Harussani lawan Sure Heboh TV3
Petikan: Utusan Online - August, 1, 2004

Bicara Ahad Oleh Astora Jabat (Mufti Kerajaan Islam Hadhari)
astora_jabat@yahoo.com
 

Pelbagai pihak dalam kerajaan dan di luar kerajaan nampaknya sedang berusaha untuk memperbetulkan perjalanan hiburan dalam negara yang dilihat oleh ramai orang sebagai membimbangkan jika dibiarkan berleluasa tanpa pengawalan yang berpatutan daripada pihak berkuasa.

Perasaan umum (common sense) sesetengah orang kita nampaknya tidak memandu kepada kebaikan jika mereka terlibat dalam dunia hiburan sebagai penghibur dan penganjur hiburan.

Penghibur sanggup melakukan apa saja asalkan dapat ganjaran. Lebih teruk lagi penganjur yang menjadikan keuntungan komersial sebagai matlamat utamanya tanpa memikirkan kesan terhadap masyarakat.

Oleh kerana perasaan umum yang malap ini tidak dapat tidak perlu wujud pihak-pihak yang memberi teguran kepada mereka dan kadangkala terpaksa menguat kuasa undang-undang ke atas mereka.

Malah kerana perasaan umum yang malap juga menyebabkan beberapa pihak termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan supaya mengharamkan peraduan kuiz melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

Akhirnya Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim pun mengisytiharkan pada 27 Julai lalu bahawa peraduan kuiz sms itu haram kerana mengandungi unsur perjudian.

Begitu juga teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin terhadap beberapa stesen televisyen swasta menganjurkan beberapa program hiburan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan program-program seumpamanya yang dianggap sebagai tamparan kepada konsep Islam hadhari yang sedang dipromosi oleh kerajaan kepada rakyat, seperti laporan MalaysiaKini pada 30 Julai lalu.

Dr. Abdullah menganggap semua program hiburan seumpama itu adalah merupakan rintangan yang dihadapi oleh kerajaan dalam usahanya untuk mempromosi konsep Islam Hadhari di negara ini.

Usaha yang serupa dilakukan oleh Majlis Mufti-Mufti apabila ia mengharamkan konsert Sure Heboh TV3 yang dianggap melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak muda seperti laporan Utusan Malaysia semalam.

Keputusan Majlis Mufti-Mufti yang diumumkan oleh Mufti Kerajaan Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria itu menganggap mereka yang menganjur, menghadiri dan menonton konsert anjuran stesen televisyen swasta popular itu juga haram. Pengharaman konsert Sure Heboh itu diputuskan di peringkat mufti-mufti dan akan dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk dipertimbangkan.

Pada dasarnya hiburan itu bukan haram dan Rasulullah s.a.w. dan keluarga baginda serta para sahabat pun turut mengamal hiburan juga seperti pernah dijelaskan dalam ruangan ini pada masa lalu.

Bagaimanapun, hiburan dianggap menjadi masalah bukan saja kerana sukar untuk mendapati hiburan yang sunyi daripada perkara-perkara yang dianggap maksiat dan berdosa tetapi juga kerana tidak ada ulama dapat mempaperkan hiburan yang diamal oleh Rasulullah, para ahli keluarga dan sahabat baginda sebagai model untuk masyarakat. Mereka sendiri tidak pernah memberitahu secara praktikal bentuk hiburan alternatif terhadap bermacam-macam hiburan yang ada pada hari ini yang dianggap haram itu.

Berdasarkan pengamatan penulis, ramai ulama membuat kenyataan bahawa hiburan itu halal atau tidak haram, tetapi mereka membuat kenyataan itu secara umum tanpa berani menyebut satu per satu jenis hiburan yang ada dalam masyarakat.

