Sindrom Nomatophobia Melanda Malaysia!
Oleh Zunar

Apalah erti sebuah nama,” kata William Shakespeare lebih 100 tahun lalu. Ungkapan ini, menjadi antara kata petikan terpopular dan diterima sejagat kerana ia menepati fungsi nama sebagai tanda pengenalan. Tapi tidak di Malaysia, terutama selepas tahun 1998.

Bebarapa bulan lepas, seorang teman aktivis reformasi memberitahu saya bagaimana anak lelaki beliau yang baru lahir dan didaftarkan sebagai Anwar, tetapi nama yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran kemudiannya ialah ‘Anuar’. Bagaimana boleh terjadi sedemikian? Tanya saya. Mungkin kerajaan telah mengharamkan perkataan Anwar, jawabnya sinis.

Saya ketawa. Tetapi setelah direnungkan, jawapan teman saya ini tidak boleh ditolak begitu saja dan dianggap isu terpencil atau ‘one off’. Tidak dapat tidak, tentu saja peraturan atau syarat ini diujudkan kerana mantan Timbalan Perdana Menteri yang kini terpenjara bernama Anwar Ibrahim.

Saya lantas teringat kata-kata seorang kakitangan Dewan Bahasa Dan Pustaka yang pernah memaklumkan bahawa mereka menerima arahan agar ribuan buah buku berjudul ‘Gelombang Kebangkitan Asia’ dibakar hangus kerana ditulis oleh Anwar Ibrahim. Biar duit hilang, asal nama Anwar turut hilang,” kata beliau.

Anekdot ini berterusan bila dikenangkan telatah orang yang menjadi sumber inspirasi lukisan saya, Dr Mahathir Mohamad. Sejak tahun 2000, Mahathir amat takut menyebut nama Anwar melainkan merujuknya sebagai ‘sesaorang’, ‘si anu’, dan lain-lain.

“Saya dengar KeADILan akan mengadakan demonstrasi untuk mengingati sesuatu,” setakat itu yang mampu dikatakan Mahathir kepada wartawan awal April 2000 apabila mengulas mengenai perhimpunan Black 14 oleh aktivis reformasi bagi mengingati tarikh Anwar dijatuhkan hukuman oleh Augustine Paul.

Ketakutan pada nama atau istilah sainsnya, nomatophobia ini tidak terhad menjadi amalan di jabatan kerajaan saja, aktivis teater turut jadi mangsa.

Februari lalu, skrip drama terbitan Instant Café juga terpaksa dipinda dengan membuang perkataan Anwar atas arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai syarat kelulusan pementasan.

Bukan Anwar saja, malah sesiapa saja atau apa yang berkait dengan Anwar akan menerima bahangnya. Hujung tahun lepas, saya tertonton RTM 1 di rumah teman saya, dan ketika itu filem Melayu lama, Hang Jebat sedang ditayangkan.

Dipertengahan filem, tiba adegan Hang Jebat (lakonan Allahyarham Nordin Ahmad) sedang berpidato berkobar-kobar dengan mimik muka garang. “Yang saya mahukan ialah...” sampai di sini, tiba-tiba suara Nordin Ahmad dimatikan beberapa saat oleh pihak RTM sedangkan mulutnya masih kumat kamit bercakap.

Kenapa suara Nordin Ahmad hilang? Apa yang dia cakap tu? Tanya saya. “Yang saya mahukan ialah keadilan, keadilan, keadilan!” Itulah sepatutnya dialog Hang Jebat, kata teman saya yang berulang kali menonton filem tersebut lantaran meminati pengarahnya, Hussien Haniff.

Kami hilang mood untuk menonton, dan saya menambah bahawa kalau Hang Jebat berkata, “yang saya mahu ialah gemilang, cermerlang, terbilang”, tentu keadaannya berbeza. Dufahamkan lagu ‘Azizah’ nyanyian P Ramlee juga diharamkan oleh RTM sejak 1998.

Tidak cukup dengan nama, proses pelenyapan ini juga berkembang kepada persoalan gambar.

Bagi sesiapa yang pernah hadir di mahkamah, akan dapat melihat, ketika di pintu pagar masuk atau keluar, Anwar akan dikelilingi oleh beberapa buah kenderaan pacuan empat roda, berjenama Pajero yang mengepung beliau dari empat sudut dengan tujuan tiada sesiapa yang akan dapat mengambil gambar Anwar, walau menggunakan kamera dengan lensa jarak jauh 200 meter!

Akhbar pula diarah supaya melakukan apa saja supaya gambar Anwar tidak tersiar. Sebuah akhbar berbahasa Cina pada tahun 1999, menyiarkan gambar barisan ahli-ahli kabinet lama.

Kerana Anwar yang pada ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri berdiri terlalu hampir dengan Mahathir, maka pihak akhbar itu dengan secara grafiknya memotong kepala Anwar dan diganti dengan kepala orang lain. Satu pencapaian rakyat Malasyia dalam bidang IT!

Keadaan ini tidak berubah apabila pemimpin yang di gelar ‘ulul amri’, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pimpinan negara.

Seorang wartawan akhbar yang bertugas di Jalan Riong, Kuala Lumpur memberitahu saya bulan lepas, bahawa beliau dan rakan-rakan menerima arahan agar tidak menyiarkan berita mengenai Anwar.

Jika Anwar terlibat dalam perbicaraan, yang boleh disiarkan hanya beberapa rangkap berita mengenai keputusan , itu pun sesudah selesai perbicaraan. Kenyataan akhbar sebelum atau ketika berlangsung perbicaraan tidak dibenarkan.

Ulasan-ulasan atau komen-komen diharamkan, apalagi menyiar gambar Anwar... kriokk!” kata beliau sambil menunjukkan isyarat jari seolah pisau memotong lehernya.

Menurut beliau lagi, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang menekan pambaharuan lesen secara tahunan bermatlamat supaya wartawan terus bergantung kepada kerajaan. Pengarang lantas tidak punya pilihan selain menyiar berita yang disenangi kerajaan. Dalam Islam Hadhari, wartawan dikembiri, katanya.

Ini sesuai jika dilihat indeks terbaru kebebasan akhbar terbitan Reporters Without Borders yang meletakkan Malaysia di tempat ke 104 jauh lebih buruk dari Israel yang berada di tempat ke 54!

Berbalik persoalan utama, kenapa ketakutan melucukan ditunjukkan oleh pemimpin BN terhadap Anwar walau pun melalui nama, sedangkan mereka mengaku mendapat sokongan besar rakyat?

Matlamatnya jelas. Tidak lain supaya pada akhirnya rakyat Malaysia akan melupakan Anwar sekaligus tidak menjejaskan kedudukan mereka untuk terus berkuasa.

“Anwar bukan lagi isu. Anwar sudah tidak relevan,” begitulah kenyataan pemimpin BN selepas pilihanraya umum lalu dalam usaha cuba meyakinkan diri sendiri.

Apakah mereka telah berjaya?

“Jika benar saya bukan lagi menjadi isu atau sudah tidak relevan, kenapa perlu dicabut kuasa badan perundangan bagi menjadikan permohonan ikat jamin saya yang sepatutnya mudah, tetapi memakan masa setahun untuk didengar, dan kemudiannya ditolak sewenangnya,” kata Anwar kepada wartawan Reuters, Patrick Chalmers apabila diajukan soalan demikian April lepas.

- Zunar - 17.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN