Pengundi Pos - Surat terbuka untuk Panglima Tentera Udara

Apabila kenyataan tersebut keluar dari mulut Tan Sri Isa Samad pemimpin tinggi UMNO ia tidaklah menghairankan sangat, tetapi jika ia di lafazkan oleh Panglima Tentera Udara Dato' Seri Abdullah Ahmad ia menimbulkan tanda-tanya dan mengundang banyak persoalan. Apakah Dato' Seri Abdullah bimbang yang pencennya akan diberhentikan sekiranya parti selain BN berjaya menubuhkan kerajaan. Apakah semua pegawai kanan TUDM akan menerima nasib yang sama dengan pemimpin BN yang menjadi menteri, sekiranya parti selain BN memerintah.

Tidakkah Dato' Seri Abdullah tahu yang anggota TUDM juga adalah rakyat biasa sebagaimana orang awam yang bertanggungjawab terhadap negaranya bukan setakat menggalas senapang untuk bertempur, tetapi mereka juga bertanggungjawab untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar menepati cita rasa mereka.

Bukankah amanat Dato' Seri juga meminta warga TUDM sentiasa prihatin dan peka terhadap persekitaran mereka, di setiap kali perbarisan Panglima Tentera Udara. Jangan membuat mereka menjadi keliru. Rasanya terlalu penat untuk menerangkan perkara-perkara yang sama, berulang-ulang. Apa yang ditolak oleh rakyat termasuk anak-anak buah Dato' Seri bukanlah sebuah kerajaan seperti yang Dato' Seri faham tetapi ialah parti yang memerintah, iaitu BN. Parti yang memerintah boleh datang dan pergi tetapi orang-orang seperti Dato’ Seri  dan anak buah Dato' Seri tidak akan pergi selagi tidak cukup tempoh perkhidmatan. Kerajaan yang baru dibentuk walaupun pun bukan BN perlu terus memberi rezeki kepada anak buah Dato' Seri. Terpulanglah kepada mereka sama ada mahu terus menggigit tangan atau tidak kerajaan yang baru itu, bergantung kepada prestasi  yang ditunjukkan oleh kerajaan baru itu.

Hakikat yang mesti diterima oleh semua panglima perkhidmatan termasuk Dato’ Seri ialah semua warga tentera kini bukan lagi seperti  tahun-tahun 60-an dan 70-an, minda mereka juga bersama-sama bergerak mengikut arus perkembangan semasa. Banyak antara mereka belajar bersendirian sama ada melalui Jabatanarah Pendidikan Kementerian Pertahanan atau belajar bersendirian. Mereka tidak menerima bulat-bulat apa yang disogokkan ke minda mereka, kecuali arahan `Seri Paduka Baginda` untuk mereka bertugas keesokan harinya. Sepatutnya Dato' Seri yang telah banyak bertindak secara profesional dalam banyak perkara tiba-tiba sahaja melatah seolah-olah Dato’ Seri salah seorang pemimpin tinggi BN.

Warga Tentera khususnya TUDM bukanlah sebuah pasukan yang ditempatkan di pelosok belantara yang menyebabkan mereka terputus hubungan dengan dunia luar. Mereka juga adalah pembayar cukai dan pengguna. Mereka juga pencarum di LTAT dan penyimpan di LUTH serta penderma kepada Tabung Amanah Ikhtiar, dengan memotong gaji bulanan. Janganlah dikhianati `ikrar kesatria` yang lafazkan setiap perbarisan mingguan dan bulanan. Cubalah untuk menjadi benar dalam semua perkara yang kita lafazkan, ucapan, amanat dan perintah.

Pemilihan kerajaan yang akan dibuat oleh Pengundi Pos dengan memilih untuk menafikan BN hendaklah dilihat dari sudut positif iaitu satu cara `nasihat` dan `teguran` dari rakyat, dan bukannya seperti yang dianggap oleh kebanyakan orang, `tidak berterima kasih`, `tidak mengenang budi`,`menggigit tangan yang memberi rezeki` dan sebagainya. Mana ada satu cara yang paling berkesan untuk rakyat menegur pemimpin kalau bukan satu hari dalam tempoh lima tahun ini. Suara-suara rakyat yang dibawa oleh wakil pembangkang di dalam Parlimen diketepikan begitu saja. Apabila tiba hari yang satu ini maka terdengarlah slogan-slogan yang pelik seperti `pemimpin kuli rakyat`dan sebagainya. Setelah selesai pilihan raya kembalilah `kuli-kuli rakyat` tadi ke mahligai masing-masing dan berkatalah sesama mereka `melayu mudah lupa`.

Bukan semua warga TUDM yang akan mengundi akan menafikan BN, masih ramai lagi yang tidak faham politik kenegaraan. Di kala rakan sebaya mereka menelaah pelajaran di bilik di tengah malam, mereka ini masih belum pulang berpelesiran di luar sana. Banyak sudah setiap kali pilihan raya berlalu dan didapati calon-calon BN yang asalnya kalah diselamatkan oleh undi pos. Apakah benar semua warga tentera memilih BN? Kalau ini benar ianya sangat memalukan kepada rakyat di luar sana, seolah-olah warga tentera hidup di dalam tempurung dan tidak mempunyai visi, begitu mudah diperdayakan oleh rejim yang korup.

Kenapakah Dato` Seri membandingkan seorang Koperal kita mempunyai Proton Saga lebih baik dari Lt Kol dari negara membangun yang lain? Negara itu sudah hancur kerana korup yang amat sangat. Kita sudah berada di tangga ke-37 di antara negara-negara yang korup. Kita akan menjadi seperti itu suatu hari nanti, jika tidak dibetulkan dari sekarang. Dalam untuk menjayakan visi kerajaan wawasan 2020, kenapakah kita tak mahu mencontoh negara-negara maju. Apakah sudah cukup dengan mempunyai proton yang memenuhi ruang pakir di sekitar perumahan keluarga di pertengahan bulan, dan boleh bergerak keluar apabila hujung bulan. Kenapakah Dato` Seri tak mahu membandingkan pegawai kanan kewangan kita dengan seorang polis trafik di Finland. Finland berada di tangga nombor 1 di antara negara korup di dunia. Rakyat seluruh sedang memerhati pangkalan udara di bawah jagaan Dato' Seri iaitu TUDM Kuantan. Kegagalan TUDM Kuantan membawa aspirasi rakyat bermakna tentera masih dianggap berada pada tahap `minda di bawah sedar`.

Dari itu seruan untuk Dato’ Seri Abdullah Ahmad berilah kebebasan kepada anak buah Dato’ Seri untuk mereka menunaikan tanggungjawab kepada rakyat. Semoga kita semua dapat keluar dari keadaan yang sangat bercelaru ini.

- Warrant Officer - 12.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN