ANTARA MEMBEBASKAN ANWAR DAN MENEGAKKAN KEADILAN
Oleh Zukri Aksah (dipetik drp Blog Zukri Keadilan)


Tanggal 23hb Disember 2003 baru-baru ini saya berkesempatan hadir ke majlis pelancaran Gerakan Anwar Bebas yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Jalan Dato’ Maharajalela, Kuala Lumpur. Meriah, penuh warna-warni, penuh semangat, penuh harapan. Mencari kembali kesepaduan yang tertinggal akibat kecamuk pendekatan yang pelbagai, menggali semula makna dan takrif reformasi, apakah ia masih tersemat kuat di jiwa-jiwa mereka yang mahu dikenal sebagai pejuang dan aktivis.

Tahun-tahun 1998 dan 1999 ibarat musim mengutip kepah yang telah terlepas. Kerana tidak menjangkakan begitu banyak kepah yang muncul di tepian pantai ketika itu, kita menjadi kelam-kabut, orang yang tidak cukup, cara yang tidak kena, tempat yang salah dan alat yang tidak sesuai membuatkan kita telah terlepas dari mengaut hasil yang lumayan.

Kita mula belajar dari situ, lalu sementara menunggu musim seterusnya, pemimpin-pemimpin kita yang dating dan pergi, naik dan turun masing-masing muncul dengan cara dan teori sendiri. Mungkin kerana kepelbagaian dan perbahasan tidak wujud dalam kitab politik kuno karangan UMNO/Barisan Nasional, atau mungkin juga kerana kealpaan kita yang terlalu memilih dan mempertahankan yang satu dari yang pelbagai itu, ada daripada kalangan kita yang kecewa dan berjauh hati bila merasai pendapat dan pandangannya tidak di pihak dominant, apakah sampai kita terlupa tentang hasrat dan cita-cita reformasi yang kita sama-sama junjung selama ini? Tepuklah dada, Tanya hati sendiri.

Musim seterusnya akan kembali. Dengung pilihanraya sudah kedengaran dan itulah tanda hadirnya. Malam 23hb Disember 2003 harus menjadi pemula kedua, pemula yang lebih tersusun dan mantap. Kita mulakan dengan melunaskan kehendak yang satu, sama dan tidak pelbagai, MEMBEBASKAN ANWAR IBRAHIM!

Anwar Ibrahim… beliau adalah ikon, beliau aalah symbol. Simbol kepada keadilan yang telah disepak terajang, symbol kepada kezaliman yang dijunjung dijulang. Maka membebaskan Anwar bermaksud membebaskan keadilan, membebaskan Anwar bermaksud meruntuhkan kezaliman.

Tetapi, kenyataan bahawa Anwar perlu dibebaskan dengan apa cara sekalipun tidak boleh diguna pakai. Pembebasan Anwar perlu hanya melalui satu landasan, iaitu PERJUANGAN! Tidak boleh ada kompromi! Ya, Anwar mungkin boleh dan akan bebas dengan KOMPROMI, dan mungkin juga ramai yang akan gembira dengan pembebasan ini. Namun percayalah, dengan cara ini yang akan bebas hanyalah batang tubuh Anwar Ibrahim. Sedangkan sama ada kita sedar atau tidak, keadilan akan terus terpenjara menanti hukuman gantung sampai mati mandatori, kezaliman akan terus melata dan berkuasa.

Dimanakah kita yang mengaku pejuang dan aktivis jika Anwar terbbas dengan cara ini? Turut sama merayakan pembebasan ini? Apakah kita akan mula melupakan fail-fail rasuah dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin teritinggi UMNO/Barisan Nasional (Rafidah Aziz, Rahim Thamby Chik, Khalil Yaakob, Mohd Khir Toyo dsb – sekadar menyebut beberapa kes) yang masih kemas terikat dengan tali merah dan bertanda SULIT? Ini juga adalah kezaliman yang wajib kita rungkaikan dan kita adili, atas nama REFORMASI dan PERJUANGAN!

Pastikan kita berada di landasan perjuangan, perjuangan membebaskan keadilan bersimbolkan Anwar Ibrahim, bukan membebaskan Anwar Ibrahim bersimbolkan keadilan. Musim baru akan tiba; susun dan percukupkanlah orang-orang kita, kenalpasti cara yang paling berkesan, pilih tempat-tempat yang betul dan perlengkapkanlah segala peralatan, jangan nanti kita terlepas lagi mengaut hasil yang lumayan atau kepah sendiri yang merajuk hati dan tidak mahu lagi hadir dan muncul di tepian pantai ini.

Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang

Klik untuk memberikan komen anda di Blog Zukri Aksah (dibuka dalam browser berasingan)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!