JANGAN DIUMPAMAKAN IMAN PERSIS SIMPANAN TETAP
Oleh Anak Jati Segamat - Laman M@RHAEN

Sejak pulang dari Mersing selepas mendengar penerangan berkaitan dengan iman, jihad dan sebagainya yang bersangkutan dengan tuntutan agama Islam yang di sampaikan oleh Sheikh Zakiuddin Sharfi di Markaz Pas, Kampung Air Merah, Mersing, ucapan beliau yang menyatakan bahawa iman bukan seperti simpanan tetap (wang) yang mana intinya pasti berkembang biak yang dipanggil faedah (interest). Tetapi iman kalau diperlakukan demikian ianya akan membeku dan mengeraskan (mati) hati dan akan mengakibatkan seseorang itu malas untuk berjuang di jalan ALLAH, kerana pemilik hati yang demikian pastinya tidak dapat mengenal ALLAH. Sebaliknya iman hendaklah digerakkan berterusan (terus istiqamah) mengerjakan segala suruhan ALLAH untuk mendapatkan pertolongan, rahmat dan sebagainya, terutamanya kepada para pejuang yang sudah bertekad untuk menegakkan kesyumulan agama yang diredhai olehNya di Malaysia yang tercinta ini. Kata-kata beliau itu menggores perasaan saya sehingga ke saat ini.

Mungkinkah disebabkan situasi yang demikian orang-orang Melayu Islam di Johor masih lagi tidak mahu berubah dari mendewa-dewakan “DACING”. Kebanyakan dari mereka sudah mengetahui bahawa “DACING” tidak lagi memperjuangkan ketuanan Melayu, malah tanggung-jawab social terhadap rakyat marhaen pun sudah semakin pudar dan menghilang. Salahkah kalau saya katakan bahawa ianya ada hubung-kait dengan hati? Kalau difikirkan dengan fikiran yang sempurna saya pasti mereka akan berkata “ia” dengan soalan saya.

Zaman persekolahan dahulu saya masih ingat kata-kata mereka yang berhijrah ke negeri Johor, “bertuah dapat pindah ke sini, bolehlah anak-anak belajar di sekolah petang(di Johor ni sekolah agama di panggil sekolah petang). Kini sekolah agama yang mendapat bantuan penuh kerajaan Johor mempunyai dua sesi, pagi dan petang.

Setelah masa berlalu dengan keadaan sekeliling yang penuh dengan cabaran, kata-kata itu kini sudah tidak mempunyai erti. Contoh mudah, dengan adanya sekolah(petang) tersebut pastinya ramai guru-guru dan murid-murid yang sudah faham apa itu ISLAM, tambahan apabila munculnya Islam Hadhari, tetapi malang, hanya segelintir dari mereka yang tahu menilai. Kalau tidak mana mungkin sehingga kini pemerintahan Islam masih lagi gagal untuk ditegakkan di negeri Johor, untuk mendukung perjuangan PAS jauh sekali.

Pada pilihan raya yang lepas PAS Segamat ada mencadangkan kenalan saya yang berkelulusan Azhar sebagai calon, tetapi beliau menolak dengan berbagai alasan. Akhirnya dia memberitahu saya mengapa beliau menolak. “Kalau ana terima cadangan itu dulu bukan orang luar yang akan berkempen untuk menjatuhkan ana tetapi ianya akan dilakukan oleh kaum kerabat dan suku sakat ana sendiri kerana mereka masih taksub dengan lembing keris telanjang”.

Saya masih ingat, salah seorang dari guru sekolah petang saya bernama Haji Abdullah (arwah) pernah menjadi MP. Malah yang masih hidup seperti Dato Kadir Anuar, sebelum menjadi MP dan ADUN pernah mengajar agama di surau Larkin dan saya pernah mengikuti kelas beliau. Se orang bekas ADUN yang sebelum itu kerap mengajar tasauf bernama Hamzah Ramli(bekas Exco bahagian agama) dan apa kurangnya dengan ADUN di tempat saya sekarang ini, juga bekas guru agama. Mengapa semasa mempunyai peluang tidak mahu menegak atau pun mencadangkan pemerintahan secara Islam di negeri Johor. Tidakkah ianya bersangkutan dengan hati yang boleh di katakana sudah mati dan kenipisan iman. Alasan apa yang hendak mereka berikan bila berhadapan dengan ALLAH di akhirat nanti? Bagi tangan-tangan yang memberi kemenangan kepada mereka, hujah apa yang hendak diberi? Itu bagi tangan-tangan yang memberi kemenangan kepada orang Islam, bagaimana pula kalau melalui tangan-tangan tersebut terlantiknya orang-orang munafik atau pun kafir menjadi ketua!!!!!. Bukankah ALLAH sudah mengarahkan kita agar melantik dari kalangan kita mereka yang beriman untuk di angkat menjadi ketua, tetapi mengapa masih ingkar? Jawapannya mudah, kerana dunia dan iman yang belum mantap.

Sedarkah kita kerana hasil dari tangan-tangan mereka yang tidak beriman bakal memungkinkan pelbagai kesukaran untuk di lalui yang pasti penuh duri dan berliku-liku bakal menghalang pergerakan generasi-generasi kemudian. Sebagai permulaan marilah kita tinggalkan tempat tidur di waktu tengah malam. Sebelum berbicara dengan ALLAH, renunglah ke dalam diri kita dan juga muka anak-anak dan isteri kita. Lakukan dengan ikhlas, pasti ALLAH akan tunjukkan. Kalau ALLAH izinkan, jawapannya pasti berbeza beza mengikut tahap ketakwaan, keikhlasan dan ihsan masing-masing. Selesai berbicara dengan ALLAH keluarlah ke halaman rumah, lihat sekeliling sambil mengingati segala kemungkaran, perbuatan menjolok mata dan segala maksiat yang kerap di lihat di kawasan sekeliling rumah dan berlaku di depan mata kita sebelum bertanya diri sendiri, “Adakah segala perbuatan yang keji itu akan berkurangan atau pun semakin membiak, apakah yang akan terjadi kepada kaum kerabat ku andai kata corak pemerintahan yang sedemikian terus di beri tempat?” Mungkin ada sesetengah orang akan menjawab sendiri dengan berkata, “Ah biarkan itu orang lain punya fasal, aku tahulah bagaimana hendak menjaga keluarga aku sendiri”. Kalau itulah jawapannya mungkin kita keliru.

Untuk memperjuangkan kesucian Islam ALLAH menyuruh kita bergerak dalam satu jemaah bukannya cara individu. Contohilah perbuatan Rasulullah S.A.W semasa hendak menegakkan pemerintah Islam di Madinah. Setelah kesemua para pengikutnya memiliki iman yang mantap barulah perjuangan mendirikan sebuah kerajaan Madinah dilaksanakan.

Kerana iman yang berbelah bagi, cemburu dan tamak itulah yang menyebabkan puak Islam hampir kecundang di peperangan Uhud. Sekali lagi saya menyeru orang Islam Johor, marilah kita tinggalkan cara hidup kolot yang kita amalkan selama ini, sertailah perjuangan PAS yang begitu konsisten memperjuangkan kesucian Islam dari mula ditubuhkan, kini dan InsyaAllah hingga hari kiamat. Kalau kita berani berubah rahmat ALLAH pasti turun mencurah-curah.

Tanda-tanda kiamat kecil mahu pun besar sudah muncul 98%.
i. perasaan cinta agama sudah berkurangan.
ii. Perceraian.
iii. Pembunuhan yang tidak masuk akal. Yang membunuh tidak tahu mengapa dia membunuh dan yang kena bunuh tidak tahu mengapa dia di bunuh.
iv. Berlumba lumba membena bangunan tinggi.
v. Masa di rasa terlalu cepat dan jarak perjalanan terasa dekat.
vi. Menghormati kawan-kawan lebih dari kedua ibu bapa.
vii. Alat muzik, arak, judi, perhubungan sex tanpa nikah dan menduakan isteri atau suami.

Kerana ketiadaan harakah Islamiah yang mantap kaum kafir begitu mudah mempersendakan Islam. Lihat sahaja peristiwa di the ZOUK pada 13 Januari 2005, apa sudah jadi dengan JAWI? Statement yang disiarkan di blog Jeff Ooi yang menyamakan azan dengan salakan anjing, apa tindakan yang telah diambil? Majlis Peguam dengan IRCnya, mana bantahan terbuka dan tindakan? Mana pergi Islam Hadhari (sebenarnya saya begitu benci dengan sebutan itu) yang sudah menggariskan sepuluh rukun (Rukun Islam=5 dan Rukun iman=6) tetapi Rukun Islam Hadhari lain pula jumlahnya. Tak tahulah saya berapa pula rukun agama matahari (taslim) yang bertapak di Balik Pulau, Pulau Pinang. Serpihan penganutnya masih terdapat di kampong Tasik, Alai (Jalan ke-Muar), Segamat.

Sepuluh rukun Islam Had…. :

i. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi: Adakah statement-statement yang dikeluarkan oleh ahli-ahli kabinet, Pemuda dan Puteri dan N-n-k UMNO menggambarkannya?

ii. Kerajaan adil dan amanah: Apa cerita dengan laporan-laporan rasuah ke atas menteri-menteri yang sudah dilaporkan kepada pihak yang berwajib? Bagaimana dengan kekayaan Negara yang berlegar di kalangan kroni-kroni?

Adakah persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan dengan amanah? Tidakkah ianya bertujuan untuk membendung kemaraan parti pembangkang terutama PAS?

iii. Rakyat berjiwa merdeka: Mengapa diadakan 1001 macam sekatan dan deraan kepada pihak pembangkang semasa pilihan raya (yang tidak merdeka) lepas? Mengapa tidak di hapuskan ISA dan dibawa ke muka pengadilan kesemua mereka yang masih di tahan?

iv. Penguasaan ilmu pengetahuan: Mengapa tidak di tarik balik sekatan ke atas SAR? Bagaimana dengan biasiswa bagi pelajar-pelajar yang terpaksa berhutang dengan PTPTN, MARA dan sebagainya?

v. Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif: Mengapa tidak dilakukan sebagaimana yang telah diwahyukan, adakah riba itu tidak haram pada pandangan Islam Had-hari.

vi. Kehidupan berkualiti: Kerana itukah maka rakyat marhaen terpaksa mengikat perut melayan karenah harga barang-barang yang tidak henti-henti naik hingga menyebabkan rakyat marhaen hidup papa kedana dan para Menteri tinggal di istana-istana, seperti gambar rumah yang terdapat di web site Malaysia-Today? Semasa saya meninjau-ninjau keadaan kehidupan di Mersing, saya perhatikan kebanyakan rumah-rumah di sana sesetengahnya begitu daif dan uzur ada kuali ASTRO. Jawapan yang saya kerap perolehi adalah, “terpaksa kerana “reception” kurang memuaskan, tak dapat TV3lah, tak dapat ntv7lah”. Mengapa pihak berwajib tidak menyediakan pemancar yang sempurna dan lengkap, kalau maksud kualiti hidup itu untuk rakyat marhaen. Atau pun kualiti hidup itu khusus untuk pemilik ASTRO and the gang sahaja?

vii. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita: Kerana pembelaan itulah maka kebanyakan pak-pak guard yang bertugas di gedung-gedung, rumah kediaman dan kondo (kesemuanya milik kumpulan minoriti) berbangsa Melayu.

Bagi tujuan pembelaan wanita pula adakah yang bersamaan dengan apa yang berlaku di The ZOUK itu?

viii. Keutuhan budaya dan moral: Adakah hiburan seperti Sure Heboh dan yang sejuzuk dengannya, juga mesti di ikuti segala perilaku artist-artist yang menjolok mata sebagaimana yang tertera di kaca TV dalam setiap rancangan hiburan? Bagaimana dengan rancangan TV1? Sudah macam rojak. Tetapi kalau di lihat kepada kedua dua bahlul yang menjadi ketuanya mungkin tak salah kerana kedua-duanya keturunan pencipta rojak. “Mamak rojak satu”

ix. Pemeliharaan & pemuliharaan alam semula jadi: Adakah apa yang di maksudkan menyerupai apa yang sedang berlaku di Taman Pertanian Bukit Cherakah?

x. Kekuatan pertahanan dan perpaduan: Kelonggaran kawasan sempadan sehingga memudahkan pendatang asing menetap di sini dan jumlah puluhan ribu orang.

Sepatutnya sempadan Negara diawasi oleh pihak tentera, demi perpaduan pihak polis terpaksa memikul tanggung jawab tersebut. Ada apa-apa muslihat ke?

Sebelum mengakhiri coretan saya ini sekali lagi saya menyeru kepada orang-orang Melayu (ISLAM) dan ahli PAS Johor, perkemaskanlah diri dan jemaah dengan iman yang mantap dan ingatlah IMAN TIDAK SERUPA DENGAN SIMPANAN TETAP, ianya perlu digerakkan untuk berkembang dan membiak dengan subur.

ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR.

ANAK JATI SEGAMAT - 03.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: