Antara Keluhan Semua Mufti di Semua Negeri
Inilah fakta yang menunjukkan bahawa kerajaan di bawah tunjang UMNO telah gagal dalam menjalankan tugas mereka untuk memartabatkan agama di negara ini, serta menampakkan hati perut mereka sebenar terhadap  islam bila cuba menghalang orang islam yang tak sehala dengannya untuk memberikan penjelasan dan perlaksanaan hukum-hukum syariah berdasarkan Al Quran dan Sunnah.

Dari artikel di US tempohari ianya menggambarkan langkah seterusnya dalam bentuk jangka panjang oleh Amerika dalam menghapuskan "terrorism". Kini, "terrorism" hanya dikaitkan dengan Islam, dan semangat Jihad para pejuang tempatan yang dikongkong oleh serangan Amerika dan Israel telah dikaburi dengan "terrorism".

Yang tersuratnya, Amerika dan Israel berusaha bersungguh-sungguh kini untuk membendung kebangkitan Islam sehingga ke peringkat pemikiran yang bermula di sekolah-sekolah. Sudah pasti selepas ini, polisi baru Amerika ini akan menular dan menekan pemimpin-pemimpin sekular negara ummat Islam untuk terus menekan sekolah-sekolah agama.

Kita perlu proaktif dan bersiap siaga dalam menghadapi tekanan yang lebih bersifat jangka panjang ini. Kerajaan Malaysia di bawah Pak Lah, yang berpendidikan agama, juga hendaklah sensitif dengan makar (tipudaya) Amerika dan Israel ini.

Begitu juga dengan masalah umat Islam susah syariah tidak seragam dalam B/Harian 1.11.2003

PENYERAGAMAN undang-undang syariah di Malaysia adalah isu yang sudah lama diperkatakan dan sering menjadi perhatian umum terutama apabila berlaku sesuatu masalah di Mahkamah Syariah seperti kelemahan penguatkuasaan perintah, penganiayaan terhadap wanita dan kes tertangguh. Wartawan MOHD YUSOF SULAIMAN menyingkap cabaran ke arah penyeragaman undang-undang itu.

MASALAH ketidakseragaman undang-undang syariah di negara ini sudah lama diperkatakan. Ketidakseragaman bukan saja menyebabkan kelemahan dalam pentadbiran, perundangan, pendakwaan, penguatkuasaan dan  penghakiman, malah paling menyedihkan memberi gambaran buruk kepada hukum syarak.

Tidak dinafikan, masalah ini menyebabkan kekeliruan dan menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan umat Islam. Mereka hairan kenapakah masih berlaku perbezaan walaupun aspek kehakiman Islam itu dirujukkan kepada satu sumber iaitu al-Quran dan  hadis.

Ketidakseragaman bentuk hukuman adalah antara masalah yang membelenggu kebanyakan undang-undang negeri ketika ini. Mengambil contoh perbezaan hukuman kesalahan tidak memberi keadilan kepada isteri.

Mengikut Seksyen 128, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, hukuman seseorang yang tidak memberi keadilan kepada isteri ialah denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. Bagaimanapun, hukuman ini berbeza dengan beberapa negeri seperti di Kelantan, Kedah dan Johor. Di Kelantan, hukumannya ialah denda RM500 atau penjara selama empat bulan, manakala di Kedah, denda tidak lebih RM300 atau penjara selama dua bulan.

Sesungguhnya, masalah ini memperlihatkan kelemahan aspek perundangan syariah walaupun membabitkan perkara dan fakta sama. Persoalan juga timbul kenapakah ia berlaku walaupun kita berada dalam satu negara yang menyatakan Islam agama rasmi persekutuan. Sistem aturan dan organisasi mahkamah syariah, khususnya mengenai rayuan turut berbeza antara satu negeri.

Setiap negeri mempunyai mahkamah rayuan sendiri dan hakim rayuan berbeza dari satu negeri dengan negeri lain. Kos dan fee (bayaran) mahkamah juga tidak selaras antara negeri.  Contohnya, Terengganu menetapkan bayaran untuk mendapatkan sijil faraid sebanyak RM20, manakala Melaka pula RM10.

Percanggahan bidang kuasa yang berlaku antara negeri menyebabkan orang yang memerlukan bantuan terpaksa berulang alik dari satu negeri ke negeri lain. Ini menyebabkan keputusan mahkamah syariah sesebuah negeri tidak dipatuhi di negeri lain.

Umpamanya, seorang yang tidak diberi kebenaran berpoligami di Selangor boleh ke Terengganu dan mendapat kebenaran berpoligami di sana. Ketidakseragaman ini juga menyebabkan kesukaran menyampai dan menguatkuasakan saman serta waran di luar negeri ia dikeluarkan.

Maknanya, perintah nafkah yang dibuat Mahkamah Syariah satu negeri tidak boleh dikuatkuasakan di luar negeri yang mengeluarkan perintah itu. Ketidakseragaman undang-undang prosedur dan keterangan antara negeri juga boleh dipersoalkan kerana masing masing mempunyai amalan serta cara tersendiri untuk mengemukakan kes ke Mahkamah. Malah, hingga sekarang masih ada negeri yang langsung tidak mempunyai undang-undang prosedur dan sesetengah yang lainnya, undang-undang prosedur hanya boleh didapati dalam enakmen pentadbiran dengan peruntukan yang sedikit tanpa sebarang perincian.

Begitu juga prosedur pelantikan hakim mahkamah yang berbeza antara negeri yang akhirnya menyebabkan banyak kes tidak dapat dibicarakan.

Sesungguhnya, isu penyeragaman undang-undang syariah hendaklah diberi perhatian serius oleh semua pihak. Kini, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil sudah berjaya mendapatkan kelulusan majlis raja-raja terhadap lima undang-undang untuk diguna pakai setiap negeri.

Undang-undang itu ialah Undang-Undang pentadbiran Agama Islam, Undang-Undang Keterangan, Undang-Undang Tatacara Mal dan Jenayah serta Undang-undang keluarga Islam. Bagaimanapun, difahamkan ada beberapa negeri masih berdolak dalik dalam hal ini kerana khuatir akan mengurangkan bidang kuasa sesebuah  negeri dalam hal ehwal perundangan Islam.

Soalnya, tidak adakah kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini dan pada masa sama menyelamatkan bidang kuasa negeri itu? Justeru, semua pihak perlulah berusaha bersungguh-sungguh memperkasakan institusi kehakiman Islam dengan menyelesaikan sebarang masalah yang membantut kelicinan serta penyeragamannya.

Yang pasti, ketidakseragaman undang-undang syariah ini bukan berpunca daripada kelemahan hukum syarak.  Ia juga bukan berpunca daripada mahkamah syariah kerana pada hakikatnya, institusi itu hanya menjalankan undang-undang yang diluluskan sesebuah dewan undangan negeri. Adalah tidak adil jika Mahkamah Syariah dipersalahkan dalam hal ini. Yang dikehendaki sekarang ialah kita perlu menyedari kelebihan  penyeragaman ini yang bukan saja dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi mahkamah syariah, malah paling mustahak dapat memartabatkan agama Islam di negara ini.

Oleh Ummu Solehah - 07.11.2003 (suntingan M@RHAEN)
Sila berikan respons/komen kepada artikel ini.



Tapak Utama:http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!