Begitu juga ramai ulama membuat kenyataan bahawa hiburan yang ada dalam masyarakat kini haram seperti nyanyian, filem dan sebagainya. Malah ada juga ulama yang menganggap nasyid pun haram juga. Tetapi pada waktu yang sama mereka juga tidak pernah menunjukkan kepada masyarakat hiburan yang halal kecuali beberapa contoh seperti membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya atau hiburan yang terdapat pada zaman Rasulullah seperti menunggang kuda, memanah dan berlari.

Jika kita mencari ulama yang berani membenarkan hiburan diadakan dalam masjid sudah tentu tidak ada. Padahal Rasulullah membenarkan hiburan diadakan di dalam masjid seperti tarian kaum Habsyah yang turut disaksi oleh baginda dan isteri baginda, Aisyah.

Orang-orang Muslim yang menganggap sunah Rasulullah perlu diikuti, tidakkah terfikir untuk membenarkan hiburan di dalam masjid kerana ia sunah yang mesti diamalkan?

Dalam kitab-kitab lama pun mencatat bagaimana puak tarikat sufi di Mekah, Baghdad dan Kaherah mendendangkan nyanyian dan menari di dalam masjid. Kini sisa budaya itu boleh dilihat di beberapa masjid di Mesir, tetapi nyanyian dan tarian puak sufi di buat di luar masjid.

Hiburan adalah fitrah kehidupan tetapi ia, seperti semua perkara yang dihajati jiwa manusia, ada yang baik dan ada yang buruk, ada positif dan ada negatif. Malah hajatan jiwa yang baik dan positif itu pun boleh memudaratkan jika melampau batasannya. Oleh itu apabila Islam mengharuskan hiburan yang baik dan positif mesti pula tidak sampai ke tahap melalaikan seseorang Muslim daripada mengingati Allah dan tidak lupa terhadap tanggungjawab sosialnya. Jadi hiburan dan apa jua perkara halal diharamkan dalam Islam bukan kerana dirinya, tetapi melampau menggunakannya. Begitu juga hiburan boleh menjadi haram kerana persekitarannya.

Mengenai persekitaran hiburan ini penulis teringat dengan laporan HarakahDaily pada 21 April lalu yang berbunyi kira-kira 540 kondom ditemui di tapak program `Karnival Sure Heboh TV3' di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah sewaktu dan selepas program tersebut pada 17 dan 18 April lalu.

Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan melaporkan, pada 17 April, antara pukul 5 hingga 6 pagi, pihaknya menemui 326 kondom di sekitar kawasan tapak Karnival Sure Heboh TV3 dalam rondaan dan pembersihan yang dibuat. Enam belas daripada 326 kondom yang ditemui masih basah dengan `air mani', katanya yang menghubungi HarakahDaily dari Alor Star. Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, pada hari berikutnya, sewaktu rondaan dan pembersihan dilakukan pada pukul 8 pagi, pihak berkuasa tempatan turut menemui 214 kondom lagi di tempat yang sama.

Apa yang menjadi tanda tanya penulis macam mana 540 orang boleh berzina di khalayak ramai ketika karnival sedang berjalan termasuk persembahan konsert. (di atas tadi si Astora menulis: di sekitar kawasan tapak Karnival Sure Heboh TV3. Dan kita nak beritahu si Astora, pada ketika orang ramai khusuk menontonlah pasangan-pasangan ini mengambil kesempatan 'membuat kerja' di celah-celah kenderaan ataupun di dalam kenderaan dsbnya... - M@RHAEN). Katakanlah beratus-ratus orang itu melakukan perzinaan selepas karnival tamat pada waktu pagi, di ceruk manakah mereka boleh melakukan perbuatan binatang itu di sekitar Stadium Darul Aman di Alor Star itu?

Penulis pun pernah beberapa kali ke stadium berkenaan, tetapi tidak nampak tempat beratus-ratus orang boleh berzina di situ. (Si Astora sepatutnya datang sekali lagi dan menjenguk kawasan yang dipenuhi pokok-pokok di bahagian belakang stadium...   - M@RHAEN). Mungkin boleh diterima jika didakwa yang melakukan perzinaan itu dua tiga pasangan, tetapi mengikut HarakahDaily seolah-olah perbuatan binatang itu dilakukan di pekarangan stadium kerana 540 kondom dijumpai di situ.

