KONSERT FORCE OF NATURE:
KELIRU DAN TERPINGA KITA DIBUATNYA
Oleh Roslan SMS - Laman M@RHAEN

Kalau nak difikirkan semasak-masaknya kita pun akan turut jadi keliru dan terpinga-pinga.

Betulkan jika saya silap. Tidakkah lantaran kejadian malapetaka Tsunami pada 26 Disember tahun lalu maka Pak Lah telah mengarahkan agar segala bentuk sambutan meraikan ketibaan tahun baru 2005 dibatalkan? Bukankah tindakan ini diambil kerana menghormati mangsa kejadian serta menginsafi kesengsaraan yang menimpa mereka yang terlibat?

Maka batallah segala bentuk acara hiburan dan tari-menari sebagaimana biasa. Kerajaan mengarahkan agar ianya digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat. Maka sunyi sepilah KL dan Bandar-bandar utama yang lain melainkan beberapa kelompok yang memang degil dan meneruskan perayaan. Tanggal 1 Januari 2005 dada-dada akhbar diserikan dengan wajah para menteri lelaki dan perempuan duduk berdoa di masjid-masjid.

Kini dah hampir 2 bulan bencana tersebut berlalu. Akibat sikap prihatinnya kerajaan maka dilantik bekas diplomat Tan Sri Razali Ismail sebagai Duta Khas Perdana Menteri dalam urusan bantuan mangsa Tsunami. Ramai yang terpegun dengan perlantikkan ini kerana ia seolah-olah mencerminkan betapa seriusnya penglibatan Malaysia dalam isu kemanusiaan antarabangsa.

Semalam tiba-tiba kita dikejutkan apabila Razali mengumumkan bahawa beliau merancang untuk mengutip RM10 juta untuk mengisi tabung misi beliau. Macam mana nak dapat RM10 juta ini? Kata Razali melalui penganjuran Konsert Force of Nature pada 18 Mac kelak di Stadium Putra Bukit Jalil. Dengan bangganya Razali mengumumkan bahawa artis-artis antarabangsa akan dijemput untuk menjayakan konsert ini antara lain Backstreet Boys, Black Eyed Peas, Boyzs II Men di samping artis-artis tempatan.

Tak serabut ke kalau nak difikirkan? Dan takkanlah Duta Khas PM ini tidak ada idea lain selain menganjur konsert untuk memperolehi dana? Kalau sekadar menganjur konsert lebih kurang sama taraf manager funfair sahaja, buanglah status diplomat.

Ini kita tak masuk bab sesuai atau tidaknya konsert dalam suasana kita mendakap konsep Islam Hadhari di peringkat Negara. Sesungguhnya keutamaan kita makin bercelaru apabila dasar kita tidak jelas dan berubah-rubah. Sekejap kita mahu pada Islam sekejap Islam terpaksa kita kesampingkan. Apalah kesudahannya kita kelak, wallahualam.

Sila lawati BLOG saya di http://n32.blogspot.com/

Oleh Roslan sms - 23.02.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: