.... Sistem Politik Malaysia Yang Unik
Oleh: Abu Majahed Abdullah Azzam

Pada dasarnya, Malaysia mempunyai banyak persamaan dengan British dari segi sistem politiknya disebabkan bekas kuasa besar itu telah menjajah negara. British amat berbeza jika dibandingkannya dengan kuasa-kuasa besar yang lain seperti Portugis dan Belanda. Semua bekas kuasa besar ini pernah menjajah negara tetapi hanya Britian yang berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada negara kerana Belanda dan Portugis hanya menitik beratkan masalah ekonomi yang mana mereka menjajah semata-semata untuk mengaut keuntungan kekayaan hasil bumi negara, manakala British pula turut mementingkan penjajahan pemikiran agar negara dapat terus kekal dijajah dalam bentuk baru. 

Maka diletakkan syarat kepada Malaya ketika diambang pemerintahan sendiri agar menerima sistem pentadbiran negara yang digubal sendiri oleh orang putih. Makalah ini bukan bertujuan untuk mengkaji keburukan sistem peninggalan British, tetapi sebaliknya cuba menerokai di mana kesilapan amalan sistem itu kerana ia didapati bercanggah dengan sistem politik British yang dikenali dunia sebagai contoh demokrasi unggul di samping Amerika Syarikat. 

Malaysia secara umumnya dikenali ramai sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan (atau diktator berperlembagaan?; rujuk makalah terdahulu, Mahathir seorang diktator berperlembagaan). Sistem politik ini dihuraikan dengan perkongsian kuasa di antara institusi raja yang diketuai Yang Dipertuan Agong sebagai ketua negara yang bertindak mengikut nasihat mutlak dari perdana menteri sebagai ketua eksekutif yang menguasai jemaah menteri dan pentadbiran awam negara. Sistem ini turut dibantu oleh institusi parlimen sebagai badan menggubal undang-undang dan kehakiman pula bertindak untuk mentafsir undang-undang tersebut demi keadilan kepada semua pihak termasuk pemerintah dan rakyat jika terdapat sebarang percanggahan di antara mereka.

Bagi kebanyakan orang, mereka berpendapat kedudukan raja hanyalah sebagai tonggak negara yang bersifat raja berperlembagaan yang sekadar rubber stamp kerana perdana menteri telah bekerja keras untuk memeinda perlembagaan persekutuan bagi menghadkan kuasa raja demi memastikan beliau tidak dapat dicabar oleh sesiapapun. 

Sebenarnya raja masih mempunyai kuasa yang dapat mengimbangkan kuasa perdana menteri contohnya dalam perlantikan hakim di mana jika institusi raja menggunakan kuasanya sebaik mungkin maka terhasillah perkara yang digeruni perdana menteri seperti perlantikan ketua hakim negara baru-baru ini yang bercanggah dengan pilihan perdana menteri. Demikian juga dengan masalah hal ehwal agama Islam, majlis raja-raja menolak permintaan badan eksekutif untuk mengharamkan sebarang institusi dari menggunakan nama Islam. Ini menunjukkan institusi monarki ini masih mempunyai kuasa walaupun digambarkan raja mengikut saranan perdana menteri.

Ada rakan yang memberi komen kepada penulis bahawa Malaysia perlu mengikut sistem presiden seperti Amerika demi mengurangkan pemusatan kuasa yang terlalu besar pada perdana menteri yang menguasai badan eksekutif dan Parlimen (partinya mendapat lebih dua pertiga majoriti di Parlimen). Penulis berpendapat eksekutif kuat disebabkan badan-badan yang lain lemah. 

Parlimen sebagai institusi penggubalan undang-undang yang kerap kali disebut ‘dewan yang mulia’ oleh para ahlinya hanyalah sekadar tempat meluluskan rang undang-undang untuk menjadi undang-undang sebagaimana yang didrafkan oleh para pentadbir awam yang diarahkan dasarnya oleh menteri. Ini bererti ia bukan lagi tempat untuk menggubal undang-undang tetapi hanya meluluskan undang-undang yang dibuat oleh kabinet atau kementerian. Walaupun kita dapati melalui hansard parlimen terdapat banyak perbahasan terhadap sesuatu rang undang-undang oleh pihak penyokong kerajaan dan pembangkang, tetapi akhirnya rang undang-undang tadi diluluskan mengikut draf asal tanpa sebarang pindaan. 

Pihak pembangkang juga dinafikan haknya kerana sesuatu rang undang-undang itu hanya boleh dikemukakan oleh menteri atau sekiranya mendapat sokongannya. Maka kita percaya draf rang undang-undang persendirian NGO mengenai ISA yang diserahkan kepada ketua pembangkang baru-baru ini tidak akan diterima dewan untuk perbahasannya.

Kebebasan kehakiman sering dipersoalkan rakyat terutama sekali sejak Anwar saga di mana orang mula nampak kebobrokan institusi ini yang menjalankan fungsinya mengikut arahan badan eksekutif. Sebenarnya kebebasan kehakiman telah berada di persimpangan jalan sejak masa yang paling kritikal iaitu pada tahun 1987 hingga 1988 yang melibatkan pembuangan ketua hakim negara berikutan banyak kes yang tidak dimenangi oleh eksekutif. Sehinggalah ketua hakim baru sekarang, masyarakat telah melihat sedikit sinar kebebasan kehakiman. 

Institusi peguam negara perlu diletakkan di bawah Parlimen ataupun satu suruhanraya bebas kerana banyak pendakwaan terpilih yang berlaku dengan terang sekali berikutan fungsinya sekarang di bawah Jabatan Perdana Menteri. Kita berpengalaman melihat banyak laporan polis yang disertakan bukti kukuh gagal dibicarakan di mahkamah kerana kuasa pendakwaan hanya berada kepada peguam negara.

Kebebasan bersuara juga merupakan satu perkara penting di dalam sesuatu sistem politik. Dalam konteks Malaysia,bekas ketua pembangkang, Lim Kit Siang pernah menyebut bahawa Malaysia mempunyai kebebasan bersuara tetapi tiada kebebasan selepas bersuara yang amat difahami dengan ugutan penguatkuasaan Akta Hasutan, Akta Polis, ISA, OSA dan sebagainya. Tetapi lebih menarik lagi apabila bekas hakim Mahkamah Agong, Tan Sri Harun Hashim telah menambah dalam definisi kebebasan bersuara di Malaysia ini dengan menyebut bukan sekadar tiada kebebasan selepas bersuara bahkan sebelum dan ketika bersuara itu. Ini mungkin boleh dirujuk kepada halangan kepada demonstrasi secara aman dan juga isu pengharaman ceramah umum sekarang dengan pembatalan dan penghentian pemberian permit ceramah khususnya kepada pembangkang. 

Malaysia bolehlah disimpulkan sebagai negara demokrasi tanpa wujud peluang perubahan kerajaan (kerajaan pusat) sebagaimana yang diungkapkan oleh Samuel Hutington, di mana berlaku perebutan kuasa yang tidak seimbang dengan halangan yang bersifat untuk menekan pembangkang demi mengekalkan kuasa penguasa. Demokrasi di Malaysia akan terus dibenarkan selagimana tidak mengancam kedudukan penguasa. Sekarang nyamuk-nyamuk (meminjam istilah Dato’ Nik Aziz) yang mengancam itu sudah semakin banyak, maka kita berada di ambang kemusnahan demokrasi. 

Abu Mujahed Abdullah Azzam (siarkan)
mpkangar_kmm@yahoo.com (siarkan).

SILA KLIK UNTUK MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL TANPA KEBENARAN PENULIS.
Click Here!