Laporan HarakahDaily turut mengandungi keganjilan yang lain, iaitu pegawai pihak berkuasa tempatan melaporkan antara pukul 5 hingga 6 pagi, dia menemui 326 kondom di sekitar kawasan tapak Karnival Sure Heboh TV3 dalam rondaan dan pembersihan yang dibuat. Betulkah dakwaan itu? Jika betul kenapa dia tidak membuat rondaan untuk mencegah perzinaan lebih awal? Begitu juga betulkah dia ke situ pada waktu orang sembahyang subuh untuk membuat pembersihan.

Penulis tidak membela Sure Heboh atau apa jua program hiburan di negara ini kerana hiburan walaupun sangat penting tetapi mesti berpada-pada seperti kata Harussani. Bagaimanapun, penulis juga tidak bersetuju diharamkan program hiburan seperti itu secara mutlak kerana yang menjadi masalah bukan hiburan, tetapi persekitarannya. Inilah yang perlu diambil kira oleh para penganjur hiburan.

Penulis sendiri pernah ke Karnival Sure Heboh yang diadakan di Putrajaya tahun lalu, tetapi pada sebelah petang dan tiada apa dapat dilihat di situ kecuali bazar yang menjual bermacam-macam benda. Ia tidak berbeza dengan pasar malam. Kali kedua penulis ke Karnival Sure Heboh secara kebetulan ketika berlangsung di Melaka. Kali kedua ini penulis sempat melihat konsert Sure Heboh dari jauh kerana menunggu isteri dan anak-anak yang berada dalam zoo Melaka. Tetapi kerana penat serta konsert bukan lagi menjadi hiburan bagi orang dalam peringkat umur seperti penulis, tiada apa yang boleh dilakukan kecuali tidur dalam kereta.

Pada pengamatan penulis tiada apa yang boleh dianggap maksiat berlaku dalam karnival Sure Heboh yang penulis pernah hadiri itu kecuali jika hadirin tidak sembahyang, mereka mengurat dan sebagainya. Tetapi semua itu tidak kena-mengena dengan karnival Sure Heboh langsung. Sebaliknya jika ada yang dianggap kena-mengena dengan karnival Sure Heboh pun ialah kerana adanya penyanyi wanita disebabkan wanita dianggap haram menyanyi di depan khalayak seperti kata ramai ulama. Begitu juga mungkin sesetengah orang Islam lain menambahkan satu lagi pantang larang, iaitu lelaki tidak boleh berada bersama wanita yang juga menjadi fatwa ramai ulama.

Sedangkan perbuatan zina yang melibatkan beratus-ratus orang seperti yang dilapor oleh HarakahDaily berlaku di karvinal Sure Heboh di Alor Star itu tidak dapat dibayangkan boleh berlaku karnival Sure Heboh di Putrajaya dan Melaka. Laporan HarakahDaily seolah-olah menganggap orang Kedah itu terlalu jahat berbanding penduduk negeri-negeri lain. Padahal di Kelantan sendiri kadar jenayahnya sangat besar termasuk yang berzina.

Memang betul karnival Sure Heboh tidak pernah diadakan di Kelantan, tetapi sebuah konsert hiburan yang diadakan oleh radio Thr.fm baru-baru ini mendapat sambutan jauh lebih hebat daripada konsert Karnival Sure Heboh. Kira-kira 50,000 orang Kelantan yang sangat dahagakan konsert membanjiri konsert radio Thr.fm itu. Tetapi tidak pula dilaporkan ada pihak yang bertemu beratus-ratus kondom di situ, sedangkan persekitarannya sama, iaitu lelaki dan wanita berada di tempat yang sama dan menurut logik orang berfikiran jahat dalam Pas persekitaran semacam itu boleh berlaku bermacam-macam maksiat termasuk zina.

