Noritta Yang Mati, Kertas Siasatan Dikerandakan
Oleh Zukri Aksah (dipetik drp Blog Zukri Keadilan)

Sedari awal, mengikuti kes rogol-liwat-bunuh gadis cantik, Noritta Samsudin, saya merasa seperti ada sesuatu terselindung di sebaliknya. Maaf cakap, entah macam mana hati saya keberatan untuk memberi rasa simpati kepada beliau, rasanya saya lebih kasihan dengan tragedi yang menimpa Canny Ong.

Jauh dari cuba mahu bersangka buruk, tetapi fakta-fakta tentang kehidupan peribadi dan hubungan sosialnya tetap membuat otak saya berfikir ligat. Nisbah antara kerjaya dengan kemewahan hidup beliau terlalu tidak sekata, beliau cuma seorang pegawai pemasaran!

Lalu siapakah sebenarnya yang terlibat di sebalik kematian beliau ini? Mayat beliau dikatakan dijumpai dalam keadaan terikat tetapi tiada kesan pergelutan di dalam KONDO MEWAH tersebut. Pada awalnya ada khabar yang mengatakan wujudnya penglibatan anak orang kenamaan, tetapi segera dinafikan oleh pihak polis.

Beberapa tangkapan telah dibuat, lapan orang setakat ini, cebisan tisu dengan kesan air mani juga dijumpai. Dengan tangkapan dan bukti ini, polis percaya bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan kes ini.

Di ketika cerita ini di tahap klimaks, pewartaan berterusan media terhadap tragedi ini telah menjadikan ia sebagai national public interest, cuma menunggu keputusan ujian DNA sahaja, tiba-tiba malam tadi (14 Disember 2003, Buletin Utama TV3), Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Omar secara mengejut mengeluarkan kenyataan bahawa kes ini sekarang adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Apakah maksudnya? Apakah selepas ini tidak ada lagi laporan? Bagaimana pula dengan keputusan siasatan? Adakah ia juga akan dirahsiakan? Maka sesiapa yang mendedahkan nanti akan didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi? Keputusan Ujian DNA Saddam Hussein cuma mengambil masa sehari sahaja, sepatutnya kita sudah dapat tahu siapa pembunuh Noritta, mungkinkan ia "seseorang" sehingga ia perlu dirahsiakan? Seterusnya, apakah kita akan melihat tragedi Mustakizah berulang lagi? Terus senyap... tertegakkah keadilan? Akhirnya Istana Keadilan yang tersergam itu akan menjadi kubur besar menyemadikan keadilan-keadilan yang mati.

Soalnya kenapa dirahsiakan? Kali ini kebejatan siapa pula yang ingin dilindungi atas nama undang-undang? Tidak cukupkah lagi dengan kertas-kertas siasatan rasuah pimpinan UMNO yang diOSAkan sehinggakan Ezam terperosok ke Penjara Kajang semata-mata kerana kepercayaan bahawa rakyat perlu tahu tentang kebusukan perilaku pemimpin-pemimpin ini. Ini kes bunuh, melibatkan nyawa manusia!!!

Dalam kitab Ihya' Ulumuddin, Imam Al-Ghazali telah menggariskan lima tanggungjawab pemimpin negara, salah satunya adalah MELAKSANAKAN NEGARA HUKUM, bukan MENGGUNAKAN HUKUM UNTUK MENGGELAPKAN SALAH LAKU SESEORANG DAN TERELAK DARI TERHUKUM. Apakah salah guna kuasa telah berlaku atas nama undang-undang?

Kata Datuk Seri KPN lagi, jangan buat andaian sendiri, jangan buat spekulasi, setelah mengOSAkan kertas siasatan kes bunuh Noritta... tetapi tindakan beliau itu sendiri sebenarnya telah menimbulkan banyak andaian, menimbulkan banyak spekulasi.

Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang

Klik untuk memberikan komen anda di Blog Zukri Aksah (dibuka dalam browser berasingan)

Sertailah
Blog M@RHAEN - Wadah interaksi yang penggunaannya semakin popular pada masa kini. (Baru)
Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.
Hantar artikel ini kpd sahabat:

Click Here!