.... Merindui Hishamudin Rais!
Oleh: Abu Majahed Abdullah Azzam

Pada detik makalah ini ditulis, Hishamudin Rais (dotmai) telah ditahan tanpa bicara di bawah akta rimba I.S.A selama 116 hari di kem Kemunting. Ini bermakna sudah hampir empat bulan aku tidak berkesempatan membelek artikelnya di dalam ruangan ‘dotmai’ yang amat diminati itu. Penguasa sangat zalim membiarkanku kesepian minda dari menelaah makalah tersebut atas alasan dangkal rekaan penguasa haprak bahawa dotmai terlibat dalam pakatan untuk menggulingkan penguasa melalui kekerasan yang tidak mampu dibuktikan sehingga ke saat ini di mana molotov cocktail dan grenade launcher milikan Hisham.

Demi pembebasannya, akulah yang perlu dijadikan galang ganti kerana walaupun aku bebas berlari ke sana sini membuat apa saja yang diingini, tetapi aku gagal memanfaatkannya demi perjuangan kebenaran dan keadilan sepertimana yang dotmai lakukan selama ini. Lebih baik aku digantikan dengannya supaya beliau dapat meneruskan kerja-kerja menegakkan demokrasi yang saban hari semakin tercemar angkara penguasa yang gilakan kuasa sehingga maut datang memanggil.

Memanglah ISA itu sendiri zalim dan kejam yang membawa manusia moden kembali ke zaman kegelapan di mana kebebasan disekat oleh monarki mutlak supaya tidak ada sesiapa yang mampu mengkritiknya. Tetapi aku sanggup ke sana demi membebaskan manusia yang sudah beruban kerana penjara ‘politik’ lebih sesuai bagi aku yang masih segar tanpa pengalaman menderita ini.

Hisham, buat masa ini, aku berani menjanjikanmu bahawa aku akan memastikan rakan taulan dan sanak saudaraku dapat bersama-samaku membulatkan tekad untuk menjatuhkan regim ganas ini dengan apa cara sekalipun selain demokrasi kerana demokrasi di Malaysia semakin tidak boleh dipercayai lagi untuk diagung- agungkan. Inilah sahaja cara lain untuk membebaskanmu dari penahanan yang amat tidak sah itu mengikut kacamata pejuang keadilan. 

Kuatkan semangatmu dengan menganggap Kemunting adalah tempat berehat sementara untuk mengkaji dan meneliti arah dan metod perjuangan yang lebih drastik dan mencabar di kala pembebasannmu nanti. Sementara aku akan terus berdoa agar kau diberi kekuatan oleh Ilahi dalam meneruskan perjuangan yang memerlukan pengorbanan ini demi menegakkan demokrasi sebenar. Semoga tidak lama lagi aku akan berpeluang membelek kembali makalahmu. Teruskan perjuangan!

BEBASKAN SEMUA TAHANAN ISA! MAHSUHKAN ISA!

Nota: ‘Dari Jemapoh ke Manchester’ sedang ditayangkan di dua buah pawagam iaitu di TGV KLCC dan SGC Mid Valley Mega Mall, Kuala Lumpur, mulai 2 Ogos. Kepada semua pendokong reformasi, anda perlu menontonnya sebagai satu sumbangan kepada dotmai. 

Abu Mujahed Abdullah Azzam (siarkan)
mpkangar_kmm@yahoo.com (siarkan).

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!