Yang anehnya Kerajaan Kelantan mempertahankan konsert radio Thr.fm `Gegar Pantai Timur 2004' itu dan menganggapnya tidak menyalahi Enakmen Kawalan Hiburan 1998. HarakahDaily pada 1 Julai melaporkan Timbalan Menteri Besar, Ustaz Ahmad Yakob berkata: ``Biarpun persembahan sempena majlis perasmiannya berjaya menambat hati puluhan ribu penonton, tetapi keadaannya masih terkawal.''

Beliau berkata begitu sebagai mengulas laporan media yang mendakwa kerajaan Pas tidak mematuhi peraturan yang dibuat sendiri. Katanya, tiada seorang pun penyanyi pop diundang pada malam tersebut, sebaliknya ia dijayakan pendikir, kumpulan nasyid serta juruhebah Thr.fm sendiri.

``Thr.fM juga tidak membawa juruhebah wanita mereka pada malam itu, jadi tidak ada bukti yang mengatakan program itu telah bercanggah dengan enakmen yang dibuat kerajaan negeri,'' ujarnya.

Tetapi beliau lupa ada sebab lain yang menyebabkan Pas mengharamkan konsert, iaitu adanya lelaki dan wanita di tempat yang sama yang dianggap sebagai pergaulan lelaki dan wanita yang dianggap haram. Nampaknya sebab itu sudah tidak lagi menjadi pantang larang Pas. Padahal ia yang menjadi punca berlaku perzinaan pada pandangan Pas.

Sebenarnya adalah menjadi lumrah hiburan itu disukai semua orang. Ini kerana hiburan itu sendiri boleh berfungsi sebagai penenang dan pendamai jiwa seseorang. Tetapi yang perlu ialah hiburan itu mesti berkualiti dari segi seni kata dan muziknya agar boleh menghibur, menenang, menyeronokkan dan menghilangkan rasa resah.

Dalam al-Quran juga disebut hiburan adalah menjadi fitrah kehidupan dunia ini dan ia tidak kekal. Allah berfirman: Ketahuilah bahawa sesungguhnya hidup di dunia hanya permainan, hiburan, perhiasan, dan saling bermegah antara kamu dan pengumpulan harta dan anak-anak sama seperti air hujan yang mengejutkan orang-orang kafir kerana tumbuh-tumbuhannya, kemudian ia menjadi kering, lalu dia melihat menjadi kuning, kemudian ia hancur. Dan di akhir seksa yang kuat (bagi orang kafir) dan ampun dan keredaan daripada Allah (bagi orang mukmin). Hidup di dunia tidak lain hanya kesukaan tipuan - (al-Hadid: 20).

Manakala hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim ini pula memberitahu kita bahawa hiburan itu harus. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya: Ketika penduduk Habsyah sedang bermain-main dengan tombak-tombak mereka di hadapan Rasulullah tiba-tiba masuklah Umar bin al-Khattab. Lalu dia mengambil batu-batu kecil untuk melontar mereka.

Rasulullah berkata kepadanya: Biarkan mereka, wahai Umar! - (Al-Bukhari dan Muslim).

Apa yang dapat disimpul di sini ialah hiburan itu tidak haram, tetapi pengamalannya dengan cara yang tidak tepat dan dalam persekitaran yang tidak baik menyebakan ia menjadi faktor perosak manusia dan masyarakat. Justeru tindakan yang perlu diambil bukan mengharamkan perkara yang halal di sisi Allah, tetapi mengharamkan pengamalan yang tidak tepat dan persekitarannya yang tidak betul itu.

Pelbagai pihak yang terlibat dalam menganjurkan hiburan seperti Sure Heboh, Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan lain-lain perlu memberi perhatian kepada perkara ini. Jika tidak, kemungkinan besar semua program hiburan itu akan difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

- Astora Jabat (Mufti Kerajaan Islam Hadhari)

-- Utusan Online

Hantar artikel ini kpd sahabat: