BELASUNGKAWA   
Syeikh Ahmad Yassin: Darah untuknya, pesanan untuk kita

Sangat sukar bagi UmmahOnline untuk berbicara tentang konsep syahid pada ketika ini, dimana suasana ketika ini umat Islam sedang memperingati peristiwa kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin, pemimpin spiritual Harakah al-Muqawamah al-Islamiyah (HAMAS).

Sosok Syeikh Ahmad Yassin dan peranan yang di mainkannya sudah tentu banyak dirakamkan dan akan terus diperbincangkan oleh khalayak entah sampai ke bila-bila memandangkan beliau disifatkan antara sebaris dengan tokoh gigih sebelum ini dalam perjuangan untuk membebaskan Al-Quds - Ezzidine Al-Qassam.

Tetapi beberapa hari setelah kesyahidan pengasas HAMAS yang lumpuh lagi ringkih ini, UmmahOnline menyedari, menginsafi dan mengerti bahawa kita takkan dapat mengetahui apakah maksud tersirat di sebalik perjuangan Syeikh Ahmad Yassin tanpa kita memahami apa makna syahid yang dalam erti kata yang sesungguh-sungguhnya.

Sudah tentu sesuatu yang lebih agung dari Syeikh Ahmad Yassin sendiri adalah sesuatu di sebalik perjuangannya. Umum memang sentiasa berbicara mengenai Syeikh Ahmad Yassin, tetapi amat jarang di kalangan kita yang berbicara tentang tujuan yang mendorong perjuangan Syeikh Ahmad Yassin sehinggalah beliau menemui syahid yang telah lama di impikannya.

Sehubungan dengan itu, UmmahOnline berhasrat di sini untuk berbicara tentang konsep pengorbanan sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Syeikh Ahmad Yassin dan mereka yang telah sejalan dengannya sebelum ini. Dan, dengan itu kita akan dapat membongkar makna syahadah yang tersirat di sepanjang sejarah kemanusiaan.

Dalam rangka untuk memahami konsep syahadah, kita harus mempelajarinya dalam konteks mazhab pemikiran dan aksi, kerana dua elemen inilah yang menjadi landasan terhadap syahadah itu. Dan, daripada kombinasi elemen inilah yang telah mendorong Syeikh Ahmad Yassin menjadi manifestasi par excellence (yang terbaik) dalam kayu ukur perjuangan pembebasan Al-Quds.

Melihat sosok Syeikh Ahmad Yassin dan suasana medan tempur antara Palestin dan Israel sudah barang tentunya akan memaksa kita, bahkan sangat memaksa kita, untuk memandang insan ini serta peristiwa yang menimpanya ke atasnya sebagai salah satu fenomena yang sangat luar biasa yang dinanugerahkan oleh Allah SWT ke atasnya.

Bayangkanlah dalam keadaan fizikalnya yang selemah-lemahnya telah memaksa rejim Zionis menggunakan secanggih-canggih senjata untuk memusnahkannya. Namun, apapun tindakan rejim Zionis ini, ia langsung tidak mematikan ruh perjuangan gerakan yang telah beliau asaskan.

Bagi kita, memisahkan Syeikh Ahmad Yassin dengan Palestin dalam konteks idealogi dan historis moden, ibaratlah kita mencabut satu mazhab pemikiran dan sejarah pergolakan Palestin di sepanjang zaman terutamanya ketika era intifadha bermula 1987.

Sekarang Syeikh Ahmad Yassin telah pergi dengan penuh harap. Namun kita yang hidup ini terus mati. Beliau telahpun menyampaikan pesanannya dengan darah, sementara kita tidak pula sudi untuk menuruti pesannya. Beliau telahpun pulang dan takkan kembali lagi, namun kita tanpa malu-malu tetap mempertahankan kehidupan. Barangkali ada yang akan mentertawakan apabila kita menangisi pemergiannya walhal kita dalam masa yang sama enggan menyambung risalah perjuangannya.

Sungguh, ia merupakan satu kezaliman terselindung sekiranya kita terus menangisi di atas pemergiannya tanpa melangsungkan pesanan ‘darahnya’. Kita perlu mengerti apakah maksudnya, Syeikh Ahmad Yassin tuntas memilih kesyahidan walhal beliau mengetahui musuh di luar sedang berlegar-legar menunggu kehadirannya? Apakah Syeikh Ahmad Yassin tidak mengetahui bahawa sederap peluru berpandu boleh menamatkan riwayatnya?

Sebenarnya, tindakan Syeikh Ahmad Yassin ini adalah ditujukan kepada manusia-manusia yang seperti kita serta kepada para generasi yang mendatang agar tidak gentar untuk berjuang menegakkan keadilan ilahi ke arah membebaskan bumi Palestin dari penjajahan rejim Zionis. Namun malang sekali, kita terus-menerus sambil bersungguh-sungguh pula untuk mengatakan “tidak”! Tidak dalam makna gagal merealisasikan pesanan dari darahnya.

Kita sewajarnya menyedari bahawa setiap gerakan perjuangan pastinya akan memiliki dua misi. Misi pertama adalah darah, dan misi kedua adalah pesanan. Justeru itu, setelah misi pertama telah dijayakan, bagaimana pula dengan misi kedua? Dan, kita yang terus hidup ini, kenapa tidak meneruskan misi ini untuk melengkapkan gerakan perjuangan Syeikh Ahmad Yassin?

Setelah Syeikh Ahmad Yassin berjaya memaklumatkan perjuangannya ke seluruh zaman, ke seluruh generasi, dalam seluruh pertempuran, dan dalam seluruh jihad yang digerakkannya malahan perjuangan Syeikh Ahmad Yassin ini juga telah menyelimuti seluruh medan pertempuran di Palestin di sepanjang sejarah masa hadapan dengan beliau mempersembahkan darah dan meninggalkan pesan. Maka sudah tentu tidak akan ada lagi alasan untuk anda dan kami atau kita semua bagi membiarkan keimanan tanpa jihad berlalu begitu sahaja.

Justeru itu, bermula detik ini, sudah tiba masanya untuk kita mengorak langkah menyambut pesanan Syeikh Ahmad Yassin - berjuang membebaskan bumi Palestin sekalipun ia menuntut darah kita! Maka, tidaklah cukup untuk kita menangisi pemergian beliau atau kita membibirkan falsafah kesyahidan beliau tanpa kita turut serta untuk bangkit bersaksi sepertinya yang mana kita pentaskan gambaran kehidupan melalui ungkaian, dia pemimpin mustadh’afin, dia menuruti Al-Husayn, dan dialah jantung sejarah! Dan, dia itu Syeikh Ahmad Yassin.  Al-Fatihah.

UmmahOnline Team
ummahonline@yahoo.com
http://www.ummahonline.cjb.net - 26.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN