.... MPPIPB: 
Bertindak atau Akan Diperkudakan
Oleh: Anak Rakyat Marhaen

AHAD, 29 Julai 2001:  Keadaan dan suasana terkini pelajar-pelajar di Institut Profesional Baitulmal (IPB), sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta di Taman Maluri sudah semakin pulih.  Namun demikian, trauma dan suasana kacau bilau pula dapat dilihat di kalangan pentadbir dan sesetengah pensyarah IPB sendiri.

Pada hari Rabu yang lalu, seorang pensyarah di khalayak ramai secara terang-terangan membaca artikel "Malangnya Pelajar di IPB (Edisi Gempar 1)" sambil berkata;

"Kalau yang ini Edisi Gempar satu, tentu nanti akan ada yang lebih gempar lagi!??"

Pada hari jumaat lepas sahaja dilaporkan satu mesyuarat tergempar telah diadakan dengan dipengerusikan oleh Tan Sri dato' Haji Hanafiah bin Haji Ahmad, Pengerusi Eksekutif IPB. Menurut sumber, antara perkara yang dibincangkan ialah untuk mewujudkan suatu program yang dipercayai bagi mendekati atau mengambil hati
pelajar.

Bagaimanapun, seorang pensyarah yang tidak mahu mendedahkan identiti beliau berkata, "Pihak pentadbiran mempersoalkan mengapa perlu 6 orang pensyarah tersebut meletakkan jawatan hampir serentak"

Selain daripada itu, ketika menghadiri Acara Pertandingan Nasyid sempena Bulan Kesedaran 2001, Puan Maheran Nasahar, Koordinator Program Usahasama UiTM-IPB dikatakan dengan penuh emosi telah menyelar tindakan pelajar-pelajar menyebarkan laporan-laporan yang dicetak dari internet berkenaan isu IPB yang kononnya sangat sensitif itu.

Sebelum itu di dalam suatu Majlis Diskusi yang dianjurkan sempena bulan yang sama, Hajjah Azmawati Bachik, Ketua Akademik (Pengarah) IPB dikatakan telah melenting hanya kerana soalan seorang pelajar senior yang kononnya menggugat ketenteraman IPB.  Atas alasan itu beliau telah mengarahkan semua jenis Majlis Diskusi di kalangan pelajar agar tidak diadakan. Sedangkan majlis tersebut telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelajar.

Bagaimanapun, Majlis Perwakilan Pelajar Institut Profesional Baitulmal(MPPIPB) telah gagal memainkan peranan untuk memenuhi kehendak para pelajar di dalam hal ini.   MPPIPB tidak langsung bersungguh-sungguh mahu mendesak keputusan itu ditarik balik sedangkan suara ramai pelajar mahu majlis itu diteruskan.

Hasilnya, pada pagi ini Acara Tarik Tali yang diadakan pada awal pagi tidak lagi mendapat sambutan dari para pelajar yang telah kecewa dengan tindakan memansuhkan 'hak mereka untuk berdiskusi'.

Jangan sampai nanti MPPIPB hanya mampu mengurut hidung yang sakit akibat dicucuk atau mengeluh sakit tulang belakang kerana letih diperkudakan.

- Anak Rakyat Marhaen (ARM) 29.7.2001

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!