.... Pilihanraya Kecil Indera Kayangan-Projek Pembangunan Segera Sudah Bermula
Oleh: Abu Majahed Abdullah Azzam

Berikutan kematian ADUN Indera Kayangan, Datuk Khor Liang Tee, negeri Perlis seperti yang penulis harapkan sebelum ini akan kembali ceria seumpama raya apabila bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Barisan Nasional (MCA) dengan Barisan Alternatif (keADILan).

Belumpun mayat mendiang dibakar, sudah kedengaran di sini perebutan di kalangan pemimpin MCA untuk melobi supaya masing-masing dipilih menjadi calon. Orang-orang team A pimpinan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik sedang berebut dengan team B yang diketuai oleh Datuk Lim Ah Lek. 

Barisan Nasional dijangka akan terus memainkan isu pembangunan demi mempertahankan kerusi tradisinya ini. Tetapi sejauhmana isu ini dapat mempengaruhi rakyat sukar untuk ditafsirkan kerana DUN ini merupakan satu-satunya DUN yang terletak di kawasan bandar di negeri ini manakala isu sedemikian lebih sesuai bagi kawasan-kawasan pedalaman.

Seorang guru yang sempat ditemui di sebuah taman perumahan dalam kawasan Indera Kayangan ini memberitahu penulis bahawa Menteri Besar telah meluluskan projek penurapan jalan di dalam taman tersebut yang dimohon sejak dua tahun lalu di mana kerja-kerja telahpun dimulakan sejak 22 Disember 2001.

Kawasan Indera Kayangan ini mempunyai komposisi penduduk yang bercampur antara masyarakat Melayu dan Cina, iaitu 47.9 peratus pengundi Cina, 46.8 peratus pengundi Melayu sementara 5.3 peratus lagi adalah pengundi India.

Haji Ahmad Haji Hasan, Ketua Cawangan PAS Guar Syed Alwi dalam kawasan DUN ini ketika diajukan persoalan sejauh manakah umpan-umpan pembangunan segera dapat mempengaruhi pengundi, berkata pengundi di sini sebagai orang bandar, rata-ratanya golongan bijak dan sederhana dari segi pendapatannya tidak akan mampu untuk dibeli undi mereka dengan nilai sekadar jalan tar.

Pilihanraya kecil bagi kawasan itu dijangka diadakan dalam tempoh 60 hari sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia diberitahu. Speaker DUN Perlis sudah memaklumkannya kepada SPR. 

Mungkinkah BN akan tersilap strategi sekiranya meneruskan taktik ini, jawapannya sama-samalah kita tunggu nanti. Jika terbukti mereka tersilap, maka akan berlakulah ‘Lunas Kedua’.

Abu Mujahed Abdullah Azzam dan Nurul Aini Arifin - 25.12.2001
mpkangar_2004@yahoo.com


FREE - An online program to make a huge income. more info (javascipt enable browser only)
Click Here!

http://e-umno.tripod.com