di peringkat ini pada dasarnya adalah untuk mewujudkan ketelusan dalam urusan dan pentadbiran majlis-majlis tempatan di mana sesuatu tindakan dan keputusan yang dibuat secara tekniknya diputuskan oleh wakil-wakil rakyat yang terdiri daripada ahli-ahli majlis yang dipilih.

Pasca 1965 ahli-ahli majlis tempatan cuma dilantik di kalangan ahli-ahli politik yang mewakili parti yang memerintah di peringkat negeri. Dalam erti kata lain rakyat tidak lagi terlibat dalam proses membuat keputusan dan dasar sedangkan rakyatlah yang merupakan pembayar cukai dan hasil yang merupakan sumber dana utama untuk satu-satu majlis tempatan.

Dalam suasana aman dan negara bersungguh mahu mempamerkan wajah negara maju, maka layaklah proses demokrasi saluran ketiga ini dihidupkan kembali. Tambahan dengan banyaknya keluhan di kalangan rakyat darihal perjalanan majlis-majlis tempatan, sesuai sangatlah kerajaan menimbangkan agar pilihan raya majlis tempatan ini dijalankan semula. Sekurang-kurangnya rakyat boleh terlibat langsung dalam menentukan suasana kehidupan masing-masing di peringkat tempatan.

Sementara itu DAP semalam telah mengadakan perhimpunan di dataran Merdeka untuk menuntut agar pilihan raya majlis tempatan ini sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dihidupkan kembali.
 

Demonstrasi jalanan di Lubnan

Namun yang menyedihkan apabila pihak polis meleraikan perhimpunan aman ini dengan menangkap 7 orang yang terbabit termasuklah seorang Ahli Parlimen dan seorang ADUN. Wajarkah pihak polis bertindak demikian? Menurut sumber perhimpunan tersebut ketika itu telah pun sampai ke penghujungnya namun pihak polis dengan memberikan hanya sekali amaran telah terus bertindak meleraikan yang hadir di samping menangkap individu berkenaan serta merampas belon-belon yang mahu dilepaskan oleh pihak penganjur.

Kejadian ini mengingatkan saya tentang siaran CNN yang saya tonton satu dua hari ini di mana demonstrasi jalanan rakyat Lubnan (Lebanon) yang menutut agar tentera Syria berundur dari bumi mereka ditunjukkan. Pihak kerajaan telah mengharamkan sebarang bentuk demonstrasi, pihak polis dengan senjata lengkap telah dikerah keluar, namun walaupun demonstrasi yang ditontonkan besar, bising dan menganggu suasana, pihak berkuasa tidak mengganggu sedikit pun, cuma sekadar mengawal lalulintas dan pergerakan demonstrasi berkenaan.

Malaysia jauh lebih aman dan maju dari Lubnan!

Sila lawati BLOG saya di http://n32.blogspot.com/

Oleh Roslan sms - 02.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: