SURE HADHARI?
'TAHNIAH' KERAJAAN BN TERENGGANU
Oleh Amiruddin - Laman M@RHAEN


Merujuk kepada Mingguan Malaysia 27/2/2005 ms.14, kita sepatutnya menyampaikan sekalung "tahniah" kepada Kerajaan Terengganu yang telah menafikan telah memberi kebenaran kepada stesen televisyen swasta, TV3 bagi menganjurkan program berbentuk hiburan, Karnival TV3 Sure Heboh di negeri ini. Tentunya ia sesuai dengan prinsip pertama Islam Hadhari -Keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Merujuk kepada ceramah seorang Ustaz, yang memetik dari buku yang digunakannya saban minggu untuk berkuliah, taat menyuburkan iman dan maksiat pula memusnahkannya.

Karnival TV3 Sure Heboh dikatakan oleh Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria yang mewakili Majlis Mufti Malaysia pada 30 Julai 2004 lalu adalah sebagai haram dan diwajibkan diberhentikan segera.

Menurut pandangan mufti itu, "pada saya Sure Heboh ini adalah suatu perkara yang tidak baik kerana ia melalaikan orang. Maka perbuatan melalaikan orang itu hukumnya haram," ujarnya ketika menjawab soalan pemanggil sewaktu siaran langsung di waktu itu.

Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa Pejabat Mufti Negeri Perak telah membuat laporan membantah pihak terbabit yang menganjurkan program 'Malaysian Idol', 'Akademi Fantasia' dan 'Persembahan Bakat Warga Emas'.

Pada 26 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri, Wan Hisham Wan Salleh berkata, kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan membenarkan karnival berkenaan atau yang seumpamanya, dibuat di negeri ini kerana ia mengandungi beberapa aktiviti seperti konsert oleh artis tempatan yang tidak menepati ciri-ciri Hadhari. Ini menguatkan lagi bahawa benarlah seperti apa yang telah dinyatakan oleh Mufti Negeri Perak itu, walaupun dinafikan oleh Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang menyatakan, "kita patut berjaga-jaga dengan kenyataan yang dibuat, kalau tidak akan timbul banyak kekeliruan dan menyusahkan banyak pihak.

Kenyataan yang menggunakan itu haram, ini haram patutlah dikaji sedalam-dalamnya dan dirundingkan dengan seberapa ramai orang dan akhirnya kalau membuat sesuatu keputusan pun biarlah Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri buat keputusan. Saya tidak nampak penganjuran konsert TV3 Sure Heboh ini salah, tidak ada salahnya mengadakan sedikit hiburan untuk keluarga selepas mereka penat bekerja."

PM sendiri pernah menyebut bahawa kerajaan ingin mengetahui hujah yang diguna pakai Majlis Mufti Malaysia dalam membuat keputusan untuk mengharamkan konsert yang diadakan sempena satu karnival anjuran syarikat televisyen swasta.

Yang menjadikan kita sepatutnya mengucapkan tahniah yang lebih tinggi, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan komunikasi negeri, kerajaan negeri telah membuat kerjasama dengan stesen televisyen itu bagi menganjurkan satu program Hadhari yang bertujuan memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu mengenai konsep Islam Hadhari kerana telah berjaya "menghadharikan" TV3 dengan menganjurkan karnival Islam Hadhari yang akan diadakan di negeri ini dengan kerjasama stesen televisyen itu. .

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan komunikasi negeri itu, program ini mempunyai pengisian yang hampir sama dengan Sure Heboh tetapi yang membezakannya ia tidak akan mengadakan konsert dan nyanyian seperti yang diadakan di negeri-negeri lain. Sudah tentu penghadhariannya akan menutup rapat pintu-pintu maksiat yang akan menghakis keimanan.

Menurut pamplet dan iklan yang diedarkan sebelumnya oleh pihak penganjur di seluruh negara, Perak merupakan negeri kedua selepas Negeri sembilan iaitu di awal bulan Mac untuk menganjurkan karnival itu. Oleh kerana mungkin kerajaan Perak menurut kata Muftinya, ataupun mungkin juga setelah mereka gagal untuk menghadharikannya, maka Sure Heboh tidak dibenarkan. Pada peringkat awalnya, Karnival Sure Heboh yang dijadualkan datang ke Terengganu bertarikh 20- 21 Ogos ini.

Tahniah kerajaan Terengganu sekali lagi. Bukan mudah untuk menghadharikan sebuah stesen swasta yang kita sendiri pun tahu rancangan apa yang sering disiarkan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Yusuf Husin sendiri tidak mampu melakukan apa-apa. Pada bulan Oktober 2004 lalu, beliau hanya mampu meminta ibu bapa menutup televisyen apabila didapati program TV tidak baik untuk anak-anak mereka.

Amirruddin - 03.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: