Pemerhati Untuk Pengundi Pos 
- Faktor Keselamatan Oleh MINDEF Disangkal


KEPENTINGAN POLITIK

Sudah banyak kali permohonan oleh parti pembangkang untuk menghantar pemerhati ketika pengundian pos dijalankan di kem tentera ditolak oleh Kementerian Pertahanan dengan alasan keselamatan, sebenarnya tidak berasas dan di selubungi oleh kepentingan politik BN. SPR yang mendakwa dirinya sebagai `telus` dan `adil` sepatutnya memainkan peranan dengan menerangkan kepada Kementerian Pertahanan bahawa kehadiran pemerhati ini adalah untuk membawa amanah rakyat dalam pembentukan sesebuah kerajaan. Tidak menjadi rahsia lagi apabila alasan yang diberikan oleh Pengarah Perisikan Pertahanan sebenarnya adalah untuk menjaga kepentingan ketuanya sendiri selaku Menteri Pertahanan, di mana Menteri Pertahanan itu juga yang akan bertanding di kerusi parlimennya. Jika kelulusan ini diberi, ianya dianggap sebagai memberi tali kepada pihak pembangkang untuk menjerut leher Menteri Pertahanan sendiri. Sebenar ianya tidak boleh dilihat dari sudut sebegitu jika semangat demokrasi diambil kira dan kepentingan rakyat diberi keutamaan.

STATUS KESELAMATAN

Apalah sangat status pengenalan diri pemerhati dari SPR dan wakil-wakil parti yang bertanding itu jika dibandingkan dengan status pengenalan diri kontraktor dan pekerja-pekerja warga asing yang keluar masuk berhari-hari dan berminggu-minggu membuat kerja di dalam sesebuah kem, tentera. Apalah sangat pergerakan pemerhati dari SPR dan wakil-wakil parti yang bertanding itu yang akan tinggal sehari suntuk di dalam dewan atau ruang pejabat yang luasnya hanya sekangkang kera. Apakah terlalu sukar untuk menempatkan pegawai dan pengawal untuk memerhatikan pergerakan mereka dalam ruang atau kawasan yang terhad dalam masa sehari sahaja, jika hendak dibandingkan dengan kontraktor dan pekerja warga asing yang bekerja selama berhari-hari dan berminggu-minggu yang mana ruang dan kawasan mereka bekerja atau ke sana ke mari lebih luas.

Walaupun ada arahan dan syarat kepada kontraktor dan pekerja warga asing itu untuk tidak berada di dalam kawasan yang bukan sepatutnya mereka bekerja, akan tetapi adakah pihak Perisikan Pertahanan menentukan tiap-tiap kontraktor dan pekerja warga asing diperhatikan pergerakan mereka oleh pegawai atau pengawal.

Bagaimana pula dengan kerja-kerja pengubahsuaian di dalam pejabat, termasuk di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan sendiri. Adakah ada pegawai dan pengawal yang sentiasa memerhati pergerakan pekerja-pekerja ini? Terlalu sukarkah untuk memerhati pergerakan pemerhati dari SPR dan wakil-wakil parti politik yang bertanding. Itu hanya dalam ruang atau kawasan serta masa yang cukup terhad itu, atau kepentingan politiklah yang menjadi percaturannya.

SPR 2 X 5 DENGAN BN

Perkara ini telah lama dibangkitkan oleh parti-parti politik yang bertanding kepada SPR, akan tetapi seperti diketahui SPR juga dikuasai oleh BN hanya berlepas tangan dengan hanya menyambung lidah Kementerian Pertahanan dengan memberi alasan `aspek keselamatan`, tanpa ada usaha-usaha tambahan untuk meyakinkan pihak Bahagian Perisikan Pertahanan, bahawa hak seseorang anggota dan pegawai tentera memilih parti yang akan membentuk kerajaan termaktub di dalam AKTA 72, dan ianya mesti di kendalikan dengan cara sebagaimana dikendalikan kepada orang-orang awam. Sebenarnya kemenangan besar BN di dalam pilihan raya di mana terdapatnya kem-kem tentera berhampiran adalah satu kemenangan yang penuh `misteri`, sehingga tertubuhnya sesebuah kerajaan itu bukanlah sebuah kerajaan yang membawa aspirasi rakyat. Maka terjadilah seperti apa yang terjadi di Malaysia ini. `Sudah terang, lagi bersuluh`.

- Warrant Officer - 10